14 Punca Sakit Perut Sebelah Kiri yang Perlu Anda Periksa

Apakah punca sakit perut sebelah kiri yang penting untuk anda ambil tahu?

Umumnya, sakit perut sebelah kiri mungkiin kedengaran seperti masalah biasa, tapi tahukah anda ia boleh menjadi petanda kepada pelbagai masalah kesihatan yang serius?

Dari masalah usus IBS dan IBD hinggalah kepada jangkitan buah pinggang atau keradangan organ dalaman seperti pankreas dan limpa, kesemua ini boleh menyebabkan ketidakselesaan yang berbeza tahapnya.

Kadangkala sakit itu datang dan pergi, kadang-kadang ia mencucuk tanpa henti. Lebih membimbangkan, sesetengah kes memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan komplikasi yang lebih besar.

Artikel ini akan menghuraikan 14 punca utama sakit perut sebelah kiri yang anda perlu periksa agar tidak terlepas isyarat penting dari tubuh anda.

1. Penyakit Radang Usus Saluran Pencernaan (IBD)

sakit perut sebelah kiri ibd

Inflammatory bowel disease (IBD) atau penyakit radang usus saluran pencernaan adalah keadaan serius kerana ia melibatkan keradangan kronik dalam saluran gastrousus.

Menurut U.S. Centers for Disease Control and Prevention, terdapat dua jenis IBD iaitu penyakit Crohn dan ulcerative colitis. Kedua-duanya boleh menyebabkan sakit perut sebelah kiri (jika kolon kiri terjejas), cirit-birit berdarah, keletihan melampau, dan penurunan berat badan tanpa sengaja.

Keadaan ini dianggap sebagai masalah autoimun, di mana sistem imun menyerang saluran usus sendiri. Jika simptom seperti najis berdarah dan sakit berpanjangan mula muncul segera dapatkan pemeriksaan doktor kerana rawatan jangka panjang dan pengurusan diet sangat penting untuk pesakit IBD.

2. Sindrom Iritasi Usus Besar (IBS)

sakit perut sebelah kiri ibs

Irritable bowel syndrome (IBS) atau sindrom iritasi usus besar merupakan satu keadaan yang sering dikaitkan dengan rasa sakit di perut, termasuk di sebelah kiri. Ia bukan penyakit berbahaya, tetapi boleh mengganggu kehidupan seharian kerana simptomnya yang berulang-ulang.

Menurut National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases, penghidap IBS sering mengalami perubahan tabiat buang air besar yang mana kadang kala cirit-birit atau sembelit yang disertai dengan kembung, kekejangan perut, dan najis berlendir putih.

Walaupun puncanya tidak diketahui secara tepat, ia sering dikaitkan dengan tekanan emosi, trauma awal kehidupan, jangkitan bakteria dalam usus kecil, serta intoleransi makanan. Jika anda rasa tidak selesa setiap kali makan makanan tertentu atau perut ‘memulas’ tanpa sebab, IBS mungkin antara puncanya.

3. Costochondritis

Walaupun kedengaran seperti masalah jantung atau paru-paru, costochondritis sebenarnya adalah keradangan pada tulang rawan yang menyambung tulang rusuk ke tulang dada.

Menurut National Center for Biotechnology Information, ia boleh menyebabkan sakit di dada kiri dan menjalar ke bahagian atas perut kiri. Kesakitan biasanya bertambah teruk apabila anda menarik nafas dalam, batuk atau bergerak aktif.

Walaupun begitu, costochondritis bukanlah penyakit berbahaya dan boleh dirawat dengan ubat tahan sakit serta tuam panas. Namun jika disertai gejala sesak nafas atau demam, itu mungkin tanda masalah lain yang lebih serius dan perlukan rawatan segera.

4. Radang Pankreas

Radang pada pankreas, yang terletak di belakang perut bahagian kiri atas, boleh menyebabkan kesakitan yang ketara di kawasan itu, malah boleh merebak ke belakang badan.

Pancreatitis boleh bersifat akut (tiba-tiba dan teruk) atau kronik (berulang). Menurut National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease, tanda-tandanya termasuk demam, denyutan jantung laju, loya, muntah, dan perut rasa kembung. Dalam kes yang lebih serius, ia boleh mengganggu penghadaman sepenuhnya.

Rawatan segera diperlukan, termasuk pemberian cecair melalui intravena (IV), ubat tahan sakit, dan rehat. Dalam kes tertentu, pembedahan mungkin diperlukan. Jangan tunggu, jika perut sebelah kiri sakit sangat dan anda alami simptom-simptom ini, segera berjumpa doktor.

5. Tulang Rusuk Lebam atau Patah

sakit perut sebelah kiri tulang rusuk lebam

Kalau anda terjatuh, kemalangan, atau alami hentakan di bahagian kiri dada, ada kemungkiinan tulang rusuk lebam atau patah. Kesannya, anda akan rasa sakit menusuk bila bernafas, bergerak, atau batuk.

Kadang kala bunyi “retak” boleh didengar semasa kecederaan berlaku. Tulang rusuk biasanya pulih sendiri dalam masa 3-6 minggu, tetapi rawatan sokongan seperti ubat tahan sakit, tuam sejuk, dan menekan bantal pada dada ketika batuk boleh bantu melegakan.

Namun hati-hati, tulang rusuk yang patah teruk boleh mencederakan organ di sekitarnya. Jika anda batuk berdarah, sukar bernafas, atau sakit makin teruk, segera ke hospital untuk dapatkan rawatan.

6. Perikarditis

Perikarditis ialah keradangan pada pericardium iaitu tisu yang menyelubungi jantung. Selain sakit dada yang tajam, ia juga boleh menyebabkan sakit menjalar ke bahagian atas perut sebelah kiri.

Pesakit mungkin alami demam, batuk, jantung berdebar, dan rasa letih yang berpanjangan. Biasanya ia berpunca daripada jangkitan virus, tapi kadangkala disebabkan oleh masalah autoimun.

Rawatan termasuk ubat anti-radang dan rehat yang cukup. Kalau jangkitan bakteria berlaku, antibiotik diperlukan. Memandangkan rasa sakit disebabkan perikarditis ini hampir menyerupai serangan jantung, jangan ambil mudah. Segera dapatkan rawatan jika anda mengalami sakit dada.

7. Jangkitan Buah Pinggang

sakit perut sebelah kiri sakit buah pinggang

Sakit di bahagian kiri atas perut juga boleh berpunca daripada jangkitan pada buah pinggang kiri. Selain kesakitan yang mencucuk-cucuk, penghidapnya biasanya akan rasa sakit ketika kencing, demam, mual, muntah, dan sering ke tandas.

Jangkitan buah pinggang bukan saaja menyakitkan, malah boleh menjadi serius jika tidak dirawat. Biasanya, doktor akan memberi antibiotik melalui mulut atau IV.

Jika anda juga rasa sakit di bahagian belakang atau sisi kiri badan, itu mungkin petanda jangkitan buah pinggang sedang merebak.

8. Batu Karang Buah Pinggang

Batu karang boleh jadi kecil dan keluar sendiri melalui air kencing tanpa sebarang masalah. Tetapi apabila saiznya semakin besar, rasa sakit yang akan anda rasai berkali ganda sakitnya dan menjalar dari belakang, sisi badan hingga perut sebelah kiri.

Pesakit juga mungkin kencing berdarah, rasa pedih ketika kencing, dan muntah. Rawatan biasanya melibatkan ubat tahan sakit, banyak minum air, dan kadangkala memerlukan prosedur khas seperti shock wave atau pembedahan jika batu terlalu besar.

Jangan abaikan rawatan yang sepatutnya anda dapatkan kerana jika batu ini tersumbat di aliran air kencing dan berlaku jangkitan dalaman, keadaan kesihatan anda akan bertambah teruk.

9. Limpa Bengkak

Limpa terletak di bawah tulang rusuk kiri, jadi sebarang masalah padanya boleh menyebabkan rasa sakit di bahagian atas perut kiri. Limpa boleh membengkak akibat pelbagai masalah seperti jangkitan, penyakit hati, leukemia, atau gangguan darah.

Anda mungkin rasa cepat kenyang walaupun makan sikit, letih berpanjangan, kerap jatuh sakit, atau mengalami anemia. Dalam sesetebgah kes trauma atau kecederaan, limpa boleh pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman.

Sekiranya anda pernah terhentak di bahagian kiri badan dan alami simptom seperti pening, jantung berdebar, dan sakit kuat di bahagian itu, segera ke hospital.

10. Gastritis

sakit perut sebelah kiri gastrik

Gastritis boleh menyebabkan kesakitan yang tajam atau rasa tidak selesa di bahagian atas perut kiri, terutamanya selepas makan. Menurut National Center for Biotechnology Information, ia berlaku apabila lapisan perlindungan perut meradang, biasanya akibat jangkitan bakteria (seperti H. pylori), pengambilan ubat tahan sakit yang berlebihan, alkohol, atau tekanan fizikal selepas pembedahan.

Simptom lain termasuk loya dan muntah. Rawatan biasa melibatkan ubat untuk mengurangkan asid perut agar lapisan perut dapat sembuh.

Dalam kes kronik, perubahan gaya hidup seperti pemakanan dan pengambilan ubat secara berkala sangat penting untuk mengelakkan simptom berulang.

11. ​Kanser Buah Pinggang

Kajian oleh National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa,sSakit perut sebelah kiri kadangkala boleh menjadi petunjuk awal kepada kanser buah pinggang, terutamanya apabila buah pinggang kiri yang terjejas.

Meskipun gejala awal kanser ini sering kali tidak begitu ketara, namun apabila tumor membesar atau mula menjejaskan struktur sekitarnya, ia boleh menyebabkan rasa tidak selesa atau kesakitan di bahagian perut atau belakang kiri.

Pesakit juga mungkin mengalami simptom laiin seperti darah dalam air kencing (hematuria), keletihan melampau, penurunan berat badan tanpa sebab, atau demam berulang yang tidak diketahui puncanya.

Kesakitan mungkin terasa seperti tekanan yang berpanjangan atau sakit tumpul yang tidak hilang walaupun selepas berehat. Dalam kes yang lebih teruk, kanser boleh menyebabkan pembesaran buah pinggang atau menyumbat saluran kencing, menjadikan simptom bertambah jelas.

Justeru, sangat penting untuk menjalani pemeriksaan perubatan lanjut seperti ujian imbasan dan ujian darah atau air kencing sekiranya mempunyai simptom-simptomnya.

12. Ovulasi

sakit perut sebelah kiri ovulasi

Sakit perut sebelah kiri juga boleh berkait rapat dengan proses ovulasi, terutamanya dalam kalangan wanita yang berada dalam usia subur. Keadaan ini dikenali sebagai mittelschmerz, iaitu istilah Jerman yang bermaksud “sakit di pertengahan kitaran haid”.

Semasa ovulasi, salah satu ovari akan melepaskan telur, dan proses ini boleh menyebabkan rasa sakit tajam, atau ketidakselesaan di bahagian bawah perut, sama ada di sebelah kiri atau kanan, bergantung kepada ovari yang aktif pada waktu itu.

Sakit ini biasanya berlaku sekitar hari ke-14 dalam kitaran haid dan boleh berlangsung dari beberapa minit hingga beberapa jam. Dalam kebanyakan kes, ia tidak membimbangkan dan akan hilang dengan sendiri, namun sesetengah wanita mungkin mengalaminya lebih teruk, terutamanya jika terdapat sista ovari kecil yang pecah semasa ovulasi.

13. Kandungan di Luar Rahim

Kehamilan ektopik berlaku apabila embrio melekat dan membesar di luar rahim, biasanya di dalam tiub fallopio, dan ini boleh menyebabkan rasa sakit yang tajam, mencucuk atau berdenyut di sebelah kiri perut bawah.

Kesakitan ini mungkin disertai dengan simptom seperti pendarahan faraj yang tidak normal, rasa pening atau pitam, bahu terasa sakit, serta tekanan pada rektum. Menurut National Center for Biotechnology Information, apabila tiub fallopio mula meregang atau pecah akibat pertumbuhan embrio yang tidak normal, ia boleh menyebabkan pendarahan dalaman yang mengancam nyawa.

Oleh itu, jika di awal kehamilan anda mengalami sakit perut sebelah kiri yang teruk dan luar biasa, disertai pendarahan atau tanda-tanda renjatan, anda harus mendapatkan rawatan kecemasan dengan segera.

Pengesanan awal melalui ujian darah dan imbasan ultrasound sangat penting untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kesuburan masa depan.

14. Penyakit Radang Pelvis

sakit perut sebelah kiri radang pelvis

Sakit perut sebelah kiri juga boleh menjadi tanda kepada penyakit radang pelvis (Pelvic Inflammatory Disease – PID), iaitu jangkitan serius pada organ pembiakan wanita seperti rahim, tiub fallopio, dan ovari.

PID sering disebabkan oleh jangkitan bakteria yang merebak dari faraj atau serviks ke kawasan pelvis, dan ia boleh berpunca daripada penyakit kelamin seperti klamidia atau gonorea.

Apabila jangkitan melibatkan tiub fallopio sebelah kiri, pesakit mungkin mengalami sakit tajam atau berdenyut di bahagian bawah perut kiri, terutamanya semasa hubungan intim, ketika buang air kecil, atau semasa haid.

Simptom lain termasuk demam, keputihan luar biasa berbau, pendarahan antara haid, dan rasa lemah badan. Jika tidak dirawat awal, PID boleh menyebabkan kerosakan kekal pada tiub fallopio yang meningkatkan risiko kehamilan luar rahim dan kemandula

Kesimpulan

Kesimpulannya, sakit perut sebelah kiri bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, terutamanya jika ia berlarutan atau datang bersama simptom-simptom seperti demam, muntah, najis berdarah, atau kesukaran bernafas.

Pelbagai organ terletak di kawasan itu, termasuk usus, limpa, buah pinggang dan pankreas yang masing-masing boleh menjadi punca utama ketidakselesaan. Dengan mengenalpasti simptom yang tepat dan mendapatkan rawatan awal, anda boleh mengelakkan komplikasi yang lebih serius,

Ingat, tubuh kita sentiasa memberikan isyarat apabila anda sesuatu yang tidak kena, tugas kita ialah untuk tidak mengabaikannya. Jika sakit perut sebelah kiri anda semakin kerap atau teruk, berjumpalah dengan pakar kesihatan secepat mungkin.

Berikut adalah punca sakit perut sebelah kiri yang perlu anda tahu:

  1. Penyakit Radang Usus Saluran Pencernaan (IBD)
  2. Sindrom Iritasi Usus Besar (IBS)
  3. Costochondritis
  4. Radang Pankreas
  5. Tulang Rusuk Lebam atau Patah
  6. Perikarditis
  7. Jangkitan Buah Pinggang
  8. Batu Karang Buah Pinggang
  9. Limpa Bengkak
  10. Gastritis
  11. Kanser Buah Pinggang
  12. Ovulasi
  13. Kandungan di Luar Rahim
  14. Penyakit Radang Pelvis

Anda juga boleh baca segala informasi tentang sakit perut di sini:

Similar Posts

Leave a Reply