Hidung Kerap Berdarah: Punca dan Rawatan Harus Tahu

Apakah punca dan rawatan yang boleh dilakukan apabila seseorang itu mempunyai masalah hidung kerap berdarah?

Hidung berdarah atau epistaksis adalah adalah keadaan yang biasa berlaku dalam kalangan individu pelbagai peringkat umur. Walaupun ia seringkali tidak berbahaya, pendarahan hidung yang berlaku setiap hari boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

Dalam artikel ini, kita akan melihat secara mendalam punca hidung kerap berdarah, rawatan yang sesuai, serta bila seseorang perlu mendapatkan rawatan perubatan.

Apa itu Hidung Berdarah?

hidung kerap berdarah maksud

Menurut National Center for Biotechnology Information, hidung berdarah berlaku apabila saluran darah kecil dalam hidung pecah, menyebabkan darah mengalir keluar dari rongga hidung. Lapisan dalam hidung dilapisi oleh mukosa, iaitu tisu lembap yang mengandungi banyak kapilari darah yang terletak berhampiran dengan permukaan.

Oleh kerana saluran darah ini sangat halus dan sensitif, ia mudah pecah apabila mengalami geseran atau perubahan persekitaran yang ekstrim.

Pendarahan hidung boleh berlaku di bahagian depan (anterior) atau belakang (posterior) hidung. Menurut American Academy of Family Physicians, kebanyakkan kes epistaksis berlaku di bahagian anterior, iaitu di kawasan septum hidung yang mengandungi banyak kapilari darah.

Pendarahan posterior pula lebih jarang berlaku tetapi boleh menjadi lebih serius kerana ia melibatkan saluran darah yang lebih besar dan boleh menyebabkan kehilangan darah dalam jumlah yang lebih banyak.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam American Academy of Otolaryngology-Head and Neck Surgery, kebanyakkan kes pendarahan hidung berlaku akibat faktor persekitaran seperti udara kering, manakala sebahagian kecil berpunca daripada masalah kesihatan seperti gangguan pembekuan darah dan hipertensi.

Punca Hidung Kerap Berdarah

Hidung berdarah setiap hari boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk tabiat harian, keadaan persekitaran, serta masalah kesihatan tertentu.

Memahami punca-punca ini adalah penting untuk mencari kaedah rawatan yang sesuai dan mengurangkan risiko berulangnya pendarahan.

1. Mengorek atau Menghembus Hidung Terlalu Kuat

Mengorek hidung merupakan tabiat biasa yang dilakukan oleh ramai individu, tetapi tindakan ini boleh menyebabkan luka kecil pada mukosa hidung.

Dalam buku An Introduction to Clinical Emergency Medicine mendapati bahawa, trauma berulang akibat menggorek hidung boleh merosakkan saluran darah kecil dalam hidung, meningkatkan risiko pendarahan yang berulang.

Bukan itu sahaja, malah menghembus hidung terlalu kuat juga boleh menyebabkan tekanan tinggi dalam saluran darah hidung, yang boleh mengakibatkan pecahnya kapilari halus di dalam rongga hidung.

2. Selesema dan Alergi

hidung kerap berdarah selesema

Selesema, alergi, dan jangkitan saluran pernafasan sering dikaitkan dengan hidung berdarah yang kerap. Keradangan dan kesesakan akibat alergi boleh menyebabkan saluran darah dalam hidung membesar, menjadikannya lebih mudah pecah.

Kajian dari International Journal of Clinical Practice menunjukkan bahawa, individu yang mengalami rinitis alergi lebih cenderung mengalami epistaksis akibat peningkatan kepekaan mukosa hidung terhadap iritasi.

Apabila seseorang mengalami selesema atau alahan, hidung sering kali menjadi kering akibat penggunaan ubat dekongestan atau antihistamin. Keadaan ini boleh mempercepatkan pembentukan rekahan kecil dalam mukosa hidung, menjadikannya lebih mudah berdarah apabila mengalami geseran atau tekanan.

3. Cuaca Panas dan Udara Kering

hidung kerap berdarah cuaca panas

Perubahan cuaca yang ekstrim boleh menjadi punca utama hidung kerap berdarah atau berulang. Udara kering , terutamanya di dalam bilik yang menggunakan penghawa dingin atau pemanas, boleh menyebabkan mukosa hidung kehilangan kelembapan dan menjadi lebih rapuh.

Kajian dalam National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, kelembapan yang rendah dalam udara boleh meningkatkan risiko epistaksis, terutamanya dalam kalangan individu yang tinggal di kawasan beriklim kering atau sejuk.

Penggunaan pelembap udara (humidifier) dalam rumah boleh membantu mengekalkan tahap kelembapan yang sesuai untuk mengelakkan hidung daripada terlalu kering, sekali gus mengurangkan risiko pendarahan hidung yang kerap.

4. Gangguan Pembekuan Darah

Gangguan pembentukan darah seperti hemofilia dan penyakit Von Willebrand boleh menyebabkan hidung kerap berdarah dan sukar dihentikan.

Individu yang mengalami gangguan ini mempunyai tahap faktor pembekuan darah yang rendah, menyebabkan darah lebih sukar membeku dan meningkatkan risiko pendarahan spontan.

Kajian dalam National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, individu dengan penyakit Von Willebrand lebih cenderung mengalami epistaksis yang berulang, dengan pendarahan yang sukar dihentikan.

5. Kesan Ubat-Ubatan

Sesetengah ubat boleh meningkatkan risiko hidung berdarah dengan menghalang proses pembekuan darah. Contoh ubat yang boleh menyebabkan epistaksis termasuk aspirin, ibuprofen, dan warfarin.

Kajian dalam National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, penggunaan ubat anti-radang bkan steroid (NSAIDs) boleh meningkatkan risiko pendarahan mukosa terutamanya dalam kalangan warga emas yang mengambil ubat ini secara berterusan.

Jika seseorang mengalami pendarahan hidung yang kerap akibat ubat-ubatan adalah penting untuk berunding dengan doktor untuk mempertimbangkan pilihan alternatif atau menyesuaikan dos ubat yang diambil.

6. Tekanan Darah Tinggi (Hipertensi)

Tekanan darah tinggi atau hipertensi faktor risiko utama yang dikaitkan dengan hidung berdarah yang berulang. Apabila tekanan darah tinggi tidak dikawal, ia boleh menyebabkan saluran darah dalam hidung menjadi lebih tegang dan rapuh, meningkatkan risiko pendarahan spontan.

Kajian dalam Journal of the Saudi Heart Association mendapati bahawa, individu dengan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal lebih cenderung mengalami epistaksis posterior. Malah dalam situasi ini juga, anda berisiko untuk kehilangan darah dalam jumlah yang banyak dan memerlukan rawatan segera.

7. Kelainan Struktur Hidung

hidung kerap berdarah struktur hidung

Sesetengah individu mempunyai kelainan struktur hidung seperti septum hidung yang menyimpang, yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan aliran udara dalam rongga hidung.

Keadaan ini boleh menyebabkan bahagian tertentu dalam hidung menjadi lebih kering dan mudah mengalami pendarahan.

Pembedahan pembetulan seperti septoplasti sering disyorkan bagi individu yang mengalami masalah ini secara kronik untuk mengurangkan risiko pendarahan hidung berulang.

Cara Merawat Hidung Kerap Berdarah

Rawatan hidung kerap berdarah bergantung kepada punca yang menyebabkannya. Namun, terdapat beberapa langkah utama yang boleh diambil untuk menghentikan pendarahan dengan segera dan mengurangkan risiko ia berulang.

Apabila hidung berdarah, anda boleh melakukan langkah berikut:

  1. Duduk tegak dan tundukkan kepala sedikit ke hadapan untuk mengelakkan darah mengalir ke tekak, yang boleh menyebabkan rasa loya atau muntah.
  2. Gunakan ibu jari dan jari telunjuk untuk mencubit bahagian lembut hidung selama 5 hingga 10 minit bagi memberi masa kepada darah untuk membeku.
  3. Bernafas melalui mulut dan elakkan bercakap atau menelan darah yang mengalir.
  4. Letakkan pek ais di atas hidung atau dahi untuk membantu mengecutkan saluran darah dan mempercepatkan penghentian pendarahan.
  5. Elakkan menghembus hidung atau memasukkan jari ke dalam hidung selepas pendarahan berhenti untuk mengelakkan luka terbuka semula.

Jika pendarahan tidak berhenti selepas 20 minit, dapatkan bantuan perubatan segera.

Cara Mengelakkan Hidung Berdarah Semula

hidung kerap berdarah rawatan

1. Minum Air Suam

Untuk mengelakkan kejadian hidung berulang, anda perlu memastikan tubuh sentiasa terhidrat dengan banyak minum air suam.

Penghidratan yang mencukupi membantu membran mukosa dalam hidung kekal lembap dan tidak mudah mengalami keretakan yang boleh mencetuskan pendarahan.

2. Jangan Hembus Hidung Terlalu Kuat

Selain itu, anda harus mengelakkan daripada menghembus hidung terlalu kuat, terutamanya selepas mengalami pendarahan.

Menghembus dengan terlalu kuat boleh menyebabkan saluran darah yang baru pulih kembali pecah. Ini lebih berisiko apabila seseorang bersin dengan kuat kerana tekanan yang tinggi boleh mencederakan dinding dalam hidung yang masih lemah.

3. Jangan Korek Hidung Dengan Kuat

Sekiranya hidung terasa kering dan berkerak, jangan sesekali cuba mengorek hidung dengan kuku yang tajam atau secara agresif.

Perbuatan ini boleh menyebabkan luka dan mencetuskan pendarahan. Sebaiknya, gunakan pelembap seperti minyak bayi atau semburan air garam untuk membersihkan rongga hidung dengan lembut dan mengurangkan risiko kecederaan pada bahagian dalam hidung.

4. Menggunakan Pelembap Udara

Menggunakan pelembap udara (humidifier) dalam bilik juga merupakan langkah yang baik untuk mengekalkan kelembapan yang mencukupi, terutama jika berada dalam persekitaran berhawa dingin atau kawasan dengan udara yang terlalu kering.

Kelembapan yang cukup membantu mengelakkan mukosa hidung daripada menjadi terlalu kering dan mudah luka.

5. Elak Menggunakan Ubat-Ubatan Tertentu

Seseorang yang kerap mengalami pendarahan hidung juga dinasihatkan untuk mengelakkan penggunaan ubat pencair darah atau ubat anti-radang seperti aspirin, warfarin, atau NSAIDs tanpa nasihat doktor.

Ubat-ubatan ini boleh mengganggu proses pembekuan darah dan menjadikan hidung lebih mudah berdarah. Jika pendarahan kerap berlaku, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang sesuai.

6. Pastikan Hidung Sentiasa Lembap

Selain itu, memastikan hidung sentiasa lembap adalah penting bagi mengurangkan risiko luka dalam hidung. Semburan air garam boleh digunakan untuk melembapkan rongga hidung dan menghilangkan kerak yang boleh menyebabkan pendarahan jika dikorek.

Petroleum jelly juga boleh disapu pada bahagian dalam hidung untuk mengekalkan kelembapan, terutamanya bagi individu yang sering mengalami hidung kering.

7. Amalkan Gaya Hidup Sihat

Dari segi pemakanan, seseorang boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan yang kaya dengan vitamin K dan C, yang berperanan dalam membantu pembekuan darah dan menguatkan salur darah.

Vitamin K boleh diperoleh daripada sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam dan brokoli, manakala vitamin C boleh didapati dalam buah-buahan seperti oren, kiwi, dan strawberi.

Bila Perlu Berjumpa Doktor

hidung kerap berdarah jumpa doktor

Walaupun kebanyakan kes hidung berdarah tidak serius, terdapat beberapa situasi di mana rawatan perubatan perlu segera diperoleh:

  • Pendarahan tidak berhenti selepas 20 minit walaupun langkah pertolongan cemas telah dilakukan.
  • Hidung berdarah disertai dengan gejala lain seperti lebam yang tidak diketahui puncanya, keletihan melampau, atau kehilangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan.
  • Terdapat pendarahan dari bahagian lain badan, seperti gusi atau air kencing, yang menunjukkan kemungkinan masalah pembekuan darah.
  • Hidung berdarah berlaku dengan kerap tanpa sebab yang jelas.
  • Pendarahan berlaku selepas kecederaan kepala atau hidung.

Jika terdapat tanda-tanda ini, pemeriksaan lanjut oleh doktor diperlukan untuk mengenal pasti punca sebenar dan mendapatkan rawatan yang sesuai.

Kesimpulan

Kesimpulannya, hidung kerap berdarah boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk persekitaran, tabiat harian, serta masalah kesihatan yang lebih serius.

Sekiranya hidung berdarah berlaku terlalu kerap atau sukar dihentikan, adalah penting untuk mendapatkan nasihat perubatan bagi mengenal pasti punca sebenar dan merancang rawatan yang sesuai.

Dengan pemahaman yang lebih baik mengenai punca hidung berdarah serta langkah pencegahan yang boleh diambil, individu dapat mengurangkan risiko epistaksis dan menjalani kehidupan dengan lebih selesa serta sihat.

Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah hidung berdarah di sini:

Similar Posts

Leave a Reply