16 Punca Sakit Perut Yang Ramai Orang Tak Sedar
Apakah punca sakit perut yang perlu anda perhatikan anda ambil tahu dalam kehidupan seharian?
Sakit perut adalah masalah biasa yang setiap orang alami di dunia ini. Namun tahukah anda, banyak penyakit yang bermula daripada perut dan kebanyakkan pesakit tidak perasan akan simptom-simptom awalnya?
Justeru artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan 16 punca sakit perut yang ramai orang tidak sedar untuk pengetahuan anda.
1. Intoleransi Makanan

Intoleransi makanan merupakan salah satu punca sakit perut yang utama tetapi sering disalah anggap sebagai alahan makanan. Menurut National Center for Biotechnology Information, dianggarkan lebih daripada 20% manusia pernah alami masalah intoleransi makanan.
Ia berlaku apabila sistem penghadaman seseorang tidak dapat mencerna komponen tertentu dalam makanan dengan sempurna, seperti laktosa (gula dalam susu), gluten (protein dalam gandum), atau bahan tambahan makanan seperti pewarna dan pengawet.
Apabila makanan tidak dapat dihadam ini memasuki usus, ia boleh menyebabkan penghasilan gas berlebihan, keradangan usus, atau gangguan keseimbangan bakteria usus.
Kesannya, seseorang itu akan mengalami gejala seperti perut kembung, senak, cirit-birit, atau kekejangan perut beberapa jam selepas makan. Sebagai contoh, individu dengan intoleransi laktosa akan mengalami sakit perut dan ketidakselesaan selepas mengambil produk tenusu kerana badan mereka kekurangan enzim laktase yang diperlukan untuk memecahkan laktosa.
2. Tekanan dan Kebimbangan

Tekanan emosi dan kebimbangan yang berpanjangan boleh menjadi punca sakit perut yang signifikan, walaupun ia tidak melibatkan sebarang kerosakan fizikal pada organ dalaman.
Menurut American Psychology Association, apabila seseorang mengalami tekanan atau kebimbangan, sistem saraf autonomi akan mengaktifkan tindak balas “fight or flight” yang menyebabkan perubahan fisiologi dalam tubuh. Antara kesannya ialah peningkatan penghasilan asid perut, pengecutan otot usus secara tidak normal, serta gangguan kepada aliran darah ke saluran penghadaman.
Hal ini jelas mengaitkan mengapa ramai individu yang mengalami tekanan kerja, masalah kewangan atau bebanan emosi akan turut mengadu masalah sakit perut atau gangguan pencernaan, walaupun biasanya tiada masalah kesihatan yang dapat dikesan secara fizikal.
3. Dehidrasi
Punca sakit perut yang seterusnya adalah dehidrasi. Umumnya, apabila badan kekurangan ceciar, fungsi sistem penghadaman akan terganggu kerana air memainkan peranan penting dalam proses pencernaan, termasuk membantu pergerakan usus dan pelarutan nutrien.
Kekurangan air boleh menyebabkan najis menjadi keras dan sukar untuk dikeluarkan, lalu menyebabkan sembelit, yang seterusnya membawa kepada rasa tidak selesa dan sakit di bahagian perut, terutamanya di kawasan bawah abdomen. Selan itu, dehidrasi juga boleh menyebabkan ketegangan otot-otot usus dan ketidakseimbangan elektrolit, yang menyumbang kepada kekejangan dan rasa perut memulas.
Dalam kes yang lebih serius, dehidrasi akibat cirit-birit atau muntah-muntah juga boleh memperburukkan lagi masalah sakit perut kerana kehilangan cecair yang berterusan.
4. Penggunaan Ubat Tahan Sakit (NSAIDs) Berlebihan
Kajian oleh National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, penggunaan ubat tahan sakit jenis NSAIDs (Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs) seperti ibuprofen, aspirin, atau naproxen secara berlebihan atau tanpa pemantauan perubatan boleh menjadi punca sakit perut.
Dari segi perubatan, NSAIDs bertindak dengan mengurangkan keradangan dan kesakitan, tetapi dalam yang sama ia turut mengganggu lapisan pelindung dalam perut yang berfungsi melindungi dinding perut daripada asid gastrik.
Namun, apabila ubat ini diambil secara kerap atau dalam dos tinggi, ia boleh menyebabkan iritasi pada lapisan perut, lalu mencetuskan simptom seperti pedih ulu hati, perut rasa perit, kembung, loya, atau dalam kes lebih serius, luka (ulser) dan pendarahan dalam perut.
5. Kurang Tidur

Tidur yang tidak mencukupi mengganggu sistem saraf autonomi yang berperanan mengawal proses penghadaman. Apabila seseorang tidak mendapat rehat yang cukup, tubuh akan berada dalam keadaan stres berpanjangan, yang boleh meningkatkan penghasilan asid dalam perut serta menyebabkan otot-otot usus menjadi lebih sensitif.
Keadaan ini boleh membawa kepada pelbagai gejala seperti pedih ulu hati, senak, kekejangan perut, dan dalam sesetengah kes, cirit-birit atau sembelit.
Bukan itu sahaja, bila seseorang tidak mendapat tidur yang cukup ia juga akan memberi kesan kepada keseimbangan hormon. Kita biasanya akan sukar untuk mengawal rasa lapar dan kenyang, sehingga menyebabkan perubahan tabiat makan dari segi waktu makan dan pemilihan makanan yang sihat.
6. Gaya Hidup Tidak Aktif

Gaya hidup tidak aktif, seperti duduk terlalu lama tanpa melakukan sebarang aktiviti fizikal, turut dikaitka dengan punca sakit perut.
Kajian yang dijalankan oleh Clinical Gastroenterology and Hepatology mendapati apabila seseorang kurang bergerak, pergerakan semula jadi otot usus (peristalsis) menjadi perlahan, lalu menjejaskan proses penghadaman dan pembuangan najis. Situasi ini boleh mengakibatkan sembelit, perut kembung, rasa senak, dan kekejangan di bahagian abdomen.
Tambahan pula, gaya hidup sedentari turut berkait rapat dengan peningkatan stres dan pengambilan makanan tidak seimbang, dua faktor lain yang turut menyumbang kepada masalah sakit perut. Kekurangan senaman juga menjejaskan pengaliran darah ke organ dalaman, termasuk sistem penghadaman, menyebabkan fungsinya tidak berjalan lancar.
7. Tabiat Makan Terlalu Cepat

Bagi individu yang suka makan dengan cepat, hati-hati kerana ia boleh menjadi punca sakit perut.
Apabila makanan ditelan dalam saiz yang besar atau tidak cukup lumat, proses pencernaan di dalam perut dan usus menjadi lebih sukar dan perlahan. Ini menyebabkan perut perlu bekerja lebih keras untuk memecahkan makanan, lalu meningkatkan penghasilan asid perut dan gas.
Akibatnya, individu mungkin mengalami rasa kembung, senak, perut memulas, dan dalam sesetengah kes, pedih ulu hati.
8. Endometriosis
Endometriosis merupakan satu keadaan perubatan di mana tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim (endometrium) tumbuh di luar rahim, seperti di sekitar ovari, tiub fallopio, usus, atau dinding pelvis.
Kehadiran tisu ini di luar lokasi asalnya boleh menyebabkan keradangan, pembentukan tisu parut (adhesi), dan kadangkala sista yang menyakitkan. Ketika kitaran haid berlaku, tisu ini turut bertindak balas terhadap perubahan hormon seperti endometrium biasa, tetapi kerana ia tidak dapat keluar dari tubuh, ia akan menyebabkan kesakitan kronik di bahagian pelvis atau abdomen bawah.
Sakit perut yang dikaitkan dengan endometriosis selalunya bersifat berulang dan semakin teruk semasa haid, namun ada juga wanita yang mengalaminya sepanjang bulan.
Menurut National Center for Biotechnology Information, dalam sesetengah kes, endometriosis juga boleh mengganggu fungsi usus dan pundi kencing, menyebabkan gejala tambahan seperti perut kembung, sembelit, cirit-birit atau sakit semasa buang air kecil dan besar.
9. Batu Karang (Gallstones)

Batu karang, terutamanya yang terbentuk dalam buah pinggang atau pundi hempedu, merupakan punca sakit perut yang sering menyebabkan kesakitan yang sangat ketara dan berulang.
Batu karang terjadi apabila bahan seperti kalsium, asid urik, atau kolesterol terkumpul dan mengeras membentuk kristal dalam saluran kencing atau sistem hempedu.
Apabila batu ini bergerak atau menyekat saluran, ia boleh menyebabkan kesakitan yang tajam dan tiba-tiba, biasanya di bahagian bawah abdomen, sisi belakang (loin), atau bahagian atas kanan perut bergantung kepada lokasi batu.
10. Sembelit Kronik
Punca sakit perut yang seterusnya adalah kerana sembelit kronik. Sembelit kronik adalah keadaan di mana seseorang mengalami kesukaran membuang najis secara berterusan atau jarang membuang air besar (kurang daripada tiga kali seminggu).
Apabila najis terkumpul terlalu lama dalam usus besar, ia menjadi semakin keras dan kering, menyebabkan pergerakan usus menjadi sukar dan menyakitkan. Tekanan daripada najis yang tersekat ini boleh menyebabkan rasa tidak selesa, perut terasa penuh, kembung, dan kekejangan di bahagian abdomen – terutamanya di bahagian bawah perut.
11. Refluks Asid Senyap (Silent Reflux)

Refluks asid senyap, atau dikenali sebagai laryngopharyngeal reflux (LPR), merupakan keadaan di mana asid perut naik semula ke saluran tekak dan larinks tanpa gejala pedih ulu hati yang biasa seperti dalam kes GERD.
Walaupun tidak menyebabkan rasa terbakar di dada, asid yang naik ini tetap boleh merosakkan tisu dan mencetuskan pelbagai simptom lain seperti rasa pahit di tekak, batuk berpanjangan, suara serak, dan rasa seperti ada sesuatu tersangkut di kerongkong.
Refluks asid senyap juga boleh menyebabkan rasa tidak selesa atau perit di bahagian atas perut (epigastrik), kerana asid perut yang berlebihan dan tidak terkawal turut mengganggu dinding perut dan sistem penghadaman.
12. Pertumbuhan Bakteria Berlebihan di Usus Kecil (SIBO)
Pertumbuhan bakteria berlebihan di usus kecil, atau dikenali sebagai SIBO (Small Intestinal Bacterial Overgrowth), merupakan satu keadaan di mana jumlah bakteria yang sepatutnya berada di usus besar telah berpindah dan berkembang biak secara berlebihan di usus kecil.
Kajian oleh Journal of Functional Foods menyatakan bahawa, usus kecil biasanya mengandungi sedikit sahaja bakteria, tetapi apabila berlaku ketidakseimbangan, bakteria ini akan mula menapai makanan yang belum dihadam sepenuhnya, terutamanya karbohidrat, lalu menghasilkan gas berlebihan seperti hidrogen dan metana.
Proses ini menyebabkan perut menjadi kembung, rasa kenyang melampau selepas makan, sakit perut berulang, kekejangan, cirit-birit atau sembelit. Sakit perut yang disebabkan oleh SIBO biasanya berlaku beberapa jam selepas makan dan sering disalah anggap sebagai masalah gastrik biasa atau sindrom usus terganggu (IBS).
13. Penyakit Radang Pelvis (PID)
Penyakit Radang Pelvis (Pelvic Inflammatory Disease atau PID) ialah jangkitan serius yang berlaku pada organ reproduktif wanita seperti rahim, tiub fallopio, dan ovari, biasanya berpunca daripada jangkitan bakteria yang merebak melalui hubungan seksual tidak selamat.
Apabila bakteria seperti Chlamydia atau Gonorrhea menjangkiti saluran reproduktif, ia boleh menyebabkan keradangan yang menyakitkan di kawasan pelvis dan abdomen bawah. Salah satu gejala utama PID ialah sakit perut yang berterusan atau semakin teruk, terutamanya di bahagian bawah perut, dan ia boleh disertai dengan gejala lain seperti keputihan yang tidak normal, demam, sakit semasa hubungan intim, dan kesakitan ketika buang air kecil.
Menurut National Center for Biotechnology Information, jika tidak dirawat, PID boleh menyebabkan parut pada tiub fallopio yang bukan sahaja meningkatkan risiko kehamilan luar rahim, malah juga kemandulan
14. Migrain Abdomen
Berbeza dengan migrain kepala, migrain abdomen menyebabkan sakit perut yang sederhana hingga teruk, biasanya di kawasan tengah perut (sekitar pusat), tanpa kehadiran sakit kepala yang tipikal.
Serangan ini boleh dicetuskan oleh stres, perubahan hormon, gangguan tidur, atau makanan tertentu seperti coklat dan makanan tinggi histamin. Ketika serangan berlaku, pesakit mungkin mengalami sakit perut berselang-seli, loya, muntah, hilang selera makan, serta pucat dan lesu.
15. Keracunan Makanan

Keracunan makanan merupakan salah satu punca utama sakit perut yang berlaku secara tiba-tiba dan boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Kajian oleh National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, ia terjadi apabila seseorang memakan makanan atau minuman yang tercemar dengan bakteria berbahaya seperti Salmonella, E. coli, atau Listeria, serta virus atau toksin tertentu.
Punca pencemaran boleh berlaku akibat penyediaan makanan yang tidak bersih, penyimpanan pada suhu yang tidak sesuai, atau makanan yang sudah luput. Apabila patogen ini masuk ke dalam sistem penghadaman, ia menyebabkan keradangan pada lapisan usus yang mengakibatkan gejala seperti sakit perut yang mencucuk-cucuk, kekejangan, cirit-birit, loya, muntah, dan kadangkala demam.
Kesakitan perut yang dialami biasanya datang secara mendadak dan boleh menjadi sangat teruk, terutamanya jika jangkitan melibatkan toksin bakteria yang agresif.
16. Alergik Makanan

Alergik makanan adalah tindak balas sistem imun yang berlebihan terhadap bahan tertentu dalam makanan yang dianggap berbahaya walaupun sebenarnya tidak.
Antara makanan yang sering menyebabkan alahan termasuklah susu, telur, kacang, makanan laut, gandum, dan soya. Menurut kajian oleh Clinical Reviews in Allergy & Immunology, apabila seseorang yang alergik mengambil makanan pencetus, sistem imun akan menghasilkan antibodi seperti IgE yang mencetuskan pembebasan bahan kimia seperti histamin.
Histamin inilah yang menyebabkan pelbagai gejala, termasuk sakit perut, kekejangan, loya, muntah, cirit-birit, dan dalam kes yang lebih teruk, reaksi anafilaksis yang mengancam nyawa. Sakit perut akibat alahan makanan biasanya berlaku dengan cepat, dalam tempoh beberapa minit hingga beberapa jam selepas pengambilan makanan yang terlibat.
Berbeza dengan intoleransi makanan yang melibatkan kekurangan enzim, alergik makanan berkait langsung dengan sistem imun dan boleh menimbulkan gejala yang lebih serius
Kesimpulan
Kesimpulannya, punca sakit perut boleh berlaku disebabkan oleh gas dan penghadaman atau juga tanda-tanda penyakit yang kronik.
Justeru, mengetahui punca awal dan simptom-simptomnya adalah penting bagi mengenal pasti keadaan diri anda. Sekiranya sakit perut berlaku terlalu kerap, sakit semasa menelan makanan, keluar najis yang berdarah sehingga beberapa hari atau hilang berat badan dengan tiba-tiba, segeralah berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut.
Berikut adalah punca sakit perut yang orang ramai perlu ambil tahu:
- Intoleransi Makanan
- Tekanan dan Kebimbangan
- Dehidrasi
- Penggunaan Ubat Tahan Sakit (NSAIDs) Berlebihan
- Kurang Tidur
- Gaya Hidup Tidak Aktif
- Tabiat Makan Terlalu Cepat
- Endometriosis
- Batu Karang (Gallstones)
- Sembelit Kronik
- Refluks Asid Senyap (Silent Reflux)
- Pertumbuhan Bakteria Berlebihan di Usus Kecil (SIBO)
- Penyakit Radang Pelvis (PID)
- Migrain Abdomen
- Keracunan Makanan
- Alergik Makanan
Anda juga boleh baca segala informasi tentang sakit perut di sini: