20 Cara Hilangkan Sakit Perut Yang Mencucuk Dengan Cepat
Apakah cara hilangkan sakit perut secara semula jadi dengan menggunakan bahan-bahan di rumah?
Sakit perut, yang juga dikenali sebagai sakit abdomen, sakit bahagian perut, atau pedih perut, merujuk kepada rasa tidak selesa yang dialami antara bahagian dada dan pangkal paha. Sakit ini boleh berlaku dengan tahap keterukan yang berbeza-beza dan melibatkan pelbagai bahagian abdomen seperti perut, apendiks, hati, usus, dan sebagainya.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi mengenai 20 cara hilangkan sakit perut yang berkesan untuk anda amalkan di rumah.
1. Minum Air Halia

Halia dikenali sejak turun-temurun sebagai ramuan herba yang mempunyai sifat anti-radang dan membantu merangsang sistem penghadaman.
Menurut National Center for Complementary and Integrative Health, ia mengandungi sebatian aktif seperti gingerol dan shogaol yang bersifat anti-radang dan antispasmodik, membantu meredakan kekejangan otot perut serta mengurangkan rasa loya atau ketidakselesaan dalam perut.
Selain itu, air halia juga boleh membantu melancarkan pengeluaran gas yang terperangkap dalam usus, sekali gus melegakan perut kembung dan senak.
Cara penyediaannya, mudah sahaja. Hiriskan beberapa keping halia segar, rebus dalam air selama 5 hingga 10 minit, dan minum ketika suam. Tambahkan sedikit madu jika mahu rasa lebih sedap. Minumlah ketika masih hangat untuk melegakan perut dengan lebih cepat.
2. Minum Cuka Epal

Cuka epal mengandungi enzim semula jadi serta asid asetik yang mampu meningkatkan keasidan dalam perut, membantu proses pemecahan makanan, dan mengurangkan rasa tidak selesa akibat makanan tidak hadam.
Selain itu, menurut Canadian Digestive Health Foundation, ia turut berfungsi sebagai agen antibakteria semula jadi yang boleh membantu membunuh bakteria penyebab jangkitan perut ringan. Untuk meredakan sakit perut, campurkan satu sudu besar cuka epal ke dalam segelas air suam, dan boleh ditambah sedikit madu untuk mengurangkan rasa masam.
Minum perlahan-lahan untuk memberi kesan lega pada perut. Namun, pengambilan cuka epal perlu dilakukan dengan berhati-hati dan tidak berlebihan agar tidak mengganggu keseimbangan asid dalam badan.
3. Air Lemon Suam
Cara hilangkan sakit perut seterusnya adalah dengan minum air lemon suam. Lemon mengandungi asid sitrik yang boleh merangsang pengeluaran asid gastrik dan hempedu, sekaligus membantu sistem penghadaman berfungsi dengan lebih lancar.
Apabila diminum dalam keadaan suam, air lemon juga membantu melonggarkan angin yang tersekat dalam perut dan meredakan kembung serta rasa senak. Berdasarkan kajian oleh European Journal of Nutrition, kandungan antioksidan dan vitamin C dalam lemon turut memberi kesan menenangkan kepada perut yang meragam, terutamanya jika sakit perut disebabkan oleh pemakanan yang tidak seimbang.
Apa yang anda perlu buat, mudah sahaja. Hanya perahkan setengah biji lemon ke dalam segelas air suam dan minum perlahan-lahan. Ia bukan sahaja membantu melegakan sakit perut, tetapi juga menyegarkan tubuh dan menyokong kesihatan sistem dalaman secara menyeluruh.
4. Guna Pad Pemanas

Menggunakan pad pemanas di bahagian perut adalah satu cara hilangkan sakit perut yang berkesan, terutama jika disebabkan oleh kekejangan otot, angin atau sengugut.
Haba daripada pad pemanas membantu meningkatkan aliran darah ke kawasan yang sakit, sekaligus melegakan ketegangan otot dan mengurangkan rasa tidak selesa. Selain itu, haba juga merangsang reseptor panas dalam badan yang boleh ‘mengganggu’ isyarat sakit dari sampai ke otak, menjadikan kita berasa lebih lega.
Untuk menggunakan pad pemanas, anda hanya perlu letakkan pad tersebut pada bahagian perut selama 15 hingga 20 minit sambil berehat. Kaedah ini sangat sesuai untuk digunakan ketika malam atau semasa berbaring, dan ia memberikan kelegaan cepat tanpa perlu mengambil ubat.
5. Amalkan Diet BRAT

Menurut National Center for Biotechnology Information, diet BRAT merupakan salah satu cara hilangkan sakit perut yang disarankan, terutamanya jika ia berpunca daripada cirit-birit atau ketidakstabilan sistem penghadaman.
BRAT adalah singkatan kepada empat jenis makanan yang lembut dan mudah dihadam iaitu Banana (pisang), Rice (nasi putih), Applesauce (purée epal), dan Toast (roti bakar kosong).
Diet ini membantu memberi “rehat” kepada sistem penghadaman kerana ia tidak merangsang pengeluaran asid gastrik secara berlebihan dan tidak mengandungi serat atau lemak yang tinggi. Pisang kaya dengan kalium yang dapat menggantikan elektrolit yang hilang ketika cirit-birit, nasi dan roti memberikan tenaga melalui karbohidrat ringkas, manakala purée epal membekalkan pektin yang membantu memadatkan najis.
Amalan diet BRAT sesuai dilakukan secara sementara hingga sistem perut kembali pulih, menjadikannya kaedah yang selamat dan lembut untuk melegakan ketidakselesaan perut secara semula jadi.
6. Minum Teh Pudina
Pudina mengandungi mentol, iaitu sejenis sebatian semula jadi yang membantu merehatkan otot licin dalam saluran penghadaman, sekaligus mengurangkan kekejangan perut, kembung dan rasa loya.
Selain itu, teh pudina juga berfungsi sebagai agen karminatif yang membantu mengeluarkan gas berlebihan dari perut, menjadikannya sangat berkesan untuk mereka yang mengalami angin atau perut berangin.
Menambah beberapa helai daun pudina segar atau uncang teh pudina ke dalam air panas dan meminumnya ketika suam mampu memberi kelegaan segera serta membantu sistem penghadaman berfungsi lebih lancar.
Aromanya yang menyegarkan turut memberi kesan menenangkan kepada tubuh dan minda, menjadikan teh pudina pilihan terbaik ketika mengalami ketidakselesaan perut.
7. Latihan Tarik Nafas

Latihan tarik nafas dalam, khususnya teknik pernafasan diafragma (diaphragmatic breathing), merupakan cara hilangkan sakit perut yang berkesan. Kaedah ini melibatkan pernafasan ke dalam perut berbanding ke dada, yang membantu mengaktifkan otot diafragma, otot besar berbentuk kubah yang terletak di bawah paru-paru.
Apabila kita fokus bernafas ke dalam diafragma, otot ini akan bergerak dan mengurut kawasan seluruh penghadaman seperti usus dan perut secara lembut. Ini membantu melancarkan pergerakan usus dan melegakan kekejangan, kembung, sembelit, serta rasa tidak selesa di perut.
Pernafasan diafragma juga mengaktifkan sistem saraf parasimpatetik yang merangsang tindak balas relaksasi badan, sekaligus menenangkan sistem penghadaman.
Untuk mencuba teknik ini, letakkan satu tangan di dada dan satu lagi di abdomen. Tarik nafas perlahan melalui hidung selama empat saat sambil rasakan perut naik, tahan nafas selama dua saat, kemudian hembus perlahan melalui mulut selama enam saat. Ulangi selama beberapa minit untuk kelegaan optimum.
8. Minum Teh Chamomile
Chamomile mengandungi sebatian aktif seperti apigenin yang bersifat anti-radang, antispasmodik, dan menenangkan, menjadikannya sesuai untuk meredakan ketegangan otot dalam sistem penghadaman serta mengurangkan rasa tidak selesa seperti kembung dan loya.
Bukan itu sahaja, chamomile turut membantu menenangkan sistem saraf, yang secara tidak langsung boleh mengurangkan simptom sakit perut berkaitan tekanan emosi atau gangguan tidur.
Caranya mudah sahaja, hanya rendam uncang teh chamomile atau bunga chamomile kering dalam air panas selama 5 hingga 10 minit, dan minum perlahan-lahan ketika masih suam.
9. Minum Air Beras
Kajian oleh National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, air beras mengandungi pati semula jadi dan zat karbohidrat yang mudah dihadam, yang berfungsi melapisi dinding perut dan usus, sekali gus memberi perlindungan serta mengurangkan keradangan.
Ia membantu mengekalkan hidrasi tubuh dan membekalkan tenaga ringan kepada mereka yang kehilangan banyak cecair akibat muntah atau cirit-birit.
Untuk penyediaan, rebus satu cawan beras bersama dua hingga tiga cawan air, dan tapis air rebusan apabila nasi hampir masak. Biarkan ia suam sebelum diminum. Rasanya yang lembut dan sifatnya yang tidak merangsang pengeluaran asid perut menjadikan air beras sebagai pilihan semula jadi yang selamat dan menyenangkan untuk melegakan perut yang tidak selesa.
10. Minum Air Putih
Air membantu melancarkan pergerakan usus dan memastikan sistem penghadaman berfungsi dengan baik, sekaligus mengurangkan rasa tidak selesa di perut. Ia juga membantu menyingkirkan toksin dari badan dan mengekalkan keseimbangan cecair yang penting untuk kesihatan usus.
Ketika sakit perut, tubuh mudah kehilangan air terutamanya jika disertai dengan muntah atau cirit-birit, dan minum air putih secara kerap boleh membantu menggantikan cecair yang hilang.
11. Elakkan Berbaring

Elak berbaring selepas makan atau semasa mengalami sakit perut adalah salah satu cara hilangkan sakit perut. Ini kerana berbaring boleh menyebabkan asid perut naik semula ke esofagus, terutama bagi mereka yang mengalami masalah refluks asid atau peduh ulu hati, sekali gus memburukkan lagi keadaan.
Dengan kekal duduk tegak atau berjalan perlahan selepas makan, sistem penghadaman dapat berfungsi dengan lebih baik kerana graviti membantu makanan dan asid bergerak ke arah yang betul dalam saluran penghadaman.
Bukan itu sahaha,malah mengelakkan posisi berbaring dapat mengurangkan tekanan pada perut dan mencegah pengumpulan gas yang boleh menyebabkan kembung dan rasa senak.
12. Elak Dari Ambil Makanan Yang Pedas

Menghindarkan diri dari makan makanan yang pedas juga berkesan sebagai cara hilangkan sakit perut.
Makanan pedas mengandungi capsaicin, sebatian yang boleh merangsang lapisan perut dan meningkatkan pengeluaran asid gastrik, yang akhirnya menyebabkan rasa pedih, senak, atau perut memulas.
Dalam kajian oleh World Journal of Gastroenterology, makanan pedas boleh mencetuskan cirit-birit atau pergerakan usus yang tidak menentu, sekali gus memburukkan keadaan perut yang sudah sedia tidak selesa.
Dengan mengelakkan makanan seperti sambal, cili, kari pedas dan makanan berempah tinggi, sistem penghadaman dapat ‘berehat’ dan pulih dengan lebih cepat. Sebaliknya, pilihlah makanan yang lebih ringan dan mudah dihadam seperti sup jernih, bubur atau nasi putih untuk membantu menenangkan perut yang bermasalah.
13. Makan Makanan yang Kaya dengan Potassium

Potassium ialah mineral penting yang berfungsi mengekalkan keseimbangan elektrolit dalam tubuh dan menyokong fungsi otot serta saraf dengan baik.
Apabila badan kehilangan banyak cecair akibat muntah atau cirit-birit, tahap potassium boleh menurun, menyebabkan otot menjadi mudah kejang dan perut berasa tidak selesa.
Dengan mengamalkan makanan yang tinggi potassium seperti pisang, kentang rebus, bayam, avokado dan yogurt rendah lemak, ia dapat membantu memulihkan keseimbangan mineral dalam badan, mengurangkan kekejangan dan mempercepatkan pemulihan sistem penghadaman.
14. Aspragus

Asparagus merupakan sayuran yang kaya dengan nutrien dan boleh dijadikan sebagai cara hilangkan sakit perut secara semula jadi. Ia mengandungi serat larut dan tidak larut yang menyokong sistem penghadaman dengan melancarkan pergerakan usus serta mencegah sembelit.
Kajian dalam National Center for Biotechnology Information menyatakan bahawa, aspragus kaya dengan inulin, sejenis prebiotik semula jadi yang membantu merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam usus, sekaligus meningkatkan kesihatan usus dan mengurangkan keradangan.
Kandungan airnya yang tinggi turut membantu mengekalkan hidrasi dalam badan, manakala sifat diuretik lembutnya membantu membuang lebihan garam dan cecair yang boleh menyebabkan kembung.
15. Berjalan Kaki
Aktiviti fizikal ringan ini membantu merangsang pergerakan otot usus, sekaligus melancarkan proses pencernaan dan menggalakkan pengeluaran gas dari perut.
Berjalan kaki juga boleh mengurangkan tekanan pada perut selepas makan dan mencegah asid perut daripada naik ke esofagus, yang sering berlaku jika terus berbaring. Ia turut merangsang sistem saraf parasimpatetik yang menyokong tindak balas relaksasi dalam tubuh, memberi kesan menenangkan pada sistem penghadaman.
Cukup dengan berjalan santai selama 10 hingga 15 minit selepas makan atau semasa perut terasa tidak selesa, anda sudah boleh merasakan kelegaan secara perlahan dan semula jadi tanpa memerlukan ubat.
16. Tambahkan Serat dalam Diet
Serat membantu meningkatkan pergerakan usus dengan menambahkan isipadu dan kelembutan pada najis, menjadikannya lebih mudah untuk dikumuhkan tanpa perlu meneran yang boleh menyebabkan ketidakselesaan.
Selain itu, serat juga berperanan sebagai makanan kepada bakteria baik dalam usus, yang membantu mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus dan mengurangkan risiko radang serta kembung.
Sumber serat yang baik termasuk buah-buahan segar seperti epal dan betik, sayur-sayuran hijau, bijirin penuh, oat, dan kekacang. Dengan pengambilan serat secara konsisten dan disertai dengan air yang mencukupi, sistem penghadaman dapat berfungsi dengan lebih lancar, sekaligus mengurangkan masalah sakit perut secara semula jadi dan berkesan.
17. Lakukan Urutan Lembut Pada Perut

Urutan ringan dengan gerakan membulat mengikut arah lawan jam dapat merangsang peredaran darah dan membantu menggerakkan gas atau sisa makanan yang tersekat dalam saluran penghadaman.
Ini sekaligus membantu melegakan tekanan dan ketegangan otot pada perut, serta mengurangkan rasa memulas atau kejang. Selain itu, sentuhan lembut ketika mengurut juga memberi kesan menenangkan kepada sistem saraf, yang tidak langsung dapat mengurangkan ketidakselesaan yang berpunca daripada stres atau keresahan.
Anda boleh cuba urut dengan tangan yang hangat, menggunakan minyak aromaterapi seperti minyak pudina atau halia untuk kesan tambahan.
18. Makan Jintan Hitam
Cara hilangkan sakit perut secara tradisional yang lain boleh anda amalkan adalah dengan makan jintan hitam.
Jintan hitam, atau lebih dikenali sebagai habbatus sauda, mengandungi sebatian aktif seperti thymoquinone yang bersifat anti-radang, antioksidan dan antimikrob.
Khasiat ini membantu menenangkan otot perut yang tegang, mengurangkan pembentukan gas dalam usus, dan mempercepatkan proses pencernaan. Ia juga membantu menyeimbangkan flora usus dan menguatkan sistem imun, yang penting dalam mencegah gangguan pencernaan berulang.
Untuk menggunakannya, jintan hitam boleh dikunyah terus, dicampur dalam makanan, atau diambil dalam bentuk kapsul atau minyak.
19. Minum Soda Bikarbonat
Soda bikarbonat bersifat alkali dan berfungsi meneutralkan asid gastrik dalam perut, sekaligus mengurangkan rasa pedih ulu hati dan ketidakselesaan akibat refluks asid.
Selain itu, larutan ini juga membantu melepaskan gas yang terperangkap dalam perut, menjadikan ia sangat berguna untuk melegakan perut kembung atau rasa penuh selepas makan.
Untuk menyediakannya, anda hanya perlu larutkan setengah sudu teh soda bikarbonat ke dalam segelas air suam dan minum perlahan-lahan.
Namun, menurut Experimental and Therapeutic Medicine, penggunaannya harus dikawal dan tidak diamalkan terlalu kerap kerana pengambilan berlebihan boleh mengganggu keseimbangan elektrolit dalam badan.
20. Makan Makanan yang Kaya Probiotik
Cara hilangkan sakit perut yang terakhir adalah makan makanan yang kaya dengan probiotik.
Probiotik ialah bakteria baik yang menyokong kesihatan sistem penghadaman dengan mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus, meningkatkan fungsi usus, serta membantu melawan pertumbuhan bakteria berbahaya yang boleh menyebabkan cirit-birit, kembung atau kekejangan perut.
Antara sumber probiotik semula jadi yang baik termasuk yogurt asli, kefir, tempeh, kimchi, sauerkraut, dan minuman kombucha.
Kesimpulan
Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara hilangkan sakit perut di rumah. Majoriti kaedah yang disebutkan di atas adalah pemulihan dari segi pemakanan dan diet harian yang anda ambil.
Namun begitu, jika simptom berterusan atau semakin teruk, penggunaan ubat tanpa preskripsi atau mendapatkan rawatan daripada profesional kesihatan adalah langkah yang bijak.
Berikut adalah cara hilangkan sakit perut yang boleh anda cuba di rumah:
- Minum Air Halia
- Minum Cuka Epal
- Air Lemon Suam
- Guna Pad Pemanas
- Amalkan Diet BRAT
- Minum Teh Pudina
- Latihan Tarik Nafas
- Minum Teh Chamomile
- Minum Air Beras
- Minum Air Putih
- Elakkan Berbaring
- Elak Dari Ambil Makanan Yang Pedas
- Makan Makanan yang Kaya dengan Potassium
- Aspragus
- Berjalan Kaki
- Tambahkan Serat dalam Diet
- Lakukan Urutan Lembut Pada Perut
- Makan Jintan Hitam
- Minum Soda Bikarbonat
- Makan Makanan yang Kaya Probiotik
Anda juga boleh baca segala informasi tentang sakit perut di sini: