Sakit Bawah Perut – Simptom Biasa atau Petanda Awal Masalah Kesihatan?
Sakit bawah perut adalah salah satu simptom yang sering dialami oleh ramai individu, tidak kira lelaki mahupun wanita.
Dalam kebanyakan kes, ia berpunca daripada masalah biasa seperti gangguan sistem penghadaman atau jangkitan saluran kencing (UTI). Kesakitan ini lazimnya tidak membimbangkan dan boleh dirawat dengan mudah.
Namun, perlu diingat bahawa kawasan bawah perut menempatkan beberapa organ penting seperti rahim, pundi kencing, dan usus.
Oleh itu, sakit di kawasan ini juga boleh menjadi petanda awal kepada masalah yang lebih serius, seperti keradangan atau penyakit yang melibatkan organ-organ tersebut.
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda mengenai sakit bawah perut dari segi simptom, punca, komplikasi yang boleh berlalu, dan cara merawat yang betul.
Apa itu Sakit Bawah Perut?

Sakit bawah perut merujuk kepada kesakitan yang berlaku di bahagian bawah abdomen iaitu kawasan di bawah pusat sehingga ke tulang pubik. Bahagian ini merangkumi beberapa organ penting, termasuk organ dalam abdomen dan pelvis.
Oleh kerana banyak organ terlibat, sukar untuk menentukan punca sebenar tanpa pemeriksaan lanjut.
Dalam kalangan wanita, sakit perut boleh berpunca daripada masalah sistem reproduktif, sistem kencing atau sistem pencernaan.
Bagi lelaki pula, ia mungkin disebabkan oleh penyakit seperti radang usus besar (colitis), hernia inguinal, atau kesakitan pelvis.
Setiap punca kesakitan boleh dirasai dengan cara yang berbeza. Ada yang rasa berdenyut, tajam, datang dan pergi, malah ada juga yang sederhana sehingga sangat sakit.
Dalam beberapa kes, kesakitan ini boleh merebak ke bahagian pinggang, punggung atau paha. Rasa sakit juga mungkin menjadi lebih jelas ketika membuang air kecil atau semasa melakukan hubungan kelamin.
Simptom dan Gejala
Simptom yang berkaitan dengan sakit bawah perut boleh berbeza-beza bergantung kepada punca utama, namun mungkin termasuk:
- Sakit tajam atau seperti kekejangan
- Perut kembung dan berangin
- Perubahan dalam corak buang air besar
- Loya dan muntah
- Demam dan menggigil
- Sakit semasa membuang air kecil
- Pendarahan haid yang tidak normal
Punca Sakit Bawah Perut
Punca sakit bawah perut terbahagi kepada dua jenis utama: sakit bawah perut akut dan sakit bawah perut kronik. Antara puncanya adalah seperti berikut:
1. Gas Terperangkap
Gas dalam sistem pencernaan adalah fenomena biasa, namun apabila ia berkumpul secara berlebihan dan tidak dapat dikeluarkan dengan mudah, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan yang ketara.
Gas ini biasanya terbentuk hasil daripada proses penapaian makanan oleh bakteria dalam usus besar, terutama makanan yang mengandungi serat tinggi atau karbohidrat kompleks yang tidak tercerna sepenuhnya di usus kecil.
Menurut National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease, apabila gas tidak dilepaskan melalui sendawa atau kentut, ia boleh terperangkap dalam usus dan menyebabkan tekanan di kawasan abdomen bawah.
Keadaan ini sering membuatkan seseorang rasa seolah-olah perut penuh, kembung dan menekan, terutamanya selepas makan.
Kesakitan boleh menjadi tajam atau berdenyut dan kadangkala berpindah dari satu tempat ke tempat lain di bahagian perut.
2. Sembelit

Sembelit berlaku apabila najis bergerak terlalu perlahan dalam usus besar menyebabkan ia menjadi keras, kering dan sukar untuk disingkirkan.
Proses ini sering dikaitkan dengan pengambilan air yang tidak mencukupi, kekurangan serat dalam diet harian, kurangnya aktiviti fizikal, atau akibat penggunaan ubat-ubatan tertentu.
Kajian oleh National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, apabila najis berkumpul dan tidak dikeluarkan, ia boleh menyebabkan tekanan dalam usus meningkat, yang akhirnya menimbulkan kesakitan atau rasa tidak selesa di bahagian bawah perut.
Penghidap juga mungkin merasa seperti masih belum selesai membuang air walaupun telah ke tandas.
Sembelit yang berpanjangan boleh menyebabkan komplikasi seperti buasir atau fisur anus, yang menambahkan lagi beban kesakitan.
3. Apendiks

Apendisitis ialah radang pada apendiks, satu organ kecil berbentuk tiub yang terletak di bahagian kanan bawah abdomen.
Ia sering bermula apabila apendiks tersumbat, sama ada oleh najis, benda asing atau jangkitan. Penyumbatan ini menyebabkan bakteria membiak dan menyebabkan keradangan.
Kesakitan bermula di kawasan pusat dan berpindah ke kanan bawah abdomen, menjadi lebih tajam dan kuat dalam tempoh yang singkat.
Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang berasa loya, muntah, demam, dan tidak selesa apabila perut ditekan.
Menurut National Center for Biotechnology Information, jika tidak dirawat segera, apendiks boleh pecah, menyebabkan jangkitan serius dalam rongga abdomen (peritonitis) yang mengancam nyawa.
4. Batu Karang

Batu karang terbentuk daripada pengumpulan kristal mineral seperti kalsium atau asid urik yang tidak larut dalam air kencing.
Menurut National Center for Biotechnology Information, apabila batu ini besar atau cuba melalui ureter iaitu salur sempit yang menghubungkan buah pinggang ke pundi kencing, ia boleh menyebabkan kesakitan yang sangat kuat, atau boleh juga digambarkan sebagai “kolik renal”.
Kesakitan selalunya bermula di bahagian sisi pinggang dan boleh merebak ke bawah perut, pangkal paha atau alat sulit.
Selain sakit, pesakit mungkin mengalami kencing berdarah, rasa terbakar ketika kencing, dan sering perlu ke tandas. Kesakitan biasanya datang dalam gelombang (intermittent), dan boleh mengganggu aktiviti harian secara serius.
5. Jangkitan Buah Pinggang

Jangkitan buah pinggang, atau pyelonephritis, biasanya bermula dari saluran kencing bawah seperti pundi kencing, sebelum bakteria naik ke buah pinggang.
Jangkitan ini menyebabkan keradangan dan pembengkakan pada buah pinggang, menghasilkan kesakitan di bahagian belakang badan atau sisi, yang kadangkala merebak ke bawah perut.
Simptom lain termasuk demam denggi, menggigil, muntah, air kencing keruh atau berbau busuk, dan kencing yang kerap serta menyakitkan.
Jika dibiarkan tanpa rawatan, jangkitan ini boleh merosakkan buah pinggang atau memasuki aliran darah menyebabkan sepsis.
6. Endometriosis

Menurut Australian Journal of General Practice, endometriosis ialah gangguan kronik yang menjejaskan sistem reproduktif wanita.
Dalam keadaan ini, tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim (endometrium) tumbuh di luar rahim, contohnya pada ovari, tiub fallopio, pundi kencing, atau usus.
Tisu ini turut bertindak balas terhadap hormon haid, menyebabkan ia menebal, pecah dan berdarah seperti tisu rahim biasa.
Namun, kerana ia tidak berada di dalam rahim, darah dan tisu ini tidak dapat keluar dari badan, menyebabkan keradangan, pembentukan tisu parut (adhesi) dan kesakitan berulang, terutamanya semasa haid, hubungan kelamin, buang air kecil atau besar. Kesakitan biasanya tertumpu di pelvis dan abdomen bawah.
7. Penyakit Radang Usus
Penyakit Radang Usus juga dikenali sebagai Inflammatory Bowel Disease atau IBD. Dalam IBD terdapat dua keadaan utama yang menjadi punca sakit bawah perut iaitu penyakit Crohn dan kolitus ulseratif.
Penyakit Crohn boleh menyerang mana-mana bahagian dari mulut hingga ke anus, manakala kolitus ulseratif biasanya terhad kepada usus besar dan rektum.
Radang ini mengganggu fungsi normal usus dan menyebabkan sakit yang berpanjangan di bahagian bawah perut, cirit-birit yang mungkin berdarah, keletihan, dan penurunan berat badan.
Gejala sering datang dan boleh memberi kesan besar kepada gaya hidup dan kesihatan jangka panjang pesakit.
8. Sindrom Usus Rengsa

Sindrom Usus Rengsa atau IBS pula adalah gangguan fungsional saluran pencernaan yang bukan disebabkan oleh keradangan atau jangkitan, tetapi melibatkan ketidak seimbangan antara otak dan usus.
Pesakit IBS biasanya mengalami sakit bawah perut yang berulang, berserta perubahan dalam corak buang air besar seperti sembelit, cirit-birit atau kedua-duanya secara berselang-seli.
Simptom boleh bertambah teruk akibat tekanan emosi, pengambilan makanan tertentu, atau gaya hidup tidak sihat.
Walaupun tidak mengancam nyawa atau menyebabkan kerosakan organ, IBS sangat mengganggu kualiti hidup dan boleh menyebabkan tekanan psikologi.
9. Penyakit Divertikular
Menurut Medical Journal of Australia, divertikula ialah kantung kecil yang terbentuk pada dinding usus besar, terutama apbila usus terdedah kepada tekanan tinggi dalam jangka masa lama.
Apabila kantung ini menjadi radang atau dijangkiti (divertikulitis), ia akan menyebabkan rasa tajam di bahagian bawah kiri perut.
Keadaan ini sering disertai dengan simptom perut kembung, sembelit, atau cirit-birit. Ia lebih kerap berlaku dalam kalangan warga emas dan mereka yang kurang mengambil serat dalam diet harian.
10. Perlekatan
Perlekatan abdomen adalah tisu parut yang terbentuk di antara organ dalaman atau antara organ dan dinding abdomen.
Ia biasanya terbentuk selepas pembedahan atau akibat jangkitan atau keradangan kronik.
Menurut National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease, dalam kebanyakan kes, perlekatan tidak menimbulkan gejala, namun apabila ia menarik organ atau menyebabkan usus terbelit, ia boleh menyebabkan sakit bawah perut, sembelit, muntah, dan masalah penghadaman yang lain.
Kesakitan sering berlaku secara tiba-tiba dan boleh berulang-ulang tanpa sebab yang jelas.
11. Disfungsi Lantai Pelvis
Keadaan ini berlaku apabila otot lantai pelvis menjadi terlalu tegang atau lemah menyebabkan kesukaran dalam mengawal pergerakan usus, kencing dan fungsi seksual.
Ia boleh menyebabkan rasa berat, tekanan, atau sakit di kawasan bawah perut dan pelvis.
Kesakitan boleh menjadi kronik dan disertai dengan kesukaran membuang air kecil atau besar, keinginan kerap untuk kencing, dan ketidakselesaan semasa melakukan hubungan seksual.
Ia lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita yang pernah melahirkan anak atau mengalami trauma fizikal di kawasan pelvis.
12. Fibroid Rahim
Fibroid adalah ketumbuhan yang berkembang dalam otot rahim. Saiz dan lokasi fibroid menentukan simptom yang dialami.
Sesetengah wanita tidak mengalami apa-apa simptom, manakala yang lain mungkin mengalami kesakitan bawah perut yang berpanjangan, tekanan pada pundi kencing, haid yang banyak dan berpanjangan, serta kesukaran untuk hamil.
Fibroid juga boleh menyebabkan sakit belakang atau pinggang, dan dalam kes yang jarang berlaku, rasa sakit yang sangat kuat apabila fibroid mengalami degenerasi atau kekurangan bekalan darah.
13. Cystitis Interstisial
Cystitis interstisial ialah sejenis keradangan kronik pada dinding pundi kencing yang menyebabkan kesakitan di kawasan bawah perut, terutamanya di atas tulang pubik.
Kesakitan ini boleh bertambah teruk apabila pundi kencing penuh dan reda selepas kencing.
Pesakit juga mungkin mengalami desakan untuk kencing dengan kerap, kesakitan ketika membuang air kecil, serta ketidakselesaan semasa hubungan kelamin.
Menurut National Center for Biotechnology information, cystitis interstisia sering kali tidak mempunyai punca yang jelas dan sukar untuk di diagnosis kerana simptomnya menyerupai jangkitan saluran kencing biasa.
Komplikasi Penyakit
Antara komplikasi yang boleh berlaku akibat sakit bawah perut jika tidak dirawat dengan betul ialah:
- Apendiks pecah – Menyebabkan jangkitan serius (peritonitis) jika apendisitis tidak dirawat.
- Sepsis – Jangkitan melarat ke seluruh badan, boleh mengancam nyawa.
- Kemandulan – Akibat kerosakan pada organ pembiakan seperti dalam kes endometriosis atau PID.
- Usus tersumbat – Menyebabkan muntah, sembelit teruk dan mungkin perlukan pembedahan.
- Kerosakan buah pinggang – Jangkitan buah pinggang yang tidak dirawat boleh rosakkan fungsi buah pinggang.
- Pendarahan dalaman – Berlaku akibat fibroid besar atau kehamilan luar rahim (ektopik).
Rawatan yang Boleh Diberikan
Rawatan sakit bawah perut boleh dilakukan bergantung kepada tahap keseriusan dan punca gejala.
1. Rawatan di Rumah untuk Kes yang Ringan
Banyak kes sakit bawah perut berpunca daripada masalah ringan, khususnya berkaitan sistem penghadaman seperti angin, sembelit, atau ketidakselesan perut selepas makan.
Dalam situasi ini, rawatan di rumah selalunya mencukupi dan berkesan. Antara langkah yang boleh diambil termasuk berehat secukupnya dan memastikan tubuh sentiasa terhidrat.
Air membantu melancarkan sistem penghadaman dan mengurangkan ketegangan dalam usus. Anda boleh mengikuti diet cairan yang jelas selama satu hingga dua hari bagi member ruang kepada sistem penghadaman untuk “berehat”.
Diet ini melibatkan pengambilan air kosong, sup jernih, dan jus buah tanpa serat.
2. Ubat-ubatan Tanpa Preskripsi (OTC)
Untuk sakit yang ringan, anda boleh menggunakan ubat-ubatan tanpa preksripsi yang dijual di farmasi.
Ubat seperti Gaviscon atau Eno membantu melegakan angin terperangk, pedih ulu hati atau ketidakselesaan perut, manakala ubat julap boleh digunakan bagi merawat cirit-birit ringan.
Jika kesakitan berkaitan keradangan, ubat penahan sakit seperti ibuprofen atau acetaminophen (Tylenol) boleh membantu mengurangkan rasa sakit.
3. Penyesuaian Pemakanan dan Gaya Hidup

Bagi mereka yang mengalami sakit bawah perut akibat masalah kronik seperti sindrom usus rengsa (IBS), penyakit radang usus (IBD), atau endometriosis, rawatan jangka panjang sering kali melibatkan perubahan pemakanan.
Ini termasuk diet tinggi serat, mengelakkan makanan berminyak atau pedas, serta mengurangkan pengambilan kafein dan alkohol.
Selain itu, pengurusan tekanan, senaman ringan, dan tidur yang mencukupi juga memainkan peranan penting dalam meredakan simptom jangka panjang.
4. Ubat Preskripsi untuk Kes Lebih Serius
Jika rawatan di rumah tidak memberi kesan, atau jika sakit perut berpunca daripada keadaan yang lebih serius seperti jangkitan buah pinggang, radang apendiks, atau penyakit radang usus, doktor mungkin akan menetapkan ubat preskripsi.
Ini boleh termasuk ubat tahan sakit yang lebih kuat, steroid anti-radang bagi mengurangkan keradangan, atau antibiotik jika jangkitan dikenal pasti sebagai punca.
5. Rawatan Kecemasan dan Pembedahan
Dalam kes sakit bawah perut yang sangat teruk, berterusan, atau disertai simptom serius seperti demam tinggi, muntah teruk, darah dalam najis atau air kencing, atau kekakuan abdomen, pesakit perlu mendapatkan rawatan kecemasan segera.
Rawatan akan bergantung kepada diagnosis yang diperoleh selepas ujian fizikal dan pengimejan (seperti imbasan CT atau ultrasound).
Sesetengah keadaan seperti apendisitis, batu karang besar, atau kehamilan luar rahim mungkin memerlukan pembedahan segera untuk mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Anda perlu segera berjumpa doktor jika mengalami sakit bawah perut yang tiba-tiba dan sangat kuat, atau jika kesakitan tidak berkurang dan semakin teruk dari semasa ke semasa. Antara tandanya adalah seperti:
- Perut kelihatan kembung, keras, atau sangat sensitif apabila disentuh
- Terdapat darah dalam air kencing atau najis
- Mengalami demam yang berterusan
- Muntah atau loya berpanjangan
- Kulit dan mata menjadi kekuningan (juandis)
- Tidak dapat makan selama beberapa hari
- Tidak buang air besar selama beberapa hari
- Baru mengalami kecederaan pada bahagian abdomen
- Anda sedang hamil dan mengalami sakit bawah perut
Kesimpulan
Kesimpulannya, sakit bawah perut adalah masalah biasa yang berkemungkinan berlaku disebabkan pelbagai keadaan.
Walaupun kebanyakan kes tidak membabitkan masalah serius, terdapat simptom tertentu seperti sakit yang teruk, berpanjangan atau disertai tanda amaran lain yang tidak boleh diabaikan.
Penting untuk mengenal pasti punca sebenar dan mendapatkan rawatan sewajarnya agar sebarang komplikasi dapat dielakkan lebih awal.
Anda juga boleh baca segala informasi tentang sakit perut di sini: