Anak Cirit Birit Tapi Aktif? Ibu Bapa Perlu Amalkan 10 Tips Ni
Anak cirit-birit tapi aktif sering membuatkan ibu bapa keliru sama ada perlu bimbang atau tidak.
Walaupun si kecil masih ceria dan bermain seperti biasa, cirit birit tetap perlu diberi perhatian agar tidak membawa kepada masalah seperti dehidrasi.
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda tentang punca anak cirit birit tapi aktif, dan 10 tips berkesan untuk merawat masalah tersebut.
Kenapa Anak Cirit Birit Tapi Aktif?

Cirit birit dalam kalangan kanak-kanak tidak semestinya menunjukkan keadaan yang serius, terutamanya jika mereka masih, ceria dan mempunyai selera makan yang baik.
Keadaan ini sering berlaku apabila jangkitan yang menyebabkan cirit birit hanyalah ringan, seperti jangkitan (contohnya rotavirus) yang tidak menjejaskan tenaga atau mood anak secara keseluruhan.
Sistem imun kanak-kanak yang sihat dapat mengawal jangkitan dengan baik, menyebabkan gejala terhadap kepada najis yang cair tanpa memberi kesan kepada kesihatan umum mereka.
Selain itu, kanak-kanak juga cenderung untuk terus bermain dan bergerak aktif walaupun mengalami ketidakselesaan ringan, kerana tahap tenaga mereka yang masih tinggi. Namun, ibu bapa perlu tetap memantau tanda-tanda dehidrasi seperti bibir kering, kurang air kencing, mata cengkung atau keletihan luar biasa.
Walaupun anak cirit birit tapi aktif, kehilangan air tetap boleh berlaku. Justeru, memberikan anak air atau larutan rehidrasi oral sangat penting untuk memastikan anak kekal terhidrasi.
Jenis Cirit Birit Kanak-Kanak
Cirit-birit pada kanak-kanak boleh dikategorikan kepada beberapa jenis berdasarkan tempoh dan sifat najis.
Memahami jenis-jenis ini amat penting untuk menentukan rawatan yang sesuai dan mengenal pasti tahap keparahan sesuatu keadaan. Menurut World Health Organization, terdapat tiga jenis utama cirit-birit yang sering berlaku:
1. Cirit Birit Akut Berair (Acute Watery Diarrhoea)
Ini merupakan jenis cirit birit yang paling lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Ia berlaku secara tiba-tiba dan biasanya berlangsung selama beberapa jam hingga beberapa hari.
Najis anak akan menjadi cair dan berair tanpa kehadiran darah. Cirit birit jenis ini sering berpunca daripada jangkitan virus seperti rotavirus atau norovirus, dan juga boleh berlaku akibat keracunan makanan.
Dalam kes yang lebih serius, ia juga termasuk jangkitan kolera. Walaupun ia biasanya sembuh sendiri, cirit birit berair yang berlarutan boleh menyebabkan dehidrasi jika tidak dirawat dengan segera.
2. Cirit Birit Akut Berdarah (Acute Bloody Diarrhoea)
Jenis ini lebih membimbangkan kerana najis anak mengandungi darah atau lendir, yang menunjukkan kemungkinan jangkitan bakteria seperti Shigella atau E. coli.
Cirit birit berdarah dikenali juga sebagai disentri, dan biasanya disertai dengan gejala lain seperti demam tinggi, sakit perut yang kuat, dan muntah.
Keadaan ini memerlukan pemeriksaan segera oleh doktor kerana ia boleh menyebabkan komplikasi jika tidak dirawat, termasuk kehilangan darah dan jangkitan yang merebak.
3. Cirit Birit Berterusan (Persistent Diarrhoea)
Cirit birit jenis ini berlaku apabila simptom berlanjutan selama 14 hari atau lebih. Ia mungkin bermula sebagai cirit-birit akut tetapi tidak sembuh seperti biasa.
Cirit birit berterusan boleh berpunca daripada masalah yang lebih kompleks seperti jangkitan parasit, intoleransi makanan (seperti intoleransi laktosa), malabsorpsi, atau penyakit usus kronik seperti penyakit Coeliac atau radang usus (IBD).
Kanak-kanak yang mengalami cirit birit berpanjangan berisiko tinggi mengalami kekurangan zat makanan, dehidrasi, dan pertumbuhan terbantut.
Punca Cirit Birit Kanak-Kanak

1. Ketidakseimbangan Penyerapan Air dalam Usus
Menurut National Center for Biotechnology Information, cirit birit berlaku apabila terlalu sedikit air diserap dari najis semasa proses penghadaman, atau apabila tubuh mengeluarkan terlalu banyak cecair ke dalam usus.
Keadaan ini menyebabkan najis menjadi cair dan longgar. Punca ini boleh berlaku akibat jangkitan, keradangan, atau masalah sistem pencernaan yang lain.
2. Gastroenteritis Virus
Ini merupakan punca paling biasa bagi cirit birit kanak-kanak. Ia adalah jangkitan pada usus yang disebabkan oleh virus seperti rotavirus, norovirus, adenovirus, dan astrovirus.
Jangkitan ini sangat mudah berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang, terutama pada musim luruh dan musim sejuk.
Biasanya, gejala bermula dengan muntah selama 1-2 hari, diikuti dengan cirit birit berair yang boleh berlarutan sehingga 10 hari.
3. Gastroenteritis Bakteria
Menurut National Center for Biotechnology Information, bakteria seperti Salmonella, E. coli, Shigella, dan Campylobacter juga boleh menyebabkan jangkitan usus. Ia sering dikaitkan dengan keracunan makanan.
Cirit birit akibat bakteria ini biasanya datang secara tiba-tiba dan mungkin disertai dengan najis berdarah atau berlendir, demam tinggi, dan sakit perut yang kuat.
4. Jangkitan Parasit
Parasit seperti Giardia dan Cryptosporidium boleh menyebabkan cirit birit berpanjangan. Ia biasanya dijangkiti melalui air tercemar dari sungai, kolam renang, taman tema air, atau air tangki.
Giardia boleh menyebabkan kekejangan perut, cirit birit berlarutan, keletihan dan penurunan berat badan. Manakala Cryptosporidium menyebabkan cirit-birit berair, muntah, loya, dan hilang selera makan.
5. Kesan Sampingan Antibiotik
Kadangkala, pengambilan antibiotik boleh membunuh bakteria baik dalam usus selain bakteria jahat. Kajian dalam Europe Pub Med Central mendapati bahawa, kesannya menyebabkan ketidakseimbangan dalam flora usus dan mencetuskan cirit birit, dikenali sebagai cirit birit berkaitan antibiotik.
Dalam kes lebih serius, bakteria Clostridium difficile (C. diff) boleh tumbuh secara berlebihan dan menyebabkan gejala seperti kekejangan, demam, sakit perut, dan najis berdarah.
6. Sembelit Kronik
Kanak-kanak yang mengalami sembelit dalam jangka masa panjang kadang-kadang akan mengeluarkan najis cair secara tidak senjaga (terkenal sebagai overflow diarrhea).
Ini berlaku apabila najis keras menyekat usus dan najis cair meleleh keluar di sekelilingnya, menyebabkan seluar dalam anak tercemar.
7. Intoleransi Laktosa
Berdasarkan kajian oleh International Dairy Journal, intoleransi laktosa berlaku apabila badan tidak dapat mencerna laktosa, iaitu gula semula jadi dalam susu dan produk tenusu. Ini boleh menyebabkan cirit birit dan sakit perut.
Walaupun tidak begitu biasa dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kecil, ia boleh berlaku sementera selepas jangkitan gastroenteritis. Jika disyaki, ibu bapa perlu berbincang dengan doktor sebelum mengubah diet anak.
8. Penyakit Radang Usus (IBD)
Penyakit seperti Crohn’s disease dan ulcerative colitis termasuk dalam kalangan kategori penyakit radang usus.
Ia menyebabkan keradangan kronik pada saluran pencernaan dan mengakibatkan cirit birit berulang, penurunan berat badan, serta kelewatan pertumbuhan. Gejala penyakit ini sering datang dan pergi dalam tempoh tertentu.
9. Penyakit Coeliac
Coeliac adalah penyakit autoimun yang menyebabkan usus menjadi sensitif terhadap gluten (protein dalam gandum, barli dan rai).
Jika anak menghidap penyakit ini, mereka mungkin mengalami cirit birit, kembung perut, sakit perut, penurunan berat badan, atau pertumbuhan yang lambat. Diagnosis awal penting kerana ia memerlukan pengawalan diet jangka panjang.
10. Sinfrom Malabsorpsi
Malabsorpsi berlaku apabila badan gagal menyerap nutrien penting daripada makanan. Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, ini boleh berlaku disebabkan gangguan dalam sistem penghadaman seperti kerosakan usus kecil.
Anak yang mengalami masalah ini mungkin mempunyai cirit birit yang berterusan, sukar naik berat badan dan kelihatan lemah walaupun makan dengan cukup.
Simptom & Gejala
Setiap kanak-kanak mungkin mengalami simptom yang berbeza, termasukan kes di mana anak cirit birit tapi aktif. Antara simptom yang boleh berlaku termasuk:
- Kekejangan perut
- Sakit di bahagian perut (abdomen)
- Perut kembung
- Rasa mual atau tidak selesa perut
- Rasa mendesak untuk ke tandas dengan segera
- Demam
- Najis berdarah
- Kehilangan cecair badan (dehidrasi)
- Sukar mengawal buang air besar (inkontinen)
Simptom cirit birit kadangkala boleh menyerupai masalah kesihatan lain. Jika cirit birit anak teruk, berpanjangan, atau mengandungi darah, ia mungkin tanda penyakit yang lebih serius.
Pastikan anak anda diperiksa oleh doktor untuk mendapatkan diagnosis yang tepat.
Kesan Anak Cirit Birit
Masalah anak cirit birit tapi aktif boleh memberi kesan serius jika tidak dirawat dengan betul, terutama berkaitan dengan dehidrasi. Apabila anak membuang air besar secara kerap dan najisnya cair, mereka kehilangan banyak air dan garam penting dari tubuh.
Jika kehilangan ini tidak diganti segera, anak boleh mengalami dehidrasi yang menyebabkan mulut kering, tiada air mata ketika menangis, mata cengkung, dan kelesuan.
Dalam kes yang teruk, dehidrasi boleh mengganggu fungsi organ dan mengancam nyawa. Oleh itu, memastikan anak cukup minum dan mendapat larutan rehidrasi oral adalah langkah penting dalam rawatan cirit-birit.
Rawatan untuk Anak Cirit Birit
Berikut adalah 10 rawatan untuk anak cirit birit tapi aktif yang boleh anda praktikkan di rumah:
1. Rehidrasi Badan

Langkah pertama dan paling penting dalam merawat anak cirit birit tapi aktif ialah memastikan tubuh mereka tidak mengalami dehidrasi.
Cirit birit menyebabkan kehilabgan cecair dan elektrolit penting seperti natrium dan klorida daripada tubuh. Oleh itu, pengambilan air yang mencukupi sangat penting untuk mengembalikan keseimbangan bendalir dalam badan.
Selain air kosong, ibu bapa juga boleh memberikan larutan rehidrasi oral (ORS) seperti Pedialyte, jus buah yang dicairkan, atau minuman elektrolit seperti Gatorade.
Bagi bayi, penyusuan susu ibu perlu diteruskan seperti biasa, dan bagi bayi yang diberi susu formula, pemberian susu ibu tidak perlu dihentikan. Elakkan memberi bayi air kosong tanpa nasihat doktor kerana ia boleh mengganggu keseimbangan elektrolit.
2. Amalkan Diet Pemakanan yang Sihat

Mengikut saranan dari International Foundation for Gastrointestinal Disorders, ketika anak sedang pulih daripada cirit birit, mereka disarankan untuk makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap. Pemakanan yang disyorkan termasuk makanan tinggi natrium dan kalium seperti sup, pisang, dan kentang rebus.
Makanan rendah serat seperti yogurt, daging tanpa lemak dan mi juga membantu menenangkan sistem penghadaman.
Salah satu diet popular ketika cirit birit ialah diet BRAT yang terdiri daripada Banana (pisang), Rice (nasi), Applesauce (purée epal), Toast (roti bakar).
Diet ini mengandungi makanan lembut, rendah serat, dan tinggi kanji, yang membantu menjadikan najis lebih padat. Walau bagaimanapun, BRAT diet tidak lengkap dari segi pemakanan dan hanya sesuai diamalkan dalam jangka masa pendek sehingga anak sembuh.
3. Elakkan Makanan Tertentu
Rawatan anak cirit birit tapi aktif yang berikutnya adalah dengan elakkan dari makan makanan yang boleh mengundang cirit birit.
Beberapa jenis makanan boleh memburukkan keadaan cirit birit dan perlu dielakkan. Ini termasuk makanan tinggi lemak seperti makanan bergorang, kerepek, dan pastri; makanan dengan pemanis tiruan; serta makanan tinggi fruktosa.
Daging berlemak seperti bacon dan makanan berserat tinggi seperti kekacang dan sayur daripada keluarga kubis (contohnya brokoli dan kobis) juga boleh menganggu sistem pencernaan anak.
Jika anak anda mempunyai intoleransi laktosa, produk tenusu seperti susu dan ais krim juga harus dielakkan buat sementara waktu.
4. Pengambilan Probiotik
Probiotik ialah mikrooganisma baik yang membantu meningkatkan kesihatan sistem penghadaman khususnya bagi menangani masalah anak cirit birit tapi aktif.
Ia dipercayai membantu mempercepatkan pemulihan dengan menstabilkan keseimbangan bakteria dalam usus, mengurangkan kekerapan buang air besar dan memperbaiki bentuk najis.
Probiotik boleh diperoleh melalui yogurt atau makanan fermentasi seperti tempe, serta dalam bentuk suplemen.
Walaupun kajian menunjukkan manfaatnya, suplemen probiotik tidak semuanya dikawal selia oleh pihak berkuasa, jadi sebaiknya rujuk doktor sebelum memberi probiotik kepada anak.
5. Ubat-Ubatan

Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh digunakan untuk merawat masalah anak cirit birit tapi aktif. Antaranya ialah operamide (Imodium) yang melambatkan pergerakan usus dan bismuth subsalicylate (seperti Pepto Bismol) yang membantu menenangkan perut.
Namun begitu, ubat ini tidak sesuai diberikan kepada kanak-kanak kecil tanpa nasihat doktor, terutama jika anak mengalami demam atau najis berdarah.
Bagi meredakan kesakitan atau ketidakselesaan, ubat penahan sakit seperti acetaminophen boleh digunakan mengikut dos yang selamat.
6. Makanan yang Perlu Dielakkan
Selain makanan tinggi lemak dan bergoreng, ibu bapa juga perlu berhati-hati dengan makanan lain yang boleh memburukkan lagi cirit birit atau menyebabkan kembung.
Antara makanan dan minuman yang perlu dielakkan termasuk:
- Minuman berkafein seperti kopi dan teh
- Minuman beralkohol dan berkarbonat
- Pemanis tiruan dalam gula-gula getah dan minuman diet
- Sayur-sayuran tertentu seperti brokoli, kobis, bayam, kacang pea dan jagung
- Buah-buahan seperti prun dan beri
- Produk tenusu seperti susu dan ais krim
7. Rehat yang Mencukupi

Walaupun anak cirit birit tapi aktif, tubuh mereka sebenarnya sedang bekerja keras untuk melawan jangkitan atau keradangan.
Oleh itu, rehat yang mencukupi amat penting bagi membantu sistem imun berfungsi dengan lebih berkesan. Pastikan anak tidak terlalu aktif atau keletihan, dan galakkan mereka tidur secukupnya pada waktu malam serta berehat pada siang hari.
Rehat juga membantu mengurangkan tekanan pada sistem pencernaan yang sedang sensitif.
8. Pemantauan Tanda-Tanda Dehidrasi
Salah satu aspek penting dalam rawatan anak cirit birit tapi aktif ialah mengenal pasti tanda-tanda awal dehidrasi.
Ibu bapa perlu memantau keadaan anak secara berkala, khususnya dalam aspek berikut seperti:
- Bibir dan mulut kering
- Air kencing yang kurang atau pekat
- Mata cengkung
- Kulit kurang anjal
- Keletihan luar biasa
Jika tanda-tanda ini muncul, segera tingkatkan pemberian cecair atau larutan rehidrasi oral. Jika keadaan berterusan, dapatkan rawatan segera di klinik atau hospital bagi mengelakkan komplikasi serius.
9. Elakkan Ubat Sembarangan Tanpa Nasihat Doktor
Dalam situasi anak cirit birit tapi aktif, sesetengah ibu bapa mungkin tergesa-gesa memberi ubat tahan sakit cirit birit yang dibeli dari farmasi.
Namun, ini boleh mendatangkan bahaya terutamanya jika cirit birit berpunca daripada jangkitan bakteria atau parasit di mana badan sebenarnya sedang cuba membuang toksin.
Penggunaan ubat seperti loperamide tanpa pemeriksaan doktor boleh menyebabkan toksin terkumpul dalam badan.
Oleh itu, penting untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memberi sebarang ubat kepada anak.
10. Rawatan Penyebab Asas (Jika Perlu)
Kadangkala, cirit birit berlaku akibat jangkitan bakteria (contohnya Salmonella, E. coli, Shigella) atau parasit seperti Giardia.
Dalam kes seperti ini, rawatan perlu difokuskan kepada punca sebenar. Doktor mungkin akan melakukan ujian najis untuk mengenal pasti patogen tertentu dan seterusnya menetapkan antibiotik atau antiparasit yang sesuai.
Rawatan asas ini penting untuk menghentikan cirit birit yang berlarutan atau berulang, terutamanya jika anak menunjukkan simptom lebih berat seperti demam tinggi, najis berdarah, atau kekejangan perut yang kuat.
Bila Perlu Jumpa Doktor

Sesetengah kes cirit birit pada kanak-kanak perlu diperiksan oleh doktor. Segera bawa anak ke klinik atau hospital jika;
- Anak berumur bawah 6 bulan
- Cirit-birit berlarutan lebih 24 jam
- Demam tinggi melebihi 39°C
- Muntah berulang kali
- Najis berdarah atau berwarna hitam
- Tanda-tanda dehidrasi seperti terlalu haus, mata atau pipi cengkung, mulut/lidah kering, tiada air mata semasa menangis, dan lampin kering lebih 3 jam (bagi bayi, bahagian lembut di kepala juga boleh kelihatan cengkung)
Kesimpulan
Kesimpulannya, anak cirit birit tapi aktif bukanlah alasan untuk ibu bapa mengabaikan rawatan yang betul.
Dengan pemantauan dan penjagaan yang sesuai, anak boleh pulih dengan selamat dan terhindar daripada risiko yang lebih serius.
Anda juga boleh baca segala informasi tentang masalah cirit birit di sini:

