12 Sebab Batuk Tak Berhenti Yang Biasa Berlaku

Apakah penyebab batuk tak berhenti dan rawatan yang perlu anda dapatkan untuk mengatasi masalah tersebut?

Batuk adalah tindak balas semula jadi tubuh untuk membersihkan saluran pernafasan daripada lendir habuk, atau bahan asing. Namun, apabila batuk berlarutan melebihi dua hingga tiga minggu tanpa tanda-tanda sembuh, ia bukan lagi sekadar masalah biasa.

Ramai menganggap ia sekadar kesan sisa demam atau cuaca, tetapi hakikatnya batuk tak berhenti boleh menandakan pelbagai masalah kesihatan dari yang ringan seperti alahan hingga kepada keadaan yang lebih serius seperti tuberkulosis atau kanser paru-paru.

Artikel ini akan menghuraikan 12 punca utama batuk tak berhenti yang sering berlaku tetapi kurang diberi perhatian, agar anda lebih peka dan dapat mengambil tindakan yang tepat sebelum keadaan menjadi lebih parah.

1. Jangkitan Virus yang Berpanjangan

batuk tak berhenti virus

Salah satu sebab batuk tak berhenti walaupun sudah sembuh daripada demam atau selsema ialah jangkitan virus yang berpanjangan, juga dikenali sebagai post-viral cough. Menurut National Center for Biotechnology Information, keadaan ini berlaku apabila saluran pernafasan yang terjejas semasa jangkitan masih belum pulih sepenuhnya.

Walaupun virus utama telah hilang dari badan, keradangan yang ditinggalkan boleh menyebabkan batuk berlarutan selama beberapa minggu, kebiasaannya antara dua hingga lapan minggu. Batuk jenis ini selalunya kering, datang secara tiba-tiba dan boleh menjadi lebih teruk apabila bercakap, tertawa, atau menyedut udara sejuk.

Ia bukanlah petanda jangkitan baru, tetapi lebih kepada proses pemulihan yang mengambil masa. Walaupun tidak berbahaya, ia boleh mengganggu tidur dan aktiviti harian jika tidak dikawal.

Dalam sesetengah kes, ubat penahan batuk atau rawatan untuk mengurangkan keradangan mungkin diperlukan untuk mempercepatkan pemulihan.

2. Asma

batuk tak berhenti asma

Asma juga merupakan salah punca utama batuk tak berhenti terutamanya jika batuk itu kerap berlaku pada waktu malam, awal pagi, atau selepas melakukan aktiviti fizikal. Berdasarkan kajian oleh National Center for Biotechnology Information, dalam sesetengah kes, batuk mungkin satu-satunya gejala asma yang ketara dikenali sebagai cough-variant asthma.

Keadaan ini berlaku apabila saluran pernafasan menjadi sempit dan radang akibat tindak balas terhadap rangsangan tertentu seperti debu, udara sejuk, asap rokok, atau alergen. Apabila ia berlaku, individu akan mengalami batuk berterusan, selalunya kering, tanpa kahak.

Batuk ini boleh menjadi lebih teruk jika asma tidak dikawal dengan baik atau apabila seseorang terdedah kepada punca yang tidak disedari. Menurut National Jewish Health, ramai yang tidak menyedari mereka menghidap asma kerana sesak nafas yang ketara, lalu mengabaikan rawatan.

Pemeriksaan doktor dan ujian fungsi paru-paru penting untuk mengesahkan diagnosis. Rawatan biasanya melibatkan penggunaan inhaler seperti bronkodilator atau steroid untuk mengawal keradangan dan melegakan saluran pernafasan.

3. Alahan (Allergies) atau Rinitis Alergi

batuk tak berhenti alergi

Alahan atau rintis alergi menyebabkan batuk tak berhenti, terutmana jika individu terdedah kepada faktor seperti habuk, debunga, bulu haiwan, atau hama.

Dalam keadaan ini, sistem imun bertindak balas secara berlebihan yang kemudiannya menitis ke belakang tekak, dikenali sebagai postnasal drip. Proses ini merangsang tekak dan menyebabkan batuk berulang, terutamanya pada waktu malam atau ketika bangun pagi.

Batuk akibat alahan selalunya bersifat kering dan berterusan selagi anda masih terdedah kepada alergen. Selain batuk, gejala lain yang boleh anda dapatkan termasuk bersin berulang, hidung tersumbat, mata gatal dan berair.

Penggunaan antihistamin dan semburan hidung kortikosteroid adalah berkesan untuk mengatasi masalah ini. Tanpa pengawalan yang baik, batuk akibat alahan boleh berlarutan berminggu-minggu hingga berbulan-bulan.

4. Resdung (Sinusitis)

Resdung (sinutis) merupakan salah satu punca batuk yang tidak berhenti dan sering diabaikan. Dalam keadaan ini, lapisan sinus yang meradang akan menghasilkan lendir secara berlebihan, yang kemudiaannya mengalir ke belakang tekak.

Proses ini dikenali sebagai postnasal drip, dan ia menyebabkan tekak terasa gatal, tidak selesa serta menimbulkan dorongan untuk batuk secara berterusan. Batuk akibat postnasal drip biasanya menjadi lebih ketara pada waktu malam atau awal pagi kerana posisi baring memudahkan lendir terkumpul di bahagian belakang tekak.

Selain batuk, anda juga mungkin mengalami gejala lain seperti hidung tersumbat, sakit kepala, tekanan di kawasan muka, atau bau mulut. Dalam jangka panjang, lendir yang tidak dikeluarkan ini boleh mengganggu saluran pernafasan dan menyebabkan iritasi kronik pada tekak.

Rawatan biasanya merangkumi ubat dekongestan, semburan hidung saline atau kortikosteroid, serta antibiotik jika adanya jangkitan bakteria.

5. GERD (Gastroesophageal Reflux Disease)

batuk tak berhenti gerd

GERD (Gastroesophageal Reflux Disease) atau penyakit refluks gastroesofagus adalah satu keadaan di mana asid dari perut mengalir semula ke dalam esofagus dan kadangkala naik hingga ke tekak, menyebabkan iritasi yang mencetuskan batuk berpanjangan.

Kajian oleh Gastroenterology & Hepatology mendapati bahawa, batuk akibat GERD biasanya kering dan tidak berkahak, dan ia cenderung menjadi lebih teruk selepas makan, ketika baring, atau semasa tidur malam. Ini kerana kedudukan badan yang mendatar memudahkan asid untuk naik ke atas.

Dalam kes tertentu, seseorang tidak mengalami rasa pedih ulu hati, dan hanya batuk yang tidak berhenti menjadi tanda utama dikenali sebagai silent reflux. Asid yang naik ini merangsang saraf di tekak dan saluran pernafasan, lalu menimbulkan batuk refleks secara automatik.

Tanpa rawatan yang sesuai, keradangan berterusan boleh merosakkan lapisan esofagus dan mengganggu tidur serta kualiti hidup.

Rawatan melibatkan perubahan gaya hidup seperti mengelakkan makanan berasid atau berminyak, makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap, tidak berbaring selepas makan, serta pengambilan ubat antasid atau penghalang asid seperti proton pump inhibitor (PPI) adalah disarankan.

6. Merokok atau Terdedah Kepada Asap

Merokok atau terdedah kepada asap rokok, terutamanya dalam kalangan perokok aktif dan mereka yang sering berada dalam persekitaran penuh asap, seperti ahli keluarga perokok berisiko untuk mengalami masalah batuk tak berhenti.

Menurut Journal of Dental Research, asap rokok mengandungi beratus bahan kimia toksik yang merengsakan lapisan saluran pernafasan, menyebabkan penghasilan lendir berlebihan dan keradangan kronik. Akibatnya, seseorang akan mengalami batuk berulang yang biasanya berbunyi dalam, berdehem dan mengalami batuk berulang yang biasanya berbunyi dalam, berdehem dan kadangkala disertai kahak pekat dikenali sebagai smoker’s cough.

Batuk ini lazimnya lebih teruk pada waktu pagi selepas bangun tidur apabila lendir terkumpul sepanjang malam. Dalam jangka panjang, pendedahan kepada asap rokok bukan sahaja mencetuskan batuk kronik, malah meningkatkan risiko penyakit paru-paru seperti bronkitis kronik, COPD dan kanser paru-paru.

Mereka yang tidak merokok tetapi kerap menghidu asap rokok (perokok pasif) juga tidak terkecuali daripada mengalami batuk berpanjangan. Jalan terbaik untuk menghentikan batuk jenis ini adalah berhenti merokok sepenuhnya dan mengelakkan pendedahan kepada asap rokok agar saluran pernafasan dapat pulih dan berfungsi semula dengan lebih sihat.

7. Ubat Darah Tinggi Jenis ACE Inhibitor

batuk tak berhenti darah tinggi

Pengambilan ubat darah tinggi jenis ACE Inhibitor, seperti enalapril, captopril, atau ramipril, juga boleh menjadi punca batuk tak berhenti. Berdasarkan kajian oleh Journal of the American College of Cardiology, ubat ini berfungsi untuk mengawal tekanan darah dengan menghalang enzim yang menukar angiotensin I kepada angiotensin II, namun kesan sampingannya termasuklah batuk kering yang berlarutan.

Batuk ini biasanya bermula dalam beberapa hari hingga minggu selepas seseorang mula mengambil ubat, dan ia boleh menjadi cukup mengganggu, terutamanya pada waktu malam atau ketika bercakap.

Batuk jenis ini tidak berkahak, tidak berkaitan dengan jangkitan atau alahan, dan selalunya sukar sembuh selagi ubat ACE Inhibitor diteruskan.

Mekanisme batuk dipercayai berpunca daripada pengumpulan bahan kimia seperti bradikinin dan substans P dalam saluran pernafasan akibat pengaruh ubat tersebut. Satu-satunya cara untuk memastikan batuk ini berpunca daripada ubat adalah dengan menghentikan ubat tersebut dan memantau jika batuk berkurang.

Jika disahkan, doktor biasanya akan menukar kepada ubat jenis lain seperti ARB (Angiotensin Receptor Blockers) yang tidak mempunyai kesan sampingan batuk.

8. Jangkitan Bakteria Pertussis (Batuk Kokol)

batuk tak berhenti bakteria

Jangkitan bakteria Pertussis, atau lebih dikenali sebagai batuk kokol sering kali disalah anggap sebagai batuk biasa. Ia disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis yang menyerang saluran pernafasan dan mencetuskan batuk yang sangat kuat, berulang-ulang dan berlaku dalam bentuk serangan atau ‘episod’.

Batuk ini biasanya kering dan datang dalam bentuk “batuk berturutan” sehingga sukar untuk menarik nafas, diikuti dengan bunyi nafas masuk yang berbunyi seperti “kokol” terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam kalangan orang dewasa, bunyi tersebut mungkin tidak begitu ketara, namun batuknya tetap sangat berpanjangan dan boleh berlarutan sehingga 6 minggu atau lebih, walaupun selepas rawatan antibiotik diberikan. Jangkitan ini mudah merebak melalui titisan udara dan sangat menular, terutama jika seseorang tidak mendapat imunisasi lengkap.

Ia juga boleh menyebabkan muntah selepas batuk, keletihan melampau dan gangguan tidur. Rawatan awal dengan antibiotik seperti azithromycin boleh mengurangkan jangkitan, tetapi batuk yang terhasil daripada kerosakan saraf dan saluran pernafasan akan mengambil masa lebih lama untuk pulih sepenuhnya.

9. Tuberkulosis (Tibi)

Tuberkulosis (Tibi) bukan sahaja berbahaya kepada individu yang dijangkiti, malah mudah berjangkit kepada orang lain melalui udara. Tibi disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis yang menyerang paru-paru dan menyebabkan keradangan kronik.

Menurut National Center for Biotechnology Information, gejala utama Tibi ialah batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, dan selalunya disertai dengan kahak yang mungkin berdarah, demam waktu petang atau malam, peluh malam yang berlebihan, penurunan berat badan tanpa sebab, dan rasa letih yang melampau.

Batuk akibat Tibi biasanya semakin teruk dari hari ke hari dan tidak menunjukkan tanda-tanda sembuh walaupun sudah mengambil ubat batuk biasa. Oleh kerana Tibi merupakan penyakit yang boleh merebak dengan mudah, ujian saringan seperti X-ray dada dan ujian kahak adalah penting untuk mengesahkan diagnosis.

10. Masalah Jantung (Cough Cardiogenik)

batuk tak berhenti masalah jantung

Masalah jantung, terutamanya kegagalan jantung kongestif, boleh menyebabkan batuk kardiogenik. Keadaan ini berlaku apabila jantung tidak lagi mampu mengepam darah dengan berkesan, menyebabkan pengumpulan cecair di paru-paru, satu keadaan yang dipanggil pulmonary congestion atau edema paru-paru.

Cecair ini akan merengsakan saluran pernafasan dan mencetuskan batuk yang biasanya kering, dalam, dan lebih teruk pada waktu malam atau apabila berbaring. Dalam sesetegah kes, batuk ini mungkin disertai dengan kahak berbuih berwarna putih atau merah jambu, terutamanya jika kegagalan jantung sudah berada di tahap yang lebih serius.

Ubat seperti diuretik, beta blocker, dan ACE inhibitor biasanya digunakan untuk mengurangkan beban pada jantung dan membantu mengurangkan pengumpulan cecair. Oleh itu, batuk tak berhenti terutamanya jika disertai tanda-tanda kegagalan jantung perlu diperiksa lanjut, termasuk melalui pemeriksaan ECG, X-ray dada dan ujian echocardiogram.

11. Kanser Paru-paru

Menurut Chest Journal, batuk yang berpunca daripada kanser biasanya bersifat kronik, tidak sembuh walaupun selepas rawatan ubat batuk biasa, dan cenderung untuk menjadi semakin teruk dari semasa ke semasa.

Ia boleh bermula sebagai batuk kering atau berkahak, tetapi dalam banyak kes, ia turut disertai dengan kahak berdarah, sakit dada, suara menjadi serak, atau sesak nafas. Individu yang merokok atau pernah merokok berada dalam kumpulan berisiko tinggi, namun bukan perokok juga tidak terkecuali.

Kanser paru-paru juga sering dikaitkan dengan simptom lain seperti penurunan berat badan secara mendadak, kehilangan selera makan, keletihan berterusan, dan jangkitan paru-paru yang kerap berulang.

Oleh kerana gejala awalnya menyerupai batuk biasa atau bronkitis, ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan sudah menjadi teruk. Pemeriksaan lanjut seperti X-ray dada, imbasan CT, ujian kahak, dan biopsi diperlukan untuk mengenal pasti kewujudan sel kanser.

Rawatan bergantung kepada jenis dan tahap kanser, merangkumi pembedahan, kemoterapi, radioterapi atau terapi sasaran.

12. Pneumonia atau Bronkitis Kronik

batuk tak berhenti pneumonia

Pneumonia atau bronkitis kronik mempunyai simptom batuk tak berhenti, terutama jika batuk tersebut disertai dengan kahak pekat, demam, atau sesak nafas.

Menurut National Heart, Lung, and Blood Institute, pneumonia berlaku apabila paru-paru dijangkiti bakteria, virus, atau kulat, menyebabkan keradangan pada alveoli (kantung udara kecil dalam paru-paru) yang kemudian dipenuhi cecair atau nanah. Keadaan ini menyebabkan batuk berkahak yang berterusan, sakit dada ketika menarik nafas, serta demam yang tidak reda.

Bronkitis kronik pula ialah sejenis penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) di mana saluran udara mengalami keradangan jangka panjang dan menghasilkan kahak berlebihan setiap hari sekurang-kurangnya tiga bulan dalam setahun, untuk dua tahun berturut-turut. Ia kerap berlaku dalam kalangan perokok tegar. Batuk akibat bronkitis kronik biasanya dalam dan berbunyi “berdehem”, lebih teruk pada waktu pagi, dan tidak hilang walaupun selepas rawatan jangkitan biasa.

Kedua-dua keadaan ini memerlukan rawatan perubatan, termasuk antibiotik (jika jangkitan bakteria), ubat cair kahak, ubat pelega saluran pernafasan, serta pemantauan rapi bagi mengelakkan komplikasi seperti kegagalan pernafasan.

Sekiranya batuk tak berhenti diiringi kahak tebal, berwarna, atau berdarah, pemeriksaan lanjut seperti X-ray dada atau ujian kahak adalah sangat digalakkan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, batuk tak berhenti bukan sekadar gangguan kecil dalam rutin harian, ia boleh menjadi petanda awal kepada pelbagai penyakit yang memerlukan rawatan segera. Mengenal pasti punca sebenar batuk berpanjangan sangat penting untuk memastikan rawatan yang diberikan adalah tepat dan berkesan.

Sama ada disebabkan oleh jangkitan virus, asma, alahan, atau penyakit yang lebih serius seperti Tibi atau kanser, setiap kes perlu dinilai dengan teliti oleh pakar perubatan.

Jika anda mengalami batuk melebihi dua minggu tanpa tanda-tanda pulih, jangan ambil mudah. Dapatkan pemeriksaan lanjut agar kesihatan anda sentiasa terjamin dan kualiti hidup tidak terjejas.

  1. Jangkitan Virus yang Berpanjangan
  2. Asma
  3. Alahan (Allergies) atau Rinitis Alergi
  4. Resdung (Sinusitis)
  5. GERD (Gastroesophageal Reflux Disease)
  6. Merokok atau Terdedah Kepada Asap
  7. Ubat Darah Tinggi Jenis ACE Inhibitor
  8. Jangkitan Bakteria – Pertussis (Batuk Kokol)
  9. Pneumonia atau Bronkitis Kronik
  10. Tuberkulosis (Tibi)
  11. Masalah Jantung (Cough Cardiogenik)
  12. Kanser Paru-paru

Anda boleh baca segala informasi berkenaan masalah batuk di sini:

Similar Posts

Leave a Reply