7 Punca Kencing Tak Lawas Lelaki dan Cara Mengatasinya
Kencing tak lawas lelaki atau urinary retention ialah keadaan di mana pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya.
Ia boleh berlaku secara akut atau kronik. Masalah ini perlu dirawat segera kerana boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang atau pundi kencing.
Kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, ia lebih kerap berlaku pada lelaki berusia, terutamanya selepas umur 60 tahun, disebabkan oleh pembesaran prostat.
Sekitar 10% lelaki berumur 70-an dan 30% lelaki berumur 80-an mengalami masalah kencing tak lawas. Artikel ini akan membincangkan 7 punca utama kencing tak lawas lelaki dan cara mengatasinya.
1. Prostat Membesar

Menurut National Center for Biotechnology Information, masalah prostat membesar, atau dikenali juga sebagai benign prostate enlargement (BPE), ialah keadaan di mana kelenjar prostat lelaki menjadi lebih besar daripada saiz normal.
Keadaan ini sangat biasa berlaku, terutama bagi lelaki berumur lebih 50 tahun, dan walaupun ia biasanya tidak berbahaya, ia boleh menyebabkan masalah ketika membuang air kecil. Prostat ialah kelenjar yang terletak di bawah pundi kencing dan berfungsi menghasilkan air mani serta mengawal aliran air kencing dari pundi ke zakar.
Apabila prostat membesar, ia akan menekan saluran kencing (uretra) iaitu tiub yang membawa air kencing keluar dari pundi.
Tekanan ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kencing seperti sukar untuk mula kencing, perlu meneran, aliran air kencing menjadi lemah, berhenti dan mula semula, atau mengambil masa lebih lama untuk mengosongkan pundi.
Simptom Prostat Membesar
Antara simptom prostat membesar termasuk:
- Sukar untuk mula kencing atau perlu meneran untuk memulakannya
- Aliran air kencing lemah atau tersekat-sekat
- Rasa seperti pundi kencing tidak kosong sepenuhnya selepas kencing
- Air kencing menitis selepas selesai kencing
- Perlu kencing dengan lebih kerap, terutama pada waktu malam
- Rasa mendesak untuk kencing dan sukar menahannya
Simptom-simptom ini biasanya muncul secara perlahan dan boleh menjadi semakin teruk mengikut usia.
Rawatan untuk Prostat Membesar
Tidak semua kes prostat membesar memerlukan rawatan segera. Jika simptom ringan, doktor mungkin mencadangkan perubahan gaya hidup dahulu, seperti mengurangkan minuman berkafein dan alkohol atau elakkan minum terlalu banyak sebelum tidur.
Namun, jika simptom semakin teruk, rawatan ubat atau pembedahan mungkin diperlukan.
1. Ubat-ubatan:
- Tamsulosin, Doxazosin, Alfuzosin – membantu melancarkan aliran kencing.
- Oxybutynin, Tolterodine – mengurangkan kekerapan dan rasa mendesak untuk kencing.
- Finasteride, Dutasteride – memperlahankan atau mengawal pembesaran prostat.
2. Pembedahan:
- Jika ubat tidak berkesan atau simptom terlalu teruk, doktor mungkin mencadangkan pembedahan TURP (Transurethral Resection of the Prostate) untuk membuang sebahagian tisu prostat yang menghalang aliran air kencing.
3. Bantuan sokongan:
- Penggunaan pelapik khas untuk menampung kebocoran air kencing.
- Kateter untuk membantu mengosongkan pundi kencing.
- Senaman otot lantai pelvis bagi meningkatkan kawalan ketika kencing.
2. Kanser Prostat

Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, kanser prostat berlaku apabila sel-sel tidak normal tumbuh di dalam kelenjar prostat dan mengambil alih fungsi sel normal dalam badan.
Keadaan ini menyebabkan tubuh sukar berfungsi seperti biasa. Tidak semua pertumbuhan dalam prostat adalah berbahaya. Sesetengahnya bersifat benign iaitu tidak merebak ke bahagian lain badan dan jarang mengancam nyawa.
Namun jika pertumbuhan tersebut bersifat kanser malignan, ia boleh merebak ke organ berdekatan seperti pundi kencing atau rektum, malah ke tulang dan organ lain, dan boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat.
Simptom Kanser Prostat
Pada peringkat awal, kanser prostat biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom dan hanya dikesan semasa pemeriksaan kesihatan.
Namun, apabila sel kanser mula membesar atau merebak, beberapa tanda awal mungkin muncul seperti:
- Darah dalam air kencing atau air mani
- Kerap kencing, terutamanya waktu malam
- Sukar untuk memulakan kencing
- Aliran air kencing lemah atau tersekat-sekat
- Rasa tidak puas selepas kencing
Apabila kanser prostat sudah merebak ke bahagian lain, simptom boleh menjadi lebih ketara, antaranya:
- Kencing bocor tanpa kawalan
- Sakit belakang atau tulang
- Masalah ereksi (mati pucuk)
- Badan terasa lemah atau cepat penat
- Hilang berat badan tanpa sebab
- Lemah pada tangan atau kaki akibat penyebaran ke tulang belakang
Rawatan untuk Kanser Prostat
Rawatan kanser prostat bergantung pada tahap dan keadaan pesakit. Jika kanser masih di peringkat awal dan terhad pada prostat, peluang untuk sembuh sangat tinggi.
Menurut National Health Service (NHS)UK, jika kanser berkembang, rawatan seperti berikut mungkin diperlukan:
- Pembedahan (Radical Prostatectomy): Mengeluarkan keseluruhan kelenjar prostat. Namun, pembedahan ini boleh menyebabkan kesan sampingan seperti masalah kawalan kencing dan disfungsi ereksi.
- Radioterapi: Menggunakan sinaran tenaga tinggi untuk membunuh sel kanser. Ia sesuai untuk kanser yang belum merebak jauh atau untuk memperlahankan kanser tahap lanjut.
- Terapi hormon: Mengurangkan atau menyekat hormon testosteron yang mendorong pertumbuhan sel kanser. Ia boleh digunakan bersama radioterapi atau untuk memperlahankan perkembangan kanser.
- Kemoterapi: Menggunakan ubat untuk membunuh sel kanser, biasanya bagi kes kanser prostat tahap lanjut yang telah merebak.
- Rawatan lain: Seperti terapi ultrasound berintensiti tinggi (HIFU) atau cryotherapy yang membunuh sel kanser dengan haba atau pembekuan, bergantung pada kesesuaian pesakit.
3. Kecederaan Saraf Tunjang

Berdasrkan kajian dari National Center for Biotechnology Information, kecederaan saraf tunjang (Spinal Cord Injury, SCI) boleh menyebabkan gangguan pada kawalan pundi kencing, yang dikenali sebagai neurogenic bladder.
Keadaan ini berlaku apabila saraf mengawal fungsi pundi kencing terjejas akibat kerosakan pada otak, saraf tunjang, atau saraf periferi. Akibatnya, pesakit mungkin tidak dapat mengawal aliran air kencing atau tidak mampu mengeluarkan air kencing walaupun pundi penuh.
Menurut kajian dari World Journal of Orthopedics, dalam sistem saraf pusat, terdapat tiga bahagian utama yang mengawal fungsi kencing iaitu Cerebral Cortex, Pontine Micturition Centre, dan Sacral Micturition Centre.
Apabila berlaku kecederaan pada saraf tunjang, sambungan antara pusat-pusat kawalan ini boleh terganggu sama ada di bahagian otak, saraf sakral, atau otot detrusor (otot pundi kencing).
Gangguan pada mana-mana laluan ini akan menyebabkan masalah kencing tak lawas lelaki yang serius.
Simptom Kecederaan Saraf Tunjang
Antara simptom kecederaan saraf tunjang termasuk:
- Sakit teramat di kepala, leher, atau belakang
- Lemah anggota badan atau tidak mampu berjalan
- Sukar bernafas atau kehilangan keseimbangan
- Rasa kebas atau semut-semut di badan
- Tidak dapat mengawal kencing dan buang air besar
Jika simptom ini muncul selepas kemalangan atau kecederaan, pesakit perlu mendapatkan rawatan segera kerana ia boleh membawa kepada masalah kekal.
Rawatan untuk Kecederaan Saraf Tunjang
1. Latihan Kawalan Masa (Timed Voiding):
- Latihan mengawal masa untuk kencing secara berkala (setiap 4–6 jam).
- Digabungkan dengan diari pengambilan cecair.
- Hadkan minuman berkafein, bergas dan elakkan minum selepas jam 6 petang.
2. Pendidikan Pesakit (Education):
- Memberi penerangan tentang pilihan rawatan, risiko, dan teknik pengurusan seperti latihan pundi kencing atau penggunaan kateter sendiri.
3. Kaedah Valsalva dan Crede:
- Teknik menekan abdomen untuk membantu mengosongkan pundi, tetapi tidak disarankan untuk jangka panjang kerana boleh menyebabkan tekanan tinggi dalam pundi, buasir atau hernia.
4. Kateterisasi Berselang (Intermittent Catheterisation):
- Kaedah paling selamat untuk mengosongkan pundi.
- Dilakukan setiap 4–6 jam bergantung pada jumlah air kencing.
- Sesuai untuk pesakit paraplegia atau tetraplegia.
- Suprapubic catheter (kateter melalui perut) juga digunakan bagi memudahkan penjagaan kebersihan.
5. Kateter Kekal (Indwelling Catheter):
- Digunakan hanya untuk jangka pendek, seperti semasa fasa akut kecederaan.
- Tidak digalakkan untuk penggunaan lama kerana risiko jangkitan dan komplikasi tinggi.
6. Ubat-ubatan (Pharmacological Intervention):
- Anticholinergic – mengawal kontraksi otot pundi.
- Alpha-blocker – membantu melancarkan aliran kencing.
- Botulinum toxin – digunakan untuk mengurangkan kekejangan otot pundi dan meningkatkan kapasiti pundi.
7. Pembedahan (Surgical Management):
- Augmentation cystoplasty – menambah kapasiti pundi dan mengurangkan tekanan.
- Artificial Urinary Sphincter (AUS) atau abdominal sling – membantu kawalan kencing.
- Neuromodulation dan nerve grafting – memulihkan koordinasi saraf pundi kencing.
- Muscle grafting – membantu merawat pundi yang tidak dapat mengecut (acontractile bladder).
4. Batu Karang pada Sistem Urinari

Menurut Urulogy Care Foundation, batu karang dalam sistem kencing terbentuk apabila mineral dan garam dalam air kencing berkumpul menjadi ketulan keras di buah pinggang atau saluran kencing.
Apabila batu ini menyekat aliran air kencing, ia boleh menyebabkan kencing tak lawas, sakit teruk, dan dalam kes yang serius, kerosakan buah pinggang jika tidak dirawat segera.
Simptom Batu Karang
- Sakit tajam dan mencengkam di bahagian belakang atau sisi badan, yang boleh merebak ke bahagian bawah perut atau pangkal paha.
- Sakit datang secara tiba-tiba dan berulang dalam gelombang.
- Rasa sangat ingin kencing tetapi air kencing keluar sedikit.
- Kerap kencing atau rasa pedih ketika membuang air kecil.
- Air kencing berwarna gelap, kemerahan atau mengandungi darah.
- Mual dan muntah akibat kesakitan.
- Lelaki mungkin mengalami sakit di hujung zakar ketika kencing.
Rawatan untuk Batu Karang
Rawatan untuk batu karang bergantung pada jenis, saiz dan tahap kesakitan pesakit.
1. Menunggu batu keluar sendiri
Batu yang kecil biasanya boleh keluar secara semula jadi dalam tempoh 4 hingga 6 minggu.
Sepanjang tempoh ini, pesakit digalakkan minum air secukupnya untuk membantu melancarkan pergerakan batu, serta mengambil ubat tahan sakit bagi mengurangkan ketidakselesaan.
2. Ubat-ubatan
Doktor mungkin memberikan ubat seperti tamsulosin (Flomax) untuk membantu melonggarkan otot pada ureter supaya batu lebih mudah keluar.
3. Pembedahan
Jika batu terlalu besar, menyebabkan sakit teruk, menjejaskan fungsi buah pinggang, atau gagal keluar sendiri, pembedahan perlu dilakukan.
5. Kesan Sampingan Pembedahan
Kencing tak lawas lelaki juga boleh berlaku selepas pembedahan yang melibatkan kawasan prostat, pundi kencing, usus, atau saraf tunjang.
Ini kerana saraf dan otot yang mengawal kencing mungkin terjejas semasa prosedur, menyebabkan pesakit hilang kawalan terhadap pundi kencing.
Masalah ini kerap berlaku selepas pembedahan prostat seperti radical prostatectomy atau TURP. Pesakit mungkin mengalami simptom seperti air kencing menitis tanpa kawalan, sukar menahan kencing, atau kerap kencing secara tiba-tiba.
Kebanyakan kes bersifat sementara dan boleh pulih dengan rawatan seperti senaman otot lantai pelvis (Kegel), penggunaan pelapik atau kateter sementara, serta ubat pengawal pundi.
6. Sembelit

Sembelit bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan pada perut, tetapi juga boleh menjadi punca kencing tak lawas lelaki.
Apabila najis menjadi keras dan terkumpul dalam rektum, ia boleh menekan pundi kencing dan uretra, menyebabkan uretra tersepit dan menyukarkan pengaliran air kencing.
Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, hubungan antara sistem pencernaan dan sistem kencing sangat rapat kerana kedua-duanya dikawal oleh otot dan saraf yang hampir sama, serta terletak bersebelahan dalam rongga pelvis.
Apabila terlalu banyak najis terkumpul dalam usus besar, tekanan terhadap pundi kencing boleh menyebabkan beberapa masalah seperti pundi kencing tidak dapat mengisi sepenuhnya, menguncup sebelum waktunya, atau tidak dapat dikosongkan dengan sempurna.
Simptom Sembelit
Antara simptom sembelit termasuk:
- Tidak buang air besar setiap hari (kurang daripada sekali sehari)
- Perut kembung, tegang atau rasa tidak selesa
- Sakit perut dan banyak angin
- Hilang selera makan
- Mual atau muntah (dalam kes teruk)
- Sakit ketika membuang air besar kerana najis keras dan berketul kecil
Rawatan untuk Sembelit
- Minum air secukupnya – sekurang-kurangnya 2 hingga 2.5 liter (kira-kira 80 oz) air sehari bagi membantu melancarkan pergerakan usus.
- Jangan tahan najis – biasakan diri ke tandas apabila terasa ingin membuang air besar supaya usus kekal aktif.
- Tingkatkan pengambilan serat – makan makanan tinggi serat seperti buah raspberi, sayuran hijau, bijirin penuh dan kekacang. Disarankan mengambil sekurang-kurangnya 20–25 gram serat sehari.
- Ambil probiotik – membantu mengekalkan keseimbangan bakteria baik dalam usus untuk melancarkan pencernaan.
- Kekal aktif – lakukan aktiviti fizikal ringan seperti berjalan 15 minit dua kali sehari untuk membantu pergerakan usus.
7. Kesan Sampingan Ubat-ubatan

Kencing tak lawas lelaki juga boleh berpunca daripada kesan sampingan ubat-ubatan tertentu yang mempengaruhi fungsi saraf, otot, dan sistem kencing.
Antara jenis ubat yang sering dikaitkan dengan masalah kencing tak lawas ialah:
- Ubat antidepresan – boleh menjejaskan fungsi saraf dan menyebabkan pundi kencing tidak dapat mengosongkan air kencing sepenuhnya.
- Ubat dekongestan hidung – mengandungi bahan seperti pseudoephedrine yang menyebabkan otot di leher pundi menjadi tegang, lalu menyukarkan pengaliran air kencing.
- Ubat penenang dan ubat tidur – melambatkan tindak balas saraf dan menjadikan seseorang kurang peka terhadap rasa ingin kencing.
- Ubat tahan alahan (antihistamin) – mengeringkan saluran tubuh dan boleh mengurangkan kontraksi otot pundi kencing.
- Ubat bius atau anestetik – sering menyebabkan kencing tak lawas sementara selepas pembedahan kerana fungsi saraf dan otot belum pulih sepenuhnya.
Masalah kencing tak lawas lelaki biasanya bersifat sementara dan akan hilang apabila ubat dihentikan atau digantikan dengan jenis lain.
Namun, jika pesakit mengalami sukar kencing, kerap kencing, atau bocor tanpa sedar selepas mengambil ubat, mereka perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Doktor mungkin akan menyesuaikan dos, menukar jenis ubat, atau memberikan ubat tambahan untuk membantu mengawal fungsi pundi kencing.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kencing tak lawas lelaki boleh menjadi tanda awal kepada masalah kesihatan serius.
Rawatan awal penting bagi mengelakkan komplikasi dan meningkatkan kualiti hidup.
Berikut adalah punca kencing tak lawas lelaki yang perlu anda ambil tahu:
- Prostat Membesar
- Kanser Prostat
- Kecederaan Saraf Tunjang
- Batu Karang pada Sistem Urinari
- Kesan Sampingan Pembedahan
- Sembelit
- Kesan Sampingan Ubat-ubatan
Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah kencing tak lawas di sini:

