15 Punca Bisul Yang Boleh Mengancam Nyawa
Apakah punca bisul yang sering dialami oleh individu, dan bagaimana ia boleh terbentuk pada kulit?
Bisul ialah jangkitan kulit yang berpunca daripada bakteria, terutamanya Staphylococcus aureus, yang menyerang folikel rambut atau kelenjar minyak.
Jangkitan ini menyebabkan pembentukan benjolan merah yang menyakitkan dan berisi nanah. Namun, selain jangkitan bakteria, terdapat pelbagai punca bisul yang lain, termasuk kebersihan diri yang kurang terjaga, sistem imun yang lemah, serta keadaan kulit yang kerap mengalami geseran atau iritasi.
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada mengenai punca bisul sebagai cara yang tepat untuk mencegah serta merawat masalah ini dengan lebih berkesan.
1. Jangkitan Bakteria Staphylococcus aureus

Menurut The American Journal of Pathology, punca bisul yang paling utama adalah jangkitan bakteria Staphylococcus aureus, sejenis bakteria yang biasa ditemui di permukaan kulit dan dalam rongga hidung manusia. Walaupun bakteria ini selalunya tidak berbahaya, ia boleh menjadi patogen apabila memasuki kulit melalui luka kecil, calar, atau liang pori yang tersumbat.
Apabila jangkitan berlaku, sistem imun badan akan bertindak balas dengan menghantar sel darah putih untuk melawan bakteria, menyebabkan pembentukan nanah di bawah kulit. Bisul yang berpunca daripada bakteria ini boleh merebak ke kawasan lain jika tidak dirawat dengan betul, dan dalam kes yang lebih teruk, boleh membawa kepada komplikasi seperti abses atau selulitis.
2. Kurang Kebersihan Diri
Kurang menjaga kebersihan diri merupakan punca bisul kerana bakteria lebih mudah membiak pada kulit yang kotor dan berminyak. Kajian oleh Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences menunjukkan bahawa, tabiat jarang mandi, tidak mencuci tangan dengan betul, atau memakai pakaian yang tidak bersih boleh menyebabkan pengumpulan bakteria yang boleh memasuki folikel rambut atau kelenjar minyak dan mencetuskan bisul.
Selain itu, kulit yang sering terdedah kepada peluh tanpa dibersihkan juga boleh menjadi medium pembiakan bakteria.
Justeru, mengamalkan kebersihan diri seperti mandi secara berkala, menukar pakaian yang bersih, dan mencuci luka kecil dengan antiseptik boleh mengurangkan risiko jangkitan bisul.
3. Sistem Imun Lemah
Punca bisul yang seterusya adalah disebabkan oleh sistem imun badan yang lemah. Umumnya, sistem imun yang kuat membantu badan melawan jangkitan, termasuk jangkitan kulit yang boleh menyebabkan bisul.
Namun, individu dengan sistem imun yang lemah seperti pesakit yang mengalami penyakit kronik seperti HIV/AIDS, kanser, atau mereka yang menjalani rawatan kemoterapi lebih mudah dijangkiti bakteria.
Apabila sistem imun tidak berfungsi dengan baik, badan kurang berkesan dalam menghalang pembiakan bakteria Staphylococcus aureus, menyebabkan bisul lebih kerap berlaku dan mengambil masa lebih lama untuk sembuh.
4. Kencing Manis (Diabetes)

Berdasarkan kajian oleh National Center for Biotechnology Information, pesakit diabetes lebih berisiko mengalami bisul kerana tahap gula dalam darah yang tinggi boleh melemahkan sistem imun dan mengurangkan keupayaan badan untuk melawan jangkitan.
Selain itu, pesakit diabetes sering mengalami masalah peredaran darah yang lemah, menyebabkan luka kecil lebih mudah dijangkiti dan lambat sembuh. Mereka juga lebih cenderung mengalami kulit kering dan pecah-pecah, yang boleh menjadi pintu masuk bagi bakteria.
Oleh itu, kawalan gula dalam darah yang baik, menjaga kebersihan kulit, dan mendapatkan rawatan segera untuk luka kecil dapat membantu mencegah bisul.
5. Pakaian yang Ketat dan Tidak Bersih

Selain itu, memakai pakaian yang terlalu ketat juga dikatakan sebagai punca bisul berlaku. Memakai pakaian yang ketat boleh menyebabkan geseran berlebihan pada kulit sehingga berlaku iritasi dan keradangan folikel rambut.
Pakaian yang diperbuat daripada bahan sintetik yang tidak menyerap peluh juga boleh meningkatkan kelembapan kulit, menjadikannya lebih mudah dijangkiti bakteria. Memakai pakaian yang longgar dan diperbuat daripada fabrik yang menyerap peluh seperti kapas dapat membantu mengurangkan risiko bisul.
6. Kerap Mencukur atau Waxing

Aktiviti mencukur atau waxing boleh menyebabkan luka-luka kecil atau iritasi para kulit. Kulit yang luka inilah nantinya akan membolehkan bakteria masuk dan menjadi punca bisul.
Selain itu, penggunaan pisau cukur yang kotor atau tumpul boleh meningkatkan risiko jangkitan. Jika mencukur atau waxing dilakukan dengan kerap tanpa penjagaan kebersihan yang betul, folikel rambut boleh menjadi meradang, menyebabkan folikulitis, yang boleh berkembang menjadi bisul.
Oleh itu, adalah penting untuk menggunakan pisau cukur yang bersih dan tajam, serta menggunakan losyen antiseptik selepas mencukur bagi mengelakkan jangkitan.
7. Terdedah Kepada Persekitaran Kotor

Menurut International Journal of Environment Research and Public Health, persekitaran yang penuh dengan habuk, kotoran, atau bahan kimia boleh meningkatkan risiko bisul, terutama bagi mereka yang bekerja di tapak pembinaan, kilang, dan restoran.
Pendedahan berterusan kepada bahan pencemar boleh menyebabkan kerengsaan kulit, menjadikannya lebih mudah dijangkiti bakteria. Oleh itu, individu yang sering terdedah kepada persekitaran kotor perlu mandi dengan bersih selepas bekerja dan memakai pakaian pelindung bagi mengurangkan risiko jangkitan kulit.
8. Kerap Bersentuhan dengan Orang yang Dijangkiti
Punca bisul boleh menular melalui sentuhan langsung atau kulit ke kulit dengan individu yang mempunyai jangkitan kulit aktif.
Ini sering berlaku dalam persekitaran seperti asrama, rumah kebajikan, sekolah, dan kem tentera, di mana ramai orang tinggal dalam satu tempat dan berkongsi peralatan seperti tuala atau pakaian.
Oleh itu, mengelakkan perkongsian barang peribadi seperti tuala, pencukur, atau pakaian boleh membantu mencegah penyebaran bakteria yang menyebabkan bisul.
9. Berpeluh Berlebihan (Hiperhidrosis)

Kajian oleh Journal of Dermatological Treatment mendapati bahawa, masalah hiperhidrosis atau peluh berlebihan boleh menjadi punca bisul. Umumnya, individu yang mengalami hiperhidrosis sering mempunyai kulit yang lembap sepanjang masa.
Keadaan ini menjadikan bakteria lebih mudah membiak, terutamanya di bahagian badan yang mempunyai lipatan kulit seperti ketiak, celah paha, dan belakang leher.
Peluh yang tidak dibersihkan dengan betul juga boleh menyumbat pori-pori, yang boleh mencetuskan pembentukan bisul.
Justeru, menggunakan pakaian yang menyerap peluh dan mandi dengan kerap dapat membantu mengurangkan risiko bisul akibat peluh berlebihan.
10. Kekurangan Nutrisi dalam Diet
Pemakanan yang seimbang sangat penting untuk memastikan kulit yang sihat dan sistem imun yang kuat. Kekurangan nutrien penting seperti vitamin A, C, D, dan zat besi boleh melemahkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan, termasuk jangkitan kulit seperti bisul.
Vitamin C, contohnya, berfungsi sebagai antioksidan yang membantu tubuh melawan bakteria dan mempercepat penyembuhan luka, manakala vitamin A penting untuk memperbaiki sel kulit dan mengurangkan risiko jangkitan kulit. Zat besi pula membantu dalam penghasilan sel darah merah yang penting untuk imuniti badan.
Jika seseorang tidak mengambil makanan yang kaya dengan nutrien ini, sistem imun mereka akan menjadi lemah, menjadikan mereka lebih mudah terkena jangkitan seperti bisul. Selain itu, individu yang tidak makan makanan berserat tinggi atau yang tinggi dengan asid lemak omega-3 juga lebih cenderung mengalami keradangan kulit, yang boleh menyumbang kepada pembentukan
11. Obesiti (Berat Badan Berlebihan)

Menurut National Center for Biotechnology Information, obesiti boleh meningkatkan risiko bisul kerana ia sering dikaitkan dengan geseran kulit yang berlebihan, terutama di kawasan lipatan badan seperti ketiak, paha, dan bawah perut.
Lipatan kulit ini bukan sahaja mengalami geseran yang boleh menyebabkan iritasi, tetapi juga menjadi tempat lembap dan hangat, yang sangat sesuai untuk pembiakan bakteria seperti Staphylococcus aureus.
Selain itu, individu obes sering mengalami masalah peredaran darah yang kurang baik, yang boleh menyebabkan luka kecil mengambil masa lebih lama untuk sembuh. Apabila luka atau iritasi kulit berlaku, bakteria lebih mudah masuk dan menyebabkan jangkitan bisul
Oleh itu, mengekalkan berat badan yang sihat melalui pemakanan yang betul, senaman yang kerap, dan gaya hidup aktif dapat membantu mengurangkan risiko bisul serta meningkatkan kesihatan kulit secara keseluruhan.
12. Kulit Berminyak atau Berjerawat

Kulit yang berminyak lebih mudah mengalami masalah liang pori tersumbat, yang boleh menjadi punca bisul. Kelenjar minyak yang terlalu aktif menghasilkan sebum yang berlebihan, yang boleh bercampur dengan sel kulit mati dan kotoran, menyumbat laing pori dan menyebabkan keradangan.
Jika bakteria Staphylococcus aureus masuk ke dalam folikel rambut yang tersumbat, ia boleh mencetuskan jangkitan yang menyebabkan bisul.
Keadaan ini lebih ketara dalam individu yang mempunyai kulit berjerawat atau masalah kulit seperti cystic acne, di mana benjolan yang meradang boleh berkembang menjadi bisul yang lebih besar dan menyakitkan. Selain itu, penggunaan produk penjagaan kulit yang tidak sesuai atau terlalu berat juga boleh menyumbang kepada pengeluaran minyak berlebihan, meningkakan risiko pembentukan bisul.
Oleh itu, menjaga kebersihan kulit dengan pencuci muka yang sesuai, mengelakkan menyentuh wajah dengan tangan yang kotor, dan menggunakan produk yang tidak menyumbat pori-pori (non-comedogenic) dapat membantu mengawal pengeluaran minyak dan mengurangkan risiko bisul.
13. Penggunaan Barangan Peribadi yang Dikongsi
Menggunakan barang peribadi seperti tuala, pencukur, pakaian, atau sarung bantal secara berkongsi boleh menyebarkan bakteria dari satu individu ke individu lain.
Jika seseorang mempunyai jangkitan kulit seperti bisul, bakteria boleh berpindah ke kulit orang lain melalui barang yang dikongsi.
Pencukur, contohnya, boleh menyebabkan luka kecil pada kulit, dan jika digunakan secara berkongsi, bakteria daripada kulit individu lain yang mempunyai bisul boleh merebak dengan mudah.
Begitu juga dengan tuala dan sarung bantal, yang boleh menjadi tempat pembiakan bakteria jika tidak dibasuh dengan kerap. Kajian oleh National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, bakteria boleh bertahan di permukaan fabrik selama beberapa hari, menjadikannya sangat mudah untuk menular kepada orang lain.
14. Stres dan Kurang Tidur
Stres yang berpanjangan boleh memberi kesan negatif kepada sistem imun badan, menjadikannya kurang berkesan dalam melawan bakteria yang menyebabkan jangkitan kulit seperti bisul. Apabila seseorang mengalami tekanan, badan menghasilkan hormon kortisol yang tinggi, yang boleh menyebabkan keradangan dan melemahkan sistem pertahanan semula jadi tubuh terhadap jangkitan.
Kajian oleh National Center for Biotechnology menunjukkan bahawa, individu yang mengalami tekanan kronik lebih mudah mendapat penyakit kulit kerana kulit mereka lebih cenderung menjadi sensitif dan mengalami inflamasi, yang membuka ruang kepada bakteria untuk membiak.
Selain itu, kurang tidur juga memainkan peranan penting dalam kesihatan imuniti badan. Semasa tidur, badan memperbaiki sel-sel yang rosak dan menghasilkan protein imun yang dipanggil sitokin, yang diperlukan untuk melawan jangkitan.
Jika seseorang tidak mendapat tidur yang mencukupi, tahap sitokin ini akan menurun, menjadikan mereka lebih mudah terkena jangkitan kulit seperti bisul.
15. Penyakit Kulit Seperti Ekzema atau Psoriasis

Individu yang mempunyai masalah kulit seperti ekzema dan psoriasis lebih mudah mengalami bisul kerana kulit mereka lebih cenderung menjadi kering, merekah, dan mengalami inflamasi
Selain itu, ekzema dan psoriasis boleh menyebabkan gatal yang melampau, yang membuatkan individu kerap menggaru kulit mereka, menyebabkan luka kecil yang boleh menjadi tempat pembiakan bakteria.
Pesakit psoriasis juga sering mengalami penghasilan sel kulit yang berlebihan, yang boleh menyebabkan kulit menjadi lebih tebal dan bersisik, menggalakkan pertumbuhan bakteria di celah-celah kulit.
Selain itu, rawatan ekzema yang melibatkan penggunaan krim steroid yang berlebihan boleh melemahkan sistem imun pada kulit, menjadikannya lebih mudah dijangkiti bakteria.
Oleh itu, individu yang mengalami penyakit kulit kronik perlu menjaga kebersihan kulit, mengelakkan menggaru kawasan yang terjejas, serta menggunakan pelembap dan ubat preskripsi dengan cara yang betul bagi mengelakkan jangkitan sekunder seperti bisul.
Kesimpulan
Kesimpulannya, bisul bukan sekadar masalah kulit biasa, tetapi ia boleh menjadi tanda jangkitan bakteria yang memerlukan perhatian. Pelbagai faktor seperti kebersihan diri, sistem imun yang lemah, dan geseran kulit memainkan peranan dalam pembentukannya.
Oleh itu, langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan, mengelakkan perkongsian barang peribadi, serta mengamalkan gaya hidup sihat adalah penting untuk mengurangkan risiko bisul.
Jika bisul semakin membesar, menyakitkan, atau berulang kali berlaku, rawatan perubatan harus segera diambil bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.
- Jangkitan Bakteria Staphylococcus aureus
- Kurang Kebersihan Diri
- Sistem Imun Lemah
- Kencing Manis (Diabetes)
- Pakaian yang Ketat dan Tidak Bersih
- Kerap Mencukur atau Waxing
- Terdedah Kepada Persekitaran Kotor
- Kerap Bersentuhan dengan Orang yang Dijangkiti
- Berpeluh Berlebihan (Hiperhidrosis)
- Kekurangan Nutrisi dalam Diet
- Obesiti (Berat Badan Berlebihan)
- Kulit Berminyak atau Berjerawat
- Penggunaan Barangan Peribadi yang Dikongsi
- Stres dan Kurang Tidur
- Penyakit Kulit Seperti Ekzema atau Psoriasis
Anda juga boleh baca informasi lain tentang bisul di sini: