10 Tanda Cirit Birit yang Ramai Tak Sedar Tapi Berbahaya

Tanda cirit birit bukan sekadar najis cair yang kerap, banyak lagi gejala lain yang sering diabaikan dan boleh membawa risiko kesihatan jika tidak diberi perhatian.

Ramai menganggap cirit birit sebagai masalah sementara, tetapi sebenarnya ia boleh menjadi petunjuk kepada jangkitan, keradangan atau penyakit usus yang lebih serius.

Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 10 tanda cirit birit yang ramai tak sedar, tapi boleh menjadi bahaya jika dibiarkan.

1. Perut Kembung

Perut kembung bukan sekadar rasa tidak selesa biasa, ia adalah tanda cirit birit awal bahawa sistem pencernaan anda mungkin sedang “memberontak”.

Rasa ketat, tekanan atau rasa penuh dalam perut ini boleh hadir dengan atau tanpa pembengkakan fizikal pada bahagian abdomen. Ia mungkin hanya gangguan sementara, tetapi bagi sesetengah individu, ia datang dan pergi seperti biasa.

Salah satu penyebab utama perut kembung disebabkan oleh gas berlebihan dalam usus dan ini sering berlaku apabila sistem penghadaman terganggu, terutamanya semasa atau sebelum berlakunya cirit birit.

Kembung perut selepas makan boleh jadi petanda anda makan terlalu cepat, mengambil makanan yang sukar dihadam, atau mempunyai intoleransi terhadap jenis makanan tertentu. Bahkan kitaran haid juga boleh memainkan peranan dalam menyebabkan rasa kembung buat sementara waktu.

Dalam konteks cirit birit, gejala ini sering menjadi “amaran awal” bahawa usus anda sedang dalam tekanan dan mungkin menghasilkan najis cair tidak lama lagi.

2. Sakit Perut Mencengkam

Apabila seseorang sakit perut disebabkan tanda cirit birit, biasanya mereka akan rasa sakit yang mencengkam di bahagian perut dan bukannya seperti biasa. Menurut National Center for Biotechnology Information, ini menunjukkan bahawa sistem penghadaman mereka sedang bermasalah.

Biasanya, ia berpunca daripada jangkitan virus atau bakteria, dikenali sebagai gastroenteritis. Jangkitan ini boleh berlaku jika kita makan makanan tercemar atau bersentuhan dengan orang yang dijangkiti.

Dalam keadaan ini, perut akan terasa pedih, kerap memulas dan kita perlu ke tandas dengan kerap. Namun jika sakit perut dan cirit-birit sering berulang, ia mungkin tanda masalah jangka panjang seperti sindrom usus terganggu (IBS).

3. Muntah

Tanda cirit birit yang seterusnya adalah muntah. Gejala ini kerap berlaku seiring dengan cirit birit, sama ada pada orang dewasa, kanak-kanak mahupun bayi.

Bila muntah dan cirit birit berlaku pada masa yang sama, ia selalunya disebabkan oleh gastroenteritis, iaitu jangkitan perut akibat kuman. Jangkitan ini biasanya berpunca daripada makanan yang kotor atau bersentuhan dengan orang yang sudah sakit.

Dalam kebanyakkan kes, muntah hanya berlaku 1 hingga 2 hari, manakala cirit birit boleh berlanjutan hingga seminggu. Namun anda tidak perlu risau kerana bagi kes ringan, gejala ini selalunya akan pulih sendiri tanpa rawatan khusus.

Sama ada akibat keracunan makanan, virus, kegelisahan atau hangover, badan anda hanya perlukan masa dan penjagaan rapi untuk pulih.

Paling penting, pastikan badan cukup air. Minum air yang jernih seperti sup, jus epal yang dicairkan, teh herba, atau air rehidrasi.

Bila muntah semakin kurang, cuba makan makanan lembut dan ringan seperti biskut, pisang, nasi kosong atau sos epal. Tip mudah, makan sikit-sikit tapi kerap supaya perut lebih selesa.

4. Najis Berdarah

Darah boleh muncul di atas najis, di dalam mangkuk tandas, atau hanya pada tisu selepas mengelap. Puncanya mungkin ringan seperti jangkitan atau luka, tetapi ada juga kes yang lebih serius seperti radang usus (IBD), ulser atau kanser usus besar.

Warna najis pada darah boleh memberitahu dari mana puncanya. Menurut American College of Gastroenterology, jika darah berwarna merah terang, ia biasanya datang dari bahagian bawah usus, rektum, atau dubur kerana buasir atau luka kecil di kawasan dubur.

Kalau darah berwarna merah gelap atau coklat, ia mungkin datang dari bahagian atas usus. Manakala najis berwarna hitam seperti tar menunjukkan pendarahan dari perut, contohnya akibat ulser.

Walaupun kadang kala agak sukar untuk kita kesan adanya darah dengan pada mata kasar, tetapi ia masih ada dan hanya boleh dikesan melalui ujian makmal seperti occult bleeding.

Warna najis juga boleh berubah kerana pengambilan makanan seperti bit merah, tomato, beri hitam atau suplemen zat besi yang lain, jadi tidak semestinya perubahan warna itu disebabkan darah.

Justeru, semakin lama darah berada dalam sistem penghadaman, semakin gelap warnanya. Jadi, kalau anda nampak darah dalam najis tidak kiralah warna merah terang, gelap atau hitam, jangan tunggu.

Segeralah jumpa doktor untuk pastikan puncanya dan elakkan masalah menjadi lebih teruk.

5. Turun Berat Badan

tanda cirit birit turun berat badan

Cirit birit yang berlaku selama satu atau dua hari biasanya tidak menyebabkan sebarang masalah serius. Namun, jika cirit birit berlanjutan lebih daripada tiga hari, ia boleh membawa kepada penurunan berat badan yang ketara.

Ini berlaku kerana badan kehilangan banyak cecair apabila najis cair dikeluarkan secara berterusan. Kehilangan cecair badan ini akan kelihatan sebagai penurunan berat badan, terutama jika cirit birit menjadi kronik dan berlangsung selama beberapa minggu.

Selain itu, tanda cirit biri sering disertai dengan gejala lain seperti loya dan hilang selera makan. Keadaan ini menyukarkan seseorang untuk makan dan minum seperti biasa, menyebabkan pengambilan kalori menurun.

Menurut American College of Gastroenterology, gabungan kehilangan cecair dan kurang makan inilah yang menyumbang kepada penurunan berat badan.

Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa kebanyakan berat badan yang hilang ketika cirit-birit sebenarnya adalah berat air dan akan kembali semula apabila selera makan dan sistem penghadaman kembali normal.

Untuk mengelakkan dehidrasi dan membantu tubuh pulih, penting untuk minum banyak air. Dalam masa yang sama elakkan makanan berminyak, pedas dan produk tenusu sehingga cirit-birit benar-benar pulih kerana ia boleh memburukkan keadaan.

Sekiranya cirit birit disebabkan oleh jangkitan virus, bakteria atau parasit, rawatan dengan ubat-ubatan mungkin diperlukan. Bagi kes yang berpunca daripada alahan makanan, penyakit seliak, atau masalah seperti sindrom usus terganggu (IBS) dan penyakit radang usus (IBD), perubahan diet akan disarankan.

Dalam kes kronik, doktor mungkin juga akan memberikan ubat preskripsi untuk mengawal punca sebenar cirit-birit dan mencegah penurunan berat badan yang berterusan.

6. Demam

tanda cirit birit demam

Apabila tanda cirit birit datang bersama demam, itu petanda jelas bahawa tubuh anda sedang berusah melawan jangkitan dari dalam. Kombinasi dua gejala ini memang biasa berlaku terutamanya jika ia berpunca daripada keracunan makanan, jangkitan virus, atau bakteria.

Keadaan ini sering dikaitkan dengan gastroenteritis iaitu radang pada usus dan perut yang boleh menyebabkan rasa lemah, menggigil, serta najis yang cair.

Walaupun kadang-kadang ia juga boleh menandakan masalah penghadaman yang lebih kronik, dalam kebanyakkan kes ia akan pulih sendiri dalam beberapa hari.

Walau bagaimanapun, jangan ambil ringan. Kehilangan cecair melalui najis dan suhu badan yang meningkat boleh menyebabkan dehidrasi dengan cepat.

Jika demam anda melebihi 102°F (sekitar 39°C), terdapat darah dalam najis, atau tubuh rasa terlalu lemah, segera dapatkan rawatan perubatan.

7. Keletihan

Keletihan melampau selepas mengalami cirit birit bukan sekadar rasa letih biasa, ia adalah reaksi tubuh terhadap kekurangan bendalir dan nutrien penting.

Punca utama rasa lesu disebabkan oleh dehidrasi. Ketika cirit birit berlaku, tubuh kehilangan banyak cecair dan elektrolit penting, menyebabkan paras air dalam badan menurun.

Apabila ia berlaku, jumlah darah yang mengalir ke otak juga berkurang, dan jantung perlu bekerja lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan. Akibatnya, walaupun dehidrasi hanya ringan, anda tetap akan berasa lemah, tidak bertenaga dan mudah penat.

Selain itu, keletihan juga boleh berpunca daripada kurang makan semasa sakit. Ramai yang hilang selera makan apabila mengalami cirit birit, dan apabila tubuh tidak mendapat bekalan nutrien selama satu atu dua hari, tahap tenaga akan turun mendadak.

Tubuh memerlukan tenaga bukan sahaja untuk berfungsi, tetapi juga untuk pulih dan tanpa kalori serta zat yang mencukupi, proses pemulihan akan menjadi lebih perlahan.

Satu lagi faktor yang biasanya tidak disedari ialah ketidakseimbangan bakteria dalam usus.

Kajian menunjukkan bahawa gangguan pada mikrobioma usus di mana bakteria baik berkurang dan bakteria berbahaya membiak boleh menyumbang kepada keletihan kronik.

8. Sakit Kepala

tanda cirit birit sakit kepala

Walaupun jarang dikaitkan secara langsung, sakit kepala boleh menjadi tanda cirit birit atau kesan sampingan yang berlaku bersama cirit birit.

Hubungan antara kedua-dua gejala ini sebenarnya berpunca daripada bahan kimia penting dalam tubuh yang dikenali sebagai serotanin.

Serotanin bukan sahaja berperanan mengawal emosi dan mood, tetapi juga sangat aktif di bahagian usus kerana terdapat banyak reseptor serotanin dalam sistem penghadaman.

Menurut pakar, ketika seseorang mengalami migrain, pergerakan usus boleh menjadi perlahan atau terhenti sepenuhnya.

Dalam kes yang lebih teruk, tubuh bertindak balas secara ekstrem dengan muntah. Namun, bagi sebilangan kecil individu, sakit kepala boleh memberi kesan sebaliknya, iaitu mencetuskan cirit birit.

Ini menjelaskan kenapa ada orang mengalami kedua-dua simptom, iaitu sakit kepala dan cirit birit, secara serentak.

9. Keluar Najis dengan Banyak

Tidak seperti najis normal yang padat dan keluar sekali atau dua kali sehari, cirit birit menyebabkan najis menjadi sangat cair dan keluar berulang kali dalam sehari.

Keadaan ini berlaku apabila usus tidak dapat menyerap air dan nutrien dengan baik, menyebabkan kandungan dalam sistem penghadaman bergerak terlalu cepat dan keluar dalam bentuk najis cair.

Najis dalam kuantiti yang banyak bukan sahaja meletihkan, tetapi juga boleh menyebabkan kehilangan cecair dan elektrolit yang penting untuk fungsi tubuh. Setiap kali anda ke tandas, badan kehilangan sebahagian besar air dan garam penting, yang boleh membawa kepada dehidrasi jika tidak digantikan segera.

Dalam kes yang teruk, najis yang keluar boleh menjadi begitu banyak sehingga individu berasa sangat lemah dan tidak bertenaga.

10. Lendir dalam Najis

Secara semula jadi, usus kita menghasilkan lendir untuk memasikan dinding kolon sentiasa lembap dan dilindungi. Lendir ini bersifat jernih dan likat seperti jeli, dan dalam jumlah kecil, ia adalah normal.

Namun, apabila lendir dalam najis kelihatan banyak dan disertai dengan cirit birit, ia mungkin petunjuk bahawa sesuatu yang tidak normal sedang berlaku dalam sistem penghadaman anda.

Apabila lapisan lendir di kolon rosak akibat keradangan, jumlah lendir yang keluar bersama najis akan bertambah.

Dalam situasi ini, lendir boleh hadir bersama najis cair, darah, atau demam menandakan tubuh sedang bertindak balas terhadap jangkitan atau penyakit radang usus.

Cirit-birit yang mengandungi lendir sering kali menjadi tanda awal kepada masalah seperti inflammatory bowel disease (IBD) termasuk penyakit Crohn dan kolitis ulseratif, sindrom usus terganggu (IBS), atau dalam kes lebih serius, kanser kolorektal.

Kesimpulan

Kesimpulannya, cirit birit mungkin nampak seperti masalah kecil, tetapi apabila disertai dengan tanda-tanda lain yang membimbangkan, ia wajar diberi perhatian segera.

Mengenal pasti tanda cirit birit dengan lebih awal dapat membantu anda mendapatkan rawatan tepat dan mengelakkan komplikasi.

Berikut adalah tanda cirit birit yang perlu anda tahu:

  1. Perut Kembung
  2. Sakit Perut Mencengkam
  3. Muntah
  4. Najis Berdarah
  5. Turun Berat Badan
  6. Demam
  7. Keletihan
  8. Sakit Kepala
  9. Keluar Najis dengan Banyak
  10. Lendir dalam Najis

Anda juga boleh baca segala informasi tentang masalah cirit birit di sini:

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *