15 Punca Cirit Birit – Apa yang Berlaku Dalam Usus Anda?
Punca cirit birit boleh datang dari pelbagai faktor, dan memahami setiap satunya penting untuk menjaga kesihatan sistem penghadaman.
Cirit birit merupakan masalah biasa yang dialami oleh semua orang walaupun sekali dalam hidup. Ia dicirikan oleh najis yang cair atau berair, kerap membuang air besar, dan sering kali disertai dengan kekejangan perut serta dehidrasi.
Walaupun kebanyakan kes bersifat ringan dan sembuh sendiri, cirit birit yang berpanjangan atau teruk mungkin menandakan masalah kesihatan yang lebih serius.
Dengan mengetahui punca cirit birit, anda dapat menguruskan simptom dengan lebih berkesan dan mengurangkan risiko ia berulang.
Artikel ini akan menghuraikan 15 punca cirit birit yang boleh mengganggu fungsi usus dan menjejaskan rutin harian anda.
1. Gastroenteritis Virus

Salah satu punca cirit birit ialah jangkitan virus pada saluran gastrousus yang dikenali sebagai gastroenteritis virus.
Keadaan ini sering disebut sebagai “stomach bug” dan mudah berjangkit di kawasan padat seperti pejabat, sekolah atau asrama. Berdasarkan kajian dari The Lancet, virus yang menyebabkan gastroenteritis termasuk rotavirus, norovirus dan adenovirus.
Ia menyebabkan keradangan pada lapisan usus dan mencetuskan simptom seperti loya, muntah, dan najis cair yang kerap.
Rotavirus sangat biasa dalam kalangan kanak-kanak namun vaksinasi telah diperkenalkan untuk bayi bagi mencegah jangkitan ini.
Cirit birit jenis ini biasanya bersifat sementara tetapi sangat menyusahkan dan boleh membawa kepada dehidrasi jika tidak ditangani dengan baik.
2. Gastroenteritis Bakteria
Selain itu, cirit birit juga boleh berlaku akibat jangkitan bakteria ada usus.
Keadaan ini dikenali sebagai gastroenteritis bakteria, dan simptomnya serupa dengan jangkitan virus seperti loya, muntah, dan cirit birit, tetapi selalunya disertai dengan demam, kekejangan perut dan sakit perut yang kuat.
Jangkitan ini sering berpunca daripada pengambilan makanan atau air yang tercemar.
Mereka yang mengalami gastroenteritis bakteria perlu mium banyak air atau larutan elektrolit untuk mengelakkan dehidrasi. Dalam kes yang serius, rawatan antibiotik mungkin diperlukan.
3. Organisma Berjangkit dan Makanan Tercemar

Berdasarkan kajian dari National Center for Biotechnology Information, terdapat pelbagai mikroorganisma berbahaya yang boleh menyebabkan jangkitan usus dan cirit-birit. Antaranya termasuk:
- E. coli, sering ditemui dalam daging kisar atau hasil pertanian yang tercemar najis
- Salmonella, dari telur mentah, produk tenusu tidak dipasteur dan ayam tidak masak
- Shigella, tersebar melalui makanan atau minuman tercemar atau melalui tangan yang menyentuh permukaan kotor
- Campylobacter, sering dijumpai dalam produk tenusu tercemar
- Clostridium, dari daging yang tercemar
- Parasit seperti Giardia, Entamoeba, dan Ascaris juga boleh menyerang usus dan menyebabkan cirit-birit yang berpanjangan
Jangkitan ini biasanya berlaku melalui pengambilan makanan yang tidak bersih atau penyediaan makanan yang tidak mengikut piawaian kebersihan.
4. Toksin Pra-bentuk dalam Makanan
Sesetengah bakteria seperti Staphylococcus aureus dan Bacillus cereus menghasilkan toksin tahan haba dalam makanan.
Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, walaupun makanan dimasak, toksin ini tidak musnah dan boleh menyebabkan cirit birit selepas dimakan.
Ini biasa berlaku apabila makanan dibiarkan pada suhu bilik terlalu lama. Gejala biasanya berlaku dengan cepat selepas makan dan mungkin disertai dengan muntah dan kekejangan.
5. Jenis Makanan yang Mengganggu Sistem Pencernaan

Ramai orang mengalami cirit birit selepas makan makanan tertentu yang tidak sesuai dengan sistem penghadaman mereka.
Ini termasuk makanan yang terlalu pedas, berminyak, tinggi kandungan gula buatan, atau makanan eksotik yang jarang dimakan.
Reaksi terhadap makanan seperti ini berbeza antara individu, dan mereka yang sensitif harus mengelakkan makanan yang diketahui mencetuskan masalah pencernaan.
6. Alergi atau Intoleransi terhadap Makanan
Alergi makanan boleh menyebabkan tindak balas imun yang teruk termasuk cirit birit manakala intoleransi makanan seperti terhadap gluten atau tenusu menyebabkan gejala seperti sakit perut, kembung dan najis cair.
Alergi yang lebih serius boleh menyebabkan kejutan anafilaksis dan memerlukan rawatan segera.
Manakala dalam kes intoleransi, cirit-birit berlaku kerana badan gagal mencerna komponen tertentu dalam makanan.
7. Intoleransi Laktosa

Mereka yang mengalami intoleransi makanan tidak dapat mencerna laktosa, iaitu sejenis gula yang terdapat dalam produk tenusu.
Ini menyebabkan gas, kembung, sakit perut, dan cirit birit setiap kali mengambil susu atau keju.
Keadaan ini biasa berlaku dalam kalangan orang dewasa di Asia dan boleh dikawal dengan mengelakkan produk tenusu atau mengambil enzim laktase.
8. Ubat-Ubatan Tertentu
Berdasarkan kajian dari Best Practice & Research Clinical Gastroenterology, sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan sampingan cirit-birit. Antaranya termasuk:
- Antibiotik, yang boleh membunuh bakteria baik dalam usus
- Antidepresan
- Antasid yang mengandungi magnesium
- Inhibitor pam proton seperti omeprazole dan lansoprazole
- Ubat kemoterapi yang digunakan dalam rawatan kanser
Cirit-birit akibat ubat biasanya berhenti selepas ubat dihentikan atau ditukar, namun dalam sesetengah kes, doktor akan memberi rawatan tambahan.
9. Enteritis Radiasi
Menurut kajian dari Asociación Colombiana de Gastroenterología, pesakit yang mengalani terapi radiasi, terutamanya di bahagian abdomen, pelvis, atau rektum, berisiko mengalami enteritis radiasi iaitu keradangan pada usus akibat radiasi.
Ini menyebabkan cirit-birit, loya, muntah dan kekejangan perut. Keadaan ini boleh menjadi kronik dan memerlukan pengurusan pemakanan serta rawatan perubatan yang rapi.
10. Sindrom Malabsorption
Dalam sindrom malabsorption, usus gagal menyerap nutrien dari makanan dengan sempurna.
Ini menyebabkan makanan bergerak terlalu pantas melalui saluran usus dan mengakibatkan najis cair atau berminyak, berbau busuk, dan kehilangan berat badan.
Punca sindrom ini termasuk penyakit seperti Celiac, penyakit Crohn, dan kerosakan usus akibat jangkitan.
Rawatan bergantung kepada punca asas dan biasanya melibatkan pemakanan khas dan suplemen nutrien.
11. Pengambilan Alkohol Berlebihan

Alkohol ialah bahan yang sangat mudah diserap oleh tisu badan. Sebaik sahaja ia memasuki tubuh, sebahagian alkohol akan terus meresap ke dalam aliran darah, termasuk melalui dinding perut.
Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, sekiranya perut kosong, penyerapan berlaku dengan lebih cepat, justeru itulah mengapa seseorang mudah mabuk tanpa makan terlebih dahulu.
Akibatnya, keradangan pada saluran gastrousus akan meningkat seiring dengan asid perut. Ia juga menjejaskan fungsi usus besar dalam menyerap air, menyebabkan najis lebih cair dan risiko dehidrasi meningkat.
Selain itu, alkohol mempercepatkan pergerakan usus, menjadikan makanan tidak sempat dihadam dengan sempurna, lalu mencetuskan cirit-birit.
Ia turut mengganggu keseimbangan bakteria baik dalam usus, yang boleh mengganggu proses penghadaman. Kesannya, pengguna alkohol berlebihan kerap mengalami cirit-birit dan ketidakselesaan perut.
12. Anxiety dan Tekanan
Menurut Anxiety & Depression Association of America, anxiety dan tekanan boleh menyebabkan cirit birit kerana wujudnya hubungan rapat antara otak dan sistem penghadaman melalui “gut-brain axis.”
Apabila seseorang mengalami tekanan, otak melepaskan hormon stres yang mengganggu keseimbangan bakteria dalam usus, sekaligus mencetuskan gangguan penghadaman.
Bahan kimia seperti interleukin-1 beta yang meningkat akibat kebimbangan boleh merosakkan lapisan pelindung usus dan menjejaskan penyerapan air, menyebabkan najis menjadi lebih cair.
Tekanan ini juga boleh memperepatkan pergerakan usus, menyebabkan makanan tidak sempat dihadam dengan sempurna lalu mengakibatkan cirit birit.
13. Pemindahan Organ

Punca cirit birit adalah disebabkan kesan sampingan dari penerima organ transplant, dan keadaan ini biasanya berpunca daripada ubat-ubatan yang perlu diambil selepas pembedahan.
Ubat imunosupresif seperti mycophenolate mofetil, tacrolimus, dan cyclosporine digunakan untuk mengelakkan tubuh menolak organ yang dipindahkan, namun ia juga boleh mengganggu sistem penghadaman.
Menurut Journal of Clinical Microbiology, ubat-ubatan ini boleh menyebabkan keradangan pada lapisan usus dan mengganggu keseimbangan bakteria baik dalam usus, yang akhirnya mencetuskan cirit birit.
Sistem imun yang lemah juga meningkatkan risiko jangkitan seperti CMV dan Clostridium difficile, yang boleh menyebabkan jangkitan usus. Faktor seperti tekanan dan perubahan diet turut menyumbang. Pemantauan rapi penting bagi mengelakkan komplikasi lanjut.
14. Sengugut

Senggugut atau kesakitan semasa haid boleh menjadi punca cirit birit, dan keadaan ini adalah sesuatu yang biasa berlaku bagi sesetengah wanita.
Dua simptom gastrointestinal yang kerap dilaporkan semasa haid ialah sakit perut dan cirit birit. Walaupun mekanismenya belum difahami sepenuhnya, pakar percaya bahawa perubahan hormon semasa kitaran haid memainkan peranan besar dalam menyebabkan gangguan ini.
Salah satu bahan kimia yang dikenali sebagai prostaglandin dipercayai menjadi punca utama. Prostaglandin dihasilkan oleh tubuh untuk membantu pengecutan otot rahim semasa haid, tetapi ia juga boleh merangsang otot pada dinding usus.
Apabila tahap prostaglandin tinggi, usus menjadi lebih aktif dan bergerak dengan lebih cepat, menyebabakn najis keluar sebelum sempat diserap air sepenuhnya, lantas terjadinya cirit birit.
15. Covid-19

COVID-19 bukan sahaja memberi kesan kepada sistem pernafasan, malah boleh menyebabkan gangguan pada sistem penghadaman seperti cirit-birit.
Walaupun ramai mengenali Covid-19 dengan simptom utama seperti demam, batuk, dan sesas nafas, sebahagian individu yang dijangkiti turut mengalami masalah oerut termasuk cirit birit, loya, dan sakit perut.
Menurut penyelidikan dari National Center for Biotechnology Information, virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19 mempunyai kecenderungan untuk menyerang reseptor sel yang terdapat bukan sahaja di paru-paru tetapi juga di bahagian tertentu saluran gastrousus.
Keradangan yang berlaku di paru-paru akan menghasilkan simptom pernafasan, manakala keradangan dalam usus disebabkan oleh jangkitan virus inilah yang dipercayai menjadi punca cirit-birit dalam kalangan pesakit COVID-19.
Kesimpulan
Mengetahui punca cirit birit seperti jangkitan, keracunan makanan, kesan sampingan ubat, dan penyakit tertentu amat penting untuk mencegah dan menguruskan keadaan ini dengan lebih berkesan.
Walaupun cirit birit merupakan masalah biasa, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan sekiranya tidak ditangani dengan betul.
Amalan kebersihan yang baik, pengambilan makanan secara berhati-hati, serta menjaga hidrasi merupakan langkah mudah namun berkesan untuk mencegah cirit-birit.
Dengan memahami faktor pencetus dan mengambil tindakan pencegahan yang proaktif, kita dapat mengurangkan kekerapan serta tahap keterukan episod cirit-birit.
Jika anda mengalami cirit-birit yang berpanjangan atau berulang, dapatkan nasihat daripada pakar gastroenterologi untuk mengenal pasti punca sebenar dan mendapatkan rawatan yang sesuai.
Berikut adalah antara punca cirit birit yang perlu anda perhatikan:
- Gastroenteritis Virus
- Gastroenteritis Bakteria
- Organisma Berjangkit dan Makanan Tercemar
- Toksin Pra-bentuk dalam Makanan
- Jenis Makanan yang Mengganggu Sistem Pencernaan
- Alergi atau Intoleransi terhadap Makanan
- Intoleransi Laktosa
- Ubat-Ubatan Tertentu
- Enteritis Radiasi
- Sindrom Malabsorption
- Pengambilan Alkohol Berlebihan
- Anxiety dan Tekanan
- Pemindahan Organ
- Sengugut
- Covid-19
Anda juga boleh baca segala informasi tentang masalah demam denggi di sini: