14 Jenis Sakit Kepala dan Cara Untuk Merawatnya

Tahukah anda terdapat lebih daripada 14 jenis sakit kepala, masing-masing dengan simptom, punca, dan rawatan yang berbeza?

Pada lazimnya, sakit kepala merupakan antara masalah kesihatan paling lazim di Malaysia, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia, jantina, atau latar belakang.

Berdasarkan kajian GlaxoSmithKline Consumer Healthcare berhubung Kaji Selidik Pengurusan Kesakitan pada tahun 2014, ia mendapati sakit kepala adalah jenis kesakitan paling biasa dialami 85 peratus rakyat Malaysia. Malah bukan itu sahaja, 8 daripada 10 rakyat Malaysia juga lebih memilih untuk menahan sakit daripada mendapatkan rawatan segera.

Isu ini semakin membimbangkan, terutamanya di era moden di mana tekanan kerja, kurang tidur, dan gaya hidup sedentari menjadi norma harian.

Sakit kepala bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup seseorang tetapi juga memberi kesan terhadap produktiviti negara, apabila ramai pekerja terpaksa mengambil cuti akibat kesakitan yang dialami. Lebih membimbangkan, sakit kepala juga boleh menjadi petanda awal kepada penyakit kronik seperti migrain, hipertensi, atau gangguan neurologi seperti tumor otak.

Justeru, artikel ini akan menerangkan kepada anda dengan lebih lengkap mengenai jenis sakit kepala yang sering dialami, bagaimana mengenali tanda-tanda yang memerlukan perhatian perubatan, serta panduan rawatan yang berkesan.

1. Sakit Kepala Tegang(Tension Headache)

jenis sakit kepala tension

Sakit kepala tegang adalah jenis sakit kepala yang paling kerap dialami oleh rakyat Malaysia. Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Neurologi dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Kok Chin Yong, sebanyak 26.5 peratus rakyat Malaysia menderita sakit kepala akibat tekanan. Manakala migrain pula sebanyak 9 peratus dan pelbagai jenis sakit kepala lain, 28.2 peratus.

Tahap kesakitan sakit kepala jenis ini biasanya sederhana hingga ringan seperti sensasi tekanan yang mengelilingi kepala, dahi, atau belakang kepala.

Ia biasanya disebabkan oleh tekanan emosi, postur tubuh yang tidak betul, atau ketegangan otot pada bahagian leher dan bahu.

Teknik relaksasi seperti terapi biofeedback dan senaman regangan dapat mengurangkan insiden sakit kepala tegang. National Institute of Neurological Disorders and Stroke (NINDS) mencadangkan bahawa pengurusan stres yang konsisten adalah kunci untuk mengurangkan masalah jenis sakit kepala ini.

2. Migrain

jenis sakit kepala migrain

Jenis sakit kepala yang seterusnya adalah migrain. Migrain berasal dari perkataan Latin iaitu “hemicrania” yang bermaksud “separuh” (hemi) “tengkorak” (crania).

Sakit kepala migrain adalah jenis yang paling kerap dihidapi oleh masyarakat di seluruh dunia dan menjakiti satu daripada tujuh orang iaitu kira-kira 14.7 peratus. Di peringkat global pula, migrain adalah penyebab utama punca kehilangan upaya pada golongan di usia di bawah 50 tahun, diikuti dengan sakit belakang dan diabetes.

Migrain ialah jenis kepala yang dicirikan oleh kesakitan berdenyut sederhana sehingga teruk, biasanya di satu sisi kepala. Simptom lain termasuk loya, muntah, dan sensitiviti terhadap cahaya atau bunyi. Faktor seperti perubahan hormon, kurang tidur, makanan tertentu, atau tekanan juga boleh mempengaruhinya.

Kajian oleh American Migraine Foundation (AMF) menunjukkan bahawa terapi CGRP (calcitonin gene-related peptide) adalah rawatan terkini yang berkesan. Kajian juga mendapati bahawa perubahan gaya hidup, seperti menjaga pola tidur dan mengelakkan makanan pemicu sakit kepala, dapat membantu mengurangkan kekerapan migrain.

3. Sakit Kepala Kluster (Cluster Headache)

jenis sakit kepala kluster

Sakit kepala kluster menyebabkan kesakitan yang sangat teruk di sekitar satu mata, sering disertai mata berair dan hidung tersumbat di sisi yang sama. Ia berlaku dalam pola tertentu, misalnya pada waktu yang sama setiap hari selama beberapa minggu atau bulan.

Penyelidikan terkini mencadangkan terapi oksigen 100% sebagai rawatan segera yang efektif.

4. Sakit Kepala Sinus (Sinus Headache)

jenis sakit kepala sinus

Sakit kepala jenis ini berlaku akibat keradangan pada sinus, biasanya disebabkan oleh alahan atau jangkitan.

Ia dicirikan oleh kesakitan di sekitar dahi, pipi, dan hidung, yang boleh bertambah teruk apabila membongkok. Kajian terkini oleh Harvard Health Publishing menunjukkan bahawa, rawatan seperti dekongestan, irigasi hidung dengan larutan saline, dan antihistamin sangat membantu. Ubat antibiotik hanya disarankan jika terdapat bukti jangkitan bakteria.

5. Sakit Kepala Hormonal (Hormone Headache)

Jenis sakit kepala yang sering menyerang kaum wanita adalah sakit kepala hormonal. Ia selalu berlaku pada wanita, terutamanya semasa perubahan hormon seperti sebelum haid (premenstrual syndrome – PMS), kehamilan, atau menopaus. Migrain sebelum haid adalah subkategori yang kerap menjadi punca utama.

Antara jenis rawatan yang boleh anda dapatkan serta berkesan adalah terapi hormon dan ubat triptan. Dalam kajian lain, ada juga menunjukkan bahawa pengambilan magnesium dapat membantu mengurangkan simptom.

6. Sakit Kepala Kafein (Caffeine Headache)

jenis sakit kepala caffein

Pengambilan kafein yang berlebihan atau menghentikan pengambilannya secara mendadak boleh menyebabkan sakit kepala kerana kafein. Situasi ini berlaku kerana wujudnya perubahan pada saluran darah di otak.

Penyelidikan terkini menunjukkan bahawa mengurangkan pengambilan kafein secara perlahan adalah cara terbaik untuk mencegah sakit kepala ini. Kajian oleh Mayo Clinic mencadangkan pengambilan kafein kurang daripada 400mg sehari untuk mengelakkan sebarang kesan buruk berlaku.

7. Sakit Kepala Akibat Aktiviti Fizikal (Exertion Headache)

Jenis sakit kepala yang seterusnya adalah sakit kepala akibat akiviti fizikal. Menurut National Center for Biotechnology Information, sakit kepala ini lazimnya berlaku selepas aktiviti fizikal berat, seperti senaman intensif atau hubungan seksual yang menyebabkan kesakitan berdenyut pada kedua-dua sisi kepala.

Sakit kepala ini mudah dipulihkan tetapi boleh menjadi tanda masalah serius jika disertai gejala lain. Rehat dan pemanasan sebelum bersenam dapat mengurangkan risiko sakit kepala akibat aktiviti fizikal.

8. Sakit Kepala Hipertensi (Hypertension Headache)

jenis sakit kepala hipertensi

Sakit kepala hipertensi ialah gejala yang berlaku apabila tekanan darah sangat tinggi, biasanya semasa krisis hipertensi (tekanan darah melebihi 180/120 mmHg).

Kesakitan ini sering dirasai di bahagian belakang kepala (oksipital) dan boleh disertai gejala lain seperti penglihatan kabur, pening, mual, atau muntah. Ia berpunca daripada tekanan pada saluran darah di kepala, peningkatan tekanan intrakranial, atau komplikasi serius seperti strok atau ensefalopati hipertensi.

Kesakitan biasanya terasa seperti tekanan kuat atau denyutan, terutama pada waktu pagi apabila tekanan darah berada pada tahap tertinggi.

Kajian menunjukkan bahawa kawalan tekanan darah melalui diet rendah natrium, senaman, dan ubat antihipertensi dapat mengurangkan kejadian sakit kepala ini. Berdasarkan kajian oleh The Journal of Clinical Hypertension, sakit kepala jenis ini jarang berlaku kecuali pada tahap hipertensi yang sangat tinggi.

9. Sakit Kepala Rebound (Rebound Headache)

Sakit kepala rebound berlaku akibat penggunaan ubat penahan sakit secara berlebihan, di mana tubuh menjadi terlalu bergantung kepada ubat tersebut. Keadaan ini sering dialami oleh individu yang mengambil ubat seperti analgesik, triptan, atau opioid secara berulang-ulang dalam jangka masa panjang.

Apabila ubat tersebut habis dalam sistem badan, sakit kepala muncul semula sebagai tindak balas badan terhadap kebergantungan kepada ubat tersebut. Sakit kepala rebound biasanya bersifat kronik dan berulang, sering dirasai pada waktu pagi atau selepas ubat sebelumnya tidak lagi berkesan.

Gejala termasuk rasa sakit yang tumpul atau tekanan di seluruh kepala, keletihan, kesukaran tidur, dan kepekaan terhadap cahaya atau bunyi.

Justeru pendedahan dan pendidikan tentang bahaya pengambilan ubat-ubatan secara berlebihan perlu dilakukan untuk membantu masyarakat memahami risiko kesihatan, mengelakkan ketagihan, serta menggalakkan penggunaan ubat secara bertanggungjawab.

Langkah ini juga dapat meningkatkan kesedaran mengenai alternatif rawatan lain dan kepentingan mendapatkan nasihat perubatan profesional sebelum mengambil ubat.

10. Sakit Kepala Pasca Trauma (Post-Traumatic Headache)

jenis sakit kepala trauma

Sakit kepala pasca trauma ini berlaku selepas kecederaan kepala, seperti hentakan, pukulan, atau gegaran otak. Ia biasanya muncul dalam tempoh 7 hari selepas kecederaan dan boleh bertahan selama beberapa minggu hingga bulan, bergantung kepada keparahan trauma dan keadaan individu.

Jenis sakit kepala ini sering menyerupai migrain atau sakit kepala tegang. Gejala termasuk rasa sakit berdenyut atau tekanan pada satu atau kedua-dua sisi kepala, kepekaan terhadap cahaya dan bunyi, pening, keletihan, kesukaran menumpukan perhatian, dan loya. Sakit kepala pasca trauma boleh bertambah buruk dengan aktiviti fizikal atau mental yang berat.

Kajian oleh National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, gabungan terapi fizikal dan psikologi, seperti kognitif-terapi tingkah laku, sangat membantu. Centers for Disease Control and Prevention (CDC) menekankan pentingnya diagnosis awal untuk pemulihan optimum.

11. Sakit Kepala Mendadak (Thunderclap Headache)

Sakit kepala ini berlaku secara tiba-tiba dan sangat teruk, seperti “kilat”. Ia sering menjadi tanda masalah serius seperti aneurisme otak.

Punca utama sakit kepala mendadak termasuk pendarahan subarachnoid (akibat aneurisme otak pecah), strok, pendarahan intrakranial, trombosis vena serebral, atau ensefalitis. Dalam sesetengah kes, jenis sakit kepala ini juga boleh terjadi akibat hipertensi yang sangat tinggi atau sindrom penyempitan vaskular serebral yang boleh pulih sendiri (reversible cerebral vasoconstriction syndrome, RCVS).

Gejala tambahan mungkin termasuk loya, muntah, leher tegang, penglihatan kabur, kehilangan kesedaran, atau kekeliruan.

Agency of Care Effectiveness (ACE) juga menyarankan penggunaan CT scan atau MRI untuk diagnosis tepat. Rawatan bergantung kepada punca asas dan memerlukan perhatian perubatan segera.

12. Sakit Kepala Hemicrania Continua

Sakit kepala hemicrania continua ialah jenis sakit kepala primer kronik yang jarang berlaku dan dicirikan oleh rasa sakit berterusan pada satu sisi kepala tanpa bertukar sisi. Ia dikenali kerana berlaku sepanjang masa dengan tahap intensiti yang berubah-ubah dan serangan sakit yang lebih teruk secara berkala.

Gejalanya termasuk rasa sakit yang berterusan dengan tahap rasa sakit yang berperingkat. Kajian oleh National Center for Biotechnolgy Information mendapati bahawa, ubat baru seperti melatonin mungkin mempunyai potensi sebagai rawatan tambahan.

13. Sakit Kepala Ditusuk-Tusuk (Ice Pick Headache)

jenis sakit kepala ice pick

Sakit kepala yang juga dikenali sebagai primary stabbing headache ini berlaku seperti tikaman tajam dan mendadak yang berlangsung hanya beberapa saat. Kesakitan ini sering berlaku di satu titik tertentu pada kepala, seperti pelipis atau sekitar mata, dan boleh berulang beberapa kali sehari.

Puncanya tidak diketahui, tetapi ia sering dikaitkan dengan migrain atau sakit kepala kluster. Kajian oleh National Center for Biotechnology Information, menunjukkan bahawa pesakit boleh dirawat dengan indometasin untuk mengurangkan simptom berlaku.

Pemeriksaan lanjut diperlukan jika sakit disertai gejala serius seperti penglihatan kabur atau muntah.

14. Sakit Kepala Alahan (Allergy or Sinus Headache)

Akhir sekali, jenis sakit kepala yang perlu anda tahu adalah sakit kepala alahan. Sakit kepala alahan berkaitan dengan tindak balas alergi atau keradangan sinus. Ia berpunca daripada alahan seperti rhinitis alergi atau jangkitan sinusitis.

Kesakitan ini dirasai sebagai tekanan atau rasa berat di sekitar dahi, pipi, atau hidung, dan boleh disertai gejala lain seperti hidung tersumbat, bersin, mata berair, atau deria bau yang berkurangan.

Sakit kepala ini biasanya lebih teruk apabila membongkok atau berbaring, kerana perubahan tekanan pada sinus.

Allergy and Asthma Foundation of America (AAFA) menyarankan penggunaan antihistamin atau dekongestan untuk mengurangkan simptom. Terapi imun mungkin membantu jika sakit kepala kerap berlaku akibat alahan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, sakit kepala adalah keadaan yang lazim tetapi boleh berbeza-beza dari segi tahap keseriusan dan punca. Memahami jenis sakit kepala ini dapat membantu mengenal pasti rawatan yang sesuai dan mencegah ia dari berulang.

Jika sakit kepala kerapa berlaku atau disertai dengan simptom yang mencurigakan, dapatkan rawatan perubatan segera untuk mencegah komplikasi. Kesihatan adalah aset berharga, dan menjaga kesejahteraan mental serta fizikal adalah kunci kepada kehidupan yang lebih berkualiti.

Berikut adalah jenis sakit kepala yang perlu anda tahu:

  1. Sakit Kepala Tegang (Tension Headache)
  2. Migrain
  3. Sakit Kepala Kluster (Cluster Headache)
  4. Sakit Kepala Sinus (Sinus Headache)
  5. Sakit Kepala Hormonal (Hormone Headache)
  6. Sakit Kepala Kafein (Caffeine Headache)
  7. Sakit Kepala Akibat Aktiviti Fizikal (Exertion Headache)
  8. Sakit Kepala Hipertensi (Hypertension Headache)
  9. Sakit Kepala Rebound (Rebound Headache)
  10. Sakit Kepala Pasca Trauma (Post-Traumatic Headache)
  11. Sakit Kepala Mendadak (Thunderclap Headache)
  12. Sakit Kepala Hemicrania Continua
  13. Sakit Kepala Ditusuk-Tusuk (Ice Pick Headache)
  14. Sakit Kepala Alahan (Allergy or Sinus Headache)

Anda juga boleh baca tentang informasi sakit kepala yang lain di sini:

Similar Posts

Leave a Reply