10 Jenis Sakit Perut dan Punca Yang Biasa Berlaku

jenis sakit perut bahagian pelvis

Apakah jenis sakit perut yang perlu anda tahu beserta punca-puncanya yang umum berlaku?

Sakit perut adalah salah satu masalah kesihatan yang paling biasa dialami oleh semua peringkat umur. Namun, tidak semua sakit perut adalah sama. Lokasinya, sifat kesakitan, dan simptom yang mengiringinya boleh memberikan petunjuk penting tentang puncanya. Ada yang disebabkan oleh masalah ringan seperti angin atau ketidakhadaman, manakala ada pula yang menandakan keadaan yang teruk seperti apendisitis atau penyakit radang usus.

Memahami jenis sakit perut dan puncanya bukan sahaja membantu dalam mendapatkan rawatan yang tepat, malah boleh menyelamatkan nyawa jika tanda-tanda serius dikesan awal.

Dalam artikel ini, kami menghuraikan 10 jenis sakit perut yang lazim berlaku, lengkap dengan punca, simptom, dan langkah rawatan yang disyorkan.

1. Perut Kembung Tidak Selesa

jenis sakit perut kembung

Perut kembung atau bloating merupakan jenis sakit perut dari masalah pencernaan yang biasa tetapi boleh menjadi sangat tidak selesa. Ia biasanya dirasai sebagai rasa penuh, sendat, dan seperti “berangin” dalam abdomen.

Kadang-kadang, perut juga akan kelihatan membuncit atau bengkak secara luaran. Antara punca utama keadaan ini ialah pengumpulan gas berlebihan dalam saluran pernghadaman, lazimnya disebabkan oleh proses pencernaan makanan tertentu seperti kekacang, brokoli, kobis, makanan tinggi serat, serta minuman berkarbonat.

Proses penapaian makanan dalam usus juga boleh menghasilkan gas, terutamanya jika seseorang mengalami intoleransi laktosa atau gluten. Walaupun kembung perut bukan penyakit serius, ia boleh menganggu aktiviti harian.

Berdasarkan kajian oleh Gastroenterology & Hepatology, rawatan biasanya melibatkan perubahan diet seperti mengelakkan makanan penyebab angin, pengambilan probiotik, dan senaman ringan untuk membantu pergerakan gas dalam usus.

Sekiranya kembung kerap berlaku atau disertai dengan simptom lain seperti muntah, cirit-birit atau penurunan berat badan mendadak, ia mungkin menandakan masalah pencernaan yang lebih serius seperti sindrom iritasi usus (IBS), dan pemeriksaan perubatan adalah sangat digalakkan.

2. Sakit Tajam di Bahagian Bawah Kanan Perut

Jenis sakit perut yang tiba-tiba, tajam, dan tertumpu di bahagian bawah kanan abdomen adalah simptom klasik apendisitis. Apendiks ialah sejenis struktur tiub kecil yang terletak di hujung usus besar.

Apabila ia menjadi radang, sama ada akibat jangkitan atau sumbatan, ia boleh membengkak dan menimbulkan kesakitan yang semakin kuat dari masa ke masa. Kesakitan selalunya bermula dari kawasan pusat dan beralih ke bahagian bawah kanan perut, disertai dengan loya, muntah, demam, dan hilang selera makan.

Menurut National Center for Biotechnology Information, apendisitis memerlukan rawatan kecemasan kerana jika dibiarkan, apendiks boleh pecah dan menyebabkan peritonitis iaitu jangkitan teruk dalam rongga perut yang boleh membawa maut.

Pemeriksaan fizikal, ujian darah, dan imbasan (ultrasound atau CT scan) biasanya digunakan untuk diagnosis. Rawatan standard ialah pembedahan membuang apendiks (apendektomi). Menunda rawatan boleh meningkatkan risiko komplikasi dan tempoh pemulihan.Menunda rawatan boleh meningkatkan risiko komplikasi dan tempoh pemulihan.

3. Sakit Menikam di Bahagian Atas Kanan Perut

jenis sakit perut sakit menikam bahagian atas perut

Kesakitan yang terasa seperti ditikam di bahagian atas kanan abdomen sering kali berkait dengan masalah pada pundi hempedu, terutamanya batu karang hempedu (gallstones).

Menurut National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases, gallstones ialah ketulan keras terbentuk daripada kolesterol atau bilirubin yang mengendap dalam pundi hempedu. Apabila batu ini menghalang aliran cecair hempedu, ia mencetuskan kesakitan mendadak, tajam, dan teramat pedih atau lebih dikenali sebagai serangan kolik hempedu.

Serangan biasanya berlaku selepas makan makanan tinggi lemak. Simptom lain mungkin termasuk muntah, demam, dan rasa pahit di mulut. Imbasan ultrasound biasanya digunakan untuk mengenal pasti batu karang.

Sekiranya batu karang menimbulkan komplikasi seperti jangkitan atau keradangan pundi hempedu (cholecystitis), rawatan mungkin melibatkan pembedahan membuang pundi hempedu (cholecystectomy). Dalam kes ringan, ubat pelarut atau diet rendah lemak boleh dicadangkan. Mengabaikan masalah ini boleh menyebabkan kerosakan hati atau pankreatitis.

4. Rasa Sakit atau Pedih di Bahagian Tengah Atas Perut

Rasa pedih seperti terbakar di bahagian atas tengah abdomen adalah jenis sakit perut akibat ulser peptik, iaitu luka yang berlaku pada lapisan dalam perut atau usus kecil.

Kajian dari Canadian Journal of Gastroenterology and Hepatology mendapati bahawa, penyebab utama ialah jangkitan bakteria Helicobacter pylori dan penggunaan berlebihan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) seperti ibuprofen atau aspirin.

Selain itu, merokok, stres dan alkohol turut menyumbang kepada pembentukan ulser. Pesakit mungkin mengalami pedih ulu hati, sendawa berlebihan, loya, dan kesakitan yang teruk terutamanya selepas makan atau semasa perut kosong.

Diagnosis biasanya dibuat melalui endoskopi. Rawatan melibatkan ubat perencat pam proton (PPI) untuk mengurangkan asid perut dan antibiotik untuk membunuh H. pylori.

Jika tidak dirawat, ulser boleh berdarah atau menembusi dinding usus, menyebabkan komplikasi berbahaya. Pencegahan termasuk amalan pemakanan sihat, kawal stres dan elak ubat NSAID tanpa pengawasan doktor.

5. Sakit Perut Umum Berserta Cirit-Birit

jenis sakit perut cirit-birit

Jenis sakit perut yang merebak ke seluruh abdomen dan disertai cirit-birit biasanya menunjukkan gastroenteritis, iaitu keradangan pada perut dan usus yang disebabkan oleh virus, bakteria, atau parasit.

Penyebab paling biasa ialah virus seperti rotavirus dan norovirus, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas. Menurut National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases, simptomnya termasuk muntah, demam, loya, dan keletihan melampau. Masalah ini sangat mudah merebak, khususnya melalui makanan atau air tercemar serta sentuhan langsung.

Rawatan utama ialah memastikan pengambilan cecair yang mencukupi, oral rehydration salts (ORS) untuk mengelakkan dehidrasi. Makanan mudah hadam seperti bubur dan pisang sesuai dimakan sepanjang tempoh pemulihan.

Sekiranya cirit-birit berdarah, berlangsung lebih dari 3 hari, atau melibatkan simptom dehidrasi seperti mulut kering dan urin sedikit, pesakit harus mendapatkan rawatan lanjut. Pencegahan termasuk amalan kebersihan tangan dan penyediaan makanan yang bersih.

6. Sakit Perut Umum dan Kembung

Jenis sakit perut menyeluruh disertai kembung sering berkait rapat dengan Irritable Bowel Syndrome (IBS), sejenis gangguan fungsional sistem penghadaman yang kronik. IBS tidak merosakkan usus secara fizikal tetapi boleh mengganggu fungsi normal usus besar.

Puncanya tidak diketahui sepenuhnya, tetapi dipercayai berkait dengan pergerakan usus yang tidak normal, tekanan emosi, dan ketidakseimbangan mikrobiota usus. Simptom IBS termasuk sakit perut yang lega selepas membuang air besar, kembung, cirit-birit atau sembelit (atau kedua-duanya secara berselang-seli), dan rasa tidak puas selepas membuang air besar.

Diagnosis dibuat dengan menolak penyakit lain terlebih dahulu (diagnosis pengecualian). Tiada ubat khusus untuk menyembuhkan IBS, namun pengurusan jangka panjang seperti perubahan diet (contohnya, diet rendah FODMAP), pengambilan probiotik, ubat antispasmodik, dan pengurusan stres sangat membantu.

7. Sakit Perut dengan Cirit-Birit Berdarah

Cirit-birit yang disertai darah dan sakit perut teruk menunjukkan masalah yang lebih serius seperti penyakit radang usus, Inflammatory Bowel Disease (IBD).

IBD merangkumi dua keadaan utama iaitu ulseratif kolitis, yang melibatkan usus besar sahaja dan menyebabkan ulser serta pendarahan serta penyakit Crohn, yang boleh melibatkan mana-mana bahagian saluran penghadaman dari mulut ke dubur.

Simptom lain termasuk keletihan kronik, demam, penurunan berat badan, dan kehilangan selera makan. Rawatan jangka panjang diperlukan kerana tiada penawar mutlak untuk IBD. Ia melibatkan ubat anti-radang, imunosupresif, dan dalam kes teruk, pembedahan. Diagnosis biasanya memerlukan kolonoskopi, biopsi usus, dan ujian makmal.

8. Sakit Bermula di Sekitar Pusat dan Beralih ke Kanan Bawah

jenis sakit perut sekitar pusat

Jenis sakit perut yang bermula secara samar di sekitar pusat dan kemudian bergerak ke bahagian bawah kanan perut dalam masa beberapa jam termasuk dalam kes apendisitis.

Ia disertai rasa mual, muntah, hilang selera makan dan kadangkala demam. Perubahan posisi atau tekanan di kawasan tersebut boleh meningkatkan kesakitan atau dikenali sebagai ‘rebound tenderness’.

Pembedahan membuang apendiks adalah satu-satunya cara menyelesaikannya. Menangguhkan rawatan boleh menyebabkan apendiks pecah dan menyebarkan jangkitan ke seluruh perut.

9. Demam, Kekejangan Perut, Cirit-Birit dan Muntah

Gabungan simptom ini lazim dikaitkan dengan flu perut atau gastroenteritis virus yang berlaku secara akut. Ia adalah antara jangkitan paling mudah merebak, terutama dalam persekitaran tertutup seperti taska, sekolah dan rumah jagaan.

Menurut National Center for Biotechnology Information, virus seperti norovirus dan rotavirus menyebabkan perut dan usus kecil menjadi radang, membawa kepada kekejangan perut yang menyakitkan, muntah-muntah, dan cirit-birit.

Tempoh jangkitan biasanya antara 2 hingga 5 hari, namun dehidrasi akibat kehilangan cecair perlu diurus dengan baik, terutamanya dalam kanak-kanak dan warga emas.

Rawatan adalah sokongan – rehidrasi, rehat dan makanan mudah hadam. Penggunaan antibiotik tidak membantu jika puncanya adalah virus. Pencegahan paling berkesan adalah melalui kebersihan tangan dan pengendalian makanan yang betul.

10. Sakit Perut Bawah atau Bahagian Pelvis

jenis sakit perut bahagian pelvis

Jenis sakit perut di bahagian bawah, terutamanya di pelvis, adalah simptom yang kompleks kerana ia boleh berpunca daripada pelbagai sistem seperti pembiakan, saluran kencing atau usus.

Kaum wanita sering berkait dengan masalah ginekologi seperti senggugut (dysmenorrhea), endometriosis, atau sista ovari. Menurut  American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG), senggugut biasanya berlaku semasa haid dan dirasai sebagai sakit mencucuk atau berdenyut. Endometriosis pula menyebabkan tisu seperti endometrium tumbuh di luar rahim, menimbulkan kesakitan kronik dan gangguan kesuburan.

Lelaki dan wanita juga boleh mengalami jangkitan salur kencing (UTI), yang menyebabkan rasa pedih semasa kencing dan sakit di bawah perut. Diagnosis bergantung kepada simptom tambahan, ujian air kencing, imbasan pelvis dan kadangkala ujian darah.

Rawatan bergantung kepada punca iaitu ubat tahan sakit, antibiotik atau pembedahan mungkin diperlukan. Pemeriksaan awal dapat mencegah komplikasi yang lebih besar seperti masalah kesuburan atau jangkitan buah pinggang.

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat pelbagai jenis sakit perut yang anda di dunia ini. Justeru, masalah sakit perut tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi jika ia datang secara mengejut, berlarutan, atau disertai simptom lain seperti muntah, demam, cirit-birit berdarah, atau perubahan tabiat membuang air besar.

Setiap jenis kesakitan memberi petunjuk tersendiri kepada punca yang berbeza, sama ada berkaitan sistem penghadaman, saluran kencing, atau sistem reproduktif.

Justeru, amat penting untuk kita mengenali corak kesakitan yang dialami, agar tindakan sewajarnya dapat diambil sama ada melalui rawatan di rumah, perubahan gaya hidup, atau mendapatkan nasihat perubatan segera.

Berikut adalah jenis sakit perut yang perlu anda ketahui:

  1. Perut Kembung Tidak Selesa
  2. Sakit Tajam di Bahagian Bawah Kanan Perut
  3. Sakit Menikam di Bahagian Atas Kanan Perut
  4. Rasa Sakit atau Pedih di Bahagian Tengah Atas Perut
  5. Sakit Perut Umum Berserta Cirit-Birit
  6. Sakit Perut Umum dan Kembung
  7. Sakit Perut dengan Cirit-Birit Berdarah
  8. Sakit Bermula di Sekitar Pusat dan Beralih ke Kanan Bawah
  9. Demam, Kekejangan Perut, Cirit-Birit dan Muntah
  10. Sakit Perut Bawah atau Bahagian Pelvis

Anda juga boleh baca segala informasi tentang sakit perut di sini:

Similar Posts

Leave a Reply