10 Punca Resdung : Apa yang Perlu Anda Ambil Serius

Punca resdung boleh datang daripada palbagai faktor, bukan sekadar masalah hidung tersumbat atau berair.

Jika tidak diberi perhatian, ia boleh menjejaskan kualiti hidup dan berisiko menjadi kronik. Antara penyebabnya termasuk alahan, jangkitan bakteria, udara kering, malah stres harian yang sering diabaikan.

Dengan memahami punca resdung ini, anda boleh mengambil langkah pencegahan lebih awal sebelum keadaan menjadi serius.

Dalam artikel ini, kami akan senaraikan 10 punca resdung utama yang wajib anda tahu.

1. Udara Kering

punca resdung udara kering

Udara yang terlalu kering merupakan salah satu punca resdung. Keadaan ini berlaku apabila sinus menjadi terlalu kering sehingga lapisan membran di dalamnya mula merekah.

Retakan ini membolehkan bakteria masuk lalu menyebabkan jangkitan. Persekitaran dengan kelembapan yang rendah seperti kawasan gurun atau ruang tertutup dengan kawalan suhu turut menyumbang kepada masalah ini.

Selain resdung, saluran hidung (nasal passages) juga berisiko untuk bermasalah. Udara kering boleh menyebabkan membran mukus dalam hidung menjadi dehidrasi, lalu mengakibatkan hidung tersumbat, iritasi, dan pendarahan hidung (nosebleed).

Mukus dalam hidung berfungsi untuk menapis bakteria, virus, dan habuk. Bila mukus kering, hidung jadi kurang perlindungan dan lebih mudah terkena jangkitan sinus, radang alahan, serta masalah pernafasan lain.

Bahagian tekak juga tidak terkecuali. Bila udara kekurangan kelembapan, ia boleh menyebabkan tekak rasa kering, perit, sakit dan batuk. Jika berlarutan, ia boleh menyumbang kepada masalah seperti faringitis dan laringitis.

Walaupun kelihatan remeh, udara kering boleh menjejaskan kesihatan hidung, tekak, dan telinga secara keseluruhan hingga mengganggu kualiti hidup.

Penggunaan penghawa dingin dan pemanas udara, misalnya, boleh menyebabkan kelembapan udara berkurangan, lalu menjadikan atmosfera menyerap kelembapan daripada sumber lain termasuk kulit.

Apabila tubuh kehilangan kelembapan secara berterusan, risiko kerengsaan dan jangkitan sinus semakin meningkat, sekali gus memperburuk keadaan resdung.

Untuk mengurangkan kesan buruk udara kering, ada beberapa langkah yang boleh diambil:

  • Humidifier: Gunakan pelembap udara di rumah atau pejabat bagi mengekalkan tahap kelembapan sekitar 40% hingga 60%. Jika tidak mahu menggunakannya sepanjang hari, cukup digunakan pada waktu tidur untuk bantu kurangkan hidung tersumbat dan tekak kering.
  • Hidrasi: Minum air secukupnya bagi memastikan lapisan mukus sentiasa lembap. Jika susah nak minum air kosong, cuba minuman lain seperti jus segar di waktu pagi.
  • Ubah suai persekitaran: Elakkan duduk terlalu lama dalam bilik yang dipanaskan atau berhawa dingin, dan luangkan lebih masa di luar rumah untuk bantu mengekalkan kelembapan semula jadi tubuh.

2. Pencemaran dan Bahan Iritan di Udara

punca resdung pencemaran udara

Kajian pada tahun 2024 dari National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, pencemaran udara ada kaitan dengan keradangan sinus kronik.

Udara yang kita sedut setiap hari sebenarnya penuh dengan partikel halus yang sukar dielakkan. Debunga bunga, habuk rumah, bulu haiwan peliharaan, hama, dan kulat sentiasa terapung di udara, walaupun anda gunakan penapis udara yang canggih.

Semua ini boleh menjadi punca resdung kerana ia masuk melalui hidung dan merengsakan sinus.

Lebih membimbangkan, bau kuat daripada bahan kimia seperti formaldehid atau asap daripada kerja-kerja pembinaan turut menambah beban kepada sinus sehingga ia mudah meradang.

Bukan itu sahaja, menurut Florida Sinus & Snoring Specialists, peralatan seperti komputer, lampu dan elektronik lain turut menghasilkan ion bercas positif yang memberi kesan kepada masalah resdung.

Pencemaran udara lain seperti ozon, asap kenderaan, asap rokok, dan habuk halus (PM2.5) juga boleh menyebabkan keradangan pada tisu hidung dan sinus.

Jika dibiarkan, keradangan ini boleh membawa kepada masalah hidung tersumbat, rasa tekanan pada muka, atau jangkitan terutama bagi mereka yang lebih sensitif.

3. Virus dan Bakteria

punca resdung bakteria virus

Punca resdung yang berikutnya adalah disebabkan oleh virus dan bakteria. Tanpa kehadiran mikrrorganisma kecil ini, resdung tidak akan berlaku.

Masalahnya, mereka mudah “menyelinap masuk” apabila sinus menjadi lemah akibat faktor persekitaran lain, contohnya udara kering, alahan atau pencemaran. Dalam banyak kes, resdung berpunca daripada virus pernafasan yang sangat mudah berjangkit melalui sentuhan tangan.

Jika anda menyentuh permukaan atau individu yang dijangkiti virus, kemudian tanpa sedar menyentuh hidung, mulut atau mata, virus boleh masuk ke dalam badan dan menyebabkan selesema atau resdung yang teruk.

Walaupun simptom resdung akibat virus dan bakteria hampir sama, ada beberapa perbezaan penting yang boleh membantu membezakannya.

Menurut TGH Urgent Care, virus biasanya pulih sendiri dalam masa 7-10 hari, manakala bakteria lebih agresif, berlarutan lebih lama, dan kadang-kadang memerlukan rawatan antibiotik.

Simptom Jangkitan Sinus Disebabkan Virus

  • Hidung Tersumbat (Nasal Congestion): Rasa sempit dan sukar bernafas kerana aliran udara tersekat.
  • Hidung Berair (Runny Nose): Lendir jernih atau sedikit kekuningan/putih keluar tanpa henti, sebagai usaha badan menyingkirkan virus.
  • Sakit Tekak (Sore Throat): Rasa perit atau gatal di tekak, kadang disertai batuk kerana titisan lendir dari hidung menitis ke tekak (postnasal drip).
  • Batuk (Coughing): Batuk berulang untuk menolak keluar lendir; boleh bermula kering sebelum jadi berkahak.
  • Sakit atau Tekanan di Muka: Rasa berat atau berdenyut di kawasan hidung, pipi, atau dahi akibat sinus bengkak.
  • Tempoh: Biasanya 7–10 hari sebelum pulih apabila sistem imun berjaya melawan virus.

Simptom Jangkitan Sinus Disebabkan Bakteria

  • Simptom Berlarutan: Selsema atau hidung tersumbat tidak hilang selepas 10 hari.
  • Simptom Semakin Teruk: Rasa sakit muka bertambah kuat, dari sakit biasa menjadi berdenyut-denyut.
  • Ketidakselesaan Wajah Yang Ketara: Terutama di dahi, pipi atau sekitar mata.
  • Lendir Tebal & Berwarna: Lendir hidung jadi pekat, berwarna kuning atau hijau.
  • Demam: Badan panas kerana melawan jangkitan bakteria.
  • Tempoh: Lebih dari 10 hari, kadang ada tempoh “baik sebentar” sebelum simptom kembali lebih teruk.

Rawatan Mengikut Jenis Jangkitan

  • Jangkitan Virus: Antibiotik tidak berkesan kerana hanya melawan bakteria. Rawatan biasanya berupa rehat, minum air secukupnya, dan ubat tahan sakit atau selsema yang dijual di farmasi.
  • Jangkitan Bakteria: Jika disahkan berpunca daripada bakteria, barulah antibiotik digunakan. Pemilihan antibiotik bergantung kepada jenis bakteria dan tahap keseriusannya. Namun, penggunaannya mesti dipantau doktor untuk elak masalah rintangan antibiotik.

4. Penggunaan Berlebihan Produk Semburan Hidung

punca resdung semburan hidung

Menurut kajian dari International Journal of General Medicine, penggunaan berlebihan produk semburan hidung, terutamanya semburan dekongestan, boleh menjadi punca resdung yang lebih teruk.

Semburan ini biasanya digunakan untuk melegakan hidup tersumbat dengan mengecutkan salur darah dalam rongga hidung. Walau bagaimanapun, jika digunakan terlalu lama, ia boleh menyebabkan ketagihan serta mengurangkan keberkesanan ubat.

Akibatnya, hidung akan kembali bengkak dan tersumbat, menjadikan simptom resdung bertambah teruk.

Malah menurut National Center for Biotechnology Information, penggunaan semburan hidung lebih daripada tiga hari berturut-turut boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil rebound rhinitis medicamentosa (RM) atau “rebound congestion”, iaitu hidung kembali tersumbat akibat kesan sampingan ubat itu sendiri.

Keadaan ini berlaku kerana lapisan mukosa dalam hidung menjadi radang disebabkan pendedahan berterusan kepada bahan aktif dalam semburan, seperti oxymetazoline atau pseudoephedrine.

Selain daripada menyebabkan hidung lebih tersumbat, kesan sampingan lain juga boleh berlaku seperti:

  • Hidung berdarah
  • Sakit kepala
  • Pening
  • Rasa mengantuk
  • Jantung berdegup laju
  • Bersin berlebihan
  • Iritasi atau kekeringan dalam rongga hidung

Kajian dari National Center for Biotechnology Information juga mendapati bahawa, sesetengah semburan hidung juga mengandungi bahan pengawet seperti benzalkonium chloride (BKC), yang menimbulkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang kepada sistem imun.

Berbanding semburan dekongestan atau steroid, semburan garam (saline nasal sprays) biasanya lebih selamat dan mempunyai kesan sampingan yang lebih ringan. Namun begitu, ia juga tidak sesuai untuk semua orang kerana individu yang mungkin mengalami reaksi alahan.

5. Berenang

punca resdung berenang

Bagi individu yang mudah mengalami sinusitis atau hidung tersumbat, pendedahan kepada klorin boleh memburukkan lagi keadaan kerana bahan kimia ini bersifat kuat dan boleh merengsakan lapisan hidung serta sinus.

Selain itu, aktiviti menyelam juga boleh menimbulkan masalah apabila tekanan yang terhasil semasa menyelam menolak air masuk ke dalam rongga sinus, menyebabkan tisu menjadi bengkak dan radang.

Keadaan ini menghalang lendir daripada keluar secara normal, lalu menjadikan sinus sebagai tempat yang sesuai untuk bakteria membiak dan menyebabkan jangkitan.

Fenomena ini dikenali sebagai swimmer’s sinusitis, iaitu jangkitan sinus yang berlaku selepas berenang di kolam berklorin. Jika air bercampur klorin masuk ke dalam hidung atau telinga, ia boleh mencetuskan kerengsaan, bengkak, dan akhirnya jangkitan.

Swimmer’s sinusitis biasanya boleh berlaku dari beberapa hari hingga dua minggu, bergantung kepada tahap jangkitan.

Simptom Swimmer’s Sinusitis

  • Rasa sakit dan tekanan pada muka, terutamanya di pelipis, bawah mata dan dahi (sekitar rongga sinus).
  • Hidung tersumbat sehingga deria bau berkurang.
  • Sakit tekak yang berpanjangan walaupun sudah cuba pelbagai cara melegakannya.
  • Hidung berair tanpa henti.
  • Lendir berwarna hijau atau kuning yang lebih pekat, mengandungi bakteria atau virus.
  • Hilang selera makan kerana deria rasa dan bau menurun.
  • Cepat letih dan rasa ingin tidur sepanjang hari, disebabkan tekanan pada muka dan sakit kepala.

Langkah Pencegahan

  • Elakkan berenang dalam kolam sejurus selepas rawatan klorin dijalankan kerana tahap klorin sangat tinggi pada masa itu.
  • Gunakan nose clip dan earplugs ketika berenang untuk menghalang klorin masuk ke dalam sinus dan telinga.
  • Selepas berenang, gunakan neti pot dengan larutan saline untuk membilas sisa klorin dalam hidung.
  • Mandi dengan sabun sebaik sahaja keluar dari kolam untuk menghilangkan sisa klorin pada kulit dan rambut.

6. Polip Hidung

Menurut National Center for Biotechnology Information, polip hidung ialah ketumbuhan kecil yang bersifat benign (bukan kanser) yang terbentuk di dalam rongga hidung atau tisu sinus.

Walaupun tidak menyakitkan, polip boleh menyebabkan rongga sinus tersumbat, sekali gus menghalang lendir daripada mengalir keluar dengan normal. Hal ini menjadikan sinus mudah dijangkiti bakteria, lalu menyebabkan resdung.

Polip juga boleh menyekat saluran pernafasan sehingga menyebabkan kesukaran bernafas, sakit kepala, dan masalah deria bau.

Bagi polip yang kecil, ia mungkin tidak menimbulkan sebarang simptom, tetapi jika polip lebih besar atau berganda, ia boleh menyebabkan serius termasuk chronic sinusitis, iaitu keradangan berpanjangan pada sinus lebih daripada 12 minggu.

Simptom Biasa Chronic Sinusitis dengan Polip Hidung

  • Hidung berair atau tersumbat
  • Lendir menitis ke belakang tekak (postnasal drip)
  • Hilang deria bau
  • Hilang deria rasa
  • Sakit muka atau sakit kepala
  • Sakit pada gigi
  • Rasa tekanan di dahi dan muka
  • Berdengkur

Rawatan untuk Polip Hidung

Rawatan bergantung kepada tahap keterukan simptom yang dialami.

1. Ubat-Ubatan

  • Steroid nasal spray untuk melegakan simptom dan mengecilkan saiz polip.
  • Steroid oral seperti pil prednisone bagi kes yang lebih serius.
  • Biologics seperti suntikan dupilumab (antibodi monoklonal) yang boleh mengaktifkan sistem imun dan mengecilkan polip.
  • Antibiotik sekiranya berlaku jangkitan.

2. Pembedahan (jika polip besar atau berulang)

  • Polypectomy: Pembuangan polip dengan gunting pembedahan atau alat khas (snares).
  • Balloon sinuplasty: Doktor memasukkan belon kecil ke dalam rongga hidung, kemudian mengembangkannya untuk membuka laluan dan mengeluarkan polip menggunakan microdebrider.
  • Functional Endoscopic Sinus Surgery (FESS): Kaedah pembedahan minima invasif untuk membuang polip, tisu berpenyakit, tulang rosak, atau halangan lain dalam rongga hidung menggunakan microdebrider.

7. Stres

punca resdung stres

Stres bukan sahaja menjejaskan emosi dan mental, malah ia juga boleh menjadi punca resdung.

Apabila seseorang mengalami tekanan berpanjangan, sistem imun tubuh akan menjadi semakin lemah dan kurang berkesan untuk melawan virus serta bakteria.

Keadaan ini menyebabkan tubuh lebih mudah terdedah kepada jangkitan, termasuk jangkitan sinus.

Stres kronik turut meningkatkan keradangan dalam badan, yang seterusnya boleh memburukkan lagi simptom resdung seperti hidung tersumbat, sakit muka, dan tekanan di kawasan sinus.

8. Jangkitan Kulat

punca resdung jangkitan kulat

Punca resdung yang seterusnya adalah disebabkan oleh jangkitan kulat. Jangkitan ini dikatakan lebih kerap berlaku dalam kalangan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Apabila daya tahan badan menurun, kulat mudah membiak di tempat yang lembap dan gelap seperti rongga sinus.

Menurut kajian dari Journal of Clinical Medicine, antara kulat yang paling biasa dikaitkan dengan sinusitis ialah Aspergillus.

Jangkitan kulat pada sinus boleh berlaku dalam pelbagai tahap daripada ringan yang hanya menyebabkan ketidakselesaan, hingga ke tahap yang teruk dan berpotensi mengancam nyawa.

Sama ada ia berbentuk akut dan kronik, rawatannya juga berbeza-beza bergantung kepada jenis kulat yang terlibat dan tahap keterukan jangkitan.

9. Alahan

punca resdung alergik

Resdung sering dikaitkan dengan masalah alahan kepada hama habuk yang terdapat pada tilam dan bantal, bulu haiwan peliharaan, debunga bunga, atau kulapuk di kawasan lembap.

Tindak balas ini menyebabkan keradangan pada lapisan dalam hidung dan sinus. Bila berlaku keradangan, saluran pernafasan menjadi sempit dan laluan hidung tersumbat.

Akibatnya, lendir tidak dapat mengalir keluar dengan baik lalu terkumpul di dalam sinus.

Lendir yang terperangkap inilah yang akhirnya menjadi tempat sesuai untuk bakteria membiak dan menyebabkan jangkitan sinus atau resdung.

Simptom Resdung Disebabkan Alahan

  • Hidung berair atau tersumbat
  • Bersin berulang kali, terutamanya pada waktu pagi
  • Mata gatal, berair atau merah
  • Tekanan atau sakit pada muka, terutamanya di sekitar dahi, pipi, dan bawah mata
  • Kehilangan deria bau atau rasa
  • Lendir menitis ke belakang tekak (postnasal drip) yang boleh menyebabkan batuk atau sakit tekak
  • Berdengkur akibat hidung tersumbat ketika tidur

Rawatan resdung akibat alahan biasanya melibatkan penggunaan antihistamin untuk mengawal simptom, semburan hidung (steroid atau saline) untuk mengurangkan keradangan dan membersihkan rongga hidung, serta dekongestan untuk melegakan hidung tersumbat dalam jangka pendek.

Penggunaan penapis udara HEPA boleh membantu, manakala kes yang lebih serius mungkin memerlukan imunoterapi daripada doktor.

10. Benda Asing yang Tersangkut di Hidung

Apabila objek asing terperangkap di dalam hidung, ia boleh menyebabkan pengaliran lendir (nasal drainage) yang berwarna jernih, kelabu atau bercampur darah.

Jika lendir tersebut berbau busuk, itu mungkin tanda jangkitan sudah berlaku akibat objek yang tersekat.

Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan pernafasan, tetapi juga boleh menyebabkan keradangan pada rongga hidung serta meningkatkan risiko jangkitan sinus jika tidak dirawat segera.

Cara Mengeluarkan Benda Asing di Hidung

  • Bertenang: Kekal tenang jika mendapati ada benda asing di hidung anak. Panik boleh membuatkan anak turut panik.
  • Tiup perlahan: Kadangkala dengan meniup hidung secara perlahan sudah mencukupi untuk mengeluarkan objek.
  • Guna penyepit (tweezers): Hanya gunakan untuk objek yang lebih besar. Elakkan guna pada objek kecil kerana ia boleh menolak objek lebih jauh ke dalam.
  • Jangan guna kapas atau jari: Ini boleh menyebabkan objek terdorong lebih dalam.
  • Hentikan anak daripada menghidu: Menghidu boleh membuat objek bergerak lebih jauh ke dalam hidung dan membahayakan saluran pernafasan. Galakkan anak bernafas melalui mulut sehingga objek dikeluarkan.
  • Dapatkan rawatan perubatan: Jika objek tidak dapat dikeluarkan sendiri, segera bawa ke hospital atau klinik. Doktor mempunyai alat khas untuk mengeluarkan objek, sama ada dengan cara mencengkam, menyedut atau menyauk keluar.

Kesimpulan

Kesimpulannya, punca resdung datang daripada pelbagai faktor seperti alahan, jangkitan, udara kering, stres, dan pencemaran.

Jika tidak dirawat, ia boleh jadi kronik dan mengganggu kehidupan seharian. Dengan mengenal pasti punca dan dapatkan rawatan awal, resdung boleh dikawal dan kesihatan sinus lebih terjaga.

Berikut adalah antara punca resdung yang perlu anda tahu:

  1. Udara Kering
  2. Pencemaran dan Bahan Iritan di Udara
  3. Virus dan Bakteria
  4. Penggunaan Berlebihan Produk Semburan Hidung
  5. Berenang
  6. Polip Hidung
  7. Stres
  8. Jangkitan Kulat
  9. Alahan
  10. Benda Asing yang Tersangkut di Hidung

Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah resdung di sini:

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *