12 Cara Merawat Hidung Berdarah Secara Efektif
Bagaimanakah cara merawat hidung berdarah yang boleh anda lakukan?
Hidung berdarah, atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai epistaksis, adalah satu keadaan yang sering membuat ramai orang cemas. Bayangkan anda sedang berehat atau bekerja, tiba-tiba darah mengalir keluar dari hidung dengan tiba-tiba.
Meskipun ia mungkin kelihatan serius, kebanyakkan kes hidung berdarah adalah masalah biasa dan tidak membahayakan. Selalunya ia berpunca daripada udara yang terlalu kering, tabiat menghembus hidung dengan terlalu kuat, atau kecederaan kecil pada hidung.
Namun, dengan pengetahuan yang betul, situasi ini dapat diatasi dengan tenang dan berkesan. Dalam artikel ini, kami akan berkongsi dengan anda tentang 12 cara merawat hidung berdarah yang boleh dilakukan sama ada di rawatan sendiri di rumah atau dengan keahlian perubatan.
1. Picit Hidung dan Tundukkan Kepala Ke Depan
Langkah pertama yang paling berkesan sebagai cara merawat hidung berdarah adalah dengan memicit hidung dengan ibu jari dan jari telunjuk. Ini perlu dilakukan dengan penuh cermat untuk memastikan tekanan diberikan tepat pada saluran darah yang sedang berdarah, membantu ia membeku dengan lebih cepat.
Ketika memicit hidung, pastikan anda berada dalam posisi duduk. Kemudian, tegakkan badan dan tundukkan kepala ke depan secara membongkok. Cara ini penting untuk mengelakkan darah dari mengalir semula ke belakang tekak.
Jika kepala didonggakkan, darah mungkin akan tertelan, menyebabkan ketidakselesaan atau iritasi pada perut. Pastikan anda picit bahagian bawah hidung dengan lembut selama 20-30 minit tanpa henti walaupun untuk memeriksa keadaan hidung.
Selepas pendarahan berhenti, elakkan daripada menghembus atau mengorek hidung kerana ia boleh mengganggu lagi pembekuan darah yang telah terbentuk.
2. Terapi Sejuk
Berdasarkan kajian oleh Clinical Otolaryngology & Allied Sciences, menggunakan terapi sejuk merupakan kaedah yang mudah tetapi sangat berkesan untuk menghentikan hidung berdarah. Suhu sejuk membantu mengecutkan saluran darah, memperlahankan aliran darah, dan seterusnya mempercepatkan pembekuan.
Caranya, balut pek ais atau kain yang telah direndam dalam air sejuk dengan tuala, dan letakkan di bahagian tulang hidung selama 10 hingga 15 minit. Langkah ini perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana ais tidak boleh diletakkan terus pada kulit kerana ia boleh menyebabkan kulit membeku (forstbite).
Semasa menggunakan terapi sejuk, pastikan anda tetap dalam posisi duduk tegak dengan kepala condong ke depan untuk mengelakkan darah daripada mengalir semula ke tekak.
3. Kekalkan Kelembapan Udara
Udara yang kering, terutama pada musim sejuk atau di bilik berhawa dingin, adalah salah satu penyebab utama hidung berdarah. Ini kerana udara kering boleh menyebabkan lapisan dalam hidung menjadi kering dan terluka sehingga berlaku pendarahan.
Sebagai cara merawat hidung berdarah yang tepat, anda boleh gunakan pelembap udara (humidifier) di rumah, terutama di bilik tidur bagi mengekalkan kelembapan udara di ruangan tersebut. Jika anda tidak mempunyai pelembap udara, alternatifnya adalah dengan meletakkan bekas berisi air berhampiran pemanas atau alat pemanas udara.
Anda boleh juga sapukan sedikit jeli petroleum di bahagian dalam lubang hidung untuk memastikan kawasan tersebut kekal lembap sepanjang hari.
4. Penggunaan Nasal Spray
Nasal spray atau semburan hidung adalah sejenis ubat atau larutan yang disembur terus ke dalam hidung. Terdapat tiga jenis nasal spray iaitu dekongestan (jenis berubat), kortikosteroid (jenis berubat), dan saline spray (tidak mengandungi ubat).
Penggunaan nasal spray membantu mengekalkan kelembapan saluran hidung dan menghalang kekeringan yang boleh menyebabkan pendarahan. Anda boleh mendapatkan nasal spray ini di farmasi atau membuatnya sendiri dengan mencampurkan 1/4 sudu teh garam ke dalam 8 auns air suling.
Gunakan semburan ini dua hingga tiga kali sehari, terutama ketika musim kering atau apabila anda sering terdedah kepada penghawa dingin.
Berbanding semburan hidung jenis berubat, semburan salin tidak menyebabkan iritasi dan sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk bayi.
5. Sapukan Jeli Petroleum
Menurut American Family Physician, menggunakan jeli petroleum untuk melembapkan bahagian dalam hidung adalah salah satu cara merawat hidung berdarah yang paling mudah dan praktikal boleh anda lakukan di rumah.
Sapukan sedikit jeli petroleum menggunakan kapas bersih atau jari yang bersih ke bahagian dalam lubang hidung. Lakukan langkah ini secara berkala, terutamanya sebelum tidur atau apabila anda berada dalam persekitaran yang kering untuk jangka masa yang panjang.
Walaupun berkesan, anda perlu berhati-hati agar tidak menyedut jeli petroleum secara tidak sengaja, kerana ini boleh menyebabkan komplikasi seperti radang paru-paru lipoid.
6. Pastikan Badan Terhidrat
Cara merawat hidung berdarah yang seterusnya adalah memastikan badan kekal terhidrat. Memastikan badan sentiasa terhidrat adalah penting untuk mencegah hidung berdarah. Apabila badan mendapat jumlah air yang mencukupi, selaput lendir dalam hidung akan kekal lembap dan risiko pendarahan akibat cuaca yang kering dapat dikurangkan.
Kajian dari Academy of Nutrition and Dietetics menunjukkan bahawa, setiap orang berbeza-beza dari segi kuantiti air yang diperlukan untuk tubuh mereka. Antara faktor yang dikaitkan adalah lokasi tempat tinggal (kawasan yang panas, lembap atau kering), diet pemakanan harian, suhu tahunan, persekitaran, tahap kesihatan, dan tahap kecergasan diri anda.
Namun begitu, menurut kajian oleh The U.S. National Academies of Sciences, lelaki memerlukan sekitar 15.5 cawan air (3.7 liter) manakala wanita memerlukan 11.5 cawan (2.7 liter) air setiap hari. Namun, pengambilan ini juga termasuk air dari makanan dan minuman lain.
Anda juga boleh menambah pengambilan buah-buahan seperti tembikai, oren, atau timun yang kaya dengan kandungan air untuk meningkatkan hidrasi badan.
7. Elakkan Mengorek atau Menghembus Hidung Terlalu Kuat
Tabiat mengorek atau menghembuskan hidung denga kuat boleh mencederakan saluran darah halus di dalam hidung, menyebabkan pendarahan.
Sekiranya hidung terasa tersumbat, gunakan nasal spray untuk melonggarkan lendir, bukannya menghembus terlalu kuat. Jika terdapat kerak darah dari pendarahan sebelumnya, elakkan daripada mengusiknya, kerana ini boleh membuka semula luka dan menyebabkan hidung berdarah lagi.
8. Tinggikan Kepala Semasa Tidur
Tidur dengan kepala yang lebih tinggi juga boleh dijadikan sebagai cara merawat hidung berdarah terutama bagi individu yang sering mengalaminya akibat alahan atau tekanan sinus.
Anda boleh gunakan bantal tambahan untuk mengekalkan posisi kepala yang lebih tinggi daripada badan. Dengan cara ini, darah tidak akan terkumpul di saluran hidung, sekali gus mengurangkan risiko berlaku pendarahan.
Cara ini juga bermanfaat untuk mengurangkan tekanan sinus dan membantu anda bernafas dengan lebih selesa dan tenang semasa tidur.
9. Menggunakan Cuka Epal
Menurut Health Care Physician, cuka epal adalah bahan semula jadi yang mengandungi asid asetik, yang bertindak sebagai astringen untuk mengecutkan saluran darah dan membantu menghentikan pendarahan dengan lebih cepat.
Untuk menggunakan kaedah ini, celupkan kapas ke dalam sedikit cuka epal (sebaiknya cuka epal organik). Kapas tersebut kemudian ditekan perlahan-lahan pada bahagian lubang hidung yang berdarah dan dibiarkan selama beberapa minit. Asid dalam cuka epal dikatakan dapat membantu mempercepatkan proses pembekuan darah serta mengurangkan pendarahan.
Namun begitu, walaupun cuka epal mempunyai sifat antibakteria yang boleh mengurangkan risiko jangkitan, penggunaannya tetap perlu dilakukan dengan berhati-hati. Oleh kerana sifatnya yang asidik, ia boleh menyebabkan sedikit iritasi pada kulit sensitif di dalam hidung, terutama jika digunakan dalam kuantiti berlebihan atau pada luka terbuka yang besar.
10. Amalkan Pemakanan Kaya Vitamin C dan K
Vitamin C berperanan penting dalam menguatkan dinding saluran darah, manakala vitamin K diperlukan untuk pembekuan darah yang normal.
Masukkan makanan seperti oren, strawberi, kubis, dan bayam ke dalam diet harian anda untuk memastikan badan mendapat nutrien yang mencukupi. Pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin ini bukan sahaja membanti mencegah hidung berdarah, tetapi juga meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.
11. Pembedahan
Pembedahan untuk merawat hidung berdarah dilakukan jika rawatan biasa gagal. Cauterization adalah pembedahan menggunakan elektrik atau laser untuk menutup saluran darah yang pecah.
Ligasi vaskular pula melibatkan pengikatan arteri utama seperti arteri sphenopalatine untuk mengurangkan aliran darah ke kawasan hidung yang sering berdarah. Anda juga boleh melakukan embolization arteri iaitu teknik menyumbat saluran darah menggunakan bahas khas melalui kateter, sesuai untuk kes pendarahan serius.
Walaupun berkesan, prosedur ini mempunyai risiko seperti jangkitan dan kekeringan hidung, jadi ia hanya dipertimbangkan jika rawatan lain tidak berjaya. Dalam masa yang sama, pesakit juga perlu menjaga kebersihan hidung dan mengelakkan faktor pencetus selepas pembedahan.
12. Dapatkan Rawatan Perubatan Jika Pendarahan Berterusan
Walaupun hidung berdarah dianggap sebagai gangguan yang tidak berbahaya dan jarang memerlukan rawatan kecemasan. Namun terdapat beberapa situasi di mana hidung berdarah memerlukan perhatian perubatan segera.
Antaranya ialah apabila pendarahan tidak berhenti dalam tempoh 30 minit, menunjukkan kemungkinan masalah pembekuan darah atau kecederaan serius pada saluran darah.
Selain itu, jika pendarahan berlaku dengan sangat teruk, seperti darah mengalir keluar dari hidung dan masuk ke dalam belakang tekak, ia boleh menyebabkan kesukaran bernafas atau risiko kehilangan darah yang banyak. Keadaan ini memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan komplikasi lebih serius.
Kesimpulan
Kesimpulannya, hidung berdarah mungkin memberi pengalaman panik kepada setiap orang, namun dengan mengamalkan cara merawat hidung berdarah yang berkesan, anda boleh menghentikan atau mencegah hidung berdarah dengan berkesan dan selamat di rumah.
Jika pendarahan berlaku secara kerap, terlalu banyak, disertai dengan gejala lain seperti pening atau keletihan, atau berlanjutan lebih daripada 20 minit, anda disarankan untuk berjumpa dengan profesional perubatan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Dengan persediaan dan langkah pencegahan yang betul, anda bukan sahaja dapat mengawal keadaan ini dengan mudah, malah hidup dengan lebih yakin tanpa rasa bimbang.
Berikut adalah cara merawat hidung berdarah yang perlu anda tahu:
- Picit Hidung dan Tundukkan Kepala Ke Depan
- Terapi Sejuk
- Kekalkan Kelembapan Udara
- Penggunaan Nasal Spray
- Sapukan Jeli Petroleum
- Pastikan Badan Terhidrat
- Elakkan Mengorek atau Menghembus Hidung Terlalu Kuat
- Tinggikan Kepala Semasa Tidur
- Menggunakan Cuka Epal
- Amalkan Pemakanan Kaya Vitamin C dan K
- Pembedahan
- Dapatkan Rawatan Perubatan Jika Pendarahan Berterusan
Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah hidung berdarah di sini: