16 Punca Migrain yang Perlu Anda Tahu – Elakkan Sebelum Terlambat!
Punca migrain merupakan persoalan penting kerana migrain bukan sekadar sakit kepala biasa.
Ia sebenarnya adalah penyakit neurologi yang melemahkan, dengan simptom yang berbeza dan memerlukan pendekatan rawatan yang khusus berbanding gangguan sakit kepala lain.
Pakar Perunding Neurologi dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Kok Chin Yong berkata sakit kepala tegang, adalah yang lazim berlaku di Malaysia (26.5 peratus), diikuti migrain (9.0 peratus) dan pelbagai jenis sakit kepala lain (28.2 peratus).
Memahami punca migrain adalah langkah pertama untuk mengawal dan mencegah serangan migrain yang boleh menjejaskan kualiti hidup secara ketara.
1. Stres

Stres adalah punca migrain yang paling lazim dan paling berbahaya.
Kajian dari National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, 70% pesakit migrain mengalami serangan berkaitan stres, dan 50-70% daripada mereka mempunyai hubungan yang signifikan antara tahap stres harian dan kekerapan migrain.
Apabila seseorang berdepan dengan tekanan kerja konflik keluarga, atau tekanan emosi, badan akan menghasilkan hormon stres seperti seperti kortisol yang boleh mengganggu keseimbangan sistem saraf.
Tambahan pula, kebimbangan berterusan tentang serangan migrain seterusnya yang akan berlaku turut menyumbang kepada tekanan mental secara berpanjangan.
Cara atasi:
- Untuk mengurangkan risiko ini, anda disarankan mengenal pasti punca utama tekanan dalam hidup can cuba mengurangkannya.
- Kaedah seperti meditasi, terapi relaksasi, senaman ringan seperti yoga, dan jadual tidur yang tetap boleh membantu tubuh memberikan tindak balas yang lebih baik terhadap stres dan mengurangkan kebarangkalian serangan migrain.
2. Jadual Tidur Tidak Teratur

Tidur bukan sekadar masa untuk berehat, tetapi merupakan proses pemulihan neurologi yang penting.
Gangguan dalam pola tidur sama ada tidur terlalu lewat, bangun terlalu awal, atau perubahan mendadak waktu tidur boleh menyebabkan gangguan pada jam biologi badan (circadian rhythm).
Kajian dari International Journal of Molecular Sciences menunjukkan, hampir separuh daripada semua serangan migrain berlaku dalam tempoh awal pagi, antara jam 4 hingga 9 pagi iaitu satu waktu kritikal di mana gangguan tidur paling kerap berlaku.
Kurang tidur juga menyebabkan otak lebih mudah bertindak balas terhadap masalah persekitaran seperti cahaya terang, bunyi atau tekanan emosi.
Cara atasi:
- Disiplin jadual tidur dengan menetapkan waktu tidur dan bangun yang konsisten, termasuk pada hujung minggu.
- Pastikan bilik tidur dalam keadaan gelap, sejuk, dan sunyi.
- Elakkan aktiviti yang menyukarkan anda untuk tidur seperti menonton TV atau menggunakan telefon bimbit sebelum tidur.
- Amalan “sleep hygiene” yang baik adalah pelaburan besar dalam pencegahan migrain jangka panjang.
3. Perubahan Hormon
Dalam kalangan wanita, perubahan hormon adalah punca migrain yang berlaku mengikut kitaran haid.
Ini dikenali sebagai menstrual migraine, yang berlaku beberapa hari sebelum, semasa atau selepas haid disebabkan perubahan tahap estrogen dan progesteron secara mendadak.
Hormon ini mempengaruhi neurotransmiter di otak, termasuk serotonin, yang bertanggungjawab terhadap pengawalan kesakitan.
Wanita juga mengalami migrain semasa kehamilan, selepas bersalin, atau semasa menopaus.
Cara atasi:
- Menggunakan kaedah perancang keluarga seperti pil hormon boleh membantu menstabilkan paras estrogen, seterusnya mengurangkan serangan.
- Di samping itu, suplemen magnesium, perubahan pemakanan, dan pengurusan stres turut memainkan peranan dalam mengawal migrain berkaitan hormon.
- Rujukan kepada pakar sakit kepala atau pakar sakit puan adalah penting bagi mereka yang mengalami migrain haid berulang.
4. Kafein dan Alkohol
Kafein adalah bahan perangsang yang mempunyai kesan bercampur terhadap migrain. Sesetengah individu mendapati ia membantu melegakan sakit kepala, manakala bagi yang lain, ia adalah penyebab migrain.
Kesannya bergantung kepada dos dan kebergantungan individu. Kafein dalam kuantiti kecil kadangkala membantu meluaskan salur darah, tetapi pengambilan berlebihan atau pemberhentian mengejut boleh mencetuskan serangan.
Begitu juga dengan alkohol, terutamanya wain merah, yang mengandungi tiramina dan histamin, dua bahan kimia yang diketahui mencetuskan migrain.
Cara atasi:
- Pantau pengambilan harian kafein, dan elakkan pengambilan lewat malam yang boleh menjejaskan tidur.
- Jika anda dapati alkohol mencetuskan serangan, elakkan terus atau pilih minuman yang lebih ringan.
- Kekal hidrat sebelum dan selepas minum adalah langkah penting dalam pencegahan.
5. Perubahan Cuaca

Bagi sesetengah individu, perubahan tekanan atmosfera seperti sebelum hujan atau ribut boleh menyebabkan punca migrain.
Berdasarkan kajian dari World Journal of Otorhinolaryngology Head and Neck Surgery, tekanan barometrik yang menurun memberi kesan kepada tekanan dalam rongga kepala dan sinus, menyebabkan rasa berat atau berdenyut di kepala.
Kelembapan tinggi dan suhu melampau juga boleh menyebabkan kehilangan cecair badan, seterusnya mencetuskan dehidrasi yang memperburuk keadaan.
Cara atasi:
- Walaupun kita tidak mampu mengawal cuaca, kita boleh menyesuaikan rutin harian seperti merancang aktiviti luar pada waktu pagi atau malam.
- Aplikasi ramalan cuaca boleh digunakan untuk menjangka perubahan cuaca dan bersedia lebih awal.
6. Diet dan Pemakanan
Pemakanan adalah antara punca migrain yang paling kompleks kerana ia melibatkan pelbagai bahan kimia yang wujud dalam makanan harian.
Makanan seperti keju matang, coklat, daging yang diawet, makanan segera, makanan bergoreng, makanan yang mengandungi monosodium glutamate (MSG), dan pemanis tiruan seperti aspartame diketahui mengandungi bahan seperti tiramina, nitrat dan histamin yang boleh mengganggu keseimbangan kimia dalam otak dan mencetuskan serangan migrain.
Cara atasi:
- Seseorang yang mengalami migrain disarankan menyimpan diari makanan untuk mengenal pasti pencetus spesifik.
- Diet penghapusan, iaitu mengelakkan makanan tertentu selama beberapa minggu dan kemudian memperkenalkannya semula satu per satu, boleh membantu mengenal pasti pemicu dengan lebih tepat.
- Menukar kepada makanan segar, kurang diproses dan rendah bahan tambahan dapat membantu mengurangkan kekerapan serangan.
7. Dehidrasi
Menurut The Journal of International Advanced Otology, kekurangan air dalam tubuh adalah punca migrain yang sering dipandang ringan tetapi sangat signifikan.
Air diperlukan untuk menjaga tekanan darah, kelancaran peredaran darah dan fungsi otak yang optimum.
Bila tubuh kehilangan lebih banyak cecair berbanding yang diambil, ia mengganggu keseimbangan elektrolit dan menyebabkan salur darah menyempit.
Dehidrasi juga boleh menyebabkan pening, kekeliruan dan keletihan, yang sering menjadi simptom awal serangan.
Cara atasi:
- Pastikan pengambilan air mencukupi setiap hari, sekurang-kurangnya dua liter, atau lebih jika cuaca panas atau selepas aktiviti fizikal.
- Elakkan minuman berkafein berlebihan yang bersifat diuretik.
- Gunakan aplikasi atau botol air khas yang membantu menjejak pengambilan harian sebagai peringatan.
8. Cahaya Terang (Fotofobia)

Ramai pesakit migrain mengalami fotofobia, iaitu kepekaan melampau terhadap cahaya, terutamanya ketika atau sebelum serangan migrain berlaku.
Kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, cahaya matahari yang terang, lampu neon di pejabat, atau skrin komputer yang terlalu cerah boleh merangsang saraf optik dan mencetuskan atau memburukkan migrain.
Keadaan ini boleh menjadikan aktiviti harian seperti bekerja, memandu, atau berjalan di luar rumah satu cabaran yang menyakitkan.
Cara atasi:
- Gunakan cermin mata hitam berkualiti tinggi yang boleh menapis sinaran UV dan silau.
- Di dalam rumah atau pejabat, kurangkan kecerahan lampu dan skrin, serta elakkan bilik dengan pencahayaan berkelip.
- Cahaya hijau tidak mencetuskan migrain, jadi pertimbangkan penggunaan lampu khas yang berasaskan spektrum hijau.
9. Bau Kuat (Osmofobia)

Osmofobia, atau kepekaan berlebihan terhadap bau, adalah gejala yang sangat biasa dalam kalangan penghidap migrain.
Bau minyak wangi yang tajam, bahan kimia pembersih, makanan berbau kuat seperti kari, atau asap rokok boleh merangsang saraf deria dalam rongga hidung dan seterusnya mengaktifkan saraf trigeminal iaitu saraf utama yang terlibat dalam serangan migrain.
Cara atasi:
- Elakkan persekitaran dengan bau kuat.
- Jika bekerja di pejabat, maklumkan kepada rakan sekerja mengenai sensitiviti bau anda agar mereka dapat mengurangkan penggunaan produk berbau kuat.
- Di rumah, gunakan bahan pencuci semula jadi dan pastikan ruang pengudaraan yang baik.
10. Penggunaan Ubat Berlebihan
Ramai pesakit migrain yang terlalu bergantung kepada ubat tahan sakit akhirnya mengalami medication overuse headache (MOH), iaitu sakit kepala akibat pengambilan ubat secara berlebihan.
Apabila ubat seperti triptan, opioid atau ubat gabungan diambil lebih daripada 10 kali sebulan, ia boleh menyebabkan otak menjadi lebih sensitif terhadap isyarat sakit.
Cara atasi:
- Hentikan penggunaan ubat secara berlebihan di bawah pengawasan doktor.
- Dalam banyak kes, pesakit perlu menjalani proses ‘detoks’ ubat sebelum memulakan rawatan pencegahan lain seperti ubat profilaksis, perubahan gaya hidup, atau terapi alternatif.
- Dapatkan bantuan pakar neurologi jika masalah ini berlarutan.
11. Dysfungsi Pangkal Otak
Menurut National Center for Biotechnology Information, pangkal otak adalah bahagian penting dalam sistem saraf yang mengawal fungsi asas seperti tidur, tekanan, emosi dan kawalan kesakitan.
Dalam kalangan pesakit migrain, beberapa nukleus dalam batang otak seperti periaqueductal gray dan dorsal raphe nucleus mungkin berfungsi secara abnormal, menyebabkan ketidakseimbangan dalam pemprosesan maklumat deria dan isyarat kesakitan.
Interaksi saraf yang tidak seimbang ini boleh menjelaskan mengapa pesakit migrain kerap mengalami gabungan simptom fizikal, kognitif dan emosi secara serentak.
Cara atasi:
- Rawatan mungkin memerlukan pendekatan bersepadu termasuk ubat tahan sakit khas, rawatan neurologi jangka panjang, serta terapi kognitif dan relaksasi untuk mengawal tindak balas saraf secara menyeluruh.
12. Faktor Genetik
Berdasarkan kajian dari Neuropsychiatric Disease and Treatment, migrain adalah penyakit yang kuat berkait dengan faktor genetik.
Jika salah seorang ibu bapa mengalami migrain, kemungkinan anak mewarisinya adalah sekitar 50%; dan jika kedua-duanya menghidap migrain, risikonya meningkat kepada 75%.
Kajian telah menemui lebih 20 kawasan kromosom yang tidak normal berkaitan migrain, yang menunjukkan bahawa ia bukan berpunca daripada satu gen tunggal, tetapi gabungan faktor genetik yang kompleks.
Cara atasi:
- Walaupun kita tidak boleh mengubah genetik, kita boleh mengurangkan risikonya dengan mengenal pasti corak serangan awal, menjalani gaya hidup sihat, serta mendapatkan rawatan pencegahan yang sesuai.
- Penghidap migrain yang ada sejarah keluarga perlu lebih peka terhadap pencetus mereka sejak awal remaja.
13. Kecederaan Otak Trauma

Kecederaan pada kepala akibat kemalangan jalan raya, sukan, keganasan rumah tangga, atau jatuh boleh mencetuskan jenis migrain yang dikenali sebagai post-traumatic headache (PTH).
Kesakitan boleh muncul dalam masa tujuh hari selepas trauma dan bagi sesetengah orang, ia boleh berlanjutan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Statistik menunjukkan bahawa hampir 45% kecederaan kepala atau leher disusuli dengan sakit kepala kronik.
Cara atasi:
- Pesakit memerlukan penilaian neurologi menyeluruh, serta rawatan pelbagai disiplin termasuk ubat pencegah, fisioterapi, dan rawatan psikologi.
- Migrain pascatrauma cenderung lebih sukar dirawat, maka intervensi awal amat penting.
14. Merokok dan Tembakau

Nikotin dalam rokok dan vape menyebabkan salur darah di otak menjadi sempit, mengurangkan aliran darah dan meningkatkan kerentanan terhadap migrain.
Selain itu, asap rokok termasuk asap pasif juga mengandungi beratus bahan kimia toksik yang boleh mengganggu sistem saraf pusat dan menimbulkan kesan keradangan.
Cara atasi:
- Bagi mereka yang merokok, langkah terbaik ialah berhenti sepenuhnya dengan bantuan terapi penggantian nikotin atau kaunseling.
- Sekiranya tidak merokok, elakkan kawasan yang dipenuhi asap dan minta orang sekeliling menghormati sensitiviti anda.
15. Hubungan Seksual Intens

Hubungan seksual, khususnya saat klimaks, boleh meningkatkan tekanan darah dan merangsang saraf trigeminal yang secara tidak langsung boleh mencetuskan serangan migrain.
Sesetengah individu menyebutnya sebagai “orgasmic headache”, yang berlaku secara tiba-tiba dan sangat menyakitkan.
Namun begitu, kajian dari National Center for Biotechnology Information juga menunjukkan bahawa, sebilangan penghidap migrain mendapati aktiviti seksual membantu mengurangkan simptom kerana pelepasan endorfin semasa hubungan intim.
Cara atasi:
- Jika migrain kerap berlaku selepas hubungan seksual, berunding dengan pakar neurologi atau pakar sakit kepala.
- Posisi seksual yang kurang memerlukan tenaga fizikal dan pendekatan lebih santai boleh membantu mengurangkan tekanan.
16. Mengunyah Berlebihan

Mengunyah makanan keras secara berterusan seperti daging jerky atau gula-gula getah boleh menyebabkan tekanan berlebihan pada sendi rahang atau temporomandibular joint (TMJ).
Ini boleh menyebabkan keradangan pada sendi dan otot rahang, sekaligus merangsang saraf trigeminal yang sangat sensitif kepada kesakitan.
Kajian dari Pediatric Neurology menunjukkan bahawa, menghentikan tabiat mengunyah berlebihan selama dua minggu boleh mengurangkan simptom migrain sehingga 87%.
Cara atasi:
- Elakkan tabiat mengunyah tanpa keperluan dan pilih makanan yang lebih lembut.
- Jika mengalami sakit rahang berpanjangan atau rasa tegang di sekitar telinga dan kepala, berjumpa pakar TMJ atau fisioterapi untuk rawatan lanjut.
Kesimpulan
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca migrain yang berbeza bagi setiap individu, seperti stres, tidur tidak teratur, hormon, makanan dan faktor persekitaran.
Memahami puncanya penting untuk mencegah serangan yang berulang. Ingat, setiap orang mempunyai pengalaman migrain yang berbeza, jadi jangan malu berbincang dengan doktor atau pakar sakit kepala.
Perbincangan terbuka dapat membantu mereka membuat diagnosis tepat dan merancang rawatan terbaik untuk anda. Ambil langkah awal sebelum migrain menjejaskan kualiti hidup anda.
Berikut adalah punca migrain yang perlu anda ketahui:
- Stres
- Jadual Tidur Tidak Teratur
- Perubahan Hormon
- Kafein dan Alkohol
- Perubahan Cuaca
- Diet dan Pemakanan
- Dehidrasi
- Cahaya Terang (Fotofobia)
- Bau Kuat (Osmofobia)
- Penggunaan Ubat Berlebihan
- Dysfungsi Pangkal Otak
- Faktor Genetik
- Kecederaan Otak Trauma
- Merokok dan Tembakau
- Hubungan Seksual Intens
- Mengunyah Berlebihan
Anda juga boleh baca tentang informasi migrain yang lain di sini: