10 Tanda Resdung & Cara Merawat Supaya Tak Berulang
Tanda resdung sering kali disalah anggap sebagai simptom selesema biasa kerana keduanya mempunyai ciri yang hampir sama, seperti hidung tersumbat, sakit kepala, atau keletihan.
Namun, resdung sebenarnya berbeza kerana ia hanya melibatkan bahagian hidung dan sinus.
Jika selesema kebiasaannya pulih dalam beberapa hari, resdung pula boleh berlanjutan lebih lama hingga menjejaskan kualiti hidup.
Dalam artikel ini, kami akan membincangkan 10 tanda resdung utama yang perlu anda kenali serta cara merawatnya supaya tidak berulang.
1. Masalah Hidung Tersumbat yang Berpanjangan

Salah satu tanda resdung yang paling ketara adalah persistent nasal congestion atau masalah hidung tersumbat yang berpanjangan.
Menurut American Academy of Allergy & Immunology, jika hidung anda berasa tersumbat lebih daripada 7-10 hari, atau masalah ini sering berulang, ia mungkin bukan sekadar selesema bermusim tetapi tanda kepada sinusitis kronik.
Keadaan ini berlaku apabila rongga sinus mengalami keradangan atau ada masalah struktur seperti septum yang menyimpang (deviated septum).
Apabila saluran hidung menjadi sempit akibat keradangan, mukus akan terkumpul juga semakin teruk pada waktu malam sehingga menjejaskan kualiti tidur.
Jika anda dapati masalah hidung tersumbat tidak lega walaupun telah mengambil ubat tanpa preskripsi atau rawatan rumah, itu mungkin petanda masalah yang lebih serius.
Jangkitan sinus yang berpanjangan boleh menjadikan hidung sentiasa penuh dengan mukus, memerangkap bakteria, serta menimbulkan rasa tidak selesa berpanjangan.
Oleh itu, apabila hidung anda terasa tersumbat selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan tanpa kelegaan, ia perlu diberi perhatian dan dirujuk kepada pakar ENT.
Rawatan lanjut mungkin diperlukan, sama ada untuk menangani jangkitan atau memperbaiki masalah struktur dalam rongga hidung.
2. Sakit Kepala Berulang

Tanda resdung yang seterusnya adalah sakit kepala berulang atau rasa sakit pada bahagian muka.
Biasanya ia hadir dalam bentuk sakit kepala yang berterusan dan berdenyut di bahagian dahi, sekitar mata, pipi, rahang atas, atau kadangkala hingga belakang kepala.
Jika sakit bertambah kuat bila anda tunduk ke bawah, itu tanda tekanan pada sinus sedang meningkat. Berbeza dengan selesema atau flu biasa, sakit kepala kerana resdung lebih kuat dan menyakitkan keran aberpunca daripada keradangan dan sumbatan dalam sinus.
Keradangan ini menekan bahagian sekeliling muka, menyebabkan rasa berat atau sakit di dahi, pipi, mata, malah kadang kala gigi terasa sakit.
Ramai orang tersilap anggap sakit gigi ini sebagai masalah gigi, padahal ia sebenarnya berpunca daripada sinus. Ada juga kes di mana sakit merebak sampai ke leher, menjadikan rasa tidak selesa lebih teruk.
Jika sakit kepala atau sakit muka ini berulang kali, contohnya lebih daripada tiga kali setahun, ia mungkin petanda masalah lain seperti polip hidung, alahan berpanjangan atau sistem imun yang lemah.
Dalam keadaan ini, sebaiknya berjumpa pakar ENT untuk pemeriksaan lanjut.
Doktor boleh mencadangkan ubat, rawatan khas atau pembedahan kecil untuk menyelesaikan masalah resdung yang tidak sembuh-sembuh.
3. Lendir Hidung Pekat Berwarna Kuning atau Hijau
Jika selesema biasa bisanya menghasilkan lendir yang jernih, resdung atau jangkitan sinus pula menyebabkan lendir lebih tebal, berwarna kekuningan, kehijauan, atau kelihatan keruh.
Kadang-kadang, terdapat juga kesan darah pada lendir tersebut. Menurut Kaplan Sinus Relief, perubahan warna ini berlaku kerana kehadiran sel darah putih yang sedang melawan jangkitan, sama ada disebabkan oleh bakteria, virus, atau kulat.
Pesakit resdung selalunya mendapati mereka sukar membersihkan hidung walaupun sudah kerap meniupnya. Hal ini kerana sinus yang meradang menghasilkan lendir berlebihan yang mudah berkumpul dan tersangkut.
Berbeza dengan selesema atau flu yang menyebabkan hidung berair dan lendir cair, resdung biasanya menghasilkan lendir yang pekat dan sukar dikeluarkan.
Jika anda perasan lendir yang keluar dari hidung atau tekak berubah menjadi kuning atau hijau dan berlarutan, ia mungkin petanda jangkitan bakteria pada sinus yang memerlukan rawatan antibiotik.
4. Deria Bau atau Rasa Semakin Berkurang

Resdung juga boleh dikenal pasti apabila deria bau (sense of smell) atau rasa (sense of taste) menjadi semakin lemah.
Jika makanan terasa tawar atau anda tidak dapat menghidu dengan baik selama beberapa hari atau minggu, besar kemungkinan saraf olfaktori terjejas akibat keradangan atau sumbatan pada sinus.
Menurut National Center for Biotechnology Information, apabila sinus tersumbat, aliran udara melalui hidung berkurang, menyebabkan deria bau menurun. Secara tidak langsung, deria rasa juga terjejas kerana kedua-duanya saling berkait rapat.
Walaupun anda mungkin masih boleh membezakan rasa asas seperti manis atau masin, makanan akan terasa hambar ketika mengalami jangkitan sinus.
Ada kalanya, deria bau dan rasa berkurang secara ketara sehingga hampir hilang sepenuhnya. Ini sering menjadi tanda awal resdung dan lebih jelas apabila disertai gejala lain seperti hidung tersumbat atau sakit muka.
5. Demam yang Berpanjangan

Tanda resdung yang seterusnya adalah demam yang berpanjangan. Walaupun tidak semua jangkitan sinus menyebabkan demam, suhu badan yang meningkat sedikit bersama gejala hidung tersumbat boleh menjadi petanda badan sedang melawan jangkitan bakteria pada sinus.
Demam ini biasanya tidak terlalu tinggi, tetapi cukup membuatkan tubuh terasa lemah, letih, dan kurang bertenaga. Kadangkala, pesakit juga mengalami rasa seram sejuk, berpeluh pada waktu malam, atau sakit otot.
Kajian dari World Journal of Clinical Cases, demam ringan ini adalah tindak balas semula jadi sistem imun yang cuba membunuh bakteria atau virus. Apa yang membezakan resdung dengan selesema biasa ialah, selesema jarang sekali menyebabkan demam berpanjangan.
Sebaliknya, resdung terutama jika berpunca daripada jangkitan bakteria lebih kerap disertai dengan peningkatan suhu badan yang berpanjangan. Rasa letih selalunya masih kekal walaupun gejala selesema lain sudah berkurangan.
6. Tekanan pada Telinga
Selain menjejaskan hidung, resdung juga boleh memberi kesan kepada telinga.
Kajian oleh Journal of Clinical Medicine, apabila sinus tersumbat, ia boleh mengganggu fungsi tiub Eustachian yang menghubungkan sinus dengan telinga.
Akibatnya, anda mungkin mengalami rasa penuh (ear fullness), tekanan, atau bahkan sakit telinga.
Ada kalanya, ia juga menyebabkan pendengaran sementara menjadi kurang jelas. Keadaan ini sering berlaku kepada kanak-kanak dan mereka yang menpunyai alahan.
Keradangan pada sinus juga menyebabkan perubahan tekanan dan pengumpulan cecair yang menekan saluran telinga. Inilah sebabnya sesetengah pesakit merasakan telinga mereka seolah-olah tersumbat atau mengalami rasa tidak selesa seperti ditekan dari dalam.
Gejala ini kadangkala disalah anggap sebagai jangkitan telinga, walaupun sebenarnya berpunca daripada jangkitan atau keradangan sinus.
7. Tidur Kurang Lena

Masalah resdung kronik sering menyebabkan gangguan tidur kerana kesukaran bernafas, hidung tersumbat, atau batuk yang tidak berhenti.
Apabila tidur terganggu badan menjadi cepat letih, tenaga berkurangan, dan sistem imun melemah. Ini menyebabkan anda mudah jatuh sakit serta sukar menjalani aktiviti harian yang baik.
Rasa letih berpanjangan walaupun sudah cukup tidur juga boleh menjadi petunjuk bahawa sinus sedang meradang.
Kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, jangkitan sinus bukan sahaja menyebabkan hidung tersumbat atau sakit muka, tetapi juga boleh membuatkan tubuh terasa lemah dan tidak bertenaga.
Dalam sesetengah kes, demam ringan yang berpanjangan turut hadir bersama keletihan luar biasa kerana badan sedang melawan jangkitan.
Rasa lesu ini boleh berterusan walaupun simptom selesema lain semakin berkurangan, menjadikan pesakit sukar fokus dan kurang produktif.
Keletihan kronik akibat gangguan tidur daripada resdung boleh menjejaskan kualiti hidup, termasuk mood, prestasi kerja, dan kesihatan secara keseluruhan.
8. Post-Nasal Drip
Post-nasal drip ialah keadaan apabila lendir dari hidung menitis ke bahagian belakang tekak, terutamany pada waktu malam atau awal pagi.
Ini adalah salah satu tanda resdung yang paling biasa, di mana pesakit merasakan seperti ada sesuatu yang mengalir ke kerongkong sehingga menyebabkan batuk, rasa gatal, atau keperluan untuk sentiasa berdehem.
Menurut University Rochester Medical Center, lendir berlebihan yang menitis ini juga boleh mengakibatkan tekak menjadi sakit, suara serak, atau rasa tidak selesa berpanjangan.
Berbeza dengan selesema biasa yang menghasilkan lendir cair dan jernih, post-nasal drip akibat sinus biasanya lebih pekat, berwarna kuning atau hijau, dan lebih sukar dibersihkan.
Rasa lendir yang melekat di tekak ini bukan sahaja menjengkelkan tetapi juga boleh mencetuskan batuk berpanjangan, terutama ketika berbaring.
Sesetengah pesakit turut mengalami sakit rahang atau gigi atas apabila keradangan berlaku pada sinus berdekatan gigi geraham atas.
Jika post-nasal drip berterusan walaupun selepas menggunakan semburan hidung atau ubat antihistamin, ia mungkin menandakan masalah resdung kronik, alahan, atau jangkitan bakteria.
9. Batuk Kronik

Batuk yang tidak juga hilang selepas berminggu-minggu selalunya bukan berpunca daripada paru-paru, tetapi boleh terjadi kerana masalah resdung.
Apabila sinus mengalami keradangan, ia menghasilkan lendir berlebihan yang mengalir ke bahagian belakang tekak (post-nasal drip).
Lendir ini akan merengsakan saluran pernafasan dan mencetuskan refleks batuk. Keadaan ini biasanya bertambah teruk pada waktu malam atau ketika baring kerana lendir lebih mudah terkumpul di tekak.
Tidak seperti batuk akibat selesema biasa yang biasanya sembuh dalam beberapa hari, menurut National Center for Biotechnology Information, batuk kronik berkaitan resdung boleh berterusan lebih lama walaupun gejala lain sudah berkurang.
Ada pesakit yang merasakan tekaknya gatal atau penuh sehingga kerap berdehem, manakala ada juga yang mengalami batuk berpanjangan tanpa kawalan kerana lendir terus mengganggu tekak.
10. Nafas Berbau

Tanda resdung yang terakhir adalah nafas berbau walaupun anda sudah menjaga kebersihan mulut sebaik mungkin.
Apabila sinus dijangkiti, lendir yang terkumpul di dalam rongga hidung boleh dipenuhi bakteria dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan.
Lendir ini biasanya menitis ke bahagian belakang tekak, menyebabkan mulut berbau atau meninggalkan rasa tidak sedap di dalam mulut. Menurut Asthma and Allergy Foundation of America, bila sinus tersumbat, bakteria mudah terperangkap dan membiak.
Lama-kelamaan, pengumpulan bakteria ini menghasilkan bau yang kuat sehingga sukar dihilangkan hanya dengan ubat kumur atau memberus gigi.
Inilah sebabnya sesetengah orang mengalami nafas berbau berpanjangan walaupun rutin kebersihan mulut mereka baik.
Kesimpulan
Kesimpulannya, tanda resdung mungkin nampak seperti selesema biasa, tetapi jika dibiarkan ia boleh berlarutan dan menjejaskan kualiti hidup.
Hakikatnya, menurut American Academy of Allergy & Immunology, hingga 70% kes resdung akut boleh sembuh tanpa ubat preskripsi dengan rawatan asas di rumah seperti larutan garam, rehat yang cukup, wap suam, dan minum air secukupnya.
Namun, jika simptom menjadi semakin teruk, berlarutan lebih 10 hari, atau mula pulih tetapi kembali sakit, segera dapatkan rawatan doktor.
Antara tanda resdung yang biasa berlaku dan perlu anda periksa pada diri adalah seperti berikut:
- Masalah Hidung Tersumbat yang Berpanjangan
- Sakit Kepala Berulang
- Lendir Hidung Pekat Berwarna Kuning atau Hijau
- Deria Bau atau Rasa Semakin Berkurang
- Demam yang Berpanjangan
- Tekanan pada Telinga
- Tidur Kurang Lena
- Post-Nasal Drip
- Batuk Kronik
- Nafas Berbau
Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah resdung di sini:

