10 Simptom Migrain yang Mungkin Anda Alami Tanpa Sedar
Migrain bukan hanya melibatkan sakit kepala yang berdenyut, tetapi juga pelbagai simptom migrain yang kadang kala sukar dikenal pasti.
Ramai yang mungkin mengalami perubahan emosi, gangguan penglihatan, atau rasa loya tanpa mengaitkannya dengan migrain.
Menyedari simptom migrain lebih awal boleh membantu mencegah serangan menjadi lebih teruk.
Dalam artikel ini, kami senaraikan 10 simptom migrain yang mungkin anda alami tanpa sedar, supaya anda lebih bersedia dalam menangani masalah ini dengan lebih berkesan.
1. Perubahan Mood

Perubahan mood adalah antara simptom migrain yang lazim dialami oleh penghidap migrain. Ia boleh berlaku sebelum, semasa, atau selepas serangan migrain itu sendiri.
Walaupun kaitan antara perubahan mood dan migrain belum jelas difahami dari segi perubatan, tetapi kajian oleh The Journal of Headache and Pain menunjukkan bahawa, migrain sering berlaku seiring dengan gangguan mood seperti kemurungan dan kebimbangan.
Malah, menurut American Migraine Foundation, individu yang menghidap migrain berisiko lima kali lebih tinggi untuk mengalami kemurungan berbanding mereka yang tidak. Antara 30 hingga 50 peratus penghidap migrain kronik turut melaporkan gejala kebimbangan, manakala bagi migrain episodik, sekitar 20 peratus mengalaminya.
Tiada rawatan khusus untuk menangani perubahan mood yang berlaku bersama migrain. Namun, merawat serangan migrain itu sendiri boleh membantu melegakan simptom ini.
Sekiranya seseorang itu turut disahkan mengalami gangguan mood yang berasingan, terdapat beberapa pilihan rawatan yang boleh membantu, termasuk terapi tingkah laku kognitif, biofeedback, terapi relaksasi, terapi perbualan, dan ubat-ubatan.
2. Sukar untuk Fokus

Sukar untuk fokus atau mengalami “brain fog” merupakan simptom migrain yang melemahkan pesakit itu sendiri.
Brain fog merujuk kepada keadaan di mana seseorang berasa sukar untuk menumpukan perhatian, mudah terganggu, terlupa perkara mudah, atau tidak mampu menyelesaikan tugasan harian seperti biasa.
Simptom ini boleh muncul sehingga 48 jam sebelum serangan migrain bermula (fasa prodrome) dan berlanjutan sehingga 24 jam selepas sakit kepala reda (fasa postdrome atau “migraine hangover”).
Dalam banyak kes, brain fog merupakan tanda awal yang menunjukkan serangan migrain bakal berlaku.
Kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati, ia mungkin berpunca daripada proses yang dikenali sebagai “cortical spreading depression”, iaitu gangguan elektrik dan aliran darah dalam otak yang bergerak dari bahagian belakang otak (yang mengawal penglihatan) ke bahagian depan (yang mengawal pemikiran). Proses ini boleh memperlahankan keupayaan berfikir dan menyebabkan kesukaran dalam mencri kata-kata.
Selain itu, sesetengah individu turut mengalami kehilangan ingatan sementara dan gangguan bahasa ringan. Walaupun brain fog kadang kala boleh dikaitkan dengan kesan sampingan ubat, ia juga merupakan sebahagian daripada proses migrain itu sendiri.
3. Sukar Tidur

Ramai penghidap migrain akan mendapati diri mereka sangat sukar untuk tidur. Kajian dari National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, individu yang menghidap migrain mempunyai risiko antara 2 hingga 8 kali lebih tinggi untuk mengalami migrain berbanding orang biasa.
Malah, mereka yang mengalami migrain kronik (sakit kepala berlaku sekurang-kurangnya 15 hari dalam sebulan), biasanya mempunyai hampir dua kali ganda kekerapan untuk insomnia berbanding mereka yang mengalami migrain secara episodik.
Gangguan ini menjejaskan fungsi harian, menyebabkan keletihan, kurang daya tumpuan, dan kehilangan motivasi. Dalam banyak kes, insomnia turut berpunca daripada kesakitan kronik yang mengganggu keselesaan ketika tidur dan merosakkan rutin tidur normal.
Contohnya, apabila seseorang cuba “tidur untuk hilangkan migrain” pada siang hari, ia boleh menunda waktu tidur malam dan mengganggu jadual tidur keseluruhannya.
4. Cepat Rasa Lapar dan Dahaga

Simptom migrain yang berikutnya adalah cepat rasa lapar dan dahaga. Simptom ini biasanya berlaku dalam fasa prodrome, iaitu beberapa jam atau hari sebelum serangan migrain sebenar bermula.
Menurut Health Union, ramai penghidap migrain mempunyai keinginan makan yang mendadak, terutamanya terhadap makanan bergula atau berkarbohidrat tinggi serta rasa haus yang berlebihan walaupun telah minum air mencukupi.
Perubahan ini dipercayai berkait rapat dengan ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak, termasuk serotonin dan dopamin, yang terlibat dalam pengawalan selera makan dan dahaga.
Walaupun simptom ini kelihatan remeh, ia boleh menjadi petunjuk berguna untuk mengenal pasti serangan migrain yang datang, membolehkan individu mengambil langkah awal seperti berehat, ambil air yang cukup, atau makan ubat pencegah.
Dalam masa yang sama, anda juga perlu peka dengan apa sahaja jenis makanan yang diambil untuk mengelakkan pengambilan makanan yang tidak sihat dan menyebabkan migrain bertambah teruk.
5. Kerap Kencing

Kerap kencing juga dikaitkan dengan simptom migrain dalam fasa prodrome. Walaupun ramai yang menganggap ia sebagai perkara biasa terutamanya dalam kalangan wanita, namun kekerapan membuang air kecil iaitu 6 hingga 10 kali dalam masa satu jam bukanlah sesuatu yang normal.
Menurut American Migraine Foundation, dorongan untuk kencing dengan lebih kerap ini boleh menjadi petunjuk awal bahawa serangan migrain sedang menghampiri.
Simptom ini sering kali berkait rapat dengan peningkatan rasa dahaga yang juga berlaku dalam fasa awal migrain, menyebabkan tubuh mengambil lebih banyak cecair dan seterusnya meningkatkan pengeluaran air kencing.
Dalam sesetengah kes, keinginan untuk kencing secara berulang ini turut disertai dengan rasa tidak selesa di kawasan pelvis. Simptom ini akan kembali normal secara perlahan-lahan ketika berada di fasa postdrome nanti.
6. Telinga Berdesing (Tinnitus)
Telinga berdesing atau rasa macam ada bunyi berdengung dalam telinga sebenarnya bukan benda pelik, ramai orang pernah alaminya, dan juga boleh jadi salah satu simptom migrain.
Walaupun bunyinya macam masalah telinga, dalam satu kajian oleh JAMA, penghidap migrain didapati ada lebih tiga kali ganda risiko untuk alami tinnitus atau masalah telinga lain berbanding mereka yang tak ada migrain.
Bunyi ini boleh datang dan pergi, dan kadang-kadang jadi makin jelas apabila migrain mula menyerang atau sedang berlaku.
Pakar percaya simptom ini mungkin disebabkan oleh sistem saraf yang lebih sensitif apabila migrain berlaku. Apabila badan terlalu sensitif terhadap rangsangan, bunyi dalam telinga boleh muncul walaupun tiada punca fizikal yang jelas.
Walaupun dalam kebanyakan kes tinnitus adalah tidak berbahaya, ia juga boleh menandakan masalah yang lebih serius seperti ketumbuhan atau koyakan pada dinding arteri karotid.
7. Perubahan Penglihatan
Simptom migrain yang seterusnya adalah perubahan penglihatan. Simptom ini paling ketara berlaku sebelum, semasa atau tanpa rasa sakit kepala langsung terutamanya yang berusia 50 tahun ke atas.
Ramai penghidap migrain mengalami gangguan visual seperti cahaya berkelip, garisan zig-zag yang berkilauan, bintik-bintik, penglihatan kabur, atau seperti melihat air atau kaca yang retak.
Simptom ini biasanya terjadi kurang daripada satu jam, lazimnya antara 10 hingga 30 minit, dan dalam sesetengah kes, hanya beberapa saat sahaja.
Kebanyakan gangguan visual akibat migrain berlaku pada kedua-dua belah mata, walaupun kadangkala ia dirasai hanya pada satu sisi medan penglihatan. Simptom ini boleh dikategorikan kepada tiga jenis:
- Simptom positif – Contohnya: garisan zig-zag berkilauan, bintik berkelip, cahaya terang, corak seperti kaleidoskop.
- Simptom negatif – Contohnya: kawasan penglihatan hilang (titik buta), penglihatan terowong, atau kehilangan penglihatan separuh kiri/kanan.
- Simptom visual terpesong – Contohnya: objek kelihatan terlalu besar/kecil, kabur seperti melihat melalui air, atau kehilangan warna.
Jika komplikasinya serius, simptom ini boleh membawa tanda kepada masalah lain seperti detasmen retina, strok kecil, atau keradangan pada saluran darah.
8. Rasa Loya
Loya boleh muncul dalam fasa prodrome dan berlaku antara 4 hingga 72 jam bergantung kepada individu.
Punca sebenar mengapa migrain menyebabkan loya masih belum diketahui namun banyak teori yang mengaitkannya dengan tekanan (stress). Menurut EXCLI Journal, tekanan boleh mengaktifkan laluan dalam sistem saraf pusat (CNS) yang mengawal fungsi automatik badan seperti degupan jantung dan pencernaan.
Gangguan dalam sistem ini boleh menyebabkan rasa loya dan muntah. Sesetengah penghidap migrain juga mengalami gastroparesis, iaitu keadaan di mana perut lambat mengosongkan isinya lalu berlakulah rasa loya berpanjangan.
Disebabkan loya boleh memberi kesan besar terhadap aktiviti harian dan pengambilan ubat, penghidap migrain perlu mengambil langkah awal untuk mengurus simptom ini, sama ada melalui ubat anti-loya atau rawatan migrain itu sendiri.
9. Rasa Kebas di Tangan atau Kaki
Simptom migrain yang berkaitan dengan rasa kebas di tangan atau kaki dikenali sebagai sensory aura dan biasanya berlaku sebelum fasa sakit kepala.
Rasa ini terjadi secara perlahan-lahan contohnya, rasa kebas pada hujung jari tangan dan kemudian merebak ke lengan atau kaki, malah kadang-kadang ke muka atau bibir.
Ia berlaku disebabkan oleh gangguan sementara dalam aktiviti elektrik otak, terutamanya di kawasan yang mengawal deria sentuhan. Ini menyebabkan isyarat dari saraf tidak dihantar atau diterima seperti biasa, lalu menghasilkan rasa pelik seperti dicucuk-cucuk, berdenyut, atau kebas.
Walaupun biasanya tidak berbahaya dan hanya bersifat sementara, simptom ini boleh menakutkan terutama jika ia berlaku buat kali pertama atau menyerupai tanda-tanda strok ringan (mini stroke).
10. Sensitif Terhadap Cahaya

Photophobia atau sensitif terhadap cahaya menjadi kriteria yang biasa digunakan untuk mendiagnosis migrain. Ada sesetengah pesakit bahakan mengalami photophobia setiap hari tanpa henti.
Jenis simptom migrain ini biasanya bermula dengan rasa tidak selesa apabila melihat cahaya terang atau perubahan mendadak dari gelap ke terang. Ada yang menggambarkan rasa perit di mata atau seolah-olah cahaya “menusuk” kepala.
Warna cahaya juga memainkan peranan, di mana cahay biru selalunya lebih memedihkan berbanding warna lain. Bagi penghidap migrain, semakin terang cahaya, semakain teruk rasa tidak selesa yang mereka rasakan dan ini boleh mengganggu tumpuan, tidur, atau aktiviti biasa seperti memandu dan bekerja.
Dari sudut saintifik, photophobia berlaku apabila cahaya dihantar melalui retina ke otak melalui dua sistem iaitu sistem visual biasa dan sistem melanopsin. Melanopsin ialah sel khas yang tidak membantu kita melihat bentuk atau huruf, tetapi sangat sensitif terhadap cahaya.
Apabila sel-sel ini diaktifkan, ia kekal “terjaga” dan menyebabkan rasa silau yang berlebihan. Sistem in turut berhubung dengan saraf trigeminal iaitu saraf utama yang terlibat semasa berlaku migrain.
Rawatan photophobia bergantung kepada puncanya. Jika disebabkan mata kering, titisan atau gel pelembap mata boleh membantu. Untuk migrain pula, ubat tahan sakit seperti triptan atau ubat pencegah migrain boleh mengurangkan sensitiviti cahaya.
Cermin mata khas seperti lensa FL-41, penapis cahaya biru, atau lensa merah juga dikatakan berkesan untuk mengurangkan simptom.
Kesimpulan
Kesimpulannya, simptom migrain boleh muncul dalam pelbagai bentuk dan tidak semestinya melibatkan sakit kepala sahaja.
Dengan mengenal pasti simptom migrain, anda boleh mengambil tindakan lebih awal untuk mengelakkan serangan yang lebih teruk.
Jika anda perasan tanda-tanda ini sering berlaku, jangan ambil ringan. Berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan rawatan dan pelan pengurusan migrain yang sesuai.
Berikut adalah antara simptom migrain yang perlu anda tahu:
- Perubahan Mood
- Sukar untuk Fokus
- Sukar Tidur
- Cepat Rasa Lapar dan Dahaga
- Kerap Kencing
- Telinga Berdesing (Tinnitus)
- Perubahan Penglihatan
- Rasa Loya
- Rasa Kebas di Tangan atau Kaki
- Sensitif Terhadap Cahaya
Anda juga boleh baca tentang informasi migrain yang lain di sini:

