Sakit Kepala Sebelah Belakang : Jenis, Simptom, Punca & Rawatan
Sakit kepala sebelah belakang boleh berlaku secara tiba-tiba atau beransur-ansur, dan tahap kesakitannya berbeza-beza daripada ringan hingga teruk.
Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti postur badan yang salah, tekanan, masalah otot leher, atau keadaan kesihatan yang lebih serius seperti tekanan darah tinggi atau jangkitan.
Memahami jenis-jenis sakit kepala, simptom yang berkaitan, serta punca utamanya adalah langkah pertama untuk mendapatkan rawatan yang sesuai.
Artikel ini akan mengupas secara terperinci tentang jenis sakit kepala sebelah belakang, simptom-simptom yang perlu diberi perhatian, punca-punca yang mungkin, serta kaedah rawatan yang boleh membantu melegakan kesakitan dan mencegahnya daripada berulang.
Apa itu Sakit Kepala Sebelah Belakang?

Sakit kepala sebelah belakang merujuk kepada kesakitan yang tertumpu pada bahagian belakang kepala, sama ada di sebelah kiri atau kanan. Ia boleh bersifat ringan dan sementara atau menjadi lebih teruk dan berpanjangan sehingga menggangu kualiti hidup seseorang.
Sakit ini boleh dirasai dalam bentuk sakit berdenyut, menekan, mencucuk, atau seperti ketegangan yang kuat. Kesakitan ini mungkin berlaku secara sementara atau berterusan, bergantung kepada punca yang menyebabkannya.
Kadangkala, sakit kepala sebelah belakang boleh melibatkan bahagian leher dan bahu, terutama jika ia berpunca daripada ketegangan otot atau masalah tulang belakang.
Terdapat beberapa jenis sakit kepala yang boleh menyebabkan sakit di bahagian belakang kepala, termasuk sakit kepala tegang (tension headache), migrain, sakit kepala kluster, serta sakit kepala servikogenik yang berkaitan dengan masalah pada leher. Mengetahui jenis sakit kepala ini dapat membantu menentukan kaedah rawatan yang paling berkesan.
Simptom & Gejala
Antara simptom sakit kepala sebelah belakang adalah seperti berikut:
- Rasa tekanan atau ketegangan di belakang kepala atau tengkuk.
- Sakit tumpul, berterusan, atau berdenyut-denyut.
- Sakit boleh merebak ke dahi, sisi kepala, atau dari leher ke belakang kepala.
- Sensitiviti terhadap cahaya, bunyi, loya, atau muntah.
- Kekakuan atau ketegangan di leher dan bahu.
- Gangguan visual seperti penglihatan kabur atau aura.
- Sakit yang amat teruk, menusuk, dan datang secara tiba-tiba.
- Rasa pening atau ketidakseimbangan.
- Mata merah, berair, atau hidung tersumbat.
Punca Sakit Kepala Sebelah Belakang
Sakit kepala sebelah belakang boleh berpunca daripada pelbagai faktor yang mempengaruhi sistem sarah, peredaran darah, otot, dan postur badan seseorang.
Setiap punca ini mempunyai mekanisme tersendiri dalam mencetuskan kesakitan, sama ada dalam bentuk sakit berdenyut, tekanan, atau sensasi mencucuk yang mengganggu aktiviti harian.
Berikut adalah huraian mendalam tentang punca-punca utama sakit kepala sebelah belakang:
1. Sakit Kepala Tegang (Tension Headache)
Sakit kepala tegang atau tension headache adalah antara penyebab paling biasa bagi sakit kepala sebelah belakang. Menurut Annals of Indian Academy of Neurology, ia berlaku apabila otot-otot di sekitar kepala, leher, dan bahu menjadi tegang akibat tekanana fizikal atau emosi.
Keadaan ini sering dialami oleh individu yang bekerja dalam keadaan stres tinggi, menghabiskan banyak masa di hadapan komputer, atau mempunyai postur badan yang tidak betul ketika duduk dan tidur. Apabila otot menjadi tegang, ia boleh menyebabkan tekanan kepada saraf di bahagian belakang kepala, mencetuskan kesakitan yang terasa seperti kepala sedang diikat dengan tali yang ketat.
Selain itu, kekurangan tidur, dehidrasi, serta gaya hidup yang tidak sihat boleh memburukkan lagi sakit kepala jenis ini. Walaupun tension headache biasanya tidak berbahaya, ia boleh menjadi masalah kronik jika tidak dikawal dengan baik.
Rehat yang cukup, teknik pernafasan dalam, serta regangan otot leher dan bahu boleh membantu mengurangkan ketegangan yang boleh menyebabkan sakit kepala ini.
2. Migrain

Migrain adalah satu lagi punca utama sakit kepala sebelah belakang yang boleh menyebabkan kesakitan yang lebih teruk dan menganggu kesihatan seharian. Migrain dipercayai berpunca daripada perubatan dalam aktiviti saraf serta peredaran darah dalam otak.
Ia sering berlaku dalam bentuk sakit kepala yang berdenyut-denyut pada satu bahagian kepala, termasuk bahagian belakang.
Menurut National Center for Biotechnology Information, serangan migrain sering dipicu oleh beberapa faktor, antaranya tekanan emosi, kurang tidur, perubahan hormon, pengambilan makanan tertentu (seperti makanan berproses yang mengandungi MSG atau keju yang telah diperam), serta pendedahan kepada cahaya terang atau bunyi yang kuat.
Selain sakit kepala yang teruk, migrain juga sering disertai dengan simptom lain seperti loya, muntah, serta sensitiviti yang tinggi terhadap cahaya dan bunyi.
3. Sakit Kepala Kluster (Cluster Headache)
Sakit kepala kluster atau cluster headache adalah jenis sakit kepala yang jarang berlaku tetapi sangatt menyakitkan. Berbeza dengan migrain atau tension headache, sakit kepala kluster berlaku dalam pola tertentu, di mana individu mengalami serangan sakit kepala berulang dalam tempoh beberapa minggu atau bulan sebelum hilang atau satu tempoh tertentu.
Menurut Orphanet Journal of Rare Disease, kesakitan akibat cluster headache sering bersifat amat kuat dan tajam, biasanya berlaku di satu bahagian kepala sahaja dan boleh melibatkan mata.
Mata pada bahagian yang terjejas mungkin menjadi merah, berair, dan bengkak, manakala hidung mungkin berair atau tersumbat. Serangan ini sering berlaku pada waktu malam, mengganggu tidur seseorang.
4. Masalah Tulang Belakang Serviks (Cervicogenic Headache)

Sakit kepala servikogenik adalah jenis sakit kepala yang berpunca daripada masalah pada tulang belakang serviks, yang merangkumi vertebra di bahagian leher. Keadaan ini sering terjadi akibat cakera tergelincir, arthritis serviks, atau kecederaan leher seperti whiplash injury akibat kemalangan jalan raya.
Kesakitan biasanya bermula di bahagian leher dan kemudian merebak ke belakang kepala, sering kali dirasakan sebagai rasa berat atau tegang di sekitar tengkuk dan kepala.
Seseorang mungkin sukar menggerakkan kepala ke satu arah tertentu kerana rasa ketegangan di leher. Selain itu, individu yang mengalami postur yang buruk, seperti membongkok terlalu lama ketika berjalan, lebih cenderung mengalami sakit kepala jenis ini.
Rawatan untuk sakit kepala servikogenik selalunya melibatkan terapi fizika, urutan fisioterapi, dan rawatan chiropractic, selain penggunaan ubat tahan sakit seperti NSAID untuk mengurangkan keradangan.
5. Tekanan Darah Tinggi (Hipertensi)

Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal boleh menyebabkan sakit kepala yang kuat di bahagian belakang kepala. Ini berlaku kerana peningkatan tekanan dalam saluran darah boleh menyebabkan pembengkakan pada saluran darah otak, yang seterusnya mencetuskan kesakitan.
Sakit kepala akibat tekanan darah tinggi biasanya lebih teruk pada waktu pagi dan boleh disertai dengan simptom lain seperti rasa pening, penglihatan kabur, sesak nafas atau keletihan melampau. Dalam kes yang lebih serius, tekanan darah tinggi boleh menyebabkan krisis hipertensi, yang boleh mengakibatkan strok atau serangan jantung jika tidak dirawat segera.
Pengawalan tekanan darah melalui pemakanan sihat, senaman, serta ubat-ubatan yang disarankan oleh doktor adalah langah penting bagi mencegah komplikasi serius akibat hipertensi.
6. Postor Badan Yang Salah

Postur badan yang tidak betul adalah salah satu penyebab utama sakit kepala sebelah belakang, terutama bagi mereka yang menghabiskan masa yang lama duduk di hadapan komputar atau bekerja dalam kedudukan statik.
Menurut National Center for Biotechnology Information, duduk dengan bahu yang membongkok ke depan atau tidur dalam posisi yang tidak menyokong leher dengan baik boleh menyebabkan tekanan pada otot leher dan tulang belakang serviks, yang akhirnya membawa kepada sakit kepala.
Untuk mengelakkan sakit kepala jenis ini, adalah penting untuk memastikan postur yang baik, menggunakan kerusi ergonomik, serta mengambil rehat secara berkala untuk menggerakkan badan.
7. Masalah Mata (Ketegangan Mata)

Penggunaan komputer atau telefon bimbit dalam tempoh yang panjang tanpa rehat boleh menyebabkan ketegangan mata digital, yang seterusnya mencetuskan sakit kepala sebelah belakang.
Ini berlaku kerana otot mata menjadi letih akibat tumpuan yang terlalu lama, menyebabkan tekanan yang merebak ke bahagian belakang kepala dan tengkuk.
Menggunakan kaedah 20-20-20 – iaitu berehat setiap 20 minit dengan melihat sesuatu sejauh 20 kaki selama 20 saat – boleh membantu mengurangkan tekanan pada mata dan mencegah sakit kepala ini.
8. Kekurangan Tidur
Kurang tidur atau tidur yang tidak berkualiti boleh menyebabkan gangguan pada bahan kimia dalam otak, mengakibatkan sakit kepala, termasuk di bahagian belakang kepala. Tidur yang tidak cukup juga boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, seterusnya menyumbang kepada sakit kepala.
Untuk mengelakkan masalah ini, individu perlu memastikan tidur yang mencukupi sekurang-kurangnya 7-9 jam setiap malam, mengamalkan jadual tidur yang konsisten, serta mengelakkan penggunaan skrin sebelum tidur.
9. Pengambilan Kafein atau Alkohol Berlebihan

Pengambilan kafein atau alkohol dalam jumlah yang berlebihan boleh menyebabkan saluran darah di otak mengecut dan mengembang secara tidak menentu, mencetuskan sakit kepala.
Individu yang mengalami ketagihan kafein juga boleh mengalami sakit kepala akibat penarikan kafein jika mereka tiba-tiba berhenti mengambilnya. Mengawal jumlah pengambilan kafein dan alkohol serta memastikan penghidratan yang mencukupi boleh membantu mengurangkan risiko sakit kepala jenis ini.
Rawatan Yang Boleh Diberikan
Rawatan bagi sakit kepala sebelah belakang bergantung kepada puncanya. Oleh itu, terdapat beberapa keadah rawatan yang boleh membantu mengurangkan kesakitan dan mencegah ia daripada berulang.
1. Pengambilan Ubat

Salah satu cara yang paling cepat dan berkesan untuk melegakan sakit kepala adalah dengan mengambil ubat penahan sakit. Ubat seperti paracetamol, ibuprofen, atau aspirin boleh membantu mengurangkan kesakitan serta keradangan yang mungkin berlaku.
Namun, penggunaan ubat perlu dilakukan mengikut dos yag disarankan dan tidak boleh diambil secara berlebihan bagi mengelakkan kesan sampingan serta kerosakan hati atau perut.
2. Terapi Urut dan Fisioterapi

Jika sakit kepala berpunca daripada ketegangan otot di bahaian leher dan belakang kepala, tetapi urut atau fisioterapi boleh menjadi pilihan yang baik.
Urutan dapat membantu melonggarkan otot yang tegang dan meningkatkan peredaran darah ke kawasan yang terjejas. Fisioterapi pula boleh melibatkan senaman tertentu untuk menguatkan otot leher dan mengurangkan tekanan yang menyebabkan sakit kepala.
3. Teknik Relaksasi
Tekanan dan stres boleh menjadi punca utama sakit kepala sebelah belakang. Oleh itu, mengamalkan teknik relaksasi seperti meditasi, pernafasan dalam, atau yoga boleh membantu menenangkan sistem saraf dan meningkatkan keseimbangan emosi, sekali gus mengurangkan risiko sakit kepala berulang.
4. Menjaga Postur Badan

Postur badan yang tidak betul, seperti duduk dalam posisi yang salah atau terlalu lama menundukkan kepala, boleh menyebabkan tekanan pada leher dan belakang kepala.
Oleh itu, penting untuk memastikakn postur yang betul semasa duduk, berdiri, dan tidur bagi mengelakkan ketegangan otot. Penggunaan bantal yang sesuai dan kerusi yang menyokong tulang belakang juga dapat membantu mengurangkan risiko sakit kepala akibat postur yang salah.
5. Rehat yang Cukup
Kurang tidur atau tidur yang tidak berkualiti boleh menjadi pencetus sakit kepala. Oleh itu, mendapatkan tidur yang mencukupi dan berkualiti amat penting untuk memastikan tubuh dan minda dapat rehat yang secukupnya.
Tidur yang baik dapat membantu mengawal tahap hormon stres dalam badan dan mengurangkan kemungkin an sakit kepala berlaku.
6. Minum Air yang Cukup
Dehidrasi adalah salah satu penyebab utama sakit kepala yang sering diabaikan. Apabila badan kekurangan air, tekanan darah boleh berubah, menyebabkan sakit kepala dan ketidakselesaan.
Oleh itu, penting untuk memastikan pengambilan air yang mencukupi sepanjang hari untuk mengekalkan hidrasi badan dan mengurangkan risiko sakit kepala.
Cara Mengelak Dari Sakit Kepala Sebelah Belakang
Untuk mengelakkan sakit kepala sebelah belakang, penting untuk mengekalkan postur badan yang betul, terutamanya ketika duduk lama di depan komputer atau memandu. Amalan pengurusan stres seperti meditasi dan rehat mencukupi juga membantu mengurangkan ketegangan otot.
Tidur yang berkualiti, hidrasi yang mencukupi, dan senaman regangan leher secara berkala dapat mencegah ketegangan otot yang menjadi punca sakit kepala.
Kurangkan penggunaan alat elektronik untuk mengelakkan ketegangan mata dan leher serta perhatikan pola pemakanan dengan mengelakkan makanan pencetus sakit kepala seperti MSG atau makanan berkafein tinggi.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Anda perlu berjumpa doktor jika sakit kepala sebelah belakang berlaku secara kerap, tiba-tiba menjadi lebih teruk, atau tidak hilang walaupun selepas mengambil ubat tahan sakit. Segera dapatkan rawatan jika sakit kepala disertai simptom seperti:
- penglihatan kabur
- leher menjadi kaku
- muntah tanpa sebab jelas
- demam tinggi
- kekeliruan
- kesukaran bercakap
Jika anda mengalami kehilangan keseimbangan, kelemahan pada satu bahagian badan, atau sawan, ini mungkin tanda masalah serius seperti pendarahan otot, strok, atau jangkitan meningitis.
Selain itu, jika sakit kepala muncul selepas kecederaan kepala, atau anda mempunyai sejarah penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi atau kanser, pemeriksaan lanjut amat penting untuk mengenal pasti punca sebenar.
Kesimpulan
Kesimpulannya, sakit kepala sebelah belakang boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor, dari ketegangan otot hingga masalah kesihatan yang lebih serius. Dengan mengenal pasti punca dan mengamalkan langkah pencegahan yang betul, kita dapat mengurangkan risiko mengalami sakit kepala ini.
Namun, jika sakit kepala berpanjangan atau semakin teruk, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan yang sesuai.
Anda juga boleh baca segala informasi tentang sakit kepala di sini: