10 Punca Sakit Lutut Bagi Wanita – Kenali Simptom dan Rawatan

Punca sakit lutut bagi wanita sering dikaitkan dengan pelbagai faktor biologi, gaya hidup dan struktur tubuh yang menjadikan wanita lebih terdedah kepada masalah ini berbanding lelaki.

Tahap kesakitan dan lokasi sakit lutut boleh berbeza-beza bergantung kepada punca yang menyebabkannya.

Dalam banyak kes, sakit lutut yang ringan boleh dirawat melalui langkah penjagaan kendiri, fisioterapi atau penggunaan pendakap lutut bagi mengurangkan rasa sakit.

Namun, bagi kes yang lebih serius, rawatan pembedahan mungkin diperlukan untuk memulihkan fungsi lutut sepenuhnya.

Artikel ini akan menghuraikan 10 punca sakit lutut bagi wanita beserta penjelasan ringkas setiap punca.

1. Osteoarthritis

punca sakit lutut bagi wanita osteoarthritis

Osteoarthritis merupakan salah satu punca sakit lutut bagi wanita terutamanya yang berusia 40 tahun ke atas. Menurut National Center for Biotechnology Information, ia adalah penyakit sendi degeneratif yang berlaku apabila rawan pelindung di dalam sendi lutut semakin haus dan rosak secara beransur-ansur.

Keadaan ini menyebabkan kesakitan, bengkak, kekakuan serta pergerakan sendi yang terhad.

Wanita lebih terdedah kepada osteoarthritis berbanding lelaki, terutama selepas menopaus, disebabkan oleh perubahan hormon dan faktor genetik.

Kajian dari Osteoarthritis and Cartilage menunjukkan bahawa prevalens osteoarthritis lutut meningkat dengan ketara dalam kalangan wanita seawal usia 50 tahun, di mana sekitar 35% wanita berumur 60 hingga 69 tahun mengalami masalah ini, berbanding hanya 19% lelaki.

Menurut Arthritis Foundation, osteoarthritis bukan sahaja menjejaskan sendi lutut, malah ia turut memberi kesan kepada seluruh struktur sendi termasuk tisu di sekelilingnya, dan lazim berlaku pada lutut, pinggul, tulang belakang serta lengan.

Faktor lain termasuk usia, berat badan berlebihan, serta sejarah kecederaan atau penggunaan sendi yang berlebihan.

Oleh kerana osteoarthritis boleh menjejaskan aktiviti harian dan kesihatan mental. Rawatan seperti senaman, pemakanan sihat, atau pembedahan penggantian sendi (untuk kes teruk) membantu mengurangkan sakit dan memulihkan pergerakan.

2. Osgood-Schlatter Disease

Menurut OrthoInfo, Osgood-Schlatter Disease merupakan salah satu punca sakit lutut bagi wanita, khususnya remaja yang sedang melalui fasa pertumbuhan pesat (growth spurt).

Keadaan ini dicirikan oleh keradangan pada bahagian tepat di bawah lutut, iaitu di tempat tendon patella melekat pada tulang kering (tibia).

Menurut National Center for Biotechnology Information, ia sering dikaitkan dengan aktiviti fizikal berimpak tinggi seperti berlari, melompat, atau sukan yang memerlukan pergerakan pantas, yang memberi tekanan berulang pada kawasan tersebut.

Walaupun Osgood-Schlatter Disease lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki, remaja perempuan juga boleh mengalaminya, terutamanya mereka yang aktif bersukan.

Gejala termasuk bengkak, sakit setempat di bawah lutut, dan rasa sakit yang bertambah teruk ketika melakukan aktiviti fizikal.

Rawatan biasanya melibatkan rehat, penggunaan ais untuk mengurangkan bengkak, regangan otot, dan pengubahsuaian aktiviti bagi membolehkan kawasan lutut sembuh sepenuhnya.

3. Perubahan Hormon

punca sakit lutut bagi wanita perubahan hormon

Estrogen berperanan penting dalam menjaga kesihatan sendi kerana ia mempunyai kesan anti-radang semula jadi.

Apabila tahap hormon ini berubah secara drastik seperti semasa kitaran haid, kehamilan, perimenopaus atau menopaus ia boleh mempengaruhi kelonggaran ligamen (joint laxity) dan meningkatkan keradangan pada sendi.

Kajian dari International Journal of Molecular Sciences mendapati bahawa, ramai wanita mula melaporkan masalah sakit sendi termasuk lutut ketika mereka memasuki fasa perimenopaus atau menopaus, disebabkan oleh penurunan estrogen yang mengakibatkan keradangan kronik menjadi lebih ketara.

Selain itu, wanita yang mengalami sindrom prahid (PMS) juga sering merasakan ketidakselesaan atau sakit pada bahagian lutut dan sendi lain.

Oleh itu, keseimbangan hormon reproduktif adalah penting dalam mengurangkan gejala sakit lutut yang berpunca daripada perubahan hormon.

Memahami kaitan antara hormon dan kesihatan sendi dapat membantu wanita mengambil langkah pencegahan awal melalui gaya hidup sihat atau rawatan hormon jika diperlukan.

4. Koyakan Meniskus

Menurut OrthoInfo, meniskus ialah dua rawan berbentuk baji di antara tulang paha (femur) dan tulang kering (tibia) yang berfungsi menyerap hentakan pada sendi lutut.

Kecederaan ini boleh berlaku apabila seseorang memusingkan lutut secara tiba-tiba semasa menampung berat badan, menyebabkan koyakan pada rawatan tersebut.

Bagi wanita berumur, meniskus semakin nipis dan lemah akibat penuaan dan kemerosotan rawan berkaitan osteoarthritis, sehingga mudah koyak walaupun dengan pergerakan biasa.

Terdapat dua jenis koyakan meniskus iaitu:

  • Medial (di bahagian dalam lutut)
  • Lateral (di bahagian luar lutut)

Kecederaan ini bukan sahaja kerap berlaku dalam sukan, tetapi juga semasa aktiviti harian seperti membongkok, berlutut, atau bangun dengan pergerakan yang salah.

Antara gejala yang biasa dialami ialah sakit tajam di lutut, bengkak, kesukaran meluruskan kaki, serta rasa lutut “terkunci” atau tidak stabil.

Rawatan awal melibatkan kaedah RICE (rehat, ais, balut, dan elevasi) bersama ubat anti-radang (NSAID) untuk mengurangkan sakit dan bengkak.

Dalam sesetengah keadaan, fisioterapi membantu menguatkan otot di sekitar lutut dan meningkatkan pergerakan. Jika koyakan teruk, pembedahan mungkin diperlukan.

5. Gout

Gout ialah penyakit sendi yang menyebabkan keradangan dan boleh menyebabkan sakit lutut, terutama pada wanita selepas menopaus.

Punca sakit lutut bagi wanita ini berlaku apabila asid urik berkumpul dalam darah dan membentuk kristal halus seperti jarum di dalam sendi dan tisu sekitarnya.

Kristal ini menyebabkan keradangan yang sakit, bengkak, merah, dan rasa panas pada sendi, termasuk lutut.Walaupun gout lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki, wanita juga tidak terkecuali.

Kajian dari Arthritis Research & Therapy mendapati bahawa, hormon estrogen berperanan membantu tubuh menyingkirkan asid urik, dan selepas menopaus, paras estrogen menurun, menyebabkan wanita lebih mudah mengalami serangan gout.

Selain itu, wanita yang menghidap penyakit buah pinggang kronik, darah tinggi, kencing manis atau obesiti juga berisiko tinggi.

Simptom gout pada wanita kadang-kadang berbeza. Mereka mungkin rasa sakit pada lutut, pergelangan tangan, atau jari secara berperingkat, dan kadangkala melibatkan beberapa sendi sekaligus.

Keadaan ini boleh mengelirukan doktor kerana simptomnya hampir sama dengan osteoarthritis. Menurut National Center for Biotechnology Information, dalam kes kronik, kristal asid urik boleh membentuk ketulan yang jelas kelihatan pada sendi, dipanggil tophi.

Rawatan untuk gout termasuk ubat anti-radang seperti colchicine dan steroid, serta ubat untuk menurunkan paras asid urik dalam darah.

6. Obesiti dan Berat Badan Berlebihan

punca sakit lutut bagi wanita obesiti

Punca sakit lutut bagi wanita yang seterusnya adalah berat badan yang berlebihan.

Berat badan berlebihan memberi tekanan tinggi pada sendi lutut, membuatkan rawan cepat rosak dan meningkatkan risiko keradangan serta kecederaan.

Malah, ketika berjalan, lutut menanggung beban tiga hingga empat kali ganda berat badan. Contohnya, wanita seberat 80 kg menekan lututnya antara 240 hingga 320 kg setiap kali melangkah.

Keadaan ini lebih jelas ketika menaiki tangga atau membongkok. Wanita, terutama semasa dan selepas hamil, sering mengalami perubahan berat badan mendadak yang boleh menyebabkan sakit lutut.

Kajian dari National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, menurunkan berat badan kira-kira 1 kg sebulan secara konsisten boleh membantu mengurangkan keradangan dan melegakan sakit sendi.

Menariknya, setiap 1 kg berat badan yang hilang boleh mengurangkan beban pada sendi lutut sehingga 3–4 kg.

7. Pemakaian Kasut Tumit Tinggi

punca sakit lutut bagi wanita kasut tumit tinggi

Kasut tumit tinggi mengubah kedudukan postur badan dengan menolak berat badan ke hadapan, sekali gus meningkatkan tekanan pada sendi lutut, terutamanya di bahagian hadapan dan sisi luar lutut.

Apabila dipakai secara berterusan, ia bukan sahaja menjejaskan keupayaan kaki untuk menyerap hentakan, malah meningkatkan risiko kecederaan seperti retak pada lutut.

Kajian dari National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, sudut bengkok lutut bertambah apabila ketinggian tumit meningkat, daripada kasut rata kepada tumit 3.8 cm dan 8.3 cm. Posisi lutut yang sentiasa membengkok ini memberi tekanan berlebihan pada otot ekstensor dan permukaan sendi lutut.

Tambahan pula, jika si pemakai turut membawa beg berat atau mempunyai BMI tinggi, tekanan pada lutut akan bertambah dan boleh merosakkan sendi.

Tanda awal yang biasa dialami wanita termasuk sakit mencucuk, bunyi “pop” atau geseran ketika naik turun tangga dengan tumit tinggi. Ini menunjukkan sendi lutut menerima tekanan berlebihan dan tidak lagi mampu menyerap hentakan dengan baik.

Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, penggunaan tumit tinggi boleh melemahkan otot hadapan kaki, menyebabkan tempurung lutut menjadi tidak stabil.

Akibatnya, tulang dan rawan lutut bergesel, lalu mencetuskan keradangan dan mempercepatkan kerosakan rawan.

Rawatan awal termasuk pengambilan ubat anti-radang dan fisioterapi boleh membantu pemulihan lutut. Namun, jika keradangan semakin teruk dan tidak pulih, rawatan pembedahan seperti pemotongan atau pemulihan semula rawan mungkin diperlukan.

8. Iliotibial Band Syndrome (ITBS)

punca sakit lutut bagi wanita ITBS

Punca sakit lutut bagi wanita yang berikutnya adalah Iliotibial Band Syndrome (ITBS).

Ia biasa berlaku kepada mereka yang aktif dalam melakukan aktiviti seperti berlari atau senaman berimpak tinggi.

Keadaan ini dicirikan dengan rasa sakit atau sensitif pada bahagian luar lutut, iaitu antara sendi lutut dan tulang paha luar (lateral femoral epicondyle).

ITBS bukan disebabkan kecederaan mengejut, tetapi berlaku akibat penggunaan berlebihan. Ia terjadi apabila tendon di sisi paha, dipanggil iliotibial band, mengalami tekanan atau geseran berulang semasa lutut dibengkokkan, terutama ketika kaki menghentak tanah ketika berlari.

Kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, wanita berisiko tinggi mengalami ITBS kerana kelemahan otot pinggul seperti hip abductors, terutamanya otot gluteus medius, yang memainkan peranan penting dalam menstabilkan pelvis dan kaki semasa pergerakan.

Jika tidak dirawat, ITBS boleh menjejaskan prestasi fizikal dan menyebabkan sakit lutut berpanjangan.

Rawatan biasanya melibatkan fisioterapi, regangan khas untuk iliotibial band, serta latihan menguatkan otot pinggul bagi mengelakkan kecederaan berulang.

9. Kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL)

punca sakit lutut bagi wanita ACL

ACL ialah salah satu ligamen utama yang menstabilkan lutut. Kebanyakan kecederaan ACL berlaku tanpa sentuhan, contohnya ketika cepat menukar arah untuk mengelak lawan atau mendarat selepas melompat.

Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, wanita lebih berisiko mengalami koyakan ACL kerana sendi lutut mereka biasanya lebih longgar, mempunyai julat pergerakan lebih besar, dan jisim otot di sekeliling lutut yang lebih rendah berbanding lelaki.

Faktor teknik juga penting. Contohnya, sesetengah atlet wanita mendarat dengan lutut “collapsing” ke dalam dan kurang membengkokkan lutut, menyebabkan ligamen tertekan.

Apabila ACL terkoyak, pesakit biasanya mengalami sakit tajam, bengkak dengan cepat, dan rasa lutut tidak stabil.

Rawatan termasuk fisioterapi, ubat anti-radang, dan dalam kebanyakan kes, pembedahan untuk memulihkan fungsi lutut sepenuhnya.

Bagi atlet wanita, bekerjasama dengan pakar perubatan sukan yang memahami perbezaan mekanisme kecederaan ACL antara jantina dapat membantu merancang program pengukuhan otot dan memperbaiki teknik pergerakan, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan berulang.

10. Osteoporosis

punca sakit lutut bagi wanita osteoporosis

Osteoporosis berlaku apabila tulang kehilangan jisim dan ketumpatan sehingga menjadi rapuh dan mudah patah.

Dalam keadaan normal, tulang sentiasa proses pembentukan dan pereputan, namun pada pesakit osteoporosis, proses pembentukan tulang menjadi perlahan, menyebabkan kehilangan ketumpatan tulang yang ketara.

Penyakit ini biasanya tidak disedari sehingga tulang patah atau retak, termasuk di sekitar lutut.

Bukan itu sahaja, malah wanita juga mempunyai risiko jauh lebih tinggi berbanding lelaki, kira-kira 80% darpada pesakit osteoporosis adalah wanita disebabkan gabungan faktor hormon, biologi, dan gaya hidup.

Selepas menopaus, penurunan mendadak paras estrogen mempercepatkan proses pereputan tulang (bone resorption), menjadikan wanita lebih terdedah kepada masalah ini.

Selain itu, struktur tulang wanita yang lebih kecil dan nipis membuatkan kehilangan ketumpatan tulang memberi kesan lebih besar, sekali gus meningkatkan risiko keretakan, termasuk pada tulang yang menyokong lutut.

Rawatan merangkumi pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi, senaman beban seperti berjalan atau latihan kekuatan, terapi hormon bagi sesetengah wanita, serta ubat seperti bisphosphonates atau denosumab untuk menguatkan tulang.

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca sakit lutut bagi wanita, daripada masalah kecederaan hingga penyakit kronik.

Mengenal pasti punca yang tepat adalah langkah penting untuk mendapatkan rawatan yang sesuai dan mencegah komplikasi jangka panjang.

Mengamalkan gaya hidup sihat, melakukan senaman yang bersesuaian dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dapat membantu mengekalkan kesihatan serta kekuatan sendi lutu wanita.

Berikut adalah punca sakit lutut bagi wanita yang perlu anda tahu:

  1. Osteoarthritis
  2. Osgood-Schlatter Disease
  3. Perubahan Hormon
  4. Koyakan Meniskus
  5. Gout
  6. Obesiti dan Berat Badan Berlebihan
  7. Pemakaian Kasut Tumit Tinggi
  8. Iliotibial Band Syndrome (ITBS)
  9. Kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL)
  10. Osteoporosis

Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah sakit lutut di sini:

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *