12 Punca Sakit Tekak Yang Perlu Anda Tahu

Apakah penyebab atau punca sakit tekak yang biasanya berlaku dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak?

Sakit tekak adalah penyakit biasa yang pada umumnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kebanyakkan sakit tekak boleh sembuh dengan sendiri tanpa perlukan rawatan khusus di klinik atau hospital.

Namun demikian, terdapat punca sakit tekak lain yang juga boleh menjadi simptom kepada penyakit kronik yang lebih serius.

Dalan artikel ini, kami akan berkongsi kepada anda 12 punca sakit tekak yang perlu anda ambil perhatian dan perhatikan. Memahami punca sakit tekak adalah penting untuk merawat dan mencegahnya dengan lebih berkesan.

Pastikan anda berbincang dengan pakar kesihatan jika masalah sakit tekak anda berlarutan. Jom kita mula dengan punca sakit tekak dan pencegahan yang terbaik boleh anda ambil.

1. Jangkitan Virus

punca sakit tekak jangkitan virus

Jangkitan virus adalah salah satu punca utama sakit tekak. Menurut International Journal of Infectious Diseases (IJID), penyakit seperti selesama influenza, cacar air, demam campak, croup, mononukleosis, beguk, herpangina, atau COVID-19 sering kali disertai dengan sakit tekak.

Virus-virus ini menyebabkan radang pada tisu-tisu di tekak, menyebabkan ketidakselesaan. Kebanyakan jangkitan virus tidak memerlukan antibiotik dan ia boleh sembuh dengan sendirinya, kerana tubuh boleh melawan virus tersebut.

Walaupun begitu, gejala-gejala seperti demam, batuk, dan hidung berair boleh memperburuk lagi keadaan sakit tekak yang anda alami.

2. Jangkitan Bakteria

Selain virus, jangkitan bakteria seperti faringitis streptokokus (streptokokus kumpulan A) boleh jadi punca sakit tekak yang teruk.

Berbeza dengan jangkitan virus, jangkitan bakteria memerlukan rawatan antibiotik untuk mencegah komplikasi yang lebih serius seperti demam reumatik.

Jangkitan bakteria biasanya menyebabkan sakit tekak yang sangat menyakitkan, kesukaran menelan, dan pembengkakan tonsil.

Antara jangkitan bakteria yang boleh menyebabkan sakit tekak adalah seperti jangkitan pada tonsil (tonsilitis), jangkitan pada tisu di sekeliling tonsil (peritonsillar abscess), keradangan epiglotis (epiglottitis), dan keradangan vulva (uvulitis).

Dalam kes yang jarang berlaku, jangkitan kelamin (STI) seperti gonorea atau klamidia juga boleh mendapat simptom sakit tekak. Jangkitan seperti ini boleh berlaku sekiranya anda pernah terlibat dalam tingkah laku seksual berisiko tinggi.

3. Alergik

Menurut American College of Allergy, Asthma, and Immunology (ACAAI), alergik atau alahan adalah tindak balas sistem imun terhadap benda asing yang biasanya tidak berbahaya kepada badan. Alahan dengan debunga, habuk, bulu haiwan, atau bahan-bahan lain di udara juga boleh menyebabkan sakit tekak.

Apabila tubuh bertindak balas terhadap alergen, ia menghasilkan histamin, yang boleh menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan atas, termasuk hidung tersumbat, mata berair, bersin dan kerengsaan tekak.

Lebihan lendir yang dipanggil postnasal drip dalam hidung boleh menitis di bahagian tekak dan boleh merengsakan tekak.

4. Faktor Udara Yang Kering

Udara yang kering, terutama pada musim sejuk atau bilik yang menggunakan pemanas, boleh menyebabkan sakit tekak. Kita mungkin beruntung dapat tinggal di Malaysia.

Hal ini kerana menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), ciri-ciri iklim di negara kita mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Ini sangat berbeza dengan negara-negara Eropah atau kawasan musim sejuk yang lain.

Apabila kelembapan udara berkurangan, tisu dalam tekak boleh menjadi kering dan meradang. Ini biasanya berlaku pada waktu pagi setelah seseorang tidur dalam bilik yang kering sepanjang malam.

Minum air yang mencukupi dan gunakan humidifier boleh membantu mencegah masalah ini bertambah teruk. Udara lembap akan menghalang tekak anda daripada kering dan seterusnya mengurangkan kesakitan atau serak pada waktu pagi.

5. Merokok dan Pencemaran Udara

punca sakit tekak pencemaran udara

Pendedahan kepada asap rokok dan pencemaran udara adalah punca yang lazim bagi sakit tekak.

Menurut National Cancer Institute (NIH), rokok mengandungi lebih dari 7,000 bahan kimia yang mana sekurang-kurangnya 250 dari bahan kimia tersebut dikategorikan sangat berbahaya.

Kenyataan ini dikukuhkan lagi dari kajian oleh National Center for Biotechnology Information (NCBI), di mana bahan-bahan tersebut boleh merosakkann penghalang epitelium dalam tekak anda. Lama kelamaan, kerosakan ini boleh mengurangkan intensiti refleks batuk sehingga menyebabkan pengeluaran lendir yang berlebihan dan menjejaskan silia.

Silia ialah struktur seperti rambut di saluran pernafasan atas anda yang memerangkap patogen dan zarah asing.

Hal ini sama juga dalam isu pencemaran udara khususnya dari habuk asap industri, dan gas berbahaya di persekitaran. Ia juga boleh memberi kesan negatif dan menjadi punca sakit tekak.

Umumnya, hampir keseluruhan penduduk global atau 99 peratus menghirup udara kotor yang melebihi had kualiti udara ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Secara global juga, WHO menyatakan bahawa udara tercemar telah membunuh 6.7 juta individu setiap tahun manakala 2.4 bilion orang terdedah kepada paras berbahaya pencemaran udara isi rumah.

Menurut National Center for Biotechnology Information (NCBI), pencemaran udara ambien adalah punca sakit tekak yang biasa, Faktor-faktor ini turut melibatkan ozon, nitrogen oksida, dan habuk halus.

Justeru, untuk mengelakkan sakit tekak anda perlu berhenti merekok sekiranya anda seorang perokok tegar, dan kurangkan pendedahan kepada pencemaran udara di luar.

6. Penyakit Refluks Asid (GERD)

punca sakit tekak gerd

Refluks asid, atau penyakit gastroesophageal reflux (GERD), berlaku apabila asid perut naik semula ke esofagus dan tekak.

Menurut National Center for Biotechnology Information (NCBI), GERD akan menyebabkan kerengsaan dan rasa terbakar di tekak, yang sering disalah tafsir sebagai sakit tekak biasa. GERD biasanya lebih teruk pada waktu malam ketika berbaring, dan pesakit mungkin mengalami rasa masam di mulut, serak, atau batuk kronik.

Untuk merawat sakit tekak yang disebabkan oleh GERD, anda perlu tahu punca asasnya dahulu. Sama ada ubat-ubatan tanpa preskripsi (OTC) atau ubat preskripsi doktor, kedua-duanya berfungsi dengan menghapuskan, mengurangkan dan meneutralkan asid perut.

Proses peneutralan inilah akan mengurangkan rasa pedih ulu hati dan sakit tekak.

7. Kecederaan Tekak

Kecederaan atau trauma pada tekak juga boleh menyebabkan sakit tekak. Ini mungkin berlaku akibat menelan makanan keras atau tajam, seperti kerepek atau tulang ikan, yang boleh mencalarkan dinding tekak.

Selain itu, bersuara kuat atau menjerit dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan strain pada otot-otot tekak, yang juga menyebabkan sakit dan serak.

8. Tonsilitis

punca sakit tekak tonsilitis

Tonsilitis ialah keradangan tonsil, iaitu kelenjar limfa yang terletak di bahagian belakang tekak. Ia boleh disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria.

Menurut National Center for Biotechnology Information (NCBI), gejala tonsilitis termasuk sakit tekak, kesukaran menelan, demam, dan pembengkakan tonsil yang boleh disertai dengan tompok-tompok putih atau nanah.

Rawatan tonsilitis bergantung kepada puncanya; jangkitan bakteria memerlukan antibiotik, manakala jangkitan virus biasanya sembuh dengan sendirinya.

Untuk mengetahui sama ada ia tonsilitis atau sakit tekak, doktor akan melakukan ujian rapid strep untuk menentukan sama ada adakah ia radang atau sebaliknya.

Dengan rawatan, sakit tekak biasanya akan hilang dalam beberapa hari, tetapi jangkitan tonsilitis yang lebih teruk mungkin memerlukan tonsilektomi untuk membuang tonsil anda melalui pembedahan.

9. Kanser Tekak

Walaupun jarang berlaku, kanser tekak boleh menjadi punca sakit tekak yang berterusan. Kanser ini biasanya berkembang di bahagian tekak, laring, atau tonsil.

Gejala awal termasuk sakit tekak yang tidak sembuh-sembuh, perubahan suara, kesukaran menelan, dan kadangkala batuk berdarah.

Kanser tekak lebih kerap berlaku pada perokok, peminum alkohol tegar, dan mereka yang dijangkiti dengan virus seperti Human Papillomavirus (HPV). Rawatan untuk kanser tekak termasuk pembedahan, kemoterapi, dan terapi radiasi.

10. Penggunaan Suara Berlebihan

Seseorang yang sering menggunakan suara mereka dengan intensif, seperti penyanyi, guru, atau penceramah, mungkin mengalami sakit tekak akibat ketegangan vokal. Ia biasanya disebut sebagai laringitis.

Menurut National Center for Biotechnology Information (NCBI), laringitis merujuk kepada keradangan larinks iaitu bahagian atas saluran dari kerongkong ke paru-paru yang terdapat peti suara.

Penggunaan suara secara berlebihan menyebabkan radang pada peti suara dan tisu-tisu di sekitar tekak. Umumnya, laringitis boleh baik dengan sendiri dalam tempoh 2-3 minggu. Namun begitu, berehat daripada menggunakan suara dan minum air suam biasanya membantu mengurangkan gejala ini.

11. Jangkitan Ulser Mulut

punca sakit tekak ulser mulut

Ulser mulut adalah punca sakit tekak yang biasa terjadi terutamanya kepada golongan kanak-kanak.

Sama ada ia disebabkan oleh kanser, luka akibat makanan yang tajam atau jangkitan bakteria, ia boleh menjejaskan mana-mana tisu lembut di dalam mulut anda termasuk lidah, pipi dalam dan tisu gusi di sekeliling gigi.

12. Biasa Bernafas Melalui Mulut

Individu yang sering bernafas melalui mulut, terutamanya ketika tidur, boleh mengalami tekak kering dan sakit.

Menurut National Center for Biotechnology Information (NCBI), bernafas melalui mulut cenderung mengeringkan membran mukus di tekak dan saluran pernafasan, menyebabkan rasa kering, sakit, dan kerengsaan terutamanya pada waktu pagi.

Keadaan ini sering berlaku kepada mereka yang mengalami masalah pernafasan hidung seperti hidung tersumbat atau apnea tidur.

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat banyak punca sakit tekak yang perlu anda ambil tahu. Punca sakit tekak boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk jangkitan virus dan bakteria, alahan, dan faktor persekitaran

Walaupun sesetengah punca adalah ringan seperti penggunaan suara berlebihan atau jangkitan virus boleh sembuh dengan sendiri, punca lain mungkin menunjukkan keadaan yang lebih serius seperi kanser tekak atau tonsilitis yang teruk.

Jika anda mengalami sakit tekak, adalah penting untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan diagnosis yang tepat. Rawatan yang sesuai akan bergantung pada punca sakit tekak tersebut.

Namun sekiranya, sakit tekak yang anda rasakan tidak hilang lebih dari seminggu, disertai dengan simptom lain seperti demam tinggi, atau kesukaran bernafas, sebaiknya dapatkan nasihat daripada pakar perubatan. Dengan langkah pencegahan yang tepat dan rawatan yang sesuai, sakit tekak boleh dikurangkan dan dicegah daripada berulang.

Berikut adalah punca sakit tekak yang perlu anda tahu:

  1. Jangkitan Virus
  2. Jangkitan Bakteria
  3. Alergik
  4. Faktor Udara Yang Kering
  5. Merokok dan Pencemaran Udara
  6. Penyakit Refluks Asid (GERD)
  7. Kecederaan Tekak
  8. Tonsilitis
  9. Kanser Tekak
  10. Penggunaan Suara Berlebihan
  11. Jangkitan Ulser Mulut
  12. Biasa Bernafas Melalui Mulut

Anda juga boleh baca tentang informasi sakit tekak yang lain di sini:

Similar Posts

Leave a Reply