Buah Longan : 16 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan
Sebut sahaja namanya Buah Longan, pasti ramai akan terbayang tekstur manis buah kecil molek ini kan?
Bukan setakat enak untuk dimakan, malah longan juga sering dijadikan sebagai ramuan minuman herba kerana kaya dengan pelbagai manfaat untuk kesihatan.
Jika sebelum ini anda menikmati longan tanpa tahu manfaatnya, kali ini kami akan bincangkan mengenai khasiat nutrisi, kebaikan, kesan sampingan serta beberapa cara untuk makan buah eksotik tersebut.
Jom kita mulakan!
Apa itu buah longan?
Longan atau dalam nama saintifiknya Dimocarpus longan, merupakan tumbuhan berbunga dari keluarga Sapindaceae iaitu yang sama dengan buah laici serta rambutan. Tumbuhan ini berasal dari selatan China, tetapi kini ditanam untuk tujuan komersial di pelbagai negara seperti Vietnam, Thailand, Australia dan juga Malaysia.
Lazimnya, buah longan tumbuh secara bergugus seperti anggur setiap kali menjelang musimnya. Biji berwarna hitam serta kulitnya yang coklat kekuningan tidak boleh dimakan. Namun, isi pulpanya yang berwarna putih sering menjadi kegilaan ramai. Ada yang turut mendakwa tekstur longan lebih manis tetapi kurang berair daripada saudara terdekatnya, iaitu laici.
Selain rasanya yang unik, manfaat longan juga diperakui dalam perubatan tradisional Cina. Oleh itu, mari kita kupas lebih lanjut kandungan nutrisi dan khasiat buah ini terhadap aspek kesihatan manusia.
Fakta nutrisi dan khasiat buah longan
Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah longan:
Makronutrien:
Kalori | 60 Kcal |
Jumlah Karbohidrat | 15.1g |
Serat (Karbohidrat) | 1.1g |
Protein | 1.31g |
Lemak | 0.2g |
Mikronutrien (Vitamin):
Thiamin (Vitamin B1) | 0.031mg |
Riboflavin (Vitamin B2) | 0.14 mg |
Niacin (Vitamin B3) | 0.3 mg |
Vitamin C | 84 mg |
Mikronutrien (Mineral):
Calcium | 1 mg |
Iron | 0.13 mg |
Magnesium | 10 mg |
Phosphorus | 21 mg |
Potassium | 266 mg |
Copper | 0.169 mg |
Zinc | 0.05 mg |
16 kebaikan buah longan yang sangat luar biasa
Buah longan sememangnya kaya dengan mineral, vitamin dan zat nutrien. Maka tidak hairanlah jika ia mampu tawarkan banyak manfaat dalam aspek kesihatan.
Jom semak 16 khasiat dan kebaikan buah longan :
1. Mencegah penyakit AlzheimerÂ
Penyakit Alzheimer adalah penyakit membabitkan otak yang menyebabkan penurunan progresif dalam sejumlah aspek. Mulai dari ingatan, kognitif atau kemampuan berpikir, kemampuan bicara dan perilaku.
Pada tahap awal, pesakit Alzheimer akan sukar untuk mengingati sesuatu perkara. Namun lama-kelamaan, mereka mulai hilang memori tentang perkara atau orang yang penting dalam hidup mereka, selain melalui perubahan personaliti yang mendadak.
Kajian mendapati, isi buah longan berupaya mengatasi kecacatan kognitif terhadap haiwan makmal yang menghidap penyakit Alzheimer. Selain itu, ia turut mengurangkan kesan radang di bahagian otak.
Data kajian lain turut menunjukkan bahawa, ekstrak longan mampu meningkatkan keupayaan pembelajaran serta memori. Justeru, ini dapat mengurangkan risiko kehilangan ingatan dan secara tidak langsung membantu kehidupan pesakit Alzheimer.Â
2. Mengatasi anemiaÂ
Zat besi merupakan elemen yang penting dalam pembentukan sel darah merah. Kekurangan zat besi mengakibatkan penyakit anemia, iaitu apabila jumlah sel darah merah yang membekalkan oksigen ke seluruh badan tidak mencukupi.
Dalam perubatan tradisional Cina, ekstrak longan digunakan bersama bahan herba asli untuk menyembuhkan masalah anemia yang sukar dikawal. Selain itu, khasiat buah ini juga melancarkan peredaran darah ke seluruh tubuh.
Oleh itu, pengambilan makanan kaya zat besi seperti buah longan amat disyorkan bagi penghidap anemia agar sesuai dengan keperluan tubuh mereka.Â
3. Menguatkan imuniti tubuh
Sistem imun bertindak sebagai tentera yang menjaga tubuh daripada serangan penyakit atau patogen supaya kekal sihat. Ramai tidak tahu, pemakanan buah longan juga dapat menguatkan imuniti tubuh dan memastikannya sentiasa berada di tahap optimum.
Kajian melaporkan bahawa polisakarida, iaitu sejenis karbohidrat yang terdapat pada isi buah longan berupaya untuk mengaktifkan sel-sel imun dalam tubuh kita.
Di samping itu, longan juga kaya vitamin C yang terbukti menguatkan fungsi dan mekanisme sistem imun dengan hasilkan sel darah putih yang mencukupi. Keupayaan ini penting untuk melindungi tubuh daripada kesan berbahaya radikal bebas.
4. Mencegah skurvi
Skurvi adalah komplikasi kesihatan yang berpunca daripada kekurangan vitamin C. Ia melibatkan gejala seperti anemia, kelesuan, pendarahan spontan, serta sakit atau bengkak di beberapa bahagian badan.
Tabiat pemakanan buruk seperti jarang atau tidak menjamah langsung buahan dan sayuran segar turut boleh mengakibatkan seseorang individu menghidap skurvi.
Oleh itu, pengambilan buah longan yang tinggi dengan vitamin C ke dalam diet harian sedikit sebanyak dapat mengatasi risiko terkena komplikasi skurvi.Â
5. Berpotensi dalam merawat kanser
Buah longan mempunyai kadar polifenol yang tinggi. Sebatian ini berfungsi menghapuskan radikal bebas yang menjadi punca kanser. Istimewanya buah longan, terdapat banyak bahagian mengandungi sumber antioksidan yang sama kuat.
Walaupun sering dianggap bahan buangan, tetapi biji longan ternyata sangat berpotensi dalam rawatan kanser. Kajian mendapati ekstrak biji longan boleh menghalang sel-sel kanser payudara, kolorektal, hati, paru-paru dan serviks secara sistematik.
Sementara itu, isi buah longan pula terbukti mempunyai ciri antikanser yang berupaya untuk mencegah sel kanser hati dan serviks daripada terus membiak. Oleh itu, masih banyak penyelidikan lanjut diperlukan bagi melihat potensi tumbuhan unik ini dalam rawatan kanser.
6. Mengawal tekanan darah
Tekanan darah tinggi merupakan antara penyakit yang mampu untuk membunuh secara senyap. Antara faktornya adalah kerap ambil makanan yang mengandungi garam (sodium) terlalu tinggi, ataupun keradangan pada salur darah.
Khasiat buah longan dapat mengembangkan salur darah, sekaligus melancarkan aliran darah melalui arteri.
Keadaan ini juga dapat membantu kurangkan tekanan daripada sistem kardiovaskular, seterusnya menurunkan tekanan darah pada tahap yang lebih stabil.
7. Merawat insomniaÂ
Insomnia adalah gangguan di mana seseorang itu merasakan dirinya kekurangan atau tidak puas tidur walaupun mendapat peluang untuk tidur dengan secukupnya. Lazimnya, masalah ini disebabkan perubahan hormon badan dan kitaran tidur yang tidak teratur.
Tahukah anda, buah longan sering digunakan untuk merawat insomnia dalam perubatan tradisional Cina. Fakta ini disokong kajian saintifik, yang menunjukkan buah longan boleh meningkatkan masa tidur berkualiti jika diambil bersama ubat insomnia.
Pengkaji menyimpulkan bahawa, ekstrak isi longan bukanlah mencetuskan tidur. Sebaliknya, ia menguatkan lagi fungsi ubat insomnia yang diambil pesakit.
8. Mengurangkan depresi dan kemurungan
Stres merupakan suatu tindak balas mental dan emosi ke atas situasi yang mengganggu keadaan stabil seseorang. Sama ada di tempat kerja atau di rumah, setiap individu berdepan tahap stres yang berbeza-beza.
Menyentuh tentang solusi bagi depresi dan kemurungan, pasti ramai terbayang ubat pelbagai warna yang doktor berikan agar pulih. Namun hakikatnya, masalah ini juga boleh berpunca kerana kekurangan nutrien serta pemilihan makanan yang salah.
Sebagai contoh buah longan yang kaya dengan vitamin C dan antioksidan boleh membantu merawat masalah ini. Ia dapat merangsang mood yang positif, sekaligus dapat menangani kemurungan.
Malah dalam perubatan tradisional Cina, khasiat teh longan didakwa dapat memberi rasa ketenangan kepada peminumnya.Â
9. Mencegah kerapuhan tulang
Osteoporosis berlaku apabila kadar resorpsi (pelesapan) tulang lebih tinggi berbanding kadar pembentukan sel baharu. Osteoporosis kebiasaannya tidak mempunyai sebarang tanda khusus.
Segelintir penghidapnya mungkin mengalami sakit atau sengal terutama pada bahagian belakang atau pinggang. Namun begitu, penyakit ini sering kali dikesan selepas pesakit mengalami komplikasi patah tulang.
Longan berpotensi menjadi penawar kerana menurut kajian, ekstrak isi buahnya didapati boleh mencegah pelesapan tulang. Berdasarkan laporan lain, ia juga berkesan untuk menggalakkan pertumbuhan sel rawan sekaligus menguatkan struktur tulang kita.
10. Menghalang penuaan kulit
Siapa kata mahu cantik semula jadi perlukan modal beribu ringgit? Setiap individu boleh kelihatan menawan melalui pemakanan yang penuh nutrisi dan berkhasiat seperti buah longan.
Pulpa atau isi buah longan mengandungi antioksidan, vitamin B serta vitamin C yang memiliki sifat anti penuaan dan menggalakkan penghasilan kolagen. Ini sekaligus berupaya memperbaiki pigmentasi, jeragat, garis halus dan masalah kedutan.
Selain itu, biji buah longan juga berpotensi dijadikan agen pemutih kulit semulajadi dalam produk kecantikan. Ia berupaya mencegah tirosinase, iaitu enzim yang bertanggungjawab dalam penghasilan melanin (pigmen berwarna hitam atau perang) pada kulit.
11. Mempercepat penyembuhan luka
Luka boleh disebabkan pelbagai faktor seperti kecederaan atau parut pembedahan. Selain ubat-ubatan, pemakanan yang betul juga sangat penting untuk diamalkan. Jika tidak, luka lebih mudah terdedah kepada jangkitan dan melambatkan proses penyembuhan.
Berdasarkan kajian, khasiat polifenol daripada biji buah longan sangat bermanfaat dalam proses ini. Bukan sekadar menggalakkan pembentukan salur darah, malah ia turut membantu menghasilkan semula tisu kulit yang luka akibat kesan terbakar.Â
12. Merangsang pertumbuhan rambutÂ
Rahsia untuk dapatkan rambut yang kuat dan mengatasi masalah rambut gugur bukanlah bergantung pada produk rambut yang berjenama terkenal semata-mata, tetapi juga dengan mengamalkan pemakanan yang sesuai.
Bukan saja baik untuk kulit, buah longan yang kaya vitamin C juga bermanfaat untuk memudahkan penyerapan mineral serta mengekalkan kesuburan rambut.
Selain itu, khasiat zat saponin yang terkandung dalam biji longan pula berupaya menjadikan kualiti rambut lebih cantik. Buktinya, saponin sering dijadikan sebagai bahan pembuat syampu rambut.
13. Mencegah jangkitan kulat dalam mulut
Kulat berpotensi menyebabkan jangkitan pada bahagian mulut apabila daya tahan imun seseorang itu lemah. Jangkitan kulat yang paling kerap dialami di mulut adalah kandidiasis pseudomembran akut atau ‘thrush’
Gejala infeksi ini adalah bintik berwarna putih kekuningan yang mudah dikikis untuk meninggalkan kawasan merah. Keadaan ini boleh berlaku di mana-mana bahagian mulut seperti lelangit dan pipi.
Namun ekstrak biji buah longan berpotensi untuk mencegah masalah oral, kerana sifat anti kulatnya. Kajian melaporkan, komponen aktif yang terdapat padanya memiliki ciri anti kulat yang kuat terhadap kulat spesis Candida parapsilosis dan Cryptococcus neofromans.
14. Mengelakkan masalah sembelit
Sembelit terjadi disebabkan kekurangan air atau serat dalam diet, lalu menyukarkan proses untuk membuang air besar.
Buah longan sama ada segar atau sudah dikeringkan, kaya dengan serat yang mampu untuk menggalakkan proses peristalsis (pergerakan usus). Ia juga membantu dalam meningkatkan jumlah bakteria baik dalam usus.
Dengan memastikan sistem pencernaan lebih sihat, serat daripada buah longan juga berupaya menghalang masalah lain seperti sembelit, cirit-birit, dan kembung perut.
15. Membantu turunkan berat badanÂ
Tidak dinafikan, trend obesiti di Malaysia sejak akhir-akhir ini telah meningkat pada kadar yang membimbangkan. Masalah berat badan berlebihan juga boleh meningkatkan risiko penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes dan kanser tertentu.
Buah longan boleh dijadikan sebagai snek alternatif buat anda yang sedang berjuang menurunkan berat badan. Ini kerana longan kaya kandungan air, serat dan juga rendah kalori.
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Medicinal Plants Studies menunjukkan bahawa, buah longan berupaya membantu menyekat selera makan seseorang. Ini secara tidak langsung menggalakkan penurunan berat badan yang lebih ketara.
16. Menjaga kesihatan otot jantung
Jika kerap mengalami gejala muntah atau cirit-birit, berkemungkinan besar individu tersebut berdepan masalah potassium rendah atau turut dikenali sebagai hipokalemia.
Hipokalemia adalah satu situasi di mana paras potassium dalam tubuh yang agak rendah daripada paras normal, iaitu kurang daripada 2.5 mmol/L. Risiko ini sebenarnya boleh mengancam nyawa dan memerlukan rawatan segera.
Buah longan mengandungi potassium, sejenis mineral dalam badan yang memainkan peranan penting dalam pengecutan dan pengenduran otot jantung. Komponen ini membawa isyarat elektrik ke sel saraf dan otot agar berfungsi dengan baik.
Kesan sampingan buah longan
Secara umumnya, buah longan selamat untuk dimakan setiap lapisan umur masyarakat. Malah, banyak manfaat dan khasiat diperolehi tubuh jika ia dimakan secara teratur.
Namun terdapat kesan sampingan yang perlu anda tahu, terutamanya jika buah eksotik ini diambil secara berlebihan iaitu :
Meningkatkan gula dalam darah
Walaupun bagus untuk mengawal tekanan darah, tetapi buah longan boleh meningkatkan gula dalam darah. Jika diambil secara berlebihan, ia boleh mendatangkan risiko kepada penghidap diabetes.
Oleh itu sekiranya sedang mengandung atau menghidap diabetes, anda dinasihati untuk menikmati buah ini secara sederhana dan sentiasa pantau paras gula dalam darah masing-masing.
Risiko terkena alahan bahan kimia
Longan adalah buah bermusim yang biasanya dijual ketika musim panas. Selepas dituai, petani atau pengilang akan merawat longan dengan bahan kimia seperti sulfur dioksida untuk memanjangkan jangka hayatnya.
Jika kulitnya terus dimasukkan ke dalam mulut, pendedahan kepada sulfur dioksida boleh menyebabkan kesan alahan. Untuk mengurangkan pengambilan bahan kimia tersebut, buah longan perlu dicuci dengan bersih di bawah air yang mengalir sebelum dimakan.
Cara makan buah longan
Memandangkan ianya bersaiz kecil, maka kaedah pengambilan buah ini juga penting bagi memperoleh khasiat yang maksimum. Pasti anda tertanya-tanya bagaimana kaedah menikmati longan yang betul.
Lazimnya isi pulpa buah ini boleh dimakan begitu sahaja selepas kulitnya dikupas. Bagaimanapun, ia juga boleh diolah dengan pelbagai cara lain seperti :
Minuman Lai Chi Kang
Setiap kali menjelangnya musim panas, tidak dinafikan Lai Chi Kang menjadi antara minuman penyegar yang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Longan kering tidak terkecuali menjadi antara bahan-bahan utama yang wajib disertakan dalam penyediaan minuman ini. Selain mempunyai banyak khasiat tersendiri, ia juga berupaya meredakan panas dari dalam badan.
Teh longan
Selain itu, buah longan juga boleh dicampurkan ke dalam teh untuk dijadikan sebagai minuman herba mengikut sejarah perubatan tradisional Cina. Apa yang menarik resepinya ini tidak perlu masukkan gula, kerana rasa manis daripada isi longan tersebut sudah memadai.
Bukan setakat menyegarkan apabila dihirup, malah minuman ini turut membantu merangsang tenaga, fokus serta perasaan tenang.
Disertakan ke dalam salad
Disebabkan saiz isi pulpanya yang kecil dan lembut, longan juga boleh disertakan ke dalam menu salad sama ada berasaskan buah-buahan ataupun sayur-sayuran. Tekstur manisnya dapat mengimbangkan rasa bahan-bahan lain.
Sebagai hidangan sampingan yang penuh nutrisi dan berkhasiat, ia sangat sesuai bagi individu yang mahu dapatkan berat badan lebih ideal.
Kesimpulan
Sekiranya anda mahu cari snek buah yang lazat dan berkhasiat, buah longan merupakan pilihan yang sangat tepat.
Ia kaya dengan pelbagai nutrien, serat, vitamin dan sesuai diambil oleh semua peringkat usia. Buah longan juga menawarkan pelbagai manfaat seperti :
- Mencegah penyakit Alzheimer
- Mengatasi anemia
- Menguatkan imuniti tubuh
- Mencegah skurvi
- Berpotensi dalam merawat kanser
- Mengawal tekanan darah
- Merawat insomnia
- Mengurangkan depresi dan kemurungan
- Mencegah kerapuhan tulang
- Menghalang penuaan kulit
- Mempercepat penyembuhan luka
- Merangsang pertumbuhan rambut
- Mencegah jangkitan kulat dalam mulut
- Mengelakkan masalah sembelit
- Membantu turunkan berat badan
- Menjaga kesihatan otot jantung
Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah: