Batuk Berpanjangan dan Gatal Tekak : Punca, Simptom & Cara Merawatnya
Batuk berpanjangan dan gatal tekak adalah dua gejala yang sering berlaku bersama, dan boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang. Walaupun ia mungkin bermula sebagai ketidakselesaan kecil, jika tidak dirawat dengan betul, ia boleh berlarutan dan menandakan masalah kesihatan yang lebih serius.
Artikel ini akan membincangkan secara terperinci mengenai apa itu batuk berpanjangan dan gatal tekak, punca, simptom, cara merawatnya, serta bila anda perlu mendapatkan bantuan doktor.
Apa itu Batuk Berpanjangan dan Gatal Tekak?
Menurut World Allergy Organization, batuk berpanjangan ialah batuk yang berlangsung lebih daripada tiga minggu dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda, walaupun selepas rawatan asas. Sementara itu, gatal tekak merujuk kepada rasa kegatalan atau iritasi di bahagian tekak, yang sering mencetuskan keinginan untuk batuk.
Kedua-dua masalah ini sering berlaku serentak dan boleh berpunca daripada pelbagai sebab, termasuk alergi, atau masalah kesihatan kronik.
Punca Batuk Berpanjangan dan Gatal Tekak
Terdapat beberapa punca utama yang menyebabkan batuk berpanjangan dan gatal tekak, termasuk:
1. Jangkitan Saluran Pernafasan
Salah satu punca utama batuk berpanjangan dan gatal tekak ialah jangkitan saluran pernafasan atas seperti influenza, sinusitis, atau bronkitis.
Jangkitan ini sering disebabkan oleh virus atau bakteria yang mencetuskan keradangan pada saluran pernafasan, menghasilkan batuk yang berlarutan. Selain itu, selsema biasa yang tidak dirawat dengan betul juga boleh berkembang menjadi batuk kronik.
2. Alergi
Reaksi alegi terhadap debunga, habuk, bulu haiwan, atau makanan tertentu boleh menyebabkan kerengsaan pada tekak, menghasilkan rasa gatal dan keinginan untuk batuk.
Pencetus alergi ini biasanya merangsang sistem imun untuk menghasilkan histamin, yang menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan dan tekak.
3. Asid Refluks (GERD)
Menurut National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases, asid refluks, atau GERD, berlaku apabila asid perut naik ke esofagus dan menyebabkan iritasi pada dinding tekak. Keadan ini boleh menghasilkan batuk kering dan rasa terbakar di tekak, terutamanya selepas makan atau ketika berbaring.
GERD sering menjadi punca batuk yang tidak disedari, terutamanya jika pesakit tidak mengalami simptom pedih ulu hati.
4. Merokok
Merokok merupakan punca biasa batuk berpanjangan dan gatal tekak. Asap rokok mengandungi pelbagai bahan kimia toksik yang merosakkan lapisan saluran pernafasan, menghasilkan batuk kering atau berdahak.
Menurut International Journal of Chronic Obstructive Pulmonary Disease, perokok jangka panjang sering mengalami batuk yang dikenali sebagai “batuk perokok”, yang sukar dirawat selagi tabiat merokok tidak dihentikan.
5. Asma
Asma adalah penyakit kronik yang menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit dan meradang, mengakibatkan batuk berulang, sesak nafas, dan bunyi wheezing.
Batuk yang berkaitan dengan asma biasanya menjadi lebih teruk pada waktu malam atau selepas aktviti fizikal. Asma yang tidak dirawat dengan baik boleh menyebabkan batuk berpanjangan.
6. Pencemaran Udara
Udara tercemar yang mengandungi debu, asap, atau bahan kimia industri boleh menyebabkan kerengsaan pada saluran pernafasan, menghasilkan batuk yang berpanjangan.
Orang yang tinggal di kawasan bandar atau bekerja di persekitaran dengan tahap pencemaran udara yang tinggi lebih terdedah kepada masalah ini.
7. Kesan Sampingan Ubat-Ubatan
Berdasarkan kajian dari Turkish Thoracic Journal, sesetengah jenis ubat, terutamanya perencat ACE yang digunakan untuk mengawal tekanan darah tinggi, boleh menyebabkan batuk kering sebagai kesan sampingan.
Pesakit yang menggunakan ubat ini sering mengadu tentang batuk berpanjangan yang hilang apabila ubat tersebut dihentikan atau digantikan dengan alternatif lain.
8. Keadaan Kesihatan Lain
Beberapa keadaan kesihatan seperti tuberkulosis (TB), kegagalan jantung, atau kanser paru-paru juga boleh menyebabkan batuk berpanjangan.
Walaupun jarang, punca-punca ini perlu dipertimbangkan jika batuk tidak reda selepas rawatan asas atau disertai gejala seperti kahak berdarah, kehilangan berat badan, dan keletihan melampau.
Simptom & Gejala
Berikut adalah antara simptom atau gejala masalah batuk berpanjangan dan gatal tekak yang lazim berlaku:
1. Batuk Kering atau Berdahak yang Berterusan
Batuk yang berlangsung lebih daripada tiga minggu, sama ada kering atau berdahak, adalah gejala utama batuk berpanjangan. Batuk ini boleh menjadi lebih teruk pada waktu malam atau ketika bercakap lama, menyebabkan gangguan kepada tidur dan aktiviti harian.
2. Tekak Terasa Perit atau Gatal
Gatal tekak adalah simptom lazim yang sering menyebabkan keinginan untuk batuk berterusan. Tekak mungkin terasa perit, kering, atau tidak selesa, terutama apabila bercakap, menelan, atau terdedah kepada udara kering dan bahan pencemar.
3. Kehadiran Kahak
Dalam kes tertentu, batuk disertai dengan kahak yang berwarna putih, kuning, hijau, atau bercampur darah. Warna dan tekstur kahak boleh memberi petunjuk tentang punca, seperti jangkitan bakteria atau penyakit paru-paru yang lebih serius.
4. Suara Serak atau Kehilangan Suara
Batuk yang berpanjangan boleh memberi tekanan kepada pita suara, menyebabkan suara serak atau kehilangan suara sementara. Gejala ini sering berlaku pada individu yang banyak bercakap atau mengalami kerengsaan tekak yang berulang.
5. Sesak Nafas atau Bunyi Wheezing
Jika batuk berpanjangan dikaitkan dengan asma, jangkitan saluran pernafasan, atau alahan, pesakit mungkin mengalami sesak nafas atau bunyi wheezing ketika bernafas. Gejala ini biasanya menjadi lebih teruk pada waktu malam atau selepas aktiviti fizikal.
6. Demam dan Rasa Tidak Sihat
Demam ringan hingga tinggi boleh berlaku jika batuk disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria. Selain itu, pesakit mungkin mengalami keletihan, badan lemah, atau hilang selera makan.
7. Gangguan Tidur
Batuk yang kerap pada waktu malam boleh menyebabkan pesakit sukar tidur atau tidur tidak lena, seterusnya membawa kepada keletihan dan kesukaran menumpukan perhatian pada keesokan harinya.
8. Sakit Dada
Batuk yang berulang atau kuat boleh menyebabkan ketegangan pada otot dada, mengakibatkan rasa sakit atau tidak selesa pada bahagian dada. Jika sakit dada disertai sesak nafas atau kahak berdarah, ia perlu dirujuk kepada doktor segera.
9. Penurunan Berat Badan
Dalam kes yang lebih serius, seperti tuberkulosis atau kanser paru-paru, batuk berpanjangan boleh disertai dengan kehilangan berat badan yang tidak dijelaskan.
Cara Merawat Batuk Berpanjangan dan Gatal Tekak
Berikut adalah cara untuk merawat masalah batuk berpanjangan dan gatal tekak:
1. Rawatan di Rumah
Pengambilan air suam atau teh herba seperti chamomile adalah salah satu cara yang efektif untuk melembapkan tekak dan mengurangkan rasa gatal. Menurut Journal of Functional Foods, teh herba juga mengandungi sifat anti-radang yang dapat membantu menenangkan keradangan di saluran pernafasan.
Selain itu, madu juga merupakan rawatan semula jadi yang sangat bermanfaat. Berdasarkan kajian oleh The Journal of Family Practice, satu sudu madu sebelum tidur dapat membantu menenangkan tekak yang gatal dan mengurangkan batuk, terutamanya untuk kanak-kanak berusia lebih 1 tahun. Madu bertindak sebagai lapisan pelindung yang menenangkan kerengsaan di tekak.
Satu lagi cara mudah ialah berkumur dengan air garam. Ini membantu mengurangkan keradangan pada tekak dan membunuh bakteria yang mungkin menjadi punca batuk dan gatal tekak.
2. Penggunaan Ubat Bebas di Farmasi
Lozenges atau gula-gula penenang tekak boleh menjadi pilihan mudah untuk melegakan gatal tekak dan kerengsaan. Lozenges yang mengandungi mentol atau bahan anti-radang membantu memberikan rasa sejuk dan melegakan keradangan pada tekak, menjadikan batuk lebih terkawal.
Selain itu, penggunaan sirap batuk juga penting, tetapi perlu disesuaikan dengan jenis batuk yang dialami.
Untuk batuk berkahak, sirap ekspektoran membantu melonggarkan kahak, manakala sirap antitussive lebih sesuai untuk batuk kering yang tidak produktif.
Jika punca batuk dan gatal tekak adalah alergi, antihistamin seperti loratadine atau cetirizine boleh membantu mengawal simptom dengan mengurangkan keradangan dan gatal yang disebabkan oleh reaksi alahan.
3. Penggunaan Humidifier
Udara yang terlalu kering, terutamanya ketika menggunakan pendingin hawa atau semasa cuaca sejuk, boleh memperburuk batuk dan gatal tekak. Kekeringan udara ini menyebabkan saluran pernafasan kehilangan kelembapan semula jadi, menjadikan tekak lebih mudah teriritasi dan gatal.
Menggunakan humidifier di rumah adalah satu cara efektif untuk meningkatkan kelembapan udara di sekitar anda. Menurut U.S Environmental Protection Agency, humidifier membantu menambah kelembapan yang hilang, mencegah pengeringan pada tekak dan hidung, serta mengurangkan risiko iritasi.
Ini sangat bermanfaat bagi individu yang sering batuk pada waktu malam, kerana udara yang lembap dapat memberikan persekitaran yang lebih selesa untuk tidur. Untuk hasil terbaik, pastikan humidifier dibersihkan secara berkala bagi mengelakkan pembentukan bakteria atau kulat yang boleh menyebabkan masalah kesihatan lain.
4. Elakkan Pencetus
Jika anda merokok, langkah pertama yang sangat penting adalah menghentikan tabiat ini segera. Asap rokok mengandungi bahan kimia toksik yang memperburuk keradangan tekak dan merosakkan saluran pernafasan, menjadikan batuk berpanjangan lebih sukar untuk sembuh.
Selain itu, untuk individu yang tinggal di kawasan berhabuk atau terdedah kepada asap dan bahan pencemar udara, adalah penting untuk mengurangkan pendedahan kepada faktor-faktor ini.
Menggunakan penutup muka yang sesuai, seperti pelitup jenis N95, boleh membantu melindungi saluran pernafasan daripada partikel berbahaya, sekaligus mengurangkan risiko kerengsaan tekak dan masalah pernafasan.
5. Rawatan Alternatif Herba
Halia dan kunyit adalah herba tradisional yang terkenal dengan sifat penyembuhannya, khususnya untuk melegakan batuk dan keradangan. Minuman halia panas membantu meningkatkan peredaran darah, merangsang sistem imun, dan melegakan kerengsaan di tekak.
Kunyit, apabila dicampur dengan susu panas, bertindak sebagai agen anti-radang semula jadi yang mampu mengurangkan batuk dan mempercepatkan proses penyembuhan saluran pernafasan yang meradang.
Selain itu, akar licorice (licorice root) juga merupakan ramuan semula jadi yang sangat efektif yang melegakan batuk.
Kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, licorice root mengandungi sebatian anti-radang dan pelembap yang membantu menenangkan tekak yang gatal dan meredakan batuk kering. Dengan sifatnya yang membantu mencairkan kahak, akar licorice turut berfungsi memudahkan pernafasan dan mengurangkan ketidakselesaan pada tekak.
Gabungan herba ini bukan sahaja memberikan kelegaan segera tetapi juga menyokong kesihatan keseluruhan saluran pernafasan.
6. Rawatan Perubatan
Jika batuk berpanjangan disebabkan oleh jangkitan bakteria seperti bronkitis atau sinusitis, doktor mungkin akan memberikan antibiotik.
Bagi pesakit dengan asma atau alergi, ubat penyedut (inhaler) atau semburan hidung streroid mungkin diperlukan. Untuk GERD, doktor boleh mencadangkan ubat pengurang asid seperti antasid atau proton pump inhibitor (PPI).
7. Penyesuaian Diet dan Gaya Hidup
Elakkan makanan pedas atau berminyak jika anda mengalami GERD. Tambahkan makanan kaya vitamin C seperti oren dan kiwi untuk meningkatkan imuniti. Pastikan anda berehat secukupnya untuk mempercepatkan pemulihan.
8. Rawatan Profesional Tambahan
Dalam kes yang lebih serius, seperti tuberkulosis atau masalah paru-paru kronik, rawatan jangka panjang di bawah pemantauan doktor diperlukan. Ini termasuk pemeriksaan lanjut seperti X-ray atau ujian darah untuk mengenal pasti punca sebenar.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Anda perlu mendapatkan nasihat doktor jika batuk berpanjangan dan gatal tekak disertai dengan:
- Kahak berdarah atau berwarna luar biasa.
- Kehilangan berat badan yang mendadak.
- Demam tinggi yang berlanjutan lebih daripada tiga hari.
- Sesak nafas yang semakin teruk.
- Batuk yang tidak reda selepas tiga minggu walaupun mendapat rawatan asas.
Kesimpulan
Kesimpulannya, batuk berpanjangan dan gatal tekak boleh disebabkan oleh pelbagai faktor daripada jangkitan ringan hingga masalah kesihatan yang lebih serius. Penting untuk mengenal pasti punca utama agar rawatan yang sesuai dapat diberikan.
Anda juga boleh baca informasi tentang batuk yang lain di sini: