Bayi Cirit Birit : Simptom, Punca & Cara untuk Merawat
Bayi cirit birit merupakan masalah kesihatan yang sering meresahkan ibu bapa, terutama apabila ia berlaku secara tiba-tiba atau berulang. Keadaan ini merujuk kepada perubahan dalam corak buang air besar bayi yang menjadi lebih cair, berair dan berlaku dengan kerap.
Walaupun kebanyakan kes adalah ringan dan tidak berbahaya, cirit-birit tetap perlu diberi perhatian kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi dan menjejaskan tumbesaran bayi jika tidak ditangani dengan betul.
Oleh itu, penting bagi ibu bapa untuk mengenal pasti simptom awal, memahami punca utama dan mengetahui langkah-langkah rawatan yang sesuai agar bayi kekal sihat dan selesa sepanjang tempoh pemulihan.
Apa itu Bayi Cirit Birit?

Menurut National Center for Biotechnology Information, bayi cirit birit merujuk kepada keadaan di mana bayi membuang air besar dalam bentuk najis yang sangat cair atau berair, lebih kerap daripada kebiasaannya.
Ia merupakan tanda bahawa sistem pencernaan bayi sedang mengalami gangguan, sama ada akibat jangkitan, perubahan pemakanan, atau alahan tertentu.
Dalam kebanyakan kes, cirit-birit pada bayi berlaku secara akut dan boleh sembuh dalam beberapa hari, namun jika berlarutan lebih daripada dua minggu, ia dianggap kronik dan memerlukan pemeriksaan lanjut.
Sebagai contoh, seorang bayi berusia 8 bulan yang baru diperkenalkan dengan makanan pejal mungkin mengalami cirit-birit jika sistem penghadamannya tidak dapat menerima kandungan protein dalam makanan tersebut.
Bayi itu mungkin membuang air besar lebih daripada lima kali sehari, dengan najis berair, berlendir, dan berbau kuat. Keadaan ini boleh menyebabkan dehidrasi jika tidak ditangani dengan cepat, terutamanya jika bayi juga mengalami muntah atau kurang minum susu.
Punca Bayi Cirit Birit
Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan bayi mengalami cirit-birit, dan kebanyakannya bersifat ringan serta boleh sembuh dengan sendiri tanpa rawatan khusus.
Namun dalam kes yang jarang berlaku, cirit-birit mungkin menandakan masalah kesihatan yang lebih serius dan memerlukan perhatian perubatan. Berikut merupakan punca bayi mengalami cirit-birit.
1. Perubahan dalam Diet Ibu Menyusu

Kajian daripada Korean Journal of Pediatrics mendapati bahawa, perubahan dalam diet ibu boleh mempengaruhi kandungan susu ibu dan menyebabkan cirit-biri kepada bayi.
Contohnya, jika ibu mengambil makanan yang sangat pedas atau manisan berlebihan, kandungan susu badan juga mungkin berubah.
Perubahan ini boleh menyebabkan sistem penghadaman bayi menjadi tidak stabil, menghasilkan pergerakan usus yang lebih cepat dan najis yang lebih cair. Walaupun jarang berlaku, bayi yang mempunyai perut sensitif boleh menunjukkan reaksi segera terhadap perubahan kecil dalam diet ibu.
2. Pengambilan Ubat-ubatan oleh Ibu Menyusu
Selain daripada makanan, ubat-ubatan seperti antibiotik yang diambil oleh ibu juga boleh masuk ke dalam susu badan dan menyebabkan gangguan pada sistem penghadaman bayi.
Malah, sesetengah suplemen pemakanan seperti serbuk protein atau vitamin juga boleh mempengaruhi susu dan menimbulkan cirit-birit, terutama bagi bayi yang mempunyai sistem pencernaan yang lebih sensitif.
3. Jangkitan Virus atau Bakteria (Stomach Bug)

Salah satu punca paling biasa bagi cirit-birit bayi adalah jangkitan virus atau bakteria yang dikenali sebagai gastroenteritis atau “stomach bug”. Virus ini boleh menyebabkan bayi mengalami cirit-birit berulang kali dalam tempoh 24 jam, dan mungkin disertai gejala lain seperti muntah dan demam ringan.
Walaupun kebanyakan kes ini akan sembuh sendiri, penjagaan rapi diperlukan untuk mencegah dehidrasi.
4. Kesan Sampingan Ubat-ubatan yang Diambil oleh Bayi

Kadangkala, bayi yang sedang sakit perlu mengambil ubat-ubatan tertentu seperti antibiotik atau ubat untuk jangkitan parasit.
Ubat-ubatan ini boleh menyebabkan najis bayi menjadi lebih cair. Malah, sesetengah bayi juga sensitif terhadap ubat demam dan sakit biasa yang dibeli di farmasi, yang boleh menyebabkan kesan sampingan seperti cirit-birit.
5. Perubahan Diet Bayi

Menurut National Center for Biotechnology Information, apabila bayi mencecah usia sekitar 6 bulan dan mula diperkenalkan kepada makanan pejal, perubahan ini boleh menjejaskan sistem penghadaman mereka yang masih belum matang.
Tubuh bayi mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan jenis makanan baru, dan ini boleh mengakibatkan cirit-birit sementara sehingga sistem penghadaman stabil semula.
6. Kandungan dalam Susu Formula

Bagi bayi yang diberi susu formula, sesetengah bahan dalam formula boleh menyebabkan cirit-birit. Ada bayi yang sukar mencerna formula tertentu, terutamanya apabila beralih kepada jenama baharu.
Ini boleh menyebabkan kekejangan perut, angin, dan najis cair. Walaupun keadaan ini jarang berlaku, ia tetap menjadi punca yang perlu diperhatikan.
7. Alergi dan Intoleransi Susu
Alergi terhadap susu lembu dan intoleransi laktosa adalah dua keadaan berbeza, tetapi kedua-duanya boleh menyebabkan cirit-birit pada bayi.
Kajian oleh World Journal of Clinical Pediatrics mendapati bahawa, alergi susu lembu berlaku apabila sistem imun bayi bertindak balas terhadap protein dalam susu dan boleh menyebabkan muntah atau cirit-birit sebaik sahaja selepas penyusuan.
Ia jarang berlaku, dengan hanya kira-kira 7% bayi bawah satu tahun mengalaminya. Intoleransi laktosa pula berlaku apabila bayi tidak dapat mencerna gula dalam susu (laktosa), yang biasanya muncul selepas jangkitan perut.
8. Punca yang Jarang Berlaku (Kes-Kes Serius)
Dalam kes yang sangat jarang, cirit-birit bayi mungkin disebabkan oleh penyakit serius seperti jangkitan usus besar (contohnya Shigella colitis), jangkitan bakteria C. difficile, fibrosis sista (cystic fibrosis), atau tumor neuroendokrin.
Keadaan-keadaan ini biasanya menyebabkan cirit-birit yang berpanjangan dan tidak sembuh dengan rawatan biasa. Pemeriksaan perubatan menyeluruh diperlukan sekiranya bayi menunjukkan simptom-simptom berterusan dan membimbangkan.
Simptom & Gejala
Berikut ialah simptom dan gejala bayi cirit birit yang perlu anda tahu:
Simptom Utama Cirit Birit Bayi:
- Najis cair, berair atau berlendir
- Kekerapan buang air besar meningkat (lebih 3 kali sehari)
- Najis keluar dalam jumlah banyak dan tidak dapat ditampung oleh lampin
- Warna najis berubah (kuning kehijauan, berlendir, atau berbau kuat)
Gejala Tambahan Yang Mungkin Berlaku:
- Muntah
- Kembung atau sakit perut
- Demam (suhu badan meningkat)
- Hilang selera makan
Tanda-Tanda Dehidrasi:
- Mulut, lidah dan bibir kering
- Mata cengkung
- Tiada atau kurang air mata ketika menangis
- Lampin kering lebih dari 6 jam
- Bayi lesu, tidak aktif, atau mudah meragam
- Ubun-ubun (fontanel) cengkung
- Kulit pucat atau sejuk
- Pernafasan laju atau cetek
- Tidak mahu menyusu atau minum
Tahap Keparahan Cirit-Birit:
- Ringan: 3–5 kali najis cair sehari
- Sederhana: 6–9 kali sehari
- Teruk: 10 kali atau lebih sehari
Cara Rawat Bayi Cirit Birit
Walaupun cirit-birit pada bayi boleh menyebabkan kebimbangan kepada ibu bapa, kebanyakan kes adalah ringan dan akan sembuh dengan sendirinya tanpa memerlukan rawatan perubatan.
Namun begitu, terdapat beberapa langkah rawatan yang boleh dilakukan di rumah untuk memastikan bayi kekal selesa dan terhindar daripada komplikasi penyakit tertentu.
1. Pastikan Bayi Sentiasa Terhidrat
Langkah paling penting dalam merawat bayi yang mengalami cirit-birit adalah memastikan mereka tidak mengalami dehidrasi. Cirit-birit menyebabkan kehilangan banyak cecair dan elektrolit daripada tubuh.
Sekiranya bayi menyusu badan, penyusuan harus diteruskan seperti biasa kerana susu ibu bukan sahaja membantu menggantikan cecair yang hilang, malah mengandungi antibodi semula jadi yang membantu melawan jangkitan.
Jika bayi menyusu formula, teruskan memberikan susu seperti biasa tanpa mengubah kepekatan atau sukatan. Dalam kes tertentu, pakar pediatrik mungkin mencadangkan pemberian minuman elektrolit khas untuk bayi seperti Pedialyte, yang boleh membantu menggantikan garam dan mineral penting.
Namun, dalam kebanyakan kes, susu ibu atau formula sudah mencukupi untuk mengekalkan hidrasi bayi.
2. Kerap Tukar Lampin dan Jaga Kebersihan

Apabila bayi mengalami cirit-birit, najis yang cair dan kerap boleh menyebabkan kulit di kawasan lampin menjadi merah, lembap, dan mudah melecet. Oleh itu, adalah sangat penting untuk menukar lampin dengan kerap bagi memastikan kawasan tersebut kekal bersih dan kering.
Ibu bapa boleh menggunakan tisu basah tanpa alkohol atau kain lembap yang lembut untuk membersihkan kulit bayi, kemudian sapukan krim pelindung seperti krim zink oksida untuk mencegah ruam lampin.
Langkah ini dapat memberikan keselesaan kepada bayi dan mengelakkan komplikasi seperti jangkitan kulit.
3. Beri Makanan Pejal yang Sesuai (Jika Bayi Sudah Mula Makan)
Bagi bayi yang sudah mula makan makanan pejal, pemberian makanan yang sesuai boleh membantu menenangkan sistem penghadaman mereka.
Makanan seperti biskut kering, bijirin, pasta, dan pisang adalah antara pilihan yang lembut dan mudah dihadam. Makanan ini membantu memadatkan najis dan mengurangkan keparahan cirit-birit.
Namun, pemberian makanan perlulah dalam kuantiti kecil dan secara beransur-ansur, sambil memantau tindak balas tubuh bayi terhadap makanan tersebut.
4. Elakkan Makanan dan Minuman yang Boleh Memburukkan Cirit-Birit
Semasa bayi mengalami cirit-birit, ibu bapa perlu mengelakkan pemberian makanan atau minuman tertentu yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Ini termasuk susu lembu (selain daripada formula yang biasa digunakan), jus buah seperti jus epal, makanan bergoreng, makanan pedas, serta minuman sukan yang dikhaskan untuk orang dewasa.
Jus buah dan susu lembu boleh menyebabkan najis menjadi lebih cair, manakala makanan berminyak dan pedas boleh mengganggu perut bayi yang sensitif.
Elakkan juga memberikan makanan baru yang belum pernah diperkenalkan sebelum ini semasa bayi sedang mengalami cirit-birit.
5. Jangan Berikan Ubat Anticirit-Birit Tanpa Nasihat Doktor
Penggunaan ubat antidiarrheal (anticirit-birit) tidak sesuai untuk bayi kecuali diarahkan oleh pakar pediatrik. Ubat-ubatan jenis ini biasanya tidak selamat untuk bayi dan boleh menimbulkan kesan sampingan yang serius.
Oleh itu, ibu bapa tidak digalakkan memberi sebarang ubat tanpa nasihat perubatan. Kebanyakan kes cirit-birit bayi akan pulih dengan sendirinya melalui rehat, hidrasi yang mencukupi dan penjagaan rapi di rumah.
Bila Perlu Jumpa Doktor

Ibu bapa perlu membawa bayi berjumpa doktor sekiranya cirit-birit yang dialami menunjukkan tanda-tanda luar biasa atau disertai dengan simptom yang membimbangkan.
Berikut adalah antara tanda bayi cirit birit yang serius dan perlu mendapat perhatian doktor dengan segera:
- Najis berwarna merah (mungkin tanda pendarahan dalam usus)
- Najis berwarna putih atau sangat cerah (boleh jadi tanda masalah hati)
- Cirit-birit yang teruk, lebih daripada 10 kali najis cair sehari
- Muntah berulang kali atau muntah kuat (forceful vomiting)
- Muncul ruam kulit
- Demam yang berterusan
- Penurunan berat badan yang ketara
- Tidak bertambah berat badan seperti biasa
Jika bayi menunjukkan satu atau lebih tanda di atas, segera dapatkan rawatan perubatan untuk mengelakkan komplikasi serius.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, masalah bayi cirit birit adalah masalah yang lazim namun boleh dikawal dengan langkah penjagaan yang betul di rumah.
Dengan mengenal pasti simptom, memahami punca sama ada daripada pemakanan, jangkitan atau sensitiviti tertentu, serta memberikan rawatan yang sesuai seperti menjaga hidrasi dan mengelakkan makanan yang memburukkan keadaan, kebanyakan bayi akan pulih dalam masa beberapa hari.
Namun, ibu bapa harus sentiasa peka terhadap tanda-tanda bahaya seperti najis merah atau putih, muntah berlebihan, atau tanda dehidrasi yang serius. Tindakan pantas dan pemeriksaan perubatan amat penting dalam memastikan kesihatan dan keselamatan bayi sentiasa terpelihara.
Anda juga boleh baca segala informasi tentang masalah cirit birit di sini: