15 Punca Ulser Mulut, – No. 2 Paling Ramai Tak Sangka!

Apakah punca ulser mulut yang biasanya boleh berlaku pada kanak-kanak dan orang dewasa?

Ulser mulut adalah luka kecil yang menyakitkan yang terbentuk di dalam mulut. Ia boleh muncul sebagai kudis berbentuk bulat atau bujur dengan bahagian tengah berwarna putih, kuning, atau kelabu serta dikelilingi oleh lingkaran merah. Ulser ini biasanya berlaku dalam pipi, bibir, lidah, gusi, atau lelangit mulut.

Penyakit ini mungkin dianggap sebagai masalah biasa yan dialami oleh ramai individu, ia tetap menyebabkan ketidakselesaan, dan kesakitan ketika makan, bercakap, atau memberus gigi. Walaupun kebanyakkan ulser tidak berbahaya dan akan sembuh dalam beberapa hari, ia boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius jika berulang atau mengambil masa lama untuk pulih.

Untuk pengetahuan anda, ulser mulut boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk kecederaan fizikal, jangkitan, kekurangan nutrisi, dan penyakit tertentu. Memahami punca ulser mulut bukan sahaja membantu dalam merawatnya tetapi juga dalam mencegah kejadiannya pada masa hadapan.

Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda 15 punca ulser mulut yang boleh anda kenal pasti serta elakkan bagi mengurangkan risiko kejadiannya.

1. Tergigit Bahagian Dalam Pipi

punca ulser mulut gigit pipi

Punca ulser mulut yang paling umum terjadi adalah kerana tergigit bahagian dalam pipi. Kebanyakkan individu secara tidak sengaja menggigit bahagian dalam pipi ketika mengunyah makanan atau bercakap, terutama jika gigi mereka tidak sejajar atau jika terdapat kecatatan pada struktur gigi.

Menurut National Center for Biotechnology Information, kecederaan akibat gigitan ini boleh menyebabkan luka kecil yang berkembang menjadi ulser yang menyakitkan. Selain itu, apabila seseorang mengalami kebiasaan menggigit secara tidak sedar, seperti semasa tidur atau ketika sedang fokus melakukan sesuatu, ia juga boleh mengakibatkan ulser yang berulang-ulang berlaku di tempat yang sama.

2. Cedera Semasa Memberus Gigi

punca ulser mulut berus gigi

Teknik memberus gigi yang terlalu kasar atau menggunakan berus gigi dengan bulu yang keras boleh menyebabkan kecederaan pada gusi dan tisu lembut dalam mulut.

Apabila gusi atau lapisan dalam pipi terluka akibat geseran berus yang kuat, ia boleh menyebabkan punca ulser mulut terbentuk. Selain itu menurut American Journal of Dentistry, penggunaan ubat gigi yang mengandungi bahan seperti natrium lauril sulfat (SLS) juga boleh merengsakan lapisan dalam mulut dan meningkatkan risiko pembentukan ulser.

3. Geseran Berterusan antara Gigi Yang Rosak

Seseorang yang mempunyai keadaan gigi yang tajam, retak, atau rosak boleh menyebabkan geseran berterusan pada bahagian dalam pipi, lidah, atau gusi, yang akhirnya membawa kepada pembentukan ulser. Ini sering terjadi apabila seseorang mempunyai tampalan gigi yang tidak kemas atau mahkota gigi (crown gigi) yang kasar.

Jika tidak dirawat, luka kecil akubat geseran ini boleh menjadi lebih besar dan menyakitkan, malah berisiko dijangkiti bakteria.

4. Geseran Berterusan antara Pendakap Gigi dan Gigi Palsu

Selain itu, penggunaan pendakap gigi atau gigi palsu yang tidak sesuai dengan bentuk mulut turut menyebabkan geseran berterusan pada tisu lembut dalam mulut sehingga menjadi punca ulser mulut terbentuk.

Umumnya, bahagian dalam pipi, gusi, dan lidah sering terdedah kepada geseran, yang boleh mencetuskan iritasi dan luka kecil. Apabila seseorang memakai gigi palsu yang tidak sesuai atau mempunyai bahagian tajam, ia boleh menyebabkan kecederaan pada gusi dan lelangit mulut.

Begitu juga, dengan penggunaan gigi palsu yang longgar atau mempunyai dawai yang menonjol boleh mencederakan bahagian dalam pipi dan bibir. Untuk mengelakkan masalah ini, pemakai gigi palsu atau pendakap gigi disarankan berjumpa doktor gigi bagi memastikan alat tersebut selesa dan tidak menyebabkan kerengsaan yang berpanjangan.

5. Luka Akibat Makanan yang Terlalu Panas

punca ulser mulut makanan panas

Makanan dan minuman yang terlalu panas boleh menyebabkan luka melecur pada lapisan dalam mulut. Bahagian yang sering terjejas termasuk lidah, lelangit, dan bahagian dalam pipi.

Berdasarkan kajian oleh Head and Neck Pathology, kecederaan akibat makanan panas ini boleh mengakibatkan kerosakan pada sel-sel mukosa mulut, menyebabkan radang dan pembentukan ulser yang menyakitkan. Luka ini biasanya mengambil masa beberapa hari untuk sembuh, bergantung kepada tahap keparahannya.

Oleh itu, bagi mengelakkan masalah ini, adalah penting untuk memastikan makanan dan minuman berada pada suhu yang selamat sebelum dimakan, terutama bagi individu yang sering mengalami ulser mulut.

6. Ruam Kulit dalam Mulut (Lichen Planus)

Menurut National Center for Biotechnology Information, lichen planus oral adalah keadaan autoimun yang menyebabkan ruam putih atau luka di dalam mulut, termasuk pipi, lidah, dan gusi. Penyebab sebenar lichen planus masih tidak diketahui, tetapi ia sering dikaitkan dengan faktor autoimun, tekanan, atau reaksi terhadap ubat tertentu.

Ada sesetengah pendapat mendapati bahawa ia berlaku apabila sistem imun menyerang sel-sel dalam mukosa mulut, menyebabkan keradangan yang boleh muncul dalam bentuk tompok putih, kemerahan, atau luka terbuka (ulser).

Ulser akibat lichen planus oral biasanya menyebabkan rasa sakit, pedih, dan ketidakselesaan, terutama semasa makan makanan pedas atau berasid. Justeru, pesakit lichen planus oral disarankan untuk mengelakkan makanan pedas, sitrus, dan produk yang mengandungi alkohol kerana ia memperburukkan keadaan ini.

Walaupun tidak berjangkit, lichen planus oral boleh berulang dan memerlukan rawatan seperti ubat anti-radang atau ubat kumur untuk mengurangkan gejala dan mencegah ulser daripada menjadi lebih teruk.

7. Jangkitan Virus Herpes Simplex (Cold Sore Virus)

Punca ulser mulut yang berikut adalah jangkitan virus Herpes Simplex (HSV-1). Penyakit ini boleh menyebabkan lepuh yang menyakitkan di sekitar mulut pada lapisan dalamnya. Lepuh ini sering dikenali sebagai cold sore dan boleh pecah, menyebabkan luka yang menyerupai ulser mulut.

Jangkitan ini mudah menular melalui kontak langsung dengan individu yang dijangkiti, seperti berkongsi peralatan makan atau mencium seseorang yang mempunyai luka aktif akibat virus ini.

8. Reaksi terhadap Ubat-Ubatan Tertentu

Sesetengah ubat boleh menyebabkan punca ulser mulut sebagai kesan sampingan. Contohnya seperti, ubat kemoterapi, ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs), dan beberapa jenis antibiotik boleh merengsakan mukosa mulut dan menyebabkannya mengalami ulser.

Bukan itu sahaja, menurut Journal of the American Medical Association lagi, pesakit yang menjalani rawatan radiasi untuk kanser kepala dan leher juga berisiko tinggi mengalami luka dan ulser dalam mulut akibat kesan terapi tersebut.

9. Kekurangan Vitamin B2, Folat atau Zat Besi

Kekurangan nutrien seperti vitamin B2 (riboflavin), folat, dan zat besi boleh menyebabkan lapisan dalam mulut menjadi lemah dan lebih mudah terdedah kepada punca ulser mulut. Hal ini kerana ia memainkan peranan penting dalam kesihatan sel dan tisu dalam mulut.

  • Vitamin B2 (Riboflavin) – Riboflavin membantu mengekalkan kesihatan sel mukosa mulut. Kekurangannya boleh menyebabkan keretakan di sudut bibir, lidah yang bengkak, serta ulser yang menyakitkan.
  • Folat (Vitamin B9) – Folat penting untuk pertumbuhan dan pembaikan sel dalam badan. Kekurangannya boleh menyebabkan ulser mulut yang berulang, radang gusi, dan rasa tidak selesa semasa makan.
  • Zat Besi – Zat besi diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah yang sihat. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia, yang dikaitkan dengan ulser mulut, bibir kering, dan lidah yang sakit atau meradang.

Bagi mencegah ulser mulut akibat kekurangan nutrien ini, penting untuk mengamalkan diet seimbang yang kaya dengan sayur-sayuran hijau, daging merah, telur, kekacang, dan produk tenusu.

Jika ulser sering berlaku, pemeriksaan kesihatan boleh membantu menentukan sama ada suplemen diperlukan untuk menampung kekurangan nutrien ini.

10. Penyakit Gastrointestinal

punca ulser mulut gastrointestinal

Berdasarkan kajian oleh World Journal of Gastroenterology, penyelidik menganggarkan bahawa 20 hingga 50 peratus penyakit berkaitan sistem pencernaan, seperti penyakit Crohn dan kolitis ulseratif boleh menyebabkan punca ulser mulut.

Penyakit ini dikaitkan dengan keradangan sistemik yang boleh mempengaruhi pelbagai bahagian badan, termasuk mukosa mulut. Ulser yang berlaku dalam kes in biasanya lebih besar dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

11. Kanser Mulut

punca ulser mulut kanser mulut

Ulser yang tidak sembuh dalam tempoh yang lama atau kerap berulang boleh menjadi tanda awal kanser mulut. Ulser yang berkaitan dengan kanser mulut biasanya tidak menyakitkan pada peringkat awal tetapi boleh menjadi lebih serius dengan masa.

Ia biasanya berbentuk luka terbuka yang berwarna merah atau putih, tidak sembuh, dan mungkin disertai dengan gejala lain seperti kesakitan kronik, pendarahan, bengkak dalam mulut, serta kesukaran menelan atau bercakap.

Faktor risiko utama kanser mulut termasuk merokok, penggunaan alkohol berlebihan, dan jangkitan HPV, serta pendedahan kepada bahan kimia tertentu.

Bagi individu yang mengalami ulser mulut berulang tanpa sebab yang jelas atau ulser yang tidak sembuh dalam jangka masa panjang, pemeriksaan oleh doktor gigi atau pakar onkologi amat disarankan. Diagnosis awal boleh meningkatkan peluang rawatan berkesan dan mencegah komplikasi serius.

12. Iritasi Akibat Antiseptik yang Kuat

Mouthwash atau bahan kumur yang mengandungi antiseptik yang kuat seperti alkohol dan hidrogen peroksida boleh merengsakan lapisan dalam mulut dan menyebabkan ulser.

Penggunaan yang telalu kerap atau kepekatan bahan yang tinggi boleh menyebabkan kekeringan dan keradangan pada mukosa mulut, menjadikannya lebih mudah terkena ulser.

13. Penyakit Autoimun

punca ulser mulut autoimun

Menurut kajian oleh International Journal of Environmental Research and Public Health, beberapa penyakit autoimun seperti lupus eritematosus sistemik (SLE) dan sindrom Behçet boleh menyebabkan ulser mulut yang kronik.

Dalam kes ini, sistem imun menyerang sel-sel sihat dalam mulut, menyebabkan keradangan yang berterusan dan pembentukan ulser yang menyakitkan.

14. Ulser Aphthous

Ulser aphthous atau lebih dikenali sebagai sariawan adalah jenis ulser yang paling biasa berlaku. Ia berbentuk bulat atau bujur dengan lapisan putih di tengah dan lingkaran kemerahan.

Walaupun punca sebenar tidak diketahui, faktor seperti tekanan, ketidakseimbangan hormon, dan tidak balas imun memainkan peranan dalam pembentukannya. Ulser aphthous boleh berulang dari semasa ke semasa, terutamanya jika seseorang mengalami tekanan yang tinggi.

15. Tekanan atau Keletihan Melampau

Punca ulser mulut yang terakhir adalah tekanan fizikal dan mental yang berlebihan. Keletihan melampau juga boleh menyebabkan seseorang kurang menjaga kesihatan diri, termasuk kebersihan mulut yang boleh membawa kepada jangkitan dan ulser.

Individu yang mengalami tekanan kronik sering melaporkan kejadian ulser yang lebih kerap berbanding mereka yang mempunyai keseimbangan emosi yang baik.

Kesimpulan

Kesimpulannya, punca ulser mulut boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, sama ada akibat kecederaan mekanikal seperti tergigit pipi, geseran pendakap gigi, atau luka akibat makanan panas, mahupun berpunca daripada keadaan kesihatan yang lebih kompleks seperti penyakit autoimun, jangkitan virus, dan kekurangan zat penting.

Dalam kebanyakan kes, ulser mulut boleh sembuh dengan sendirinya dalam masa beberapa hari, tetapi jika berulang dengan kerap atau tidak sembuh dalam tempoh yang lama, pemeriksaan perubatan diperlukan untuk mengenal pasti punca sebenar.

Dalam menjaga kebersihan mulut, mengamalkan pemakanan seimbang, dan mengurangkan tekanan, risiko ulser mulut dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan kesihatan oral dan kesejahteraan keseluruhan.

Berikut adalah punca ulser mulut yang perlu anda tahu:

  1. Tergigit Bahagian Dalam Pipi
  2. Cedera Semasa Memberus Gigi
  3. Geseran Berterusan antara Gigi Yang Rosak
  4. Geseran Berterusan antara Pendakap Gigi dan Gigi Palsu
  5. Luka Akibat Makanan yang Terlalu Panas
  6. Ruam Kulit dalam Mulut (Lichen Planus)
  7. Jangkitan Virus Herpes Simplex (Cold Sore Virus)
  8. Reaksi terhadap Ubat-Ubatan Tertentu
  9. Kekurangan Vitamin B2, Folat atau Zat Besi
  10. Penyakit Gastrointestinal
  11. Kanser Mulut
  12. Iritasi Akibat Antiseptik yang Kuat
  13. Penyakit Autoimun
  14. Ulser Aphthous
  15. Tekanan atau Keletihan Melampau

Anda juga boleh baca segala informasi berkenaan ulser mulut di sini:

Similar Posts

Leave a Reply