11 Punca Sakit Perut Sebelah Kanan yang Perlu Anda Periksa

Apakah punca sakit perut sebelah kanan yang penting untuk anda ambil tahu?

Sakit perut sebelah kanan merupakan simptom yang biasa dialami oleh ramai orang, namun puncanya boleh berbeza-beza bergantung kepada lokasi, tempoh, dan tahap kesakitan yang dialami.

Ada kalanya sakit ini hanyalah tanda gangguan ringan seperti angin dalam perut, tetapi ia juga bolehmenjadi petunjuk kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti apendisitis, batu karang, atau jangkitan organ dalaman.

Mengetahui punca-punca yang mungkin menyebabkan sakit perut sebelah kanan amat penting agar rawatan yang sesuai dapat diberikan secepat mungkin.

Artikel ini akan menerangkakn kepada anda 11 punca sakit perut sebelah kanan yang wajar diberi perhatian dan diperiksa oleh pakar perubatan.

1. Apendisitis

sakit perut sebelah kanan apendisitis

Apendisitis merupakan salah satu punca paling biasa bagi sakit perut di bahagian kanan bawah.

Pada peringkat awal, individu yang menghidap apendisitis biasanya mengalami kesakitan di sekitar pusat, sebelum ia beralih dan menjadi lebih tajam di bahagian bawah kanan abdomen, berhampiran kawasan selangkangan.

Kesakitan ini sering datang secara tiba-tiba dan menjadi lebih teruk apabila bergerak, menarik nafas dalam, atau apabila ditekan. Selain kesakitan, gejala lain termasuklah hilang selera makan, loya, muntah, cirit-birit atau sembelit, kembung perut, demam tinggi sehingga melebihi 40ºC, serta kekejangan otot di bahagian perut.

Apendisitis juga boleh menyebabkan saluran penghadaman tersumbat jika tidak dirawat. Oleh kerana risiko apendiks pecah yang boleh membawa kepada jangkitan serius dalam rongga perut (peritonitis), rawatan perubatan segera amat penting.

2. Pengumpulan Gas

Gas yang terperangkap dalam usus boleh menyebabkan perut kembung, rasa penuh, ketidakselesaan, dan kadangkala rasa seperti perut “berangin” atau berbelit. Sakit akibat gas biasanya berbentuk kekejangan dan boleh menjadi kuat, terutama selepas makan.

Ia juga boleh berlaku disebabkan oleh sembelit, menelan udara semasa makan dengan cepat, atau gangguan pencernaan seperti sindrom usus rengsa (IBS), penyakit seliak, atau intoleransi laktosa. Individu juga mungkin mengalami hilang selera makan, sendawa berlebihan, dan kentut yang kerap.

Walaupun tidak serius, sakit perut akibat gas boleh mengganggu aktiviti harian dan menyebabkan ketidakselesaan berpanjangan.

3. Ketakcernaan

sakit perut sebelah kanan indigestion

Indigestion, atau dispepsia biasanya timbul selepas makan atau minum, dan rasa sakitnya boleh merebak ke bahagian kanan abdomen. Rasa sakit yang dirasakan pun boleh berbeza-beza oleh setiap orang.

Selain sakit perut, gejala lain termasuk rasa terbakar di dada (heartburn), sendawa berlebihan, kembung, loya, dan pengeluaran gas yang banyak.

Indigestion sering berpunca daripada tabiat pemakanan yang kurang sihat seperti makan terlalu cepat, pengambilan minuman beralkohol, berkafein atau berkarbonat secara berlebihan, serta tabiat merokok. Bahkan menurut National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease, Ia juga boleh berlaku akibat gangguan dalam saluran penghadaman seperti gastritis atau refluks asid.

Untuk mengurangkan sakit perut sebelah kanan akibat indigestion, pengamalan diet yang sihat dan perubahan gaya hidup seperti makan secara perlahan dan mengelakkan makanan yang mencetuskan gejala amat disarankan.

4. Batu Karang

sakit perut sebelah kanan batu karang

Batu karang dalam buah pinggang (nephrolithiasis) terbentuk daripada pengumpulan mineral dan garam yang mengeras di dalam buah pinggang.

Menurut National Center for Biotechnology Information, sekiranya batu ini kecil, ia mungkin keluar melalui saluran kencing tanpa menimbulkan gejala. Namun, jika batu karang cukup besar untuk menyekat aliran air kencing di dalam ureter (saluran yang menghubungkan buah pinggang ke pundi kencing), ia boleh menyebabkan kesakitan yang teruk.

Kesakitan ini biasanya dirasai di bahagian kanan abdomen, belakang, sisi badan, atau menjalar ke kawasan kelangkang. Rasa sakit boleh bermula secara ringan dan menjadi lebih kuat apabila batu bergerak dalam sistem urinari.

Selain kesakitan, simptom lain termasuk loya, muntah, demam, rasa panas ketika membuang air kecil, air kencing berdarah atau keruh, dan kerap berasa ingin membuang air kecil. Menurut National Center for Biotechnology Information, keadaan ini lazimnya berlaku dalam lingkungan umur 20 hingga 60 tahun dan boleh dialami oleh lelaki serta wanita.

5. Jangkitan Buah Pinggang

Jangkitan buah pinggang, atau pyelonephritis boleh melibatkan satu atau kedua-dua buah pinggang, dan apabila ia berlaku pada buah pinggang kanan, kesakitan sering dirasai di bahagian kanan bawah abdomen, belakang, sisi badan, atau menjalar ke kawasan kelangkang.

Berbanding dengan sakit akibat batu karang, kesakitan daripada jangkitan buah pinggang biasanya kurang teruk, namun tetap memerlukan rawatan perubatan segera bagi mengelakkan kerosakan buah pinggang yang kekal.

Selain sakit perut, gejala lain termasuk loya, muntah, demam, cirit-birit, hilang selera makan, rasa sakit atau pedih semasa membuang air kecil, air kencing berbau atau keruh, darah dalam air kencing, serta keinginan membuang air kecil secara kerap.

Jangkitan buah pinggang sering dikelirukan dengan jangkitan saluran kencing seperti sistitis, kerana kedua-duanya mempunyai simptom yang hampir serupa.

6. Hernia

sakit perut sebelah kanan hernia

Hernia berlaku apabila organ dalam badan, seperti usus, menonjol keluar melalui kawasan otot atau tisu dinding abdomen yang lemah. Ia paling kerap berlaku di bahagian abdomen dan boleh menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan, terutamanya apabila berlaku tekanan seperti semasa batuk, mengangkat benda berat, atau meneran.

Menurut National Center for Biotechnology Information, hernia jenis inguinal adalah yang paling biasa, terutama dalam kalangan lelaki dan kanak-kanak di bawah usia lima tahun, dan sering berlaku di bahagian kanan bawah abdomen atau kawasan kelangkang.

Ia boleh menyebabkan gejala seperti bengkak yang jelas, rasa berat atau terbakar, serta sembelit. Rasa sakit yang dirasai mungkin tajam atau berterusan, dan semakin teruk dengan pergerakan atau aktiviti fizikal.

Hernia juga boleh disertai dengan rasa penuh atau kembung. Sekiranya hernia tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti usus terperangkap (strangulated hernia), yang memerlukan rawatan kecemasan.

Kaedah rawatan paling berkesan untuk hernia adalah melalui pembedahan, sama ada secara laparoskopi atau melalui insisi yang lebih besar, dengan menggunakan jaring sintetik untuk menguatkan tisu abdomen yang lemah. Jenis pembedahan bergantung kepada saiz dan lokasi hernia.

7. Senggugut

Senggugut atau kekejangan haid (dysmenorrhea) berlaku akibat pengecutan otot rahim untuk menyingkirkan lapisan dalamannya semasa haid.

Walaupun ramai wanita merasai sakit di bahagian tengah abdomen, ada juga yang mengalami kesakitan pada satu sisi sahaja, termasuk di bahagian kanan bawah perut.

Rasa sakit ini boleh terasa seperti mencucuk, berdenyut, atau kekejangan dan lazimnya muncul beberapa hari sebelum haid bermula dan berlanjutan sehingga hari kedua atau ketiga kitaran haid.

Bahkan berdasarkan kajian oleh International Journal of Environmental Research and Public Health, paras prostaglandin yang tinggi dalam tubuh boleh menyebabkan pengecutan rahim yang lebih kuat dan menyakitkan. Selain itu, sesetengah wanita juga mengalami kesakitan ketika ovulasi di pertengahan kitaran haid, yang boleh dirasai pada sebelah kanan atau kiri bergantung kepada ovari yang sedang aktif.

Senggugut biasanya tidak membahayakan, tetapi jika kesakitannya melampau atau berpanjangan, ia boleh menjadi petanda kepada masalah seperti endometriosis, sista ovari, atau kehamilan ektopik.

Antara kaedah rawatan termasuk pengambilan ubat tahan sakit seperti ibuprofen, penggunaan pad pemanas di bahagian perut, atau rawatan hormon seperti pil perancan

8. Testicular Torsion

sakit perut sebelah kanan testicular torsion

Menurut National Center for Biotechnology Information, testicular torsion berlaku apabila testis berpusing dan membelit kord spermatik, iaitu satu struktur tisu yang mengandungi saluran darah dan saraf yang menghubungkan testis ke bahagian bawah abdomen.

Keadaan ini menghalang aliran darah ke testis dan boleh menyebabkan kesakitan yang amat teruk dan bengkak pada skrotum. Walaupun kesakitan utama berlaku di bahagian testis, ia sering merebak ke bahagian bawah kanan abdomen, menjadikannya salah satu punca sakit perut sebelah kanan dalam kalangan lelaki.

Gejala lain termasuk kemerahan pada skrotum, testis yang kelihatan tidak sekata, loya, muntah, dan rasa sakit semasa membuang air kecil.

Penyakit ini memerlukan pembedahan segera bagi memulihkan aliran darah dan menyelamatkan testis yang terjejas. Jika tidak dirawat dalam tempoh beberapa jam, testis boleh rosak kekal dan perlu dibuang.

9. Kehamilan Ektopik

sakit perut sebelah kanan ektopik kehamilan

Kehamilan ektopik berlaku apabila telur yang telah disenyawakan tertanam di luar rahim, biasanya di dalam tiub fallopio. Keadaan ini boleh menyebabkan sakit perut sebelah kanan jika implantasi berlaku pada tiub fallopio kanan.

Gejala awal termasuk kekajangan pelvis sebelah kanan, pendarahan faraj yang tidak normal, dan tanda-tanda awal kehamilan seperti haid yang terlewat.

Jika tiub fallopio pecah akibat tekanan daripada embrio yang berkembang di tempat yang sempit, pesakit boleh mengalami sakit yang teruk, tajam, dan tiba-tiba di bahagian bawah kanan abdomen, disertai dengan pendarahan dalaman.

Simptom lain termasuk rasa sakit semasa membuang air kecil atau besar, sakit bahu (akibat kerengsaan saraf akibat darah dalam rongga abdomen), loya, muntah, dan cirit-birit.

10. Penyakit Radang Pelvis

Punca sakit perut sebelah kanan yang seterusnya adalah penyakit radang pelvis (Pelvic Inflammatory Disease atau PID). Ia merupakan jangkitan pada organ reproduktif wanita yang biasanya berpunca daripada jangkitan bakteria khususnya jangkitan seksual seperti klamidia atau gonorea.

PID boleh menyebabkan sakit perut di bahagian bawah, termasuk di sebelah kanan, terutamanya jika jangkitan merebak ke ovari atau tiub fallopio kanan.

Gejala PID berbeza-beza dan kadangkala ringan, namun ia boleh merangkumi demam, keputihan yang luar biasa atau berbau busuk, sakit semasa hubungan seksual, sakit ketika membuang air kecil, haid yang teruk atau menyakitkan, serta pendarahan antara haid atau selepas hubungan seks.

Walaupun gejala mungkin tidak selalu ketara, PID yang tidak dirawat boleh membawa kepada komplikasi serius seperti ketidaksuburan, kehamilan ektopik, dan kesakitan pelvis kronik.

11. Penyakit Radang Usus

Penyakit radang usus atau Inflammatory Bowel Disease (IBD) merujuk kepada sekumpulan keadaan kronik yang menyebabkan keradangan pada saluran penghadaman, khususnya Crohn’s disease dan ulcerative colitis.

Kedua-dua keadaan ini boleh menjejaskan bahagian berlainan dalam sistem penghadaman dan membawa kepada pelbagai simptom, termasuk sakit perut sebelah kanan.

Kesakitan ini biasanya berlaku jika keradangan melibatkan usus kecil atau kolon kanan. Selain rasa sakit, individu yang mengalami IBD juga mungkin mengalami kekejangan perut, loya, cirit-birit berterusan yang kerap berdarah, kembung, penurunan berat badan secara mendadak, keletihan melampau, dan kurang selera makan.

Berdasarkan kajian oleh The Journal of Medicine and Life, Crohn’s disease boleh melibatkan keseluruhan saluran penghadaman dari mulut hingga ke dubur, manakala ulcerative colitis hanya menjejaskan usus besar dan rektum.

Oleh kerana IBD ialah penyakit kronik yang boleh datang dan pergi dalam bentuk serangan (flare-up), pemantauan dan rawatan jangka panjang amat penting. Rawatan biasanya melibatkan ubat anti-radang, imunosupresan, atau dalam kes yang lebih serius, pembedahan mungkin diperlukan untuk membuang bahagian usus yang terjejas.

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca sakit perut sebelah kanan yang perlu diberi perhatian oleh setiap orang. Sakit perut sebelah kanan justeru tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi jika ia disertai dengan gejala lain seperti demam, muntah, pendarahan, atau kesakitan yang berpanjangan.

Meskipun sesetengah punca adalah tidak berbahaya dan boleh dirawat di rumah, ada juga yang memerlukan rawatan segera untuk mengelakkan komplikasi yang serius.

Oleh itu, penting untuk mengenal pasti tanda-tanda amaran dan mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya anda mengalami sakit perut yang luar biasa atau berulang.

Kesedaran terhadap pelbagai punca sakit perut sebelah kanan dapat membantu anda membuat keputusan yang lebih bijak demi menjaga kesihatan diri.

Berikut adalah punca sakit perut sebelah kanan yang perlu anda tahu:

  1. Apendisitis
  2. Pengumpulan Gas
  3. Ketakcernaan
  4. Batu Karang
  5. Jangkitan Buah Pinggang
  6. Hernia
  7. Senggugut
  8. Testicular Torsion
  9. Kehamilan Ektopik
  10. Penyakit Radang Pelvis
  11. Penyakit Radang Usus

Anda juga boleh baca segala informasi tentang sakit perut di sini:

Similar Posts

Leave a Reply