10 Cara Hilangkan Kencing Tak Lawas yang Berkesan
Cara hilangkan kencing tak lawas menjadi topik penting bagi ramai individu kerana masalah ini boleh menjejaskan keselesaan harian, keyakinan diri dan kualiti hidup.
Walaupun sering dianggap remeh atau berkaitan faktor usia, kencing tak lawas sebenarnya boleh dikawal dan dirawat melalui pelbagai kaedah yang berkesan.
Artikel ini menghuraikan 10 cara hilangkan kencing tak lawas yang berkesan, merangkumi perubahan gaya hidup, senaman, rawatan perubatan dan pilihan pembedahan bagi membantu mengawal simptom dengan lebih baik.
1. Minum Air Pada Jumlah dan Masa Yang Betul

Mengawal pengambilan cecair dengan cara yang betul penting untuk membantu mengurangkan masalah kencing tak lawas. Anda disarankan berbincang dengan profesional kelihatan sama ada perlu mengurangkan jumlah minuman pada waktu tertentu, namun jangan mengehadkan cecair sehingga menyebabkan dehidrasi.
Keperluan air setiap individu berbeza bergantung kepada tahap kesihatan. aktiviti harian, aktiviti harian, cuaca setempat dan ubat-ubatan yang diambil.
Untuk mengurangkan kerap ke tandas pada waktu malam, sesetengah individu mungkin dinasihatkan untuk berhenti minum cecair beberapa jam sebelum tidur, tetapi hanya jika disarankan oleh doktor.
Selain itu, hadkan pengambilan makanan dan minuman berkafein seperti kopi, teh, coklat, dan minuman berkarbonat kerana kafein boleh merangsang pundi kencing dan meningkatkan kebocoran air kencing.
Kajian dari National Center for Biotechnology Information juga mendapati bahawa, minuman beralkohol juga perlu dielakkan kerana ia meningkatkan penghasilan air kencing dalam badan.
2. Kekal Aktif Secara Fizikal

Walaupun anda mungkin berasa kurang selesa atau risau untuk bergerak aktif apabila mengalami kencing tak lawas, aktiviti fizikal yang dilakukan secara berkala sebenarnya sangat penting untuk mengawal berat badan dan mengekalkan kesihatan keseluruhan.
Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, berat badan berlebihan boleh memberi tekanan tambahan kepada pundi kencing dan otot pelvis, sekali gus memburukkan simptom kencing tak lawas.
Aktiviti ringan hingga sederhana seperti berjalan kaki, berenang, berbasikal dan menari membantu melancarkan peredaran darah, menguatkan otot, serta meningkatkan stamina tanpa memberi tekanan berlebihan kepada badan.
Jika anda bimbang tidak mempunyai tandas berdekatan semasa bersenam, pilih lokasi yang mudah diakses seperti pusat beli-belah, taman komuniti atau gimnasium tempatan yang mempunyai kemudahan tandas.
3. Kekalkan Berat Badan Sihat
Individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti lebih cenderung mengalami masalah kencing tak lawas kerana tekanan berlebihan pada pundi kencing dan otot lantai pelvis.
Kajian dari European Journal of Obstetrics & Gynecology and Reproductive Biology menunjukkan bahawa, apabila indeks jisim badan (BMI) meningkat, risiko kebocoran air kencing juga semakin tinggi. Selain kencing tak lawas, berat badan berlebihan turut meningkatkan risiko penyakit lain seperti diabetes yang boleh memburukkan fungsi saraf dan pundi kencing.
Penurunan berat badan terbukti membantu mengurangkan kekerapan kebocoran, manakala mengelakkan pertambahan berat badan pula boleh mencegah masalah ini daripada menjadi lebih teruk.
Jika anda tergolong dalam kategori berat badan berlebihan dan obesiti, berbincanglah dengan profesional kesihatan untuk mendapatkan panduan penurunan berat badan yang selamat dan sesuai dengan keadaan kesihatan anda.
4. Elakkan Sembelit
Sembelit merupakan salah satu faktor yang boleh memburukkan kesihatan saluran kencing dan seterusnya meningkatkan risiko kencing tak lawas. Apabila najis keras terkumpul di dalam usus, ia boleh memberi tekanan tambahan kepada pundi kencing dan mengganggu kawalan air kencing.
Oleh itu, langkah mencegah sembelit amat penting dalam usaha mengurangkan simptom kencing tak lawas. A
nda disarankan berbincang dengan profesional kesihatan mengenai keperluan minum cecair yang mencukupi serta pengambilan serat yang mencukupi daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh bagi melancarkan pergerakan usus.
Perlu juga diketahui bahawa sesetengah ubat yang digunakan untuk merawat kencing tak lawas, seperti antikolinergik, antidepresan trisiklik dan beta-3 agonis, boleh menyebabkan sembelit sebagai kesan sampingan.
5. Berhenti Merokok

Jika anda seorang perokok, dapatkan bantuan untuk berhenti merokok kerana menghentikan tabiat ini memberi manfaat pada semua peringkat umur.
Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, merokok meningkatkan risiko mengalami kencing tak lawas jenis stres kerana ia menyebabkan batuk kronik yang berpanjangan, seterusnya memberi tekanan berulang pada pundi kencing dan otot lantai pelvis.
Dengan mengurangkan atau menghentikan batuk akibat merokok, simptom kencing tak lawas berpotensi untuk bertambah baik.
6. Latih Pundi Kencing

Cara hilangkan kencing tak lawas yang berikutnya adalah dengan melatih pundi kencing anda membuang air kecil mengikut jadual yang teratur.
Melalui pendekatan ini, profesional kesihatan mungkin meminta anda merekodkan tabiat harian dalam diari pundi kencing, termasuk kekerapan ke tandas dan situasi berlakunya kebocoran, bagi membantu menetapkan jadual ke tandas yang sesuai, dikenali sebagai timed voiding.
Dengan berlatih pergi ke tandas pada waktu yang ditetapkan dan secara beransur-ansur memanjangkan tempoh antara satu lawatan ke tandas dengan lawatan seterusnua, pundi kencing dapat dilatih untuk menampung lebih banyak air kencing.
7. Lakukan Senaman Otot Lantai Pelvis

Otot lantai pelvis yang kuat membantu menahan air kencing dengan lebih baik berbanding otot yang lemah, justeru senaman otot lantai pelvis amat penting dalam mengawal kencing tak lawas.
Otot ini dikuatkan melalui senaman kegel, iaitu dengan menenangkan dan mengendurkan otot yang mengawal aliran air kencing.
Ia boleh membantu menguatkan otot teras badan yang merangkumi otot abdomen, belakang bawah dan lantai pelvis, sekali gus menyokong kedudukan pelvis yang selari dengan tulang belakang untuk postur dan keseimbangan yang lebih baik.
Kajian dari International Islamic University Malaysia, mendapati wanita yang menjalani latihan otot lantai pelvis mengalami kebocoran air kencing yang lebih sedikit setiap hari berbanding mereka yang tidak menjalani latihan ini.
Walau bagaimanapun, senaman kegel tidak sepatutnya dilakukan semasa sedang membuang air kecil kerana ia boleh mengganggu fungsi normal pundi kencing. Lelaki juga mendapat manfaat daripada senaman ini, terutamanya untuk mengurangkan masalah air kencing menitis selepas kencing.
8. Penggunaan Ubat-Ubatan
Cara hilangkan kencing tak lawas yang berikutnya adalah dengan menggunakan ubat-ubatan terutamanya jenis urgency incontinence yang melibatkan keinginan kuat dan tiba-tiba untuk membuang air kecil.
Dalam kes ini, profesional kesihatan boleh menetapkan ubat dalam bentuk pil, cecair atau tampalan untuk membantu merehatkan pundi kencing.
Menurut National Institute of Diabetes dan Digestive dan Kidney Diseases, antara ubat yang biasa digunakan ialah antikolinergik, beta-3 agonis dan antidepresan trisiklik, yang berfungsi mengurangkan pengecutan pundi kencing yang berlebihan serta meningkatkan keupayaan pundi kencing menyimpan air kencing.
Jika ubat-ubatan atau rawatan kendiri lain tidak memberikan kesan yang memuaskan, rawatan menggunakan botulinum toxin A atau Botox mungkin dipertimbangkan. Botox disuntik terus ke dalam pundi kencing untuk merehatkannya, sekali gus memberi lebih ruang untuk menyimpan air kencing dan mengurangkan risiko kebocoran.
Bagi lelaki yang mengalami kencing tak lawas dan mempunyai masalah pembesaran prostat, rawatan ubat mungkin berbeza dan disesuaikan mengikut punca.
Selain antikolinergik, doktor boleh menetapkan ubat seperti alpha-blocker untuk melonggarkan otot di sekitar prostat dan saluran kencing, 5-alpha reductase inhibitor untuk mengecilkan saiz prostat, serta phosphodiesterase-5 inhibitor yang turut membantu memperbaiki aliran kencing.
Semua rawatan ubat ini perlu diambil di bawah pemantauan profesional kesihatan bagi memastikan keberkesanan rawatan serta mengurangkan risiko kesan sampingan.
9. Peranti Perubatan

Selain perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan, penggunaan peranti perubatan juga boleh menjadi cara hilangkan kencing tak lawas, bergantung kepada jenis dan tahap masalah yang dialami.
1. Kateter
Kateter digunakan terutamanya bagi individu yang mengalami overflow incontinence, iaitu keadaan di mana pundi kencing tidak dapat dikonsongkan sepenuhnya.
Melalui kateter, air kencing dapat dikeluarkan terus dari pundi kencing bagi mengelakkan kebocoran berterusan. Profesional kesihatan akan mengajar cara penggunaan kateter yang betul dan selamat.
Kebersihan yang ketat sangat penting ketika menggunakan kateter kerana penggunaan yang tidak bersih boleh meningkatkan risiko jangkitan pundi kencing dan saluran kencing.
2. Pessari
Pessari ialah alat lembut daripada plastik yang dimasukkan ke dalam faraj dan biasanya digunakan oleh wanita yang mengalami kencing tak lawas jenis stres.
Peranti ini berfungsi dengan memberi tekanan kepada dinding faraj dan uretra berdekatan, sekali gus menyokong uretra supaya ia kekal tertutup ketika batuk, bersin atau bergerak.
3. Peranti Pakai Buang Seperti Tampon
Terdapat juga peranti moden berbentuk seperti tampon yang boleh dimasukkan ke dalam faraj sehingga 12 jam pada satu-satu masa.
Apabila dimasukkan, perantai ini akan mengembang dan menekan uretra ke atas, membantu mengurangkan kebocoran air kencing. Ia biasanya digunakan untuk kencing tak lawas jenis stres dan sesuai bagi wanita yang mahukan penyelesaian sementara tanpa rawatan jangka panjang.
4. Agen Pengisi
Rawatan menggunakan agaen pengisi melibatkan suntikan gel atau pes di sekitar sfinkter kencing bagi merawat kencing tak lawas jenis stres.
Suntikan ini akan menebalkan kawasan sekeliling uretra, menjadikan bukaan pundi kencing lebih tertutup.
Kesan ini membantu mengurangkan kebocoran air kencing, terutamanya ketika melakukan aktiviti yang memberi tekanan pada perut.
5. Rangsangan Saraf Elektrik
Jika perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan tidak berkesan, profesional kesihatan mungkin mencadangkan rangsangan saraf elektrik, terutamanya untuk urgency incontinence.
Kaedah ini menggunakan denyutan elektrik ringan untuk merangsang saraf yang mengawal pundi kencing dan otot sfinkter. Ransangan ini membantu mengubah refleks pundi, menjadikanya lebih terkawal dan mengurangkan keinginan mendesak untuk membuang air kecil.
10. Pembedahan
Cara hilangkan kencing tak lawas yang terakhir adalah secara pembedahan.
Pembedahan biasanya dipertimbangkan apabila rawatan lain seperti perubahan gaya hidup, senaman lantai pelvis, ubat-ubatan atau peranti perubatan tidak memberikan hasil yang memuaskan.
1. Pembedahan Sling
Pembedahan sling merupakan rawatan pembedahan yang paling biasa digunakan untuk merawat kencing tak lawas jenis stres, terutamanya dalam kalangan wanita.
Dalam prosedur ini, pakar bedah akan memasukkan satu jalur bahan melalui faraj dan meletakkannya di antara faraj dan uretra untuk menyokong uretra supaya kekal tertutup semasa tekanan seperti batuk, bersin atau mengangkat barang berat.
Bahan sling boleh dibuat daripada mesh sintetik atau cantuman biologi yang diambil daripada tisu manusia atau haiwan.
Walaupun cara hilangkan kencing tak lawas ini umumnya selamat dan berkesan, sesetengah pesakit mungkin mengalami komplikasi.
2. Sling untuk Lelaki
Bagi lelaki yang mengalami kencing tak lawas jenis stres, rawatan boleh dilakukan melalui prosedur male sling.
Dalam prosedur ini, mesh diletakkan di bawah uretra untuk mengangkat dan menyokong uretra serta otot sfinkter. Sokongan ini membantu mengurangkan kebocoran air kencing, terutamanya selepas pembedahan prostat atau apabila otot kawalan kencing menjadi lemah.
3. Sfinkter Tiruan
Sfinkter tiruan ialah peranti yang ditanam melalui pembedahan untuk membantu merawat kencing tak lawas jenis stres dalam kalangan lelaki.
Peranti ini berfungsi dengan mengekalkan uretra dalam keadaan tertutup dan hanya dibuka apabila pesakit ingin membuang air kecil.
Cara hilangkan kencing tak lawas ini membantu mengawal kebocoran air kencing dengan lebih berkesan bagi kes yang tidak sesuai dirawat dengan sling.
4. Pembedahan Membuang Halangan Saluran Kencing
Kencing tak lawas jenis overflow yang berpunca daripada halangan atau penyempitan uretra boleh dirawat melalui pembedahan untuk membuang halangan tersebut. Dalam kalangan lelaki, masalah ini sering berlaku akibat pembesaran prostat yang menyekat aliran air kencing.
Jika cara hilangkan kencing tak lawas lain tidak berkesan, doktor mungkin mencadangkan pembedahan termasuk prosedur invasif minimum untuk membuang tisu prostat yang membesar atau melebarkan uretra.
5. Pembesaran Pundi Kencing
Dalam kes tertentu, kencing tak lawas yang disebabkan oleh kerosakan saraf mungkin memerlukan pembedahan pembesaran pundi kencing.
Prosedur ini bertujuan meningkatkan saiz pundi kencing supaya ia mampu menyimpan lebih banyak air kencing dan mengurangkan kebocoran.
Walau bagaimanapun, pembedahan ini boleh menyebabkan pundi kencing menjadi lebih sukar untuk dikosongkan, dan sesetengah pesakit mungkin perlu menggunakan kateter secara berkala selepas prosedur.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kencing tak lawas bukanlah masalah yang perlu ditanggung secara berpanjangan tanpa rawatan.
Dengan mengenal pasti punca dan mengamalkan cara hilangkan kencing tak lawa yang sesuai, masalah ini boleh dikawal dan dikurangkan secara berkesan.
Rundingan bersama profesional kesihatan amat penting bagi menentukan rawatan terbaik agar kualiti hidup dapat ditingkatkan secara menyeluruh.
Berikut adalah antara cara hilangkan kencing tak lawas yang boleh anda lakukan:
- Minum Air Pada Jumlah dan Masa Yang Betul
- Kekal Aktif Secara Fizikal
- Kekalkan Berat Badan Sihat
- Elakkan Sembelit
- Berhenti Merokok
- Latih Pundi Kencing
- Lakukan Senaman Otot Lantai Pelvis
- Penggunaan Ubat-Ubatan
- Peranti Perubatan
- Pembedahan
Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah kencing tak lawas di sini:

