16 Punca Hidung Berdarah yang Perlu Anda Waspadai

Artikel ini bincang tentang punca hidung berdarah. Hidung berdarah, atau epistaksis, adalah masalah kesihatan yang sering dialami oleh pelbagai peringkat usia.

Walaupun kelihatan seperti masalah kecil, hidung berdarah boleh menjadi tanda kepada isu kesihatan yang lebih serius jika berlaku secara kerap atau jumlah yang banyak.

Keadaan ini biasanya berlaku apabila saluran darah yang terdapat di dalam hidung pecah akibat pelbagai faktor seperti persekitaran, gaya hidup, atau penyakit tertentu.

Dalam artikel ini, kami akan mengupas secara terperinci 16 punca hidung berdarah, termasuk persekitaran udara yang kering, tekanan darah tinggi, kekurangan nutrisi, dan penggunaan ubat-ubatan tertentu.

Memahami punca-punca ini adalah langkah pertama yang penting untuk mencegah dan mengurus masalah hidung berdarah dengan lebih berkesan.

1. Persekitaran Udara Kering

punca hidung berdarah cuaca kering

Udara kering adalah salah satu punca hidung berdarah, terutamanya dalam persekitaran yang menggunakan penghawa dingin atau berada di kawasan beriklim sejuk dengan kelembapan udara yang rendah.

Menurut National Center for Biotechnology Information, apabila udara kurang lembap, lapisan mukosa di dalam hidung menjadi kering dan rapuh. Keadaan ini menjadikannya mudah cedera, menyebabkan saluran darah kecil di dalam hidung pecah dan membawa kepada pendarahan.

Masalah seperti ini lebih cenderung berlaku terutamanya pada musim sejuk atau apabila seseorang kerap berada di bilik berhawa dingin untuk jangka masa yang lama. Orang yang tinggl di kawasan berkiklim panas dan kering, seperti padang pasir, juga berisiko tinggi.

Untuk mencegahnya, pelembap udara (humidifier) boleh digunakan bagi menambah kelembapan dalam ruang, atau seseorang boleh menyapu sedikit petroleum jelly di dalam hidung untuk menjaga kelembapan membran mukosa.

2. Selsema atau Alergi

punca hidung berdarah alergi

Selsema dan alergi juga merupakan punca hidung berdarah. Kedua-dua keadaan ini menyebabkan keradangan dalam saluran hidung, menjadikan tisu lebih rapuh dan mudah pecah.

Ketika selsema, anda akan sering bersin dan menghembus hidung secara kerap. Tabiat ini kebiasaannya boleh menyebabkan tekanan pada saluran darah kecil dalam hidung. Bukan itu sahaja, seseorang yang alergi terhadap debunga, debu, atau bulu haiwan akan memberi tindak balas imun lalu menyebabkan keradangan dan gatal pada hidung. Hal ini sekaligus meningkatkan kemungkinan pendarahan di hidung.

Untuk mencegah hidung berdarah akibat alergi atau selsema, adalah penting untuk mengelakkan pencetus alergi dan menjaga kelembapan saluran hidung anda.

3. Tindak Balas Bahan Kimia

Pendedahan kepada bahan kimia yang merengsa boleh menyebabkan hidung berdarah. Contohnya seperti, bahan kimia seperti peluntur, pelarut cat, atau asap toksik boleh merengsakan lapisan mukosa hidung, menyebabkan keradangan dan kerosakan pada saluran darah kecil.

Orang yang bekerja di industri pembinaan, pembuatan, atau pembersihan biasanya lebih terdedah kepada risiko ini jika tidak menggunakan perlindungan yang sesuai. Asap rokok juga boleh memberi kesan yang sama, bukan sahaja kepada perokok tetapi juga kepada orang di sekeliling.

Kajian yang dijalankan oleh Aerosol and Air Quality Research mendapati bahawa, untuk mencegah pendarahan hidung akibat bahan kimia, penggunaan masker perlindungan dan pengudaraan yang baik dalam kawasan kerja sangat penting.

4. Penggunaan Alkohol Yang Tidak Terkawal

Menurut Alcohol Health and Research World, pengambilan alkohol yang berlebihan memberi kesan buruk kepada tubuh, termasuk saluran darah di dalam hidung. Alkohol bertindak sebagai vasodilator, yang bermaksud ia melebarkan saluran darah.

Saluran darah yang melebar lebih mudah pecah, menyebabkan pendarahan spontan. Selain itu, alkohol juga mengurangkan kebolehan darah untuk membeku, meningkatkan tempoh pendarahan apabila hidung berdarah berlaku.

Pengambilan alkohol yang berlebihan juga boleh mengeringkan badan, termasuk membran mukosa hidung, menjadikannya lebih mudah cedera. Untuk mengelakkan masalah ini, pengambilan alkohol perlu dikawal, dan memastikan tubuh sentiasa terhidrat adalah langkah yang penting.

5. Mengambil Ubat-Ubatan Tertentu

punca hidung berdarah ubat

Sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan sampingan hidung berdarah, terutamanya ubat-ubatan yang mempengaruhi pembekuan darah. Aspirin, ibuprofen, dan warfarin adalah contoh ubat pencair darah yang biasa digunakan.

Ubat ini mengurangkan keupayaan darah untuk membeku, menyebabkan pendarahan yang lebih sukar dihentikan apabila ia berlaku. Selain itu, dekongestan hidung yang digunakan secara berlebihan boleh mengeringkan lapisan mukosa hidung, menjadikannya lebih rapuh.

Individu yang perlu mengambil ubat-ubatan ini atas nasihat doktor harus lebih berhati-hati dengan segala aktiviti atau situasi yang berisiko mencederakan hidung.

6. Menghembus Hidung Dengan Terlalu Kuat

Menurut Infections Disease Society of America, tabiat menghembus hidung dengan terlalu kuat terutamanya ketika anda selsema, boleh menyebabkan tekanan yang tinggi di dalam saluran hidung. Tekanan ini boleh mencederakan saluran darah kecil dalam hidung, menyebabkan pendarahan.

Anda mungkin akan lebih berisiko untuk dapat hidung berdarah jika mukosa hidung kering atau iritasi. Pada umumnya, ramai yang tidak sedar bahawa perbuatan menghembus hidung yang selalu dilakukan ini sebenarnya boleh menyebabkan kecederaan kecil yang membawa kepada pendarahan hidung.

Cara terbaik adalah dengan menghembus hidung dengan lembut dan membersihkannya menggunakan tisu lembut untuk mengelakkan kecederaan dalaman.

7. Terjatuh atau Terhantuk

punca hidung berdarah jatuh

Menurut National Center for Biotechnology Information, kecederaan fizikal seperti jatuh, terhantuk, atau hentakan kuat pada hidung boleh menyebabkan saluran darah pecah. Dalam kes-kes tertentu, kecederaan ini mungkin menyebabkan tulang hidung patah atau kerosakan serius pada tisu hidung.

Pendarahan akibat kecederaan biasanya lebih teruk dan mungkin memerlukan rawatan perubatan segera. Jika pendarahan tidak berhenti atau disertai dengan gejala seperti bengkak atau sakit yang teruk, pemeriksaan lanjut oleh doktor adalah sangat penting.

8. Tekanan Darah Tinggi

punca hidung berdarah darah tinggi

Tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah faktor risiko yang jarang diketahui boleh membawa kepada punca hidung berdarah. Apabila tekanan darah tinggi, saluran darah termasuk di hidung, mengalami tekanan yang lebih besar.

Situasi ini boleh menyebabkan saluran darah yang nipis itu pecah, lalu menghasilkan pendarahan spontan. Kajian dari National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, pendarahan akibat tekanan darah tinggi biasanya lebih sukar dihentikan dan boleh berlaku tanpa sebab yang jelas.

Individu yang mempunyai tekanan darah tinggi perlu memantau keadaan mereka secara berkala dan mendapatkan rawatan untuk mengelakkan komplikasi lain seperti strok atau serangan jantung.

9. Jangkitan Kuman

Jangkitan bakteria atau virus di saluran hidung boleh menyebabkan keradangan yang meluas. Contohnya, sinusitis hidung boleh menyebabkan pembengkakan tisu hidung, menjadikan saluran darah lebih lemah dan mudah pecah.

Gejala lain mungkin termasuk sakit muka, demam, dan hidung tersumbat. Dalam kes seperti ini, rawatan dengan antibiotik atau ubat anti-radang mungkin diperlukan untuk mengawal jangkitan dan menghentikan pendarahan.

10. Kekurangan Vitamin C

Vitamin C memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan saluran darah. Menurut National Center for Biotechnology Information, kekurangan vitamin C boleh menyebabkan penyakit skurvi.

Orang yang kurang makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar lebih berisiko mengalami masalah ini. Amalan pemakanan yang sihat dengan pengambilan vitamin C yang mencukupi, seperti oren, kiwi, dan brokoli, boleh membantu mencegah penyakit skurvi.

11. Menyembur Spray Nasal

punca hidung berdarah spray nasal

Penggunaan spray nasal yang terlalu kerap, terutamanya jenis yang mengandungi steroid atau dekongestan, boleh menyebabkan kerosakan pada mukosa hidung. Pengunaan berlebihan juga mengeringkan lapisan hidung, menjadikannya lebih mudah mengalami kecederaan.

Untuk mengelakkan pendarahan, spray nasal harus digunakan mengikut arahan doktor atau pengilang, dan penggunaannya perlu dihadkan dalam tempoh tertentu.

12. Ketumbuhan Dalam Rongga Hidung 

Ketumbuhan seperti polip hidung atau tumor boleh menekan saluran darah dan menyebabkan kerosakan tisu di hidung. Ketumbuhan ini biasanya membawa kepada hidung berdarah yang berulang.

Pemeriksaan perubatan adalah penting jika seseorang mengalami pendarahan yang kerap tanpa sebab yang jelas, terutamanya jika disertai dengan gejala sukar bernafas atau perubahan pada struktur hidung.

13. Radioterapi dan Kimoterapi

Menurut National Center for Biotechnology, pesakit kanser yang menjalani rawatan radioterapi atau kimoterapi sering mengalami kesan sampingan seperti hidung berdarah.

Rawatan ini boleh merosakkan tisu sihat di sekitar hidung dan melemahkan saluran darah. Doktor biasanya akan memberikan rawatan tambahan seperti pelembap hidung atau ubat anti-radang untuk mengurangkan risiko pendarahan.

14. Penyakit Berkaitan Hati

Penyakit hati kronik seperti sirosis mengurangkan penghasilan protein yang diperlukan untuk pembekuan darah.

Akibatnya, seseorang yang mengalami masalah hati lebih mudah mengalami pendarahan, termasuk di hidung. Dalam kes ini, rawatan penyakit hati adalah penting untuk mengawal pendarahan.

15. Kekurangan Kalsium

punca hidung berdarah kalsium

Kalsium penting untuk proses pembekuan darah dan kesihatan saluran darah. Kekurangan kalsium boleh menyebabkan darah sukar membeku dan meningkatkan risiko pendarahan hidung yang berpanjangan.

Makanan yang kaya kalsium seperti susu, keju, dan sayuran hijau boleh membantu mencegah masalah ini.

16. Memasukkan Benda Asing Ke Dalam Hidung

Memasukkan benda asing ke dalam hidung merupakan salah satu punca hidung berdarah, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Tabiat ini biasanya berlaku apabila individu, terutamanya kanak-kanak, secara tidak sengaja memasukkan objek kecil seperti manik, kacang, atau mainan kecil ke dalam rongga hidung.

Objek asing tersebut boleh menyebabkan kecederaan pada saluran darah halus yang terdapat di dinding dalaman hidung, terutamanya di kawasan septum hidung yang kaya dengan saluran darah. Apabila benda asing ini bergesel atau menekan saluran darah tersebut, ia boleh mencetuskan pendarahan.

Selain itu, percubaan untuk mengeluarkan objek tersebut secara kasar atau menggunakan alat yang tidak sesuai juga boleh menyebabkan trauma tambahan, yang seterusnya memperburukkan lagi keadaan. Dalam situasi yang lebih serius, jangkitan atau keradangan akibat benda asing yang tertinggal lama dalam hidung juga boleh merosakkan tisu dan meningkatkan risiko pendarahan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, hidung berdarah mungkin kelihatan seperti masalah kesihatan yang remeh, tetapi ia tidak boleh diabaikan, terutamanya jika berlaku secara berulang atau disertai dengan gejala lain.

Pelbagai faktor, termasuk persekitaran, amalan harian, dan keadaan kesihatan tertentu, boleh menjadi punca utama kepada masalah ini. Dengan mengetahui punca hidung berdarah eperti kekurangan vitamin, tekanan darah tinggi, atau penggunaan ubat tertentu, individu dapat mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya untuk mengelakkan komplikasi.

Jika pendarahan hidung berlaku dengan kerap atau dalam jumlah yang besar, adalah penting untuk mendapatkan rawatan perubatan segera. Kesedaran dan tindakan proaktif dalam menjaga kesihatan hidung dapat meningkatkan kualiti hidup dan mencegah masalah yang lebih serius di masa hadapan.

Berikut adalah punca hidung berdarah yang biasanya boleh berlaku:

  1. Persekitaran Udara Kering
  2. Selsema atau Alergi
  3. Tindak Balas Bahan Kimia
  4. Penggunaan Alkohol Yang Tidak Terkawal
  5. Mengambil Ubat-Ubatan Tertentu
  6. Menghembus Hidung Dengan Terlalu Kuat
  7. Terjatuh atau Terhantuk
  8. Tekanan Darah Tinggi
  9. Jangkitan Kuman
  10. Kekurangan Vitamin C
  11. Menyembur Spray Nasal
  12. Ketumbuhan Dalam Rongga Hidung 
  13. Radioterapi dan Kimoterapi
  14. Penyakit Berkaitan Hati
  15. Kekurangan Kalsium
  16. Memasukkan Benda Asing Ke Dalam Hidung

Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah hidung berdarah di sini:

Similar Posts

Leave a Reply