Buah Kiwi : 15 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan
Mesti ramai yang pernah menikmati buah kiwi yang berwarna coklat ni kan?
Walaupun kulit kiwi diselaputi bulu-bulu halus, namun isi buah ini sememangnya enak untuk dimakan. Ia juga terkenal di seluruh dunia kerana memiliki banyak khasiat yang baik terhadap aspek kesihatan.
Jika sebelum ini anda menikmati buah kiwi tanpa tahu manfaatnya, kali ini kami akan bincangkan mengenainya termasuk khasiat nutrisi, kebaikan, kesan sampingan serta beberapa cara untuk menikmatinya.
Jom kita mulakan!
Apa itu buah kiwi?
Buah kiwi atau dalam nama saintifiknya Actinidia deliciosa, merupakan buah yang tergolong dalam keluarga Actinidiaceae. Tumbuhan ini berasal dari negara China dan Taiwan, tetapi telah diusahakan dan ditanam secara komersial di New Zealand.
Ia mula ditanam di New Zealand pada tahun 1904 dan dinamakan sebagai Kiwi pada tahun 1959 simbolik kepada burung negara tersebut iaitu burung Kiwi, kerana memiliki warna dan ciri-ciri kulit yang hampir sama.
Kiwi merupakan salah satu spesis beri yang mempunyai batang pokok yang keras. Buahnya berbentuk bujur dan bersaiz seperti sebiji telur ayam. Kulitnya berwarna perang dan tidak boleh dimakan. Namun isi buahnya yang berwarna hijau dan berbiji kecil berwarna hitam sangat enak untuk dimakan begitu sahaja.
Selain tekstur isinya yang unik kerana mempunyai gabungan sedikit rasa masam manis, sifatnya yang rendah kalori juga menjadikan buah kiwi sebagai pilihan ramai. Oleh itu, mari kita kupas lebih lanjut kandungan nutrisi dan khasiat buah kiwi kepada kesihatan.
Fakta nutrisi dan khasiat buah kiwi
Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah kiwi:
Makronutrien:
Kalori | 61 Kcal |
Jumlah Karbohidrat | 14.7g |
Serat (Karbohidrat) | 3g |
Protein | 1.14g |
Lemak | 0.52g |
Mikronutrien (Vitamin):
Thiamin (Vitamin B1) | 0.027 mg |
Riboflavin (Vitamin B2) | 0.025 mg |
Niacin (Vitamin B3) | 0.341 mg |
Pantothenic acid (Vitamin B5) | 0.183 mg |
Vitamin B6 | 0.063 mg |
Folate (Vitamin B9) | 25 µg |
Vitamin C | 92.7 mg |
Mikronutrien (Mineral):
Calcium | 34 mg |
Copper | 0.13 mg |
Iron | 0.31 mg |
Phosphorus | 34 mg |
Magnesium | 17 mg |
Potassium | 312 mg |
Zinc | 0.14 mg |
Mikronutrien (Fitonutrien):
Beta Carotene | 52 µg |
Lutein + zeaxanthin | 122 µg |
15 kebaikan buah kiwi yang ramai tidak tahu
Buah kiwi sememangnya kaya dengan mineral, vitamin dan zat nutrien. Maka tidak hairanlah jika ia mampu tawarkan banyak manfaat untuk kesihatan tubuh kita.
Jom semak 15 khasiat dan kebaikan buah kiwi :
1. Mengelakkan masalah kembung perutÂ
Sekiranya makanan yang diambil tidak dicernakan dengan baik, tubuh akan kekurangan zat seterusnya berisiko untuk diserang pelbagai penyakit.
Selain tinggi dengan serat, buah kiwi juga terbukti mengandungi enzim yang bagus dalam pencernaan protein iaitu aktinidin. Satu kajian makmal menunjukkan aktinidin berupaya membantu mencerna protein seperti daging dan ikan, yang boleh menyebabkan masalah kembung perut.
Penyelidikan lain turut mendapati kiwi berupaya mengatasi masalah sembelit, termasuklah dalam kalangan warga emas. Justeru, pengambilan buah kiwi dilihat sangat bagus untuk mendapatkan sistem pencernaan dan penghadaman yang sihat.
2. Mengurangkan keradanganÂ
Ramai tidak tahu, sebenarnya keradangan adalah sebahagian daripada mekanisme perlindungan tubuh apabila berlakunya kecederaan atau jangkitan.Tujuannya adalah untuk melawan jangkitan dan membantu dalam proses pemulihan.
Namun jika radang berlaku selain daripada 2 faktor tersebut, ia hanya akan membawa kemudaratan berbanding kebaikan. Keadaan ini dikategorikan sebagai penyakit autoimun, di mana sistem ketahanan tubuh bertindak menyerang sel-sel normal dengan sendirinya.
Bromelain adalah enzim yang ditemui dalam buah kiwi mampu mengurangkan keradangan yang berkaitan dengan arthritis, sekaligus menghalang kehadiran penyakit lain seperti sakit jantung dan strok.
Selain itu, khasiat vitamin C dalam buah ini juga dapat melawan radikal bebas yang menyebabkan tindak balas keradangan dalam badan.
3. Membantu rawat penyakit asmaÂ
Asma adalah masalah paru-paru kronik yang membengkak dan menyempitkan saluran pernafasan. Ianya boleh menjadi penyakit yang mengancam nyawa jika tidak dirawat.
Oleh itu, pengambilan vitamin C dan antioksidan dapat membantu dalam merawat penyakit asma. Kajian mendapati amalan pemakanan buah-buahan kaya vitamin C secara berterusan termasuklah buah kiwi, dapat mengubati penghidap asma dengan memperbaiki fungsi paru-paru mereka.
Selain itu, buah ini juga membantu kurangkan gejala nafas berbunyi (wheezing) pada kanak-kanak yang menghidap penyakit asma.
4. Bagus untuk sistem imun tubuhÂ
Tubuh kita mempunyai sistem pertahanan tersendiri, berfungsi untuk memelihara diri daripada sebarang penyakit. Tanpa sistem imun yang baik, individu tersebut akan mudah terdedah dengan pelbagai risiko serta merosot kesihatannya.
Selain kaya dengan nutrien, buah kiwi juga mengandungi vitamin C,E,K, karatenoid, folat, polifenol serta potasium yang dapat menambah baik fungsi dan tindak balas sistem imun dalam tubuh.
Justeru, pengambilan kiwi dalam diet seharian dilihat mampu memberi manfaat serta mengurangkan risiko mudah terkena penyakit.
5. Melindungi mata daripada masalah penglihatanÂ
Salah satu penyakit mata, dikenali sebagai degenerasi makula berpunca daripada kerosakan pada retina mata. Penyakit ini kemudian boleh menyebabkan risiko buta kepada para penghidapnya.
Berdasarkan kajian, kita digalakkan untuk mengambil buah kiwi dalam diet seharian untuk mengelakkan penyakit berkenaan. Gabungan nutrien seperti vitamin A, lutein dan zeaxanthin yang terdapat padanya juga mampu memelihara mata daripada kebutaan.
6. Rendahkan risiko penyakit jantungÂ
Jantung merupakan antara organ yang memainkan peranan sangat penting dalam tubuh kita. Justeru, tahap kesihatannya sangat perlu dititikberatkan untuk menjamin kehidupan yang berkualiti tak kira usia muda ataupun tua.
Tahukah anda, kiwi turut memberi kesan baik untuk kesihatan jantung kerana memiliki sumber serat yang baik dan mampu mengurangkan jumlah kolesterol jahat (LDL cholesterol) di dalam salur darah.
Buah yang berbulu halus ini juga kaya dengan antioksidan, sekaligus dapat rendahkan risiko menghidap penyakit jantung serta strok.
7. Membantu kawal tekanan darahÂ
Tekanan darah tinggi berlaku disebabkan beberapa faktor. Antaranya kerap mengambil makanan yang mengandungi garam (sodium) yang terlalu tinggi, serta keradangan pada salur darah.
Menurut kajian, khasiat buah kiwi dapat mengawal tekanan darah lebih baik berbanding buah epal. Ini kerana, ia memiliki komponen bioaktif yang mampu menurunkan tekanan darah dalam tubuh kita.
8. Menghalang penggumpalan darahÂ
Jika berlakunya penyumbatan salur darah, masalah kesihatan lain seperti strok dan serangan jantung akan berlaku.
Menurut kajian, buah kiwi bertindak menghalang penggumpalan darah sekaligus melancarkan pengalirannya. Buah kiwi juga didapati mempunyai kesan seperti aspirin (sejenis ubat cair darah), tanpa memberi sebarang kesan sampingan terhadap sistem penghadaman.
Malah kesan panjang pengambilan 2 atau 3 biji buah kiwi sehari dapat menggantikan pengambilan aspirin, secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi kesihatan jantung.
9. Mencegah anemiaÂ
Zat besi merupakan elemen yang penting dalam pembentukan sel darah merah. Kekurangan zat besi mengakibatkan berlakunya anemia, iaitu keadaan di mana kurangnya jumlah sel darah merah untuk membawa oksigen ke seluruh badan.
Namun begitu, buah kiwi bermanfaat untuk mencegah keadaan tersebut. Penyelidikan terhadap sekumpulan wanita yang kekurangan zat besi mendapati, khasiat pengambilan kiwi jauh lebih baik daripada buah pisang.
10. Memastikan kulit sentiasa sihat dan cantikÂ
Siapa kata tampil cantik secara semula jadi perlukan modal belanja besar? Melalui pemakanan dan penjagaan diri secara teratur, sesiapa saja mampu kelihatan menawan. Sebagai contoh, melalui pengambilan buah kiwi secara berkala.
Kolagen adalah nutrisi penting yang menyokong struktur kulit dan menguatkan tulang. Buah kiwi mengandungi vitamin C yang merupakan komponen utama dalam penghasilan kolagen.
Selain itu, kesan anti radang dan vitamin C dalam buah ini juga menghalang timbulnya jerawat serta mengurangkan penghasilan lemak pada pori muka.
Ia turut mengandungi tocopherol, sejenis antioksida yang memelihara kulit daripada kerosakan yang berpunca daripada matahari di samping menghalang masalah kulit yang lain.
11. Mencegah risiko kerosakan DNA dan kanserÂ
Proses tekanan oksidatif boleh menyebabkan rantaian DNA terputus. Ini menyebabkan sesetengah penyakit sukar untuk dikenalpasti serta dirawat.
Buah kiwi mengandungi antioksidan yang berpotensi mengurangkan tekanan oksidatif. Satu kajian menunjukkan bahawa sel badan manusia yang rosak disebabkan oleh peroksida, telah diberikan buah kiwi sebagai makanan tambahan.
Hasilnya menunjukkan rantain DNA responden tersebut semakin bertambah baik. Oleh itu, pengambilan buah kiwi dalam jangka masa panjang dapat mencegah komplikasi kanser yang berkait rapat dengan kerosakan DNA.
12. Merangsang pertumbuhan rambutÂ
Buah kiwi juga dapat menyihatkan rambut kerana kandungan vitamin C dan E yang diperlukan untuk mengekalkan kesuburan rambut.
Vitamin C memudahkan penyerapan mineral dan membekalkan khasiat kepada rambut. Selain itu, kandungan zat besi dalam kiwi pula meningkatkan peredaran darah di kulit kepala dan merangsang pertumbuhan folikel rambut.
Buktinya, beberapa produk perawatan rambut juga sudah mula menggunakan ekstrak kiwi sebagai komponen utama dalam produk mereka.
13. Mengatasi masalah ketidaksuburan lelaki
Seperti dibincangkan, buah kiwi mengandungi karotenoid, mineral dan vitamin yang boleh membantu melindungi tubuh daripada tekanan oksidatif.
Kajian malah menunjukkan, pengambilan kiwi secara berkala juga boleh meningkatkan kualiti sperma dan mengurangkan risiko ketidaksuburan pada lelaki. Namun, manfaat ini hanya boleh diperolehi jika disertakan dengan amalan gaya hidup yang sihat.
14. Menurunkan berat badanÂ
Buah kiwi juga boleh dijadikan sebagai makanan alternatif buat mereka yang sedang dalam proses untuk menurunkan berat badan. Ini kerana buah kiwi tinggi dengan kandungan air dan merupakan ‘snek’ yang rendah kalori.
Selain itu, kandungan serat yang terdapat padanya juga mampu memberikan kesan kenyang lebih lama sekaligus dapat mengelakkan pengambilan makanan berlebihan.
Hanya makan 2 biji buah kiwi saja, sudah cukup untuk memenuhi keperluan serat seharian serta menyumbang kepada sistem penghadaman yang lebih sihat.
15. Mencegah insomnia dan jadikan tidur lebih berkualitiÂ
Setiap individu memerlukan tidur yang berkualiti untuk kesihatan mental dan fizikal. Selain merupakan meditasi terbaik, tidur malam yang mencukupi buatkan kita bangun dengan rasa lebih segar.
Apabila tidak cukup tidur, ia boleh menyebabkan individu berisiko tinggi diserang penyakit kronik seperti nyanyuk (dementia), kemurungan, kegemukan dan penyakit jantung.
Kajian mendapati, pengambilan 2 biji kiwi sejam sebelum tidur mampu meningkatkan tempoh dan kualiti tidur orang dewasa. Ini didorong oleh khasiat antioksida dan serotonin yang terkandung dalam buah unik tersebut.
Kesan sampingan buah kiwi
Secara umumnya, buah kiwi selamat untuk dimakan oleh setiap lapisan umur. Banyak manfaat dan khasiat diperolehi oleh tubuh kita jika dimakan secara teratur.
Namun, terdapat beberapa kesan sampingan yang perlu anda tahu lebih-lebih lagi jika buah ini diambil secara berlebihan iaitu :
Kurang sesuai untuk penghidap gastrik
Perlu diketahui bahawa buah kiwi mengandungi kepekatan asid yang tinggi. Oleh itu, ia tidak disarankan untuk dimakan dalam kuantiti banyak oleh mereka yang menghidap gastrik atau mempunyai keasidan tinggi dalam perut.
Boleh menyebabkan alahan
Buat sesetengah individu, buah kiwi boleh memberi kesan alergi yang kuat kepada sesetengah orang kerana kandungan enzim actinidin terdapat padanya.
Simptom yang biasa dilaporkan ialah kegatalan di kawasan mulut dan bibir. Namun terdapat juga kes yang lebih serius seperti timbul ruam pada kulit, sesak nafas dan pengsan. Segera dapatkan nasihat daripada doktor sekiranya anda mengalami sebarang simptom tersebut lepas makan buah kiwi.
Cara makan buah kiwi
Memandangkan ianya bersaiz kecil, maka kaedah pengambilan buah ini juga penting bagi memperoleh khasiat yang maksimum. Pasti anda tertanya-tanya bagaimana untuk makan kiwi dengan cara yang betul.
Sebenarnya kulit berbulu halus pada kiwi boleh dikupas, dan isi berserta bijinya boleh dimakan begitu sahaja. Selain itu, ia juga boleh diolah dengan pelbagai cara seperti :
Dikisar menjadi minuman smoothie
Smoothie adalah pilihan yang hebat untuk dijadikan sebagai menu diet sihat. Campurkan kiwi yang dipotong dengan jus oren, yogurt, dan madu dalam mesin pengisar.
Kisar hingga sehalus yang mungkin dan hidangkan dalam gelas besar dengan serpihan ais. Smoothie ini adalah cara enak untuk dapatkan manfaat khasiat vitamin C dan serat dalam satu hidangan.
Hiasan tartlet atau pavlova
Tart dan pavlova adalah pencuci mulut mewah yang sangat sesuai dengan kiwi. Tekstur masam dan manisnya cukup serasi apabila dimakan bersama lapisan rangup kedua-dua juadah tersebut.
Selain itu, ia juga boleh menjadi hidangan unik serta berkhasiat ketika menganjurkan majlis istimewa ataupun dijual kepada orang ramai.
Dijadikan sebagai salsa
Untuk hidangan yang menyelerakan dan berwarna-warni, boleh cuba menu salsa berasaskan buah kiwi dan avocado.
Potong kiwi dan avocado menjadi dadu kecil, dan campurkan dengan bawang merah, ketumbar cincang, cili hijau, dan perisa limau nipis. Salsa ini enak dimakan dengan cip tortilla atau menu sampingan bersama ayam panggang.
Kesimpulan
Sekiranya anda mahu cari snek buah yang lazat dan berkhasiat, buah kiwi merupakan pilihan yang sangat tepat.
Ia kaya dengan pelbagai nutrien, serat, vitamin dan sesuai diambil oleh semua peringkat usia. Buah kiwi juga mempunyai banyak manfaat seperti :
- Kurangkan masalah kembung perut
- Mengurangkan keradangan
- Membantu rawat penyakit asma
- Bagus untuk sistem imun tubuh
- Melindungi mata daripada masalah penglihatan
- Rendahkan risiko penyakit jantung
- Membantu kawal tekanan darah
- Menghalang penggumpalan darah
- Mencegah anemia
- Memastikan kulit sentiasa sihat dan cantik
- Mencegah risiko kerosakan DNA dan kanser
- Merangsang pertumbuhan rambut
- Mengatasi masalah ketidaksuburan lelaki
- Menurunkan berat badan
- Mencegah insomnia dan jadikan tidur lebih berkualiti
Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah: