Kerap Sakit Kepala? Ketahui Punca dan Cara Mengatasinya Sebelum Terlambat
Kerap sakit kepala bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, terutama apabila ia mula mengganggu rutin harian atau menyebabkan keletihan berpanjangan.
Tahukah anda bahawa terdapat lebih daripada 300 jenis sakit kepala yang dikenal pasti, namun hanya sekitar 10 peratus sahaja yang berjaya dikenal pasti puncanya oleh pakar perubatan di seluruh dunia?
Di Malaysia, menurut Dr Kok Chin Yong, Pakar Perunding Neurologi dan Perubatan Dalaman di Sunway Velocity Medical C entre (SMVC), sakit kepala tegang merupakan jenis yang paling kerap berlaku (26.5%), diikuti dengan migrain (9.0%) dan pelbagai jenis lain (28.2%).
Kajian komuniti yang dijalankan di Malaysia menggunakan kriteria diagnostik daripada International Headache Society (IHS) dan diterbitkan dalam Jurnal Sakit Kepala dan Muka, menunjukkan bahawa sakit kepala kronik yang berlaku 15 hari atau lebih dalam sebulan selama melebihi tiga bulan semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Masalah ini boleh menjejaskan kualiti hidup, konsentrasi, dan prestasi kerja terutamanya jika melibatkan migrain atau sakit yang teruk secara berulang.
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda mengenai punca utama kerap sakit kepala serta langkah-langkah praktikal dan rawatan yang boleh diambil bagi mengurangkan kesakitan sebelum ia menjadi lebih serius.
Apa itu Sakit Kepala?

Menurut National Institute of Neurological Disorders and Stroke, sakit kepala merujuk kepada rasa sakit atau tekanan yang berlaku pada bahagian kepala atau muka.
Ia boleh digambarkan dalam pelbagai bentuk seperti berdenyut, berterusan, tajam atau rasa sakit yang tumpul.
Kesakitan ini mungkin ringan atau teruk, dan boleh berlaku di mana-mana bahagian kepala, sama ada di satu sisi sahaja, di tengah, atau seluruh kepala.
Sakit kepala merupakan antara masalah kesihatan yang paling biasa dialami oleh manusia dan hampir semua orang akan mengalaminya sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
Punca Kerap Sakit Kepala

1. Keradangan atau Masalah pada Salur Darah di Sekitar Otak
Salah satu punca kerap sakit kepala yang jarang disedari tetapi boleh membawa kesan serius ialah keradangan atau masalah pada salur darah di dalam sekitar otak.
Keadaan ini dikenali sebagai vasculitis sistem saraf pusat (Central Nervous System – CNS vasculitis), iaitu sejenis penyakit autoimun yang menyebabkan radang pada salur darah, sekali gus mengganggu aliran darah ke otak dan saraf tunjang.
Menurut kajian dari The Neurohospitalist, apabila salur darah mengalami keradangan, ia akan membengkak dan menyempit, menyukarkan darah untuk mengalir dengan lancar.
Sedangkan otak dan saraf tunjang memerlukan bekalan darah yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik, gangguan ini boleh menyebabkan kerosakan tisu, fungsi otak terjejas atau risiko otak.
Vasculitis juga boleh merosakkan organ lain dalam badan jika dibiarkan tanpa rawatan.
Sakit kepala yang berpunca daripada masalah seperti ini biasanya berterusan, tidak reda dengan ubat biasa, dan mungkin disertai dengan simptom lain seperti kekeliruan, penglihatan kabur, atau kelemahan pada anggota badan.
2. Strok dan Gangguan Aliran Darah ke Otak
Strok yang berpunca dari kerap sakit kepala boleh membawa komplikasi serius. Keadaan ini berlaku apabila salur darah di otak tersumbat atau pecah, menyebabkan aliran darah ke kawasan tertentu dalam otak terganggu.
Menurut National Center for Biotechnology Information, apabila bekalan oksigen dan nutrien tidak sampai ke sel-sel otak, ia boleh menyebabkan kerosakan tisu otak dalam masa yang singkat.
Salah satu gejala awal strok yang sering dilaporkan ialah sakit kepala yang tiba-tiba, teruk dan luar biasa, kadang-kadang disertai dengan kekeliruan, penglihatan kabur, kelemahan pada sebelah badan atau kesukaran bercakap.
Walaupun tidak semua kes strok bermula dengan sakit kepala, namun sakit kepala yang berkait dengan strok perlu dianggap sebagai masalah yang serius.
Jika tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian.
3. Jangkitan
Sakit kepala yang kerap juga boleh berpunca daripada jangkitan, terutamanya yang melibatkan otak dan sistem saraf pusat seperti meningitis.
Dalam banyak kes, sakit kepala adalah antara gejala awal dan paling ketara bagi jangkitan intrakranial.
Keadaan ini berlaku apabila patogen seperti bakteria atau virus menyerang selaput otak (meninges), menyebabkan keradangan yang mencetuskan rasa sakit yang kuat dan berterusan di kepala.
Selain meningitis, jangkitan pada organ kepala lain seperti telinga, mata, hidung, sinus dan mulut juga boleh menyebabkan sakit kepala, dan ia dikelaskan sebagai sakit kepala sekunder yang dikaitkan dengan gangguan pada struktur kraniofasial.
Dalam situasi sebegini, sakit kepala biasanya hadir bersama simptom seperti demam, loya, muntah, kelesuan atau sawan, dan jika terdapat perubahan dalam status mental atau gejala neurologi fokal, ia menjadi petunjuk penting ke arah jangkitan otak yang serius.
Menurut klasifikasi International Classification of Headache Disorders (ICHD-3), sakit kepala yang berlaku dalam hubungan masa yang rapat dengan jangkitan aktif biasanya dianggap sebagai sakit kepala sekunder.
Jika sakit kepala tersebut semakin teruk selari dengan perkembangan jangkitan, atau reda apabila jangkitan dirawat, ia menguatkan lagi kaitan antara jangkitan dan sakit kepala tersebut.
Namun dalam sesetengah kes, walaupun jangkitan telah sembuh, sakit kepala boleh berterusan lebih daripada 3 bulan, dan ini diklasifikasikan sebagai sakit kepala berterusan selepas jangkitan (persistent post-infectious headache).
4. Penggunaan Ubat Tahan Sakit Secara Berlebihan
Punca masalah kerap sakit kepala yang seterusnya adalah disebabkan penggunaan ubat tahan sakit secara berlebihan atau dikenali sebagai medication overuse headache (MOH).
Keadaan ini berlaku apabila seseorang kerap mengambil ubat seperti triptans, ergotamin, opioid (seperti ubat berasaskan codeine), NSAIDs (contohnya ibuprofen), dan paracetamol untuk melegakan sakit kepala akut.
Ironinya, penggunaan ubat-ubatan ini secara kerap dalam jangka panjang boleh menyebabkan sakit kepala semakin kerap dan lebih teruk, suatu keadaan yang juga dikenali sebagai rebound headache.
MOH biasanya berlaku dalam kalangan individu yang mempunyai sejarah migrain atau gangguan sakit kepala primer, di mana sakit kepala mula dialami pada 15 hari atau lebih dalam sebulan.
Doktor mungkin akan mendiagnosis MOH jika pesakit mengambil ubat tahan sakit dalam jumlah yang tinggi selama sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut, iaitu:
- Paracetamol atau NSAIDs pada 15 hari atau lebih dalam sebulan, atau
- Triptans, ergotamin, opioids, atau ubat kombinasi pada 10 hari atau lebih dalam sebulan.
Masalah ini boleh mencetuskan satu kitaran berbahaya, di mana sakit kepala kembali setiap kali kesan ubat mula hilang.
Apabila ubat dihentikan, simptom penarikan (withdrawal symptoms) pula boleh berlaku, menyebabkan pesakit terus bergantung kepada ubat bagi melegakan kesakitan, sekaligus memperburuk keadaan.
Lama-kelamaan, ubat tahan sakit bukan sahaja gagal mengurangkan kesakitan asal, malah menjadi punca utama kepada sakit kepala itu sendiri.
5. Kecederaan Otak Traumatik
Kecederaan otak traumatik, atau Traumatic Brain Injury (TBI) boleh berlaku apabila bahagian kepala menerima hentakan atau tolakan yang kuat, atau apabila objek taham menembusi tengkorak dan merosakkan tisu otak, seperti dalam kes tembakan atau serpihan tulang yang pecah.
Menurut National Institute of Neurological Disorders and Stroke, terdapat dua jenis kecederaan otak iaitu:
- Kecederaan tembus (penetrating)
- kecederaan tidak tembus (non-penetrating)
Kecederaan tembus berlaku apabila objek masuk ke dalam otak, manakala kecederaan tidak tembus terjadi apabila otak bergoncang dalam tengkorak, seperti dalam kemalangan jalan raya atau sukan lasak.
Sakit kepala merupakan simptom yang sangat biasa selepas TBI, dan boleh berlaku serta-merta atau berkembang secara beransur-ansur dalam tempoh beberapa hari hingga minggu selepas kecederaan.
Kecederaan ringan mungkin hanya menyebabkan gangguan fungsi otak sementara, seperti keletihan, kekeliruan atau pening, manakala kecederaan yang lebih serius boleh menyebabkan pendarahan, lebam otak, koyakan tisu dan komplikasi jangka panjang termasuk kecacatan kekal atau kematian.
Kesan sekunder seperti tekanan dalam otak yang meningkat, jangkitan, atau keradangan juga boleh menyumbang kepada sakit kepala berulang selepas TBI.
Cara Merawat Masalah Kerap Sakit Kepala
Rawatan bagi masalah kerap sakit kepala bergantung kepada punca yang dikenal pasti, sama ada melibatkan migrain, tekanan, jangkitan atau pengambilan ubat yang berlebihan.
Secara amnya, pendekatan rawatan merangkumi pengambilan ubat pencegah atau penahan sakit seperti triptan, NSAID atau ubat khusus untuk migrain, serta mengubah gaya hidup seperti memastikan tidur yang cukup, mengurangkan stres, bersenam secara berkala, dan mengelakkan makanan atau situasi yang mencetuskan sakit kepala.
Bagi kes yang berpunca daripada penyakit serius seperti strok, meningitis atau vasculitis, rawatan intensif dan pemantauan rapi oleh pakar perubatan adalah penting.
Dalam kes medication overuse headache (MOH), doktor mungkin mencadangkan menghentikan ubat secara berperingkat dan menggantikan dengan rawatan pencegahan jangka panjang.
Pemeriksaan doktor sangat disarankan jika sakit kepala berterusan, berubah corak, atau semakin teruk dari masa ke masa.
Cara Mengelakkan Kerap Sakit Kepala
Walaupun punca sakit kepala boleh berbeza-beza bagi setiap orang, terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh membantu anda mengurangkan kekerapan dan keparahan sakit kepala.
Dengan perubahan gaya hidup dan kawalan terhadap faktor pencetus, anda boleh mengelakkan sakit kepala yang berulang. Berikut ialah beberapa cara yang boleh diamalkan:
1. Kenal Pasti dan Elakkan Pencetus Sakit Kepala
- Catat makanan, aktiviti dan situasi yang sering mendahului serangan sakit kepala.
- Jika sudah dikenal pasti, cuba elakkan pencetus tersebut seperti makanan tertentu, bunyi bising, atau bau kuat.
2. Elakkan Penggunaan Ubat Secara Berlebihan
- Penggunaan ubat tahan sakit lebih daripada dua kali seminggu boleh meningkatkan risiko sakit kepala berulang.
- Rujuk doktor untuk pelan pengurangan ubat secara selamat jika anda sudah bergantung lama kepada ubat sakit kepala.
3. Pastikan Tidur yang Berkualiti dan Cukup
- Tidur 7–8 jam setiap malam dan tidur serta bangun pada waktu yang tetap setiap hari.
- Jika mengalami masalah sukar tidur, berjumpalah dengan doktor.
4. Jangan Tinggal Waktu Makan
- Makan secara teratur dan seimbang. Elakkan makanan atau minuman yang diketahui boleh mencetuskan sakit kepala.
- Jika anda mengalami obesiti, penurunan berat badan juga boleh membantu.
5. Bersenam Secara Konsisten
- Senaman dapat mengurangkan stres dan meningkatkan kesejahteraan tubuh serta mental.
- Pilih aktiviti fizikal yang anda gemari seperti berjalan kaki, berbasikal atau berenang dengan kebenaran doktor.
6. Kurangkan Tekanan (Stres)
- Stres adalah antara pencetus utama sakit kepala kronik.
- Amalkan teknik pengurangan stres seperti yoga, tai chi atau meditasi untuk menenangkan minda.
7. Kurangkan Pengambilan Kafein
- Walaupun sesetengah ubat sakit kepala mengandungi kafein, pengambilan berlebihan boleh memburukkan sakit kepala.
- Cuba kurangkan atau hentikan terus pengambilan kafein secara berperingkat.
Bila Perlu Jumpa Doktor

Kebanyakan sakit kepala yang berlaku sekali-sekala tidak memerlukan rawatan perubatan khusus dan boleh reda dengan rehat atau ubat penahan sakit biasa.
Namun, terdapat situasi tertentu di mana sakit kepala boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius dan memerlukan perhatian doktor.
Anda disarankan untuk berjumpa doktor jika anda mengalami situasi berikut:
- Sakit kepala berlaku dua kali atau lebih dalam seminggu secara konsisten.
- Anda perlu mengambil ubat penahan sakit hampir setiap hari untuk mengurangkan kesakitan.
- Anda mengambil ubat melebihi dos yang disarankan semata-mata untuk mendapatkan kelegaan daripada sakit kepala.
- Corak sakit kepala berubah secara mendadak, seperti rasa sakit menjadi lebih kuat, lebih kerap, atau berbeza daripada kebiasaan.
- Sakit kepala yang dialami sangat mengganggu kehidupan harian atau menjejaskan aktiviti seharian anda.
Dapatkan rawatan perubatan segera sekiranya anda mengalami sakit kepala yang:
- Berlaku secara tiba-tiba dan sangat kuat, seperti “thunderclap headache”.
- Disertai dengan demam, leher yang kaku, kekeliruan, sawan, penglihatan berganda, kelemahan otot, rasa kebas, atau kesukaran bercakap.
- Berlaku selepas mengalami kecederaan kepala.
- Tidak berkurangan walaupun selepas berehat atau mengambil ubat penahan sakit.
Kesimpulan
Kesimpulannya, masalah kerap sakit kepala bukanlah sesuatu yang boleh diabaikan, lebih-lebih lagi jika ia berlaku secara berterusan dan menjejaskan kehidupan harian.
Walaupun kebanyakan sakit kepala tidak berpunca daripada masalah serius, namun ia tetap memerlukan perhatian agar tidak menjadi kronik atau menandakan masalah kesihatan yang lebih besar.
Dengan mengenal pasti punca, mengamalkan gaya hidup sihat, serta mendapatkan rawatan yang sesuai, anda dapat mengurangkan kekerapan dan keparahan sakit kepala yang dialami.
Anda juga boleh baca segala informasi tentang sakit kepala di sini:

