10 Penyebab Sakit Perut Bahagian Tengah yang Perlu Anda Tahu
Apakah punca sakit perut bahagian tengah yang penting untuk anda ambil tahu?
Sakit perut bahagian tengah merupakan gejala yang biasa dialami oleh ramai orang, namun puncanya boleh berbeza-beza daripada masalah ringan seperti angin dalam perut, sehinggalah kepada keadaan kesihatan yang lebih serius.
Oleh itu, memahami punca sebenar sangat penting untuk menentukan rawatan yang tepat dan mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.
Dalam artikel ini, kami senaraikan 10 punca utama sakit perut bahagian tengah yang perlu anda ambil tahu, termasuk simptom berkaitan dan bila anda perlu mendapatkan rawatan perubatan.
1. Gastroenteritis

Gastroenteritis, atau lebih dikenali sebagai stomach flu, merupakan jangkitan pada usus yang salah satu punca utama sakit perut bahagian tengah.
Keadaan ini biasanya tidak serius dan akan sembuh dengan sendiri dalam beberapa hari tanpa rawatan perubatan khusus.
Menurut National Center for Biotecgnology Information, gastroenteritis boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk jangkitan virus seperti rotavirus dan norovirus, bakteria, parasit, serta bahan kimia toksik yang masuk ke dalam sistem pencernaan.
Simptom dan Gejala:
- Sakit di bahagian tengah perut
- Loya, muntah
- Cirit-birit
Rawatan:
Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya memerlukan rehat yang mencukupi dan pengambilan cecair serta elektrolit yang berterusan bagi mengelakkan dehidrasi.
2. Penyakit Seliak
Punca sakit perut bahagian tengah yang seterusnya adalah kerana penyakit seliak. Penyakit ini merupakan autoimun di mana sistem imun seserang bertindak balas secara negatif terhadap gluten, iaitu sejenis protein yang terdapat dalam gandum, barli, dan rai.
Gluten juga boleh ditemui dalam makanan harian seperti roti, kek, biskut, dan pasta. Bagi individu yang menghidap penyakit ini, pengambilan gluten boleh mencetuskan keradangan pada usus kecil yang mengakibatkan kerosakan pada dinding usus, sekaligus menjejaskan penyerapan nutrien penting.
Menurut National Institute of Diabetss and Digestive and Kidney Disease, penyakit ini sering dikaitkan dengan varian genetik DQ2 dan DQ8, yang meningkatkan kebarangkalian seseorang untuk menghidap seliak.
Namun begitu, ia juga boleh berlaku kepada individu yang tidak memiliki genetik ini, menjadikan diagnosis agak mencabar.
Simptom dan Gejala:
- Cirit-birit kronik
- Kembung perut
- Loya
- Sembelit
- Pengeluaran gas berlebihan
Rawatan:
Walaupun anggaran global (Celiac Disease Foundation) menunjukkan bahawa 1 daripada 100 orang menghidap penyakit seliak, hanya sekitar 30% yang benar-benar didiagnosis secara rasmi, disebabkan gejalanya yang menyerupai gangguan penghadaman lain. Rawatan utama untuk penyakit ini ialah diet bebas gluten secara ketat.
3. Penyakit Crohn
Penyakit Crohn merupakan sejenis penyakit radang usus Inflammatory Bowel Disease (IBD yang menyebabkan keradangan kronik pada saluran gastrousus, termasuk usus kecil dan usus besar.
Keadaan ini boleh oleh berlaku secara berterusan atau berulang, dan biasanya memberi kesan langsung kepada bahagian tengah abdomen.
Simptom dan Gejala:
- Kejang perut
- Penurunan berat badan
- Keletihan melampau
- Hilang selera makan
- Loya
Rawatan:
Walaupun tiada penawar mutlak untuk penyakit Crohn, rawatan perubatan boleh membantu mengawal simptom dan memperlahankan perkembangan penyakit. Antara ubat yang biasa digunakan termasuk aminosalisilat, imunomodulator, kortikosteroid, dan terapi biologi.
4. Usus Kecil Tersumbat (Small Bowel Obstruction)

Punca sakit perut bahagian tengah yang berikunya adalah disebabkan oleh masalah usus kecil tersumbat
Menurut National Center for Biotechnology Information, masalah usus kecil tersumbat berlaku apabila terdapat halangan pada bahagian usus kecil yang menghalang makanan, cecair, dan gas daripada bergerak secara normal melalui sistem penghadaman.
Keadaan ini boleh menyebabkan sakit perut bahagian tengah, disertai dengan simptom lain seperti muntah, kembung perut, dan rasa tidak selesa yang berpanjangan.
Sumbatan ini boleh berlaku secara tiba-tiba dan memerlukan perhatian perubatan segera kerana ia boleh menyebabkan komplikasi serius jika tidak dirawat.
Antara punca utama sumbatan usus kecil termasuk lekatan (adhesions) selepas pembedahan, penyakit radang usus (IBD) seperti Crohn’s disease, hernia, kehadiran objek asing dalam usus, serta pusaran abnormal usus (volvulus). Rawatan bagi keadaan ini bergantung kepada tahap keterukan sumbatan.
Rawatan:
Dalam kes ringan, antibiotik, ubat tahan sakit, dan penggantian cecair melalui infus mungkin mencukupi untuk meredakan gejala. Namun, jika masalah tidak dapat diselesaikan secara konservatif, pembedahan mungkin diperlukan untuk membuang atau membetulkan bahagian usus yang tersumbat.
5. Iskemia Mesenterik Kronik (Chronic Mesenteric Ischemia)
Menurut Annals of Vascular Surgery – Brief Reports and Innovations, Iskemia mesenterik kronik merupakan keadaan di mana aliran darah ke usus kecil tidak mencukupi akibat saluran darah yang sempit atau tersumbat.
Keadaan ini menyebabkan tisu usus kekurangan oksigen dan nutrien yang diperlukan, lalu menimbulkan pelbagai masalah penghadaman.
Pada peringkat awal, iskemia mesenterik mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala, tetapi apabila aliran darah semakin berkurang, simptom akan mula muncul.
Gejala utama termasuk sakit perut di bahagian tengah yang muncul selepas makan, yang menyebabkan pesakit takut untuk makan kerana bimbang kesakitan akan berulang.
Ini boleh mengakibatkan penurunan berat badan yang ketara, selain simptom seperti loya, muntah, sembelit atau cirit-birit. Oleh kerana simptomnya berkembang secara perlahan, ramai pesakit tidak menyedari keadaan ini sehingga ia menjadi lebih serius.
Rawatan:
Rawatan bagi iskemia mesenterik kronik biasanya melibatkan pembedahan untuk membuang bekuan darah atau meluaskan saluran darah yang sempit, bagi mengembalikan aliran darah yang normal ke usus.
Diagnosis awal dan rawatan segera sangat penting untuk mencegah kerosakan kekal pada usus dan memastikan kesihatan sistem pencernaan dipulihkan sepenuhnya.
6. Semasa Kehamilan

Menurut International Journal of Women’s Health, sakit perut bahagian tengah semasa kehamilan adalah perkara biasa dan dalam kebanyakan kes, ia tidak menandakan masalah serius. Ia sering disebabkan oleh perubahan semula jadi dalam tubuh ibu hamil.
Punca dan Penyebab:
- Pengumpulan gas dalam perut
- Sembelit akibat perubahan hormon
- Sakit ligamen bulat (round ligament pain) iaitu rasa tegang atau sakit mencucuk di bahagian sisi perut apabila rahim semakin membesar dan meregangkan tisu di sekelilingnya
Namun begitu, tidak semua sakit perut semasa kehamilan boleh dianggap ringan. Ia juga boleh menjadi petanda kepada keadaan yang lebih serius seperti jangkitan saluran kencing (urinary tract infection) yang boleh menyebabkan sakit perut bersama rasa panas ketika kencing.
Selain itu, kehamilan ektopik, iaitu keadaan apabila embrio tertanam di luar rahim (selalunya di tiub fallopio), boleh menyebabkan sakit tajam di bahagian tengah atau tepi perut, dan ia adalah kecemasan perubatan.
Sakit perut juga boleh menandakan keguguran, terutamanya jika disertai dengan pendarahan, serta abruptio plasenta (pelepasan uri), iaitu keadaan serius di mana uri terpisah dari dinding rahim sebelum kelahiran, yang boleh mengancam nyawa ibu dan bayi.
Oleh itu, jika sakit perut semasa kehamilan disertai dengan gejala luar biasa seperti pendarahan, demam, atau sakit yang berterusan, rawatan segera diperlukan untuk memastikan keselamatan kedua-dua ibu dan bayi.
7. Sembelit
Sembelit adalah salah satu punca sakit perut bahagian tengah yang sering diabaikan. Ia berlaku apabila seseorang mengalami kesukaran membuang air besar atau kekerapan buang air besar menjadi kurang daripada biasa.
Keadaan ini menyebabkan najis terkumpul terlalu lama dalam usus besar, menjadikan perut kembung dan dipenuhi najis, yang akhirnya menimbulkan sakit atau rasa tidak selesa di bahagian tengah perut.
Selain itu, tekanan daripada najis yang keras dan sukar dikeluarkan boleh menyebabkan kekejangan usus dan menjejaskan pergerakan normal sistem pencernaan. Sembelit boleh berlaku akibat pengambilan serat yang rendah, kurang minum air, kurang bergerak, atau kesan sampingan daripada ubat-ubatan tertentu.
Rawatan:
Langkah mengatasi sembelit termasuk memperbanyakkan pengambilan air kosong, makanan berserat tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, serta aktiviti fizikal secara berkala. Dalam kes yang teruk, ubat pelawas atau rawatan lanjut mungkin diperlukan.
8. Keracunan Makanan

Punca sakit perut bahagian tengah yang berikutnya adalah kerana pengambilan makanan atau minuman yang tercemar dengan bakteria, virus, parasit, atau toksin.
Pencemaran ini boleh berlaku semasa proses penyediaan, penyimpanan, atau pengendalian makanan yang tidak bersih. Antara patogen yang biasa menyebabkan keracunan makanan termasuk Salmonella, E. coli, Listeria, dan Norovirus.
Simptom dan Gejala:
- Kekejangan perut
- Loya, muntah
- Cirit-birit
- Kadang kala demam ringan
Sakit perut ini terjadi apabila saluran penghadaman bertindak balas terhadap toksin atau organisma berbahaya yang masuk ke dalam tubuh.
Kebanyakan kes keracunan makanan akan pulih sendiri dalam masa 1 hingga 3 hari dengan rehat, minum air secukupnya, dan pemantauan simptom. Namun, bagi kes yang lebih teruk seperti cirit-birit berdarah, muntah berterusan, atau tanda-tanda dehidrasi, rawatan perubatan segera diperlukan.
9. Masalah Hati atau Pankreas
Masalah pada hati atau pankreas juga boleh menjadi punca sakit perut bahagian tengah, khususnya jika melibatkan keradangan atau gangguan fungsi organ-organ ini.
Hati dan pankreas memainkan peranan penting dalam proses penghadaman dan metabolisme tubuh, dan sebarang gangguan padanya boleh menyebabkan kesakitan yang ketara di kawasan tengah hingga atas abdomen.
Contohnya, keradangan pankreas (pankreatitis) boleh menyebabkan sakit perut tengah yang teruk dan berpanjangan, yang mungkin merebak ke belakang serta disertai dengan loya dan muntah.
Pankreatitis biasanya berpunca daripada pengambilan alkohol berlebihan, batu karang, atau jangkitan.
Sementara itu, masalah hati seperti hepatitis, lemak berlebihan pada hati (fatty liver) atau kegagalan hati boleh menyebabkan ketidakselesaan di bahagian atas tengah perut, bersama simptom lain seperti keletihan, warna air kencing menjadi gelap, kulit atau mata kekuningan (jaundis), dan hilang selera makan.
Kedua-dua keadaan ini memerlukan diagnosis dan rawatan perubatan segera, kerana keradangan atau kerosakan berterusan pada organ hati dan pankreas boleh membawa kepada komplikasi yang serius.
Ujian darah, imbasan ultrasound atau CT scan biasanya digunakan untuk mengenal pasti punca sebenar, diikuti dengan rawatan bergantung kepada penyebab dan tahap keterukan masalah tersebut.
10. Batu Hempedu

Batu hempedu merupakan ketulan kecil yang terbentuk di dalam pundi hempedu, biasanya daripada kolesterol atau bahan buangan lain dalam hempedu.
Menurut National Center for Biotechnology Information, kehadiran batu hempedu boleh menyekat aliran hempedu ke usus kecil, menyebabkan keradangan dan menimbulkan sakit perut yang tajam atau mencengkam, terutamanya di bahagian tengah atas perut, dan kadangkala merebak ke bahagian kanan atas atau belakang badan.
Kesakitan akibat batu hempedu sering berlaku secara tiba-tiba, terutamanya selepas makan makanan berlemak, dan boleh bertahan antara beberapa minit hingga beberapa jam.
Simptom dan Gejala:
- Loya dan muntah
- Kembung perut
- Rasa kenyang berpanjangan walaupun makan sedikit
- Dalam kes yang lebih serius, batu hempedu boleh menyebabkan radang pundi hempedu (cholecystitis), yang disertai dengan demam dan sakit yang semakin kuat
Rawatan:
Rawatan bergantung kepada tahap keterukan. Bagi kes ringan, perubahan diet dan ubat-ubatan mungkin mencukupi, namun jika batu menyebabkan jangkitan atau penyumbatan serius, pembedahan membuang pundi hempedu (kolesistektomi) biasanya disarankan.
Pemeriksaan lanjut seperti ultrasound abdomen diperlukan untuk mengesahkan kehadiran batu hempedu dan menentukan rawatan yang sesuai.
Kesimpulan
Kesimpulannya, sakit perut bahagian tengah bukanlah satu keadaan yang boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi jika ia berlaku secara berpanjangan atau disertai dengan simptom lain seperti muntah, demam, cirit-birit, atau perubahan dalam tabiat membuang air besar.
Mengenal pasti tanda awal dan memahami faktor penyebabnya dapat membantu anda mengambil langkah segera untuk mendapatkan rawatan yang sesuai.
Jika anda mengalami sakit yang tidak reda atau semakin teruk, berjumpalah dengan doktor untuk diagnosis dan rawatan lanjut demi kesihatan jangka panjang anda.
Berikut adalah punca sakit perut bahagian tengah yang perlu anda tahu:
- Gastroenteritis
- Penyakit Seliak
- Penyakit Crohn
- Usus Kecil Tersumbat (Small Bowel Obstruction)
- Iskemia Mesenterik Kronik (Chronic Mesenteric Ischemia)
- Semasa Kehamilan
- Sembelit
- Keracunan Makanan
- Masalah Hati atau Pankreas
- Batu Hempedu
Anda juga boleh baca segala informasi tentang sakit perut di sini: