10 Cara Hilangkan Kejang Kaki Ketika Tidur Malam

Bagaimanakah cara hilangkan kejang kaki ketika tidur yang berkesan untuk meningkatkan kualiti tidur anda setiap hari?

Umumnya, kejang kaki ketika tidur malam adalah masalah biasa yang dialami oleh ramai orang, terutamanya golongan dewasa dan warga emas. Kajian oleh Journal of Foot and Ankle Research mendapati bahawa, ia berlaku secara tiba-tiba apabila otot kebiasaannya di betis atau peha menjadi tegang dan sakit, sehingga boleh membangunkan seseorang daripada tidur.

Kejang ini bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan, malah boleh mengganggu kualiti tidur dan memberi kesan kepada kesihatan harian. Meskipun kejang kaki selalunya tidak berbahaya, ia boleh menjadi tanda awal masalah lain seperti dehidrasi, kekurangan mineral, atau postur tidur yang tidak sesuai.

Justeru itu, artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda 10 cara hilangkan kejang kaki ketika tidur waktu malam agar tidur lebih lena dan tidak terganggu.

1. Tukar Posisi Tidur

cara hilangkan kejang kaki ketika tidur tukar posisi tidur

Salah satu cara hilangkan kejang kaki ketika tidur adalah dengan menukar posisi tidur. Kedudukan tidur yang tidak sesuai boleh menyebabkan otot betis dan kaki menjadi tegang, lalu mencetuskan kejang secara tiba-tiba semasa anda sedang lena.

Justeru, perubahan posisi tidur boleh memainkan peranan penting dalam pecegahan masalah ini:

  • Elakkan tidur dengan kaki menunjuk ke bawah (pointing downward). Posisi ini sering menyebabkan otot betis berada dalam keadaan memendek dan tegang, yang meningkatkan risiko kejang.
  • Jika tidur terlentang, cuba elakkan bantal di bawah lutut untuk menyokong posisi semula jadi kaki dan membantu melonggarkan otot betis.
  • Jika tidur meniarap, biarkan kaki tergantung sedikit di hujung katil, supaya jari kaki tidak menunjuk ke bawah secara semula jadi. Ini membantu mengekalkan kelonggaran pada otot betis.
  • Posisi tidur dengan jari kaki menghala ke atas juga sangat digalakkan kerana ia dapat memastikan regangan otot kaki yang lebih baik semasa tidur.

Setiap orang mungkin memberi reaksi berbeza terhadap posisi tertentu. Oleh itu, anda digalakkan untuk mencuba beberapa posisi tidur yang sesuai dan berkesan untuk membantu menghilangkan masalah kejang kaki semasa tidur malam.

2. Amalkan Pengambilan Suplemen

Mengambil suplemen tertentu juga boleh dijadikan sebagai salah satu cara hilangkan kejang kaki ketika tidur, terutamanya jika puncanya berkait rapat dengan kekurangan mineral penting dalam badan.

Menurut The Pharmaceutical Journal, otot kaki sangat bergantung kepada keseimbangan elektrolit seperti magnesium, kalsium, dan kalium untuk berfungsi dengan baik. Kekurangan mana-mana nutrien ini boleh mencetuskan kekejangan otot, terutamanya pada waktu malam apabila badan sedang berehat.

  • Kalsium: Kalsium memainkan perenan penting dalam pengecutan dan kelonggaran otot. Kekurangan kalsium boleh menyebabkan otot menjadi lebih mudah terangsang dan berisiko mengalami kejang. Jika diet harian anda tidak mencukupi, pengambilan suplemen kalsium boleh membantu menstabilkan fungsi otot anda.
  • Kalium (Potassium): Mineral ini penting untuk penghantaran impuls saraf dan fungsi otot. Kekurangan kalium juga boleh menyebabkan kejang kaki. Walaupun jarang diperlukan sebagai suplemen, mereka yang mengalami kekurangan atau yang berpeluh berlebihan mungkin mendapat manfaat daripadanya. Anda boleh dapatkan kalium dari sumber semula jadi seperti pisang, avokado, kentang dan air kelapa.
  • Vitamin B Kompleks: Sesetengah penyelidikan mencadangkan bahawa vitamin B kompleks, terutamanya B1 (thiamin), B6 dan B12, boleh menyokong kesihatan sistem saraf dan membantu mengurangkan kejang kaki yang disebabkan oleh gangguan saraf periferal.
  • Vitamin D: Kekurangan vitamin D juga telah dikaitkan dengan kelemahan otot dan kejang. Suplemen ini boleh membantu terutama jika tahap vitamin D dalam darah anda rendah.

Walau bagaimanapun, penting untuk berbincang dengan doktor atau pakar kesihatan sebelum memulakan sebarang suplemen, kerana pengambilan berlebihan juga boleh menyebabkan kesan sampingan atau berinteraksi dengan ubat lain.

3. Gunakan Stoking dan Selimut Tebal

cara hilangkan kejang kaki ketika tidur pakai stoking

Bagi mereka yang terdedah kepada suhu sejuk, penggunaan stoking dan selimut tebal adalah sangat berguna sebagai cara hilangkan kejang kaki ketika tidur.

Hal ini kerana, apabila kaki menjadi terlalu sejuk, salur darah boleh mengecut dan menyebabkan aliran darah ke otot menjadi tidak lancar. Keadaan ini boleh mencetuskan kejang secara tiba-tiba, terutamanya di bahagian betis.

Memakai stoking yang selesa dan tidak terlalu ketat boleh membantu mengekalkan kehangatan kaki sepanjang malam, manakala penggunaan selimut tebal pula memastikan seluruh badan, termasuk kaki, sentiasa berada dalam suhu yang stabil.

Suhu yang konsisten ini membantu melancarkan peredaran darah, mengurangkan ketegangan otot, dan mencegah penguncupan otot yang tidak diingini semasa tidur.

4. Gunakan Air Panas atau Pad Haba 

Menurut Arthritis Foundation, haba membantu melancarkan peredaran darah dan melegakan otot yang tegang. Anda boleh menggunakan pad haba elektrik, botol berisi ais panas, atau tuala yang direndam dalam air suam dan diletakkan pada kawasan yang mengalami kejang.

Cara hilangkan kejang kaki ketika tidur ini sangat membantu untuk melegakan kesakitan secara serta-merta kerana haba memberi kesan menenangkan dan menggalakkan otot untuk menjadi lebih relaks.

Jika kejang kaki yang dialami bersifat berpanjangan atau terlalu menyakitkan, anda juga boleh mempertimbangkan untuk berendam dalam air suam sebagai alternatif yang lebih menyeluruh.

Mandi air panas bukan sahaja membantu merehatkan otot kaki, malah memberikan kesan keseluruhan yang menenangkan tubuh sebelum tidur. Dengan cara ini, risiko kejang berulang pada waktu malam dapat dikurangkan secara berkesan.

5. Minum Banyak Air Kosong

cara hilangkan kejang kaki ketika tidur minum air

Minum air kosong yang mencukupi setiap hari adalah asas penting dalam menjaga kesihatan otot dan mencegah kejang kaki, terutamanya pada waktu malam. Dehidrasi boleh menyebabkan gangguan fungsi otot dan mencetuskan kekejangan secara tiba-tiba.

Menurut American Academy of Sleep Medicine, otot yang kekurangan air menjadi lebih mudah tegang dan sukar untuk kembali relaks, menyebabkan risiko kejang meningkat ketika tubuh sedang berehat.

Air kosong membantu mengekalkan keseimbangan elektrolit dalam badan, melancarkan peredaran darah, dan menyokong fungsi otot yang normal.

Jika anda kerap mengalami kejang kaki semasa tidur, ini mungkin isyarat bahawa tubuh anda memerlukan lebih banyak cecair sebelum masuk tidur.

Amalan minum banyak air sepanjang hari, terutama selepas aktiviti fizikal atau ketika cuaca panas, amat penting untuk mencegah dehidrasi. Kuantiti air yang diperlukan boleh berbeza bergantung pada usia, tahap aktiviti harian, cuaca, dan juga ubat-ubatan yang sedang diambil.

Elakkan hanya minum apabila dahaga. Sebaliknya, biasakan diri untuk minum secara konsisten bagi memastikan tubuh sentiasa terhidrat dan otot berfungsi secara optimum.

6. Urut Otot yang Kejang

cara hilangkan kejang kaki ketika tidur urut otot

Cara hilangkan kejang kaki ketika tidur yang berikutnya adalah urut otot yang kejang. Ketika kejang berlaku otot menjadi keras dan tegang secara tiba-tiba. Dengan menggunakan satu atau dua tangan, anda boleh mengurut otot secara perlahan bagi membantu ia kembali relaks.

Kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, urutan yang lembut dapat melonggarkan kekejangan dengan cepat serta membantu melancarkan aliran darah ke kawasan tersebut.

Untuk kejang di betis, contohnya, anda boleh luruskan kaki dan tarik hujung kaki arah muka. Ini membantu meregangkan otot betis sambil urutan ringan dilakukan di sepanjang otot yang terlibat.

Jika kejang berlaku di bahagian belakang peha, cuba berdiri dan letakkan berat badan pada kaki yang kejang sambil tekan kaki ke bawah dengan perlahan. Bagi kejang di peha depan pula, tarik kaki ke belakang ke arah punggung sambil berpegang pada dinding atau kerusi untuk keseimbangan.

Urutan bukan sahaja membantu dalam situasi kejang yang berlaku secara tiba-tiba, malah jika dilakukan secara berkala, ia boleh membantu mengurangkan risiko kejang di masa akan datang. Antara kebaikan lainnya adalah seperti:

  • Relaksasi otot : Teknik urutan melegakan ketegangan otot dan mengurangkan peluang otot mengalami kekejangan.
  • Peredaran darah yang lebih baik : Urutan membantu meningkatkan aliran darah, sekaligus membawa lebih banyak oksigen dan nutrien ke otot.
  • Fleksibiliti otot meningkat : Otot yang lebih fleksibel kurang berisiko untuk kejang.
  • Mengurangkan stres : Ketegangan emosi dan tekanan boleh menyebabkan otot tegang. Urutan boleh menenangkan minda dan memperbaiki kualiti tidur.
  • Kesedaran terhadap keperluan hidrasi : Urutan membuatkan anda lebih peka terhadap keperluan minum air, seterusnya mengelakkan dehidrasi yang boleh mencetuskan kejang.
  • Membantu kenalpasti kekurangan nutrien : Terapis urutan profesional kadang-kadang boleh memberi cadangan pemakanan untuk membantu menambah mineral penting seperti magnesium atau kalsium yang mungkin kekurangan.

7. Latihan Regangan

cara hilangkan kejang kaki ketika tidur regangan

Regangan membantu melonggarkan otot, meningkatkan fleksibiliti, dan melegakan ketegangan yang boleh menyebabkan kekejangan ketika badan sedang berehat.

Regangan yang memberi tumpuan kepada bahagian kaki seperti betis, peha hadapan (quadriceps), dan hamstring sangat digalakkan kerana ia adalah kawasan yang paling kerap mengalami kejang.

Cara regangan yang disarankan oleh American Academy of Orthopaedic Surgeons adalah seperti berikut:

Regangan Otot Betis

  1. Berdiri kira-kira satu meter dari dinding, dengan kedua-dua tapak kaki rata di atas lantai.
  2. Sandarkan badan ke dinding dengan tangan lurus ke depan dan telapak tangan menyentuh dinding.
  3. Pastikan tumit tidak terangkat.
  4. Tahan posisi ini selama 10 saat dan ulangi 5–10 kali.

Regangan Otot Hamstring

  1. Duduk di lantai dengan kedua-dua kaki diluruskan ke depan.
  2. Tarik jari-jari kaki ke arah lutut sehingga terasa regangan di bahagian belakang paha.
  3. Tahan selama 30 saat.

Regangan Otot Paha Depan

  1. Berdiri tegak sambil berpegang pada kerusi atau dinding untuk sokongan.
  2. Tarik salah satu kaki ke belakang ke arah punggung dan pegang pergelangan kaki untuk mengekalkan posisi.
  3. Tahan selama 30 saat dan tukar kaki.

8. Amalkan Pemakanan yang Sihat

cara hilangkan kejang kaki ketika tidur makanan sihat

Kajian oleh Journal of Musculoskeletal and Neuronal Interactions mendapati bahawa, kekejangan otot sering dikaitkan dengan kekurangan nutrien penting seperti magnesium, kalsium, kalium dan vitamin B yang berperanan dalam fungsi saraf dan otot.

Dengan mengamalkan diet seimbang yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, kekacang, produk tenusu rendah lemak serta sumber protein yang sihat seperti ikan dan telur, anda dapat memastikan tubuh mendapat bekalan mineral dan vitamin yang mencukupi untuk menyokong fungsi otot yang normal.

Misalnya, pisang, avokado dan air kelapa kaya dengan kalium; bayam dan kekacang membekalkan magnesium; manakala susu dan yogurt memberikan sumber kalsium yang baik.

9. Ambil Ubat tanpa Preskripsi

Jika anda mengalami kejang kaki yang menyebabkan otot terasa sakit dan lembik, pengambilan ubat tahan sakit tanpa preskripsi boleh menjadi salah satu pilihan sementara untuk melegakan ketidakselesaan tersebut.

Ubat seperti ibuprofen (Advil, Motrin) dan naproxen (Aleve) yang tergolong dalam kumpulan nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) boleh membantu mengurangkan keradangan dan kesakitan pada otot yang kejang.

Sebagai alternatif yang lebih lembut, acetaminophen (Tylenol) juga boleh digunakan untuk mengurangkan rasa sakit selepas kekejangan otot berlaku.

Walaupun ubat ini berkesan untuk meredakan simptom selepas kejang, penting untuk difahami bahawa ubat-ubatan ini tidak mencegah kejang daripada berlaku. Ia hanyalah langkah rawatan selepas otot mengalami ketegangan.

10. Berjumpa dengan Doktor

cara hilangkan kejang kaki ketika tidur jumpa doktor

Masalah kejang kaki yang tidak pulih sehingga menggangu tidur dan kualiti hidup anda, perlulah dirawat dengan berjumpa doktor.

Walaupun kejang kaki selalunya tidak membahayakan nyawa, ia boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan yang lebih besar seperti gangguan saraf, masalah peredaran darah, ketidakseimbangan elektolit, atau kesan sampingan dariapda ubat-ubatan tertentu.

Malah, walaupun ia bukan berpunca daripada isu serius, kesakitan dan ketidakselesaan yang berulang boleh menjejaskan rutin harian anda serta menyebabkan tidur terganggu setiap malam.

Doktor boleh melakukan pemeriksaan fizikal, ujian darah atau ujian saraf untuk mengenal pasti punca sebenar kejang yang dialami. Jika anda sedang mengambil ubat yang diketahui boleh menyebabkan kejang sebagai kesan sampingan, doktor juga boleh mempertimbangkan untuk mengubah dos atau menukar jenis ubat tersebut.

Diagnosis yang tepat bukan sahaja membantu mengurangkan simptom, tetapi juga boleh meningkatkan kualiti hidup anda secara keseluruhan. Antara simptom-simptom lain yang memerlukan anda untuk berjumpa doktor adalah seperti bengkak, kebas, kelemahan otot, atau kesukaran berjalan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara hilangkan kejang kaki ketika tidur yang boleh anda praktikkan di rumah.

Dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti regangan otot, minum air secukupnya, menjaga pemakanan, serta menukar posisi tidur, masalah ini boleh dikurangkan secara berkesan.

Namun, jika kejang kaki masih berterusan walaupun selepas mencuba pelbagai kaedah, berjumpa doktor adalah langkah terbaik untuk memastikan tiada masalah kesihatan yang lebih serius tersembunyi.

Berikut adalah cara hilangkan kejang kaki ketika tidur yang boleh anda amalkan:

  1. Tukar Posisi Tidur
  2. Amalkan Pengambilan Suplemen
  3. Gunakan Stoking dan Selimut Tebal
  4. Gunakan Air Panas atau Pad Haba 
  5. Minum Banyak Air Kosong
  6. Urut Otot yang Kejang
  7. Latihan Regangan
  8. Amalkan Pemakanan yang Sihat
  9. Ambil Ubat tanpa Preskripsi
  10. Jumpa Doktor

Anda juga boleh baca informasi lain tentang masalah tidur malam di sini:

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *