13 Ubat Selsema Yang Terbukti Berkesan dan Selamat Digunakan
Ubat selsema adalah sejenis ubat yang digunakan untuk meredakan gejala selsema seperti hidung tersumbat, bersin, batuk ringan, sakit kepala, sakit tekak, atau demam ringan.
Selsema atau influenza adalah penyakit pernafasan atas yang lazim dan biasanya disebabkan oleh jangkitan virus. Ia boleh menyebabkan simptom seperti demam, sakit kepala. hidung berair, bersin, batuk, dan keletihan.
Walaupun kebanyakkan kes selsema sembuh dengan sendirinya, rawatan ubat boleh membantu melegakan simptom dan mempercepatkan pemulihan.
Artikel ini menghuraikan 13 jenis ubat selsema dengan pendekatan saintifik, termasuk kumpulan ubat, keberkesanan, cara pengambilan, dan potensi kesan sampingan.
Pastikan anda berbincang dengan pakar kesihatan untuk merawat masalah selsema anda jika ianya berlarutan. Jom kita mula dengan jenis-jenis ubat selsema yang boleh anda dapatkan.
1. Paracetamol
Paracetamol tergolong dalam kumpulan analgesik (melegakan sakit) dan antipiretik (menurunkan demam). Ia berfungsi dengan menghalang pengeluaran prostaglandin di otak, yang mengurangkan rasa sakit dan demam.
Paracetamol sangat berkesan dalam meredakan simptom demam dan sakit kepala akibat selsema. Menurut Therapeutic Goods Administration, dos yang disyorkan ialah 500 mg hingga 1000 mg setiap 4-6 jam, tetapi tidak boleh melebihi 4000 mg sehari.
Pengambilan dos berlebihan boleh merosakkan hati, menyebabkan hepatotoksisiti.
2. Pseudoephedrine
Pseudoephedrine adalah dekongestan yang digunakan untuk melegakan hidung tersumbat akibat selsema, sinusitis, atau alahan. Menurut International Journal of Molecular Sciences, ubat selsema ini berfungsi dengan mengecilkan saluran darah di lapisan hidung, yang mengurangkan pembengkakan dan memudahkan pernafasan.
Biasanya terdapat dalam bentuk tablet atau kapsul dan sering digabungkan dengan bahan lain seperti antihistamin atau paracetamol dalam ubat selsema gabungan.
Ia membantu mengurangkan kesesakan hidung dengan menyempitkan saluran darah di mukosa hidung melalui rangsangan reseptor adrenergik alfa.
Menurut MedCentral, dos biasa ialah 60 mg setiap 4-6 jam, dan tidak melebihi 240 mg sehari. Walau berkesan untuk melegakan hidung tersumbat, pseudoephedrine boleh menyebabkan kesan sampingan seperti peningkatan tekanan darah, insomnia, dan kegelisahan, terutama pada individu dengan hipertensi.
3. Antihistamin (Chlorpheniramine)
Chlorpheniramine adalah antihistamin generasi pertama yang berfungsi dengan menyekat reseptor histamin H1, iaitu bahan kimia dalam badan yang menyebabkan gejala alahan.
Ia digunakan untuk merawat simptom seperti hidung berair, bersin, dan mata berair yang sering disebabkan oleh reaksi alahan. Dos biasa ialah 4 mg setiap 4-6 jam.
Walaupun efektif untuk mengurangkan gejala, ia boleh menyebabkan rasa mengantuk, mulut kering, dan pening, menjadikannya kurang sesuai untuk diambil oleh individu yang perlu memandu atau melakukan tugas yang memerlukan fokus. Penggunaan chlorpheniramine harus berhati-hati bagi kanak-kanak, wanita hamil, atau pesakit dengan masalah pernafasan kronik seperti asma.
4. Ibuprofen
Ubat selsema yang seterusnya adalah Ibuprofen. Ibuprofen ialah ubat dalam kumpulan Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAIDs) yang menghalang enzim cyclooxygenase (COX).
Berdasarkan kajian oleh Oman Medical Journal, ubat ini berfungsi dengan mengurangkan keradangan dan menghalang pengeluaran prostaglandin, iaitu bahan kimia yang menyebabkan kesakitan dan demam dalam badan.
Walaupun ubat ini tidak merawat punca selsema yang disebabkan oleh virus, tetapi ia membantu melegakan ketidakselesaan untuk memudahkan pesakit berehat.
Dos yang disyorkan adalah 200 mg hingga 400 mg setiap 4-6 jam, dengan had maksimum 1200 mg sehari. Walaupun berkesan, ia boleh menyebabkan gangguan gastrousus seperti pedih ulu hati, ulser, dan risiko pendarahan jika digunakan dalam jangka panjang.
5. Cetirizine
Cetirizine adalah antihistamin generasi kedua yang menyekat reseptor H1 tanpa menyebabkan sedasi yang ketara seperti chlorpheniramine.
Ia digunakan untuk merawat simptom selsema seperti bersin dan hidung berair yang disebabkan oleh alahan. Dos harian yang biasa ialah 10 mg, diambil sekali sehari. Kesan sampingan yang mungkin termasuk mulut kering, pening ringan, atau rasa lebih mungkin berlaku.
6. Codeine
Codeine ialah opioid ringan yang digunakan untuk meredakan batuk kering yang teruk. Ia berfungsi dengan menekan refleks batuk di medulla oblongata, menbantu mengurangkan kekerapan batuk yang tidak produktif dan menjengkelkan.
Dos yang biasa ialah 15 mg hingga 60 mg sebanyak 3-4 kali sehari untuk dewasa. Penggunaannya perlu diawasi kerana risiko ketagihan, pening, sembelit, dan mengantuk yang berkaitan dengan opioid jika digunakan secara berlebihan atau berpanjangan.
Menurut European Medicines Agency, ubat selsema jenis ini tidak sesuai untuk kanak-kanak kecil, wanita hamil, atau individu dengan masalah pernafasan kronik seperti asma, melainkan di bawah pengawasan perubatan.
7. Loratadine
Loratadine adalah antihistamin generasi kedua yang berfungsi serupa dengan cetirizine tetapi dengan profil kesan sampingan yang lebih ringan. Ia berkesan untuk merawat simptom seperti bersin, hidung berair, dan mata berair akibat alahan.
Dos harian adalah 10 mg sekali sehari. Kesan sampingan yang jarang berlaku termasuk sakit kepala dan keletihan ringan.
8. Oseltamivir (Tamiflu)
Oseltamivir ialah ubat antivirus yang menghalang enzim neuraminidase virus influenza, mencegah penyebaran virus dalam tubuh. Ia sangat berkesan jika diambil dalam tempoh 48 jam pertama selepas simptom bermula.
Dos biasa ubat selsema ini ialah 75 mg dua kali sehari selama 5 hari. Kesan sampingan termasuk loya, muntah, dan pening kepala mungkin berlaku, tetapi jarang serius. Ia lebih disasarkan kepada kes influenza yang teruk atau individu berisiko tinggi seperti pesakit tua dan kanak-kanak kecil.
Kajian oleh National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, Oseltamivir tidak sesuai untuk jangkitan virus selsema biasa, kerana ia direka khas untuk influenza jenis A dan B.
Ubat selsema ini memerlukan preskripsi doktor dan lebih kerap digunakan untuk individu yang berisiko tinggi mengalami komplikasi influenza, seperti kanak-kanak kecil, warga emas, atau pesakit dengan sistem imun yang lemah.
9. Dextromethorphan
Dextromethorphan adalah ubat antitusif yang digunakan untuk meredakan batuk kering yang tidak produktif, salah satu simptom biasa semasa selsema. Ia bertindak dengan menekan refleks batuk di pusat batuk otak tanpa menyebabkan ketagihan seperti codeine.
Ia sesuai untuk batuk kering yang tidak produktif. Dos biasa ialah 10 mg hingga 20 mg setiap 4-6 jam. Dextromethorphan biasanya selamat jika digunakan mengikut dos yang disarankan, tetapi penggunaan berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pening, mengantuk, atau halusinasi ringan.
Ubat selsema ini tidak disarankan untuk batuk berkahak kerana ia boleh menghalang pengeluaran kahak yang perlu dikeluarkan dari saluran pernafasan.
Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, pesakit dengan masalah pernafasan kronik atau mereka yang mengambil ubat lain perlu berhati-hati kerana Dextromethorphan boleh berinteraksi dengan ubat tertentu.
10. Guaifenesin
Guaifenesin adalah ekspektoran yang membantu mencairkan lendir atau kahak di saluran pernafasan, memudahkan pengeluaran kahak semasa batuk. Ia sesuai untuk batuk produktif yang disertai kahak tebal.
Dos yang biasa ialah 200 mg hingga 400 mg setiap 4-6 jam. Ubat selsema ini pada umumnya selamat dan jarang menyebabkan kesan sampingan, tetapi sesetengah pengguna mungkin mengalami loya, pening, atau sakit perut ringan.
Untuk keberkesanan maksimum, pesakit disarankan minum banyak air semasa mengambil ubat ini, kerana hidrasi membantu mencairkan lendir.
11. Phenylephrine
Phenylephrine adalah dekongestan yang bertindak dengan menyempitkan saluran darah di mukosa hidung, yang mengurangkan pembengkakan dan membantu membuka saluran pernafasan, memudahkan pernafasan.
Fungsinya hampir mirip dengan pseudoephedrine, tetapi dengan risiko penyalahgunaan yang lebih rendah. Ia membantu melegakan hidung tersumbat akibat selsema.
Dos yang biasa ialah 10 mg setiap 4-6 jam. Walaupun efektif, ubat ini boleh menyebebkan kesan sampingan ringan seperti peningkatan tekanan darah, pening, atau insomnia, terutamanya jika diambil dalam dos yang tinggi atau untuk jangka masa panjang.
Kajian oleh National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, Phenylephrine tidak disarankan untuk individu dengan masalah tekanan darah tinggi, penyakit jantung, atau mereka yang mengambil ubat tertentu tanpa nasihat doktor.
12. Azelastine
Azelastine adalah antihistamin topikal yang sering digunakan dalam bentuk semburan hidung untuk melegakan simptom alahan seperti hidung berair, bersin, dan hidung tersumbat. Ia bekerja dengan menyekat pelepasan histamin secara langsung di mukosa hidung, dan memberi kelegaan cepat dalam masa beberapa minit selepas penggunaan.
Ubat selsema ini sesuai untuk individu yang mengalami rinitis alergi atau simptom selsema yang berkaitan dengan alahan.
Dos biasanya adalah satu hingga dua semburan setiap lubang hidung, dua kali sehari. Kesan sampingan yang mungkin berlaku termasuk rasa pahit di mulut, iritasi ringan di hidung, atau mengantuk, walaupun kesannya biasanya ringan.
Ubat selsema ini digunakan secara langsung pada hidung, menjadikannya efektif untuk gejala umum tanpa menyebabkan banyak kesan sistemik seperti ubat oral lainnya.
13. Zinc Gluconate Lozenges
Zinc gluconate lozenges digunakan untuk memendekkan tempoh selsema dengan menyokong fungsi imun badan.
Zinc, sebagai mineral penting, dipercayai menghalang replikasi virus di saluran pernafasan atas, sekali gus mempercepatkan pemulihan.
Lozenges ini diambil secara oral dan larut perlahan dalam mulut, memberikan tindakan tempatan pada tekak dan saluran pernafasan atas. Ia biasanya diambil setiap 2-3 jam, dengan dos harian tidak melebihi 100mg zink.
Kajian oleh Journal of American Pharmacists Association menunjukkan bahawa, pengambilan zinc gluconate lozenges dalam masa 24 jam selepas gejala bermula dapat membantu mengurangkan keparahan dan tempoh selsema.
Namun, kesan sampingan ringan seperti rasa logam di mulut, loya, atau iritasi pada saluran pencernaan mungkin berlaku. Ubat ini tidak sesuai untuk penggunaan jangka panjang atau dos berlebihan kerana ia boleh mengganggu penyerapan mineral lain dalam badan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, ubat selsema direka untuk meredakan gejala seperti hidung tersumbat, bersin, dan sakit kepala, tetapi tidak menyembuhkan punca utama, iaitu jangkitan virus.
Penting untuk menggunakannya mengikut arahan dos, mengelakkan interaksi ubat, dan mempertimbangkan nasihat doktor terutama bagi kanak-kanak dan wanita hamil.
Anda juga perlu mendapatkan nasihat perubatan sebelum memulakan rawatan, terutama bagi individu dengan keadaan kesihatan tertentu seperti hipertensi atau alahan.
Dengan pemilihan ubat yang tepat, simptom selsema dapat diuruskan dengan lebih baik, membolehkan individu kembali menjalani rutin harian tanpa gangguan.
Berikut adalah ubat selsema yang perlu anda tahu:
- Paracetamol
- Pseudoephedrine
- Antihistamin (Chlorpheniramine)
- Ibuprofen
- Cetirizine
- Codeine
- Loratadine
- Oseltamivir (Tamiflu)
- Dextromethorphan
- Guaifenesin
- Phenylephrine
- Azelastine
- Zinc Gluconate Lozenges
Anda boleh baca segala informasi berkenaan masalah selsema di sini: