10 Punca Gout Paling Biasa Menyerang Lelaki dan Wanita

Punca gout sering dikaitkan dengan gaya hidup dan pemakanan, namun hakikatnya penyakit ini melibatkan faktor kesihatan yang lebih kompleks.

Di Asia Tenggara termasuk Malaysia, dianggarkan 4.35 juta orang menghidap gout, dengan jumlah kes meningkat sebanyak 21 peratus dari tahun 1990 hingga 2020. Angka ini membuktikan bahawa gout bukan sahaja masalah biasa, malah semakin meluas dan memberi kesan kepada ramai orang tanpa mengira jantina.

Dari sudut perubatan, gout adalah sejenis arthritis keradangan (inflammatory arthritis) yang menyebabkan sakit dan bengkak pada sendi.

Serangan gout atau gout flares biasanya berlaku secara tiba-tiba, kerap bermula di ibu jari kaki atau anggota bawah, dan boleh berlanjutan selama seminggu atau dua sebelum reda sendirinya.

Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda 10 punca gout paling biasa yang menyerang lelaki dan wanita, supaya langkah pencegahan dapat diambil sebelum keadaan menjadi lebih serius.

1. Mempunyai Paras Urik yang Tinggi

punca gout paras urik yang tinggi

Salah satu punca gout yang paling utama ialah mempunyai paras asid urik yang tinggi dalam darah.

Asid urik terbentuk sebagai bahan buangan apabila badan memecahkan sejenis bahan kimia yang dipanggil purin, yang terdapat dalam makanan dan minuman tertentu seperti daging mereh, makanan laut, organ dalaman, serta minuman beralkohol.

Kebiasaannya, sebahagian besar asid urik akan larut dalam darah ditapis melalui buah pinggang, lalu dikeluarkan dari tubuh melalui air kencing.

Namun, apabila badan menghasilkan terlalu banyak asid urik atau buah pinggang gagal menyingkirkannya dengan berkesan, keadaan ini dikenali sebagai hiperurisemia (hyperuricemia).

Paras asid urik yang berlebihan akan mula bergumpal membentuk kristal tajam yang boleh mendap di dalam sendi, lalu mencetuskan serangan gout. Selain itu, kristal asid urik juga boleh terkumpul di buah pinggang dan menyebabkan masalah batu karang.

Berikut ialah julat paras asid urik dalam darah mengikut jantina (dinyatakan dalam miligram per desiliter, mg/dL):

Paras Asid UrikLelakiWanita
RendahBawah 2.5 mg/dLBawah 1.5 mg/dL
Normal2.5 – 7.0 mg/dL1.5 – 6.0 mg/dL
TinggiLebih 7.0 mg/dLLebih 6.0 mg/dL

2. Kurang Air Dalam Badan

punca gout kurang air dalam badan

Air sangat penting untuk proses perkumuhan kerana ia membantu buah pinggang menapis darah dan menyingkirkan lebihan purin serta asid urik melalui air kencing.

Jika badan kekurangan air, buang pinggang tidak dapat berfungsi dengan baik. Akibatnya, paras asid urik meningkat dalam darah, lalu membentuk kristal tajam yang mendap di sendi dan mencetuskan serangan gout.

Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, air juga memastikan saluran darah kekal terbuka supaya proses penapisan di buah pinggang berjalan lancar.

Namun, apabila berlaku dehidrasi, jumlah air tidak cukup untuk mencairkan asid urik. Ini menyebabkan asid urik terkumpul dengan lebih cepat, selain memberi kesan pro-radang yang mencetuskan gout.

Bagi mengurangkan risiko, penghidap gout disarankan minum air secukupnya setiap hari: sekurang-kurangnya 11.5 cawan (2.7 liter) untuk wanita dan 15.5 cawan (3.7 liter) untuk lelaki.

Keperluan ini meningkat jika anda banyak bersenam, berpeluh, berada dalam cuaca panas, atau sedang mengalami serangan gout. Semasa flare-up, lebih banyak air diperlukan untuk membantu tubuh menyingkirkan asid urik dengan cepat.

Pilihan terbaik ialah air kosong, diikuti teh tanpa gula atau jus buah tanpa gula tambahan. Elakkan minuman bergula seperti soda, minuman tenaga, atau jus manis kerana ia boleh memburukkan dehidrasi dan mencetuskan serangan gout.

3. Pengambilan Ubat-ubatan Tertentu

Selain faktor gaya hidup dan pemakanan, pengambilan ubat-ubatan tertentu juga boleh meningkatkan risiko gout.

Ini kerana ada ubat yang memberi kesan kepada cara tubuh menyingkirkan asid urik, sama ada dengan mengurangkan keupayaan buah pinggang untuk menapis atau meningkatkan penghasilan asid urik dalam badan.

Antara ubat yang dikaitkan dengan gout ialah:

  • Diuretik – digunakan untuk membuang lebihan cecair dalam badan, tetapi pada masa sama boleh mengurangkan penyingkiran asid urik melalui air kencing.
  • Aspirin dos rendah – walaupun bermanfaat untuk kesihatan jantung, ia boleh menyebabkan paras asid urik meningkat.
  • Niacin (vitamin B3) – jika diambil dalam dos yang tinggi, boleh mengganggu metabolisme purin dan meningkatkan risiko gout.
  • Cyclosporine – sejenis ubat imunosupresan yang digunakan untuk pesakit pemindahan organ dan juga bagi merawat penyakit autoimun tertentu, tetapi kesannya boleh meningkatkan paras asid urik dalam badan.

Pengambilan ubat-ubatan ini tidak semestinya akan menyebabkan gout pada semua individu, namun ia boleh menjadi faktor pencetus terutama bagi mereka yang sudah mempunyai paras asid urik tinggi.

Oleh itu, pesakit yang perlu mengambil ubat-ubatan tersebut disarankan untuk berbincang dengan doktor tentang cara mengawal risiko, termasuk mengubah gaya hidup dan menjaga pemakanan agar serangan gout dapat dielakkan.

4. Penyakit Keturunan

Gout juga boleh berpunca daripada faktor keturunan. Jika anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap gout, risiko anda untuk mendapat penyakit ini adalah lebih tinggi kerana sebahagiannya dipengaruhi oleh genetik.

Kajian oleh Hawai’i Journal of Medicine & Public Health menunjukkan bahawa, kebarangkalian gout diwarisi adalah sekitar 65%, iaitu kadar yang agak tinggi.

Keadaan ini melibatkan gen yang mengawal pengangkut urat (urate transporters), iaitu mekanisme dalam badan yang bertugas mengawal perkumuhan asid urik.

Jika terdapat variasi pada gen-gen ini, ia boleh menjejaskan keupayaan tubuh menyingkirkan asid urik dengan baik, lalu meningkatkan risiko pembentukan kristal urat dan seterusnya mencetuskan gout.

Secara keseluruhan, dianggarkan 20% penghidap gout mempunyai ahli keluarga yang turut mengalami penyakit sama, dan risikonya lebih tinggi jika melibatkan ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa atau adik-beradik kandung.

Malah, terdapat berpuluh-puluh jenis variasi gen yang boleh dikaitkan dengan gout, dan seseorang mungkin mewarisi lebih daripada satu variasi.

Hari ini, ujian genetik boleh dijalankan untuk mengenal pasti risk alleles (variasi gen yang meningkatkan risiko gout). Lebih banyak variasi gen risiko ini yang dimiliki, lebih tinggi kebarangkalian seseorang itu mendapat gout.

Sebagai contoh, kajian pada tahun 2016 mendapati individu dengan lima atau lebih risk alleles mempunyai risiko gout yang jauh lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai empat atau kurang.

5. Pengambilan Alkohol yang Tidak Terkawal

punca gout pengambilan alkohol

Punca gout yang berikutnya adalah disebabkan oleh pengambilan alkohol secara berlebihan.

Kajian oleh The American Journal of Medicine menunjukkan bahawa, minimum seperti bir, wain, dan liqour boleh menaikkan paras asid urik dalam darah. Lebih banyak alkohol diminum, lebih tinggi kebarangkalian seseorang mengalami serangan gout.

Malah, satu kajian pada tahun 2025 mendapati bahawa walaupun pengambilan alkohol dalam jumlah sederhana boleh meningkatkan risiko gout di kalangan lelaki.

Peserta kajian yang mengambil sehingga dua gelas alkohol dalam tempoh 24 jam didapati mempunyai 36% risiko lebih tinggi untuk mendapat serangan gout berbanding mereka yang tidak minum langsung.

Bukan itu sahaja, kombinasi kandungan purine yang tinggi dan kesan dehidrasi inilah yang menjadikan alkohol sangat berisiko bagi penghidap gout.

Oleh itu, mereka yang pernah atau sedang mengalami gout amat disarankan untuk mengehadkan, atau sebaik-baiknya mengelakkan pengambilan alkohol bagi mengurangkan risiko serangan berulang.

6. Pengambilan Makanan yang Tinggi Purin

punca gout makanan tinggi purin

Makanan yang tinggi purin merupakan punca gout yang paling kerap dikaitkan dengan penyakit ini. Purin ialah sejenis bahan semula jadi yang terdapat dalam banyak jenis makanan dan minuman.

Apabila purin diuraikan dalam badan, ia menghasilkan asid urik sebagai bahan sampingan.

Jika jumlah purin terlalu tinggi, paras asid urik akan meningkat sehingga tubuh tidak mampu menyingkirkannya dengan cukup cepat, lalu terbentuklah kristal urat yang mencetuskan serangan gout.

Antara makanan yang dikenal pasti mengandungi purin tinggi termasuk:

  • Daging merah (seperti daging lembu, kambing, dan daging babi)
  • Organ dalaman (hati, limpa, ginjal)
  • Makanan laut tertentu (sardin, ikan bilis, kerang, sotong, udang)
  • Makanan berproses seperti daging dalam tin dan sosej

Selain itu, minuman bergula yang mengandungi fruktosa tinggi juga boleh meningkatkan penghasilan asid urik, walaupun ia bukan makanan tinggi purin secara langsung.

Bagi penghidap gout, pengawalan diet sangat penting. Ini tidak bermakna semua makanan berpurin perlu dihapuskan sepenuhnya, tetapi pengambilannya harus dihadamkan dalam jumlah sederhana dan seimbang, dengan memberi lebih tumpuan pada makanan sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh, serta sumber protein rendah purin.

7. Faktor Umur yang Semakin Meningkat

Umur yang semakin meningkat juga meningkatkan risiko gout. Lelaki berumur antara 40 hingga 50 tahun adalah kumpulan yang paling kerap diserang gout. Bagi wanita, risiko meningkat selepas menopaus kerana penurunan hormon estrogen.

Estrogen sebelum ini membantu buah pinggang menyingkirkan asid urik, jadi bila hormon ini berkurang, paras asid urik lebih mudah terkumpul.

Selain itu, fungsi buah pinggang biasanya menjadi kurang efisien apabila usia bertambah. Ini menyukarkan badan menyingkirkan asid urik, lalu memudahkan pembentukan kristal di sendi.

8. Obesiti

punca gout obesiti

Obesiti dan gout mempunyai hubungan yang sangat rapat, Kebanyakan kajian mendapati apabila seseorang mengalami obesiti, risikonya untuk mendapat gout turut meningkat.

Malah, kajian dari Archives of Medical Science menunjukkan risiko gout boleh naik 55% setiap kali Indeks Jisim Badan (BMI) meningkat 5 mata.

Terdapat dua sebab utama obesiti meningkatkan risiko gout:

1. Kaitan dengan Buah Pinggang

Apabila anda makan makanan tinggi purin seperti daging merah, makanan laut, dan bir, badan menghasilkan asid urik untuk memecahkannya.

Namun, jika seseorang mengalami obesiti, fungsi buah pinggang menjadi kurang berkesan. Ini menyebabkan asid urik terkumpul dalam darah dan akhirnya mencetuskan serangan gout.

2. Lemak pada Bahagian Perut (Visceral Fat)

Walaupun seseorang kelihatan tidak terlalu gemuk, lemak tersembunyi di sekeliling organ dalam perut (visceral fat) boleh menjadi masalah.

Lemak jenis ini melepaskan bahan kimia keradangan (inflammatory chemicals) yang boleh mencetuskan serangan gout dengan lebih mudah.

9. Menghidapi Penyakit-penyakit Tertentu

Beberapa penyakit boleh meningkatkan risiko punca gout kerana ia menyebabkan asid urik terkumpul dalam badan.

Antaranya ialah obesiti, sindrom metabolik (gabungan tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tidak normal, dan lemak berlebihan di pinggang), serta penyakit buah pinggang kronik yang melemahkan keupayaan buah pinggang menyingkirkan asid urik.

Selain itu, tekanan darah tinggi, penyakit seperti psoriasis dan beberapa jenis kanser, serta masalah genetik yang jarang berlaku seperti Kelley-Seegmiller syndrome dan Lesch-Nyhan syndrome juga boleh meningkatkan risiko gout.

Lebih banyak penyakit yang anda alami, lebih tinggi peluang untuk mendapat serangan gout.

10. Wanita yang Menopaus

punca gout wanita yang menopaus

Menopaus juga boleh menjadi salah satu punca gout dalam kalangan wanita. Ini kerana hormon estrogen yang ada sebelum menopaus membantu buah pinggang menyingkirkan asid urik dengan lebih berkesan.

Namun, menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, selepas menopaus, paras estrogen menurun dengan ketara, menyebabkan keupayaan badan untuk membuang asid urik berkurang.

Akibatnya, tahap asid urik dalam darah lebih mudah meningkat dan membentuk kristal pada sendi.

Walaupun sebelum menopaus wanita mempunyai risiko gout yang lebih rendah berbanding lelaki, selepas menopaus risiko mereka meningkat dengan ketara dan boleh menyamai atau melebihi lelaki pada usia yang lebih lanjut.

Kesimpulan

Kesimpulannya, gout ialah penyakit yang boleh menjejaskan kualiti hidup jika tidak dikawal dengan baik. Penting untuk memastikan paras asid urik berada dalam julat sihat bagi mengurangkan simptom serta mencegah serangan berulang.

Jika anda menghidap gout, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang sesuai, termasuk ubat anti-radang atau preskripsi lain, serta mengenal pasti pencetus serangan.

Dengan rawatan dan pemantauan yang betul, punca gout boleh dikawal dan anda boleh menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Berikut adalah punca gout yang perlu anda tahu dan periksa pada tubuh masing-masing:

  1. Mempunyai Paras Urik yang Tinggi
  2. Kurang Air Dalam Badan
  3. Pengambilan Ubat-ubatan Tertentu
  4. Penyakit Keturunan
  5. Pengambilan Alkohol yang Tidak Terkawal
  6. Pengambilan Makanan yang Tinggi Purin
  7. Faktor Umur yang Semakin Meningkat
  8. Obesiti
  9. Menghidapi Penyakit-penyakit Tertentu
  10. Wanita yang Menopaus

Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah gout di sini:

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *