10 Punca Asid Urik Tinggi yang Wajib Anda Tahu Sebelum Terlambat

Punca asid urik tinggi sering kali tidak disedari ramai walaupun ia boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius seperti gout, batu karang, keradangan sendi, dan kerosakan buah pinggang.

Asid urik terbentuk daripada pemecahan purin dalam badan, dan apabila parasnya melebihi tahap normal, ia akan mula berkumpul serta mencetuskan pelbagai komplikasi.

Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 10 punca asid urik tinggi yang perlu anda tahu supaya langkah pencegahan dapat diambil dari awal.

1. Pengambilan Makanan Tinggi Purin

punca asid urik tinggi makanan tinggi purin

Purin ialah sejenis sebatian semula jadi yang terdapat dalam pelbagai jenis makanan, dan apabila ia diuraikan oleh badan, ia menghasilkan asid urik sebagai hasil sampingan.

Diet yang mengandungi kadar purin yang tinggi seperti daging merah, kekacang, kacang pis, cendawan dan makanan laut akan menyebabkan badan menghasilkan lebih banyak asid urik.

Ini kerana proses penguraian makanan seperti organ dalaman (offal), yang merangkumi hati, buah pinggang dan limpa, juga menyumbang kepada peningkatan paras asid urik kerana ia sangat kaya dengan purin.

Walaupun sesetengah makanan tinggi purin boleh menjadi sebahagian daripada diet sihat bagi individu normal, penghidap gout atau penyakit buah pinggang perlu berhati-hati dan mengehadkan pengambilannya.

Antara makanan yang diketahui mempunyai kandungan purin yang tinggi ialah:

1. Organ Dalaman

Daging organ seperti hati, buah pinggang dan sweetbreads mengandungi purin dalam jumlah yang sangat tinggi.

Walaupun ia mengandungi banyak nutrien, pengambilan secara kerap boleh meningkatkan paras asid urik dan memburukkan keadaan bagi mereka yang mengalami gout atau hiperurisemia.

2. Makanan Laut

Sesetengah jenis makanan laut seperti ikan bilis, sardin, kupang, dan scallops turut tinggi kandungan purin.

Individu yang cenderung kepada masalah berkaitan asid urik dinasihatkan untuk mengehadkan pengambilan makanan laut ini bagi mengelakkan peningkatan paras asid urik dalam darah.

3. Kekacang

Kacang dal, kacang kuda dan pelbagai jenis kacang lain mengandungi tahap purin yang sederhana.

Walaupun ia merupakan sumber protein dan serat yang baik, pengambilan secara berlebihan boleh menyumbang kepada peningkatan paras asid urik, terutamanya bagi mereka yang sudah mempunyai masalah metabolisme purin.

4. Sayur-sayuran Tertentu

Beberapa jenis sayur seperti bayam, asparagus, bunga kubis dan cendawan turut mengandungi purin pada tahap sederhana.

Namun begitu, purin daripada sumber tumbuhan biasanya dianggap kurang berisiko berbanding daripada sumber haiwan, dan sayur-sayuran ini masih boleh dimakan dalam jumlah yang terkawal.

2. Pengambilan Alkohol Berlebihan

punca asid urik tinggi alkohol berlebihan

Alkohol boleh menjadi punca asid urik tinggi melalui dua cara utama.

Pertama, sesetengah jenis alkohol terutamanya bir mengandungi purin yang tinggi. Apabila purin ini diuraikan oleh tubuh, ia menghasilkan asid urik yang boleh terkumpul dalam darah.

Kedua, semua jenis alkohol, termasuk bir, wain, dan minuman keras (spirits), memberi kesan kepada fungsi buah pinggang, yang secara langsung menjejaskan bagaimana asid urik disingkirkan melalui air kencing.

Apabila seseorang mengambil alkohol, proses penyingkiran asid urik melalui air kencing menjadi terganggu.

Alkohol menyebabkan buah pinggang menyerap semula jadi asid urik ke dalam badan dan mengurangkan jumlah yang dikeluarkan melalui air kencing.

Akibatnya, asid urik terkumpul dalam darah pada tahap yang lebih tinggi, lalu membentuk kristal di dalam sendi yang mencetuskan kesakitan dan keradangan teruk.

Kajian dari National Center for Biotechnology Information yang melibatkan hampir 43,000 orang mendapati terdapat hubungan yang jelas antara jumlah pengambilan alkohol dan risiko gout. Semakin banyak alkohol diminum, semakin tinggi risiko seseorang untuk menghidap gout.

Perbandingan menunjukkan bahawa mereka yang mengambil alkohol walaupun dalam jumlah kecil berisiko lebih tinggi berbanding mereka yang tidak minum langsung.

Pemabuk ringan (satu minuman atau kurang sehari) mempunyai peningkatan risiko gout sebanyak 16%, pemabuk sederhana (lebih daripada satu tetapi kurang daripada tiga minuman sehari) mempunyai peningkatan risiko sebanyak 58%, manakala pemabuk tegar (tiga atau lebih minuman sehari) mencatatkan risiko 264% lebih tinggi untuk mendapat gout.

Jenis Alkohol dan Tahap Risikonya Terhadap Gout

1. Bir

  • Paling berisiko kerana mengandungi purin yang tinggi yang ditukar terus menjadi asid urik.
  • Kajian (The Lancet, 2004) menunjukkan bahawa dua gelas bir sehari menggandakan risiko gout berbanding mereka yang tidak minum bir.

2. Minuman Keras (Spirits)

  • Pengambilan dua tembakan sehari meningkatkan risiko gout sebanyak 1.6 kali ganda berbanding mereka yang tidak minum.

3. Wain

  • Pengambilan dua gelas kecil sehari tidak menunjukkan peningkatan risiko ketara dalam kajian The Lancet (2004).
  • Namun, kajian lain (American Journal of Medicine, 2014) mendapati bahawa wain juga boleh meningkatkan risiko serangan gout berulang, terutama jika diminum dalam tempoh 24 jam.
  • 1 hingga 2 minuman dalam masa 24 jam boleh meningkatkan risiko serangan semula sebanyak 36% berbanding individu yang tidak minum langsung.

3. Obesiti

punca asid urik tinggi obesiti

Punca asid urik tinggi seterusnya adalah masalah obesiti. Apabila seseorang mengalami obesiti, risiko untuk mereka mendapat gout meningkat 55% setiap kali indkes jisim badan (BMI) meningkat sebanyak 5 mata.

Ini membuktikan bahawa berat badan memainkan peranan besar dalam mengawal kadar asid urik dalam tubuh.

Punca asid urik tinggi berpunca kerana obesiti boleh terjadi kerana dua sebab:

  • Fungsi buah pinggang yang kurang efisien boleh mengurangkan keupayaan badan untuk menyingkirkan asid urik melalui air kencing.
  • Lemak viseral (lemak yang mengelilingi organ dalaman dan banyak terdapat di bahagian perut) menghasilkan bahan kimia keradangan dalam jumlah yang tinggi, yang boleh mencetuskan serangan gout.

Namun begitu, gout yang disebabkan oleh berat badan masih boleh dikawal. Anda perlu mengekalkan berat badan ideal melalui pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif.

4. Masalah Penyakit Tertentu

Beberapa penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang, diabetes, dan sindrom metabolik boleh menjadi punca asid urik tinggi

Ini kerana penyakit-penyakit tersebut menjejaskan fungsi buah pinggang yang bertanggungjawab menapis dan menyingkirkan asid urik daripada darah.

Apabila fungsi ini terganggu, asid urik akan terkumpul dan membawa kepada hiperurisemia serta risiko gout.

Selain itu, gangguan hormon dan penyakit autoimun juga boleh mempengaruhi metabolisme purin, sekali gus meningkatkan paras asid urik.

5. Pengambilan Ubat-Ubatan Tertentu

punca asid urik tinggi ubat-ubatan tertentu

Sesetengah ubat boleh mempengaruhi cara badan menghasilkan atau menyingkirkan asid urik, sama ada dengan merangsang punca asid urik tinggi atau mengganggu proses penyingkiran asid urik melalui air kencing.

Apabila badan tidak dapat menyingkirkan lebihan asid urik dengan berkesan, ia akan terkumpul dalam darah dan akhirnya boleh membentuk kristal pada sendi yang mencetuskan serangan gout.

Antara contoh jenis ubat-ubatan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

  • Diuretics 
  • Aspirin dos rendah (kurang daripada 300 mg sehari)
  • Nicotinic acid
  • Levodopa
  • Ciclosporin
  • Tacrolimus
  • Cytotoxic chemotherapy
  • Fructose
  • Testosterone
  • Pyrazinamide
  • Ethambutol

6. Pengambilan Gula Berlebihan

Punca asid urik tinggi yang berikutnya adalah kerana pengambilan gula secara berlebihan.

Fruktosa ialah sejenis gula ringkas (monosakarida) yang secara semula jadi terdapat dalam buah-buahan sama ada secara tunggal atau sebagai sebahagian daripada sukrosa.

Dalam industri makanan moden, fruktosa juga banyak digunakan dalam bentuk sirap jagung tinggi fruktosa (HFCS), sejenis pemanis cecair yang murah dan mudah dihasilkan. HFCS kini menjadi bahan utama dalam pelbagai minuman manis bergula.

Kajian epidemiologi mendapati bahawa peningkatan penggunaan HFCS dan jumlah fruktosa dalam diet berkait rapat dengan peningkatan kes hiperurisemia dan gout.

Sumber fruktosa yang paling biasa ialah minuman bergula seperti minuman ringan dan jus buah diproses.

Apabila fruktosa diserap ke dalam tubuh, ia diproses oleh hati dan ditukar kepada fruktosa-1-fosfat, yang seterusnya mengurangkan tahap tenaga sel (ATP).

Kekurangan ATP menyebabkan peningkatan AMP, yang kemudian ditukar kepada IMP — prekursor kepada penghasilan asid urik. Ini bermakna semakin tinggi pengambilan fruktosa, semakin banyak penghasilan purin, dan akhirnya paras asid urik dalam darah turut meningkat.

Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information juga mendapati bahawa, mereka yang mengambil dua atau lebih minuman bergula setiap hari mempunyai risiko gout 85% lebih tinggi berbanding mereka yang hanya mengambil kurang daripada satu hidangan sebulan.

7. Kanser

punca asid urik tinggi kanser

Kanser juga boleh menjadi salah satu punca asid urik tinggi dalam darah, walaupun hubungan antara keduanya agak kompleks dan masih dalam kajian.

Secara normalnya, paras asid urik dalam darah adalah sekitar 2.4 hingga 6.0 mg/dl bagi wanita dan 3.4 hingga 7.0 mg/dl bagi lelaki.

Paras yang melebihi 6.8 mg/dl dianggap tinggi dan boleh membawa kepada keadaan yang dikenali sebagai hiperurisemia iaitu apabila paras asid urik melebihi 6.0 mg/dl pada wanita dan 7.0 mg/dl pada lelaki.

Beberapa jenis kanser, terutamanya leukemia myeloid akut (AML), sering dikaitkan dengan peningkatan paras asid urik.

Kajian pada tahun 2016 oleh The Korean Society of Hematology mendapati bahawa, purata paras asid urik dalam kalangan pesakit AML ialah sekitar 4.8 mg/dl, dan kadar ini boleh meningkat lebih tinggi apabila penyakit bertambah serius.

Dalam sesetengah kes yang lebih teruk, keadaan yang dikenali sebagai Tumor Lysis Syndrome (TLS) iaitu pemecahan besar-besaran sel kanser boleh berlaku, menyebabkan paras asid urik melonjak secara mendadak. Keadaan ini boleh merosakkan jantung dan buah pinggang jika tidak dirawat segera.

Selain itu, kajian pada tahun 2018 oleh European Journal of Cancer Prevention menunjukkan bahawa, paras asid urik yang tinggi boleh menjadi penanda kepada keradangan kronik, yang berpotensi meningkatkan risiko kanser.

Namun begitu, kajian lain pada tahun 2021 pula tidak menemui bukti yang jelas bahawa paras asid urik yang tinggi secara langsung meningkatkan risiko kanser, tetapi menyatakan kemungkinan wujudnya kaitan dengan perkembangan sel malignan, yang masih memerlukan penyelidikan lanjut.

Beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan peningkatan asid urik dan seterusnya dikaitkan dengan risiko kanser termasuklah:

  • Pengambilan makanan tinggi purin seperti alkohol, makanan laut, dan organ dalaman.
  • Pengambilan alkohol secara berlebihan.
  • Obesiti.
  • Tekanan darah tinggi.

8. Hipotiroid

punca asid urik tinggi hipotiroid

Punca asid urik tinggi yang berikutnya adalah disebabkan hipotiroid. Hipotiroid adalah keadaan di mana kelenjar tiroid tidak menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi.

Hormon tiroid penting untuk mengawal pelbagai fungsi tubuh termasuk metabolisme. Apabila paras hormon ini terlalu rendah, proses tubuh menjadi perlahan dan boleh menyebabkan keletihan, peningkatan berat badan serta kesakita pada otot dan sendi termasuk risiko gout.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit hipotiroid mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap gout.

Dalam satu kajian dari The American Journal of Medicine, didapati bahawa 15% pesakit artritis gout turut mengalami hipotiroidisme, dengan kadar yang lebih tinggi dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Selain itu, purata tahap hormon TSH dalam kalangan pesakit gout (sekitar 5.2) adalah jauh lebih tinggi berbanding individu dengan fungsi tiroid normal (sekitar 1.8).

Kajian tersebut turut mencadangkan bahawa saringan hipotiroid perlu dipertimbangkan bagi semua pesakit yang mengalami gout atau mempunyai sejarah serangan gout berulang.

Kaitan antara gout dan hipotiroid ini berpunca daripada pengaruh hormon tiroid terhadap metabolisme asid urik. Hormon tiroid memainkan peranan penting dalam mengawal enzim yang terlibat dalam pemecahan dan penyingkiran asid urik dalam tubuh.

Apabila hormon ini tidak mencukupi, aktiviti enzim berkurangan dan proses penyingkiran asid urik menjadi tidak efisien.

Akibatnya, asid urik terkumpul dalam darah pada paras yang lebih tinggi, lalu meningkatkan risiko pembentukan kristal di sendi yang menyebabkan serangan gout.

9. Pembentukan Batu Karang

punca asid urik tinggi batu karang

Batu karang ialah ketulan keras yang terbentuk daripada mineral dan garam dalam air kencing, dan ia biasanya terbentuk di dalam buah pinggang.

Kehadirannya bukan sahaja menyebabkan kesakitan yang teruk ketika dikeluarkan melalui saluran kencing, tetapi juga boleh mengganggu fungsi normal buah pinggang, sekali gus mengurangkan keupayaan organ tersebut untuk menyingkirkan asid urik secara efektif.

Apabila proses penyingkiran ini terganggu, asid urik akan terkumpul dalam darah dan meningkatkan risiko hiperurisemia serta gout.

Rawatan awal biasanya membantu mencegah kerosakan kekal pada buah pinggang. Dalam kes ringan, pengambilan ubat tahan sakit dan minum air dalam jumlah banyak sudah memadai untuk membantu mengeluarkan batu karang secara semula jadi.

Namun, pencegahan tetap menjadi langkah paling penting. Menjaga hidrasi tubuh dengan minum sekurang-kurangnya 2–3 liter air setiap hari boleh membantu mencairkan air kencing dan mengurangkan pembentukan kristal asid urik.

Di samping itu, mengubah corak pemakanan dengan mengehadkan pengambilan makanan tinggi purin seperti daging merah, makanan laut, dan alkohol dapat menurunkan paras asid urik dalam darah.

10. Golongan Lelaki Pertengahan Umur atau Wanita Menopaus

punca asid urik tinggi lelaki berusia dan wanita menopaus

Golongan lelaki pertengahan umur dan wanita selepas menopaus merupakan kumpulan yang paling berisiko sebagai punca asid urik tinggi dan seterusnya menghidap gout.

Secara semula jadi, hormon estrogen yang dihasilkan oleh wanita sebelum menopaus memainkan peranan penting dalam melindungi mereka daripada masalah ini.

Estrogen membantu badan menyingkirkan asid urik melalui air kencing, sekali gus mengekalkan parasnya pada tahap normal.

Namun, selepas menopaus, paras hormon estrogen menurun dengan ketara, menyebabkan proses penyingkiran asid urik menjadi kurang efisien dan akhirnya menyumbang kepada peningkatan paras asid urik dalam darah.

Menariknya, penggunaan terapi penggantian hormon (HRT) atau pil perancang yang dahulunya dianggap dapat membantu mengurangkan risiko gout, didapati sebaliknya meningkatkan risiko.

Kajian dari tahun 2021 yang melibatkan lebih daripada satu juta wanita selepas menopaus mendapati bahawa kedua-dua HRT dan hormon pil perancang sebenarnya meningkatkan risiko mendapat gout.

Selain itu, wanita yang menopaus lebih awal atau datang haid pada usia lewat iaitu mempunyai pendedahan hormon estrogen semula jadi yang lebih singkat juga berisiko lebih tinggi mendapat gout. Namun, risiko ini tidak begitu ketara bagi wanita yang mempunyai BMI tinggi.

Lelaki pertengahan umur secara semula jadi lebih terdedah kepada gout kerana tiada perlindungan hormon seperti estrogen, manakala wanita mula mengalami risiko yang sama selepas menopaus apabila kesan perlindungan hormon tersebut berkurangan

Kesimpulan

Kesimpulannya, mengetahui punca asid urik tinggi adalah langkah penting untuk mencegah komplikasi kesihatan.

Dengan mengubah gaya hidup, menjaga pemakanan, mengelakkan pengambilan alkohol berlebihan, dan membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala, anda dapat mengawal paras asid urik dan mengurangkan risiko penyakit seperti gout dan batu karang.

  1. Pengambilan Makanan Tinggi Purin
  2. Pengambilan Alkohol Berlebihan
  3. Obesiti
  4. Masalah Penyakit Tertentu
  5. Pengambilan Ubat-Ubatan Tertentu
  6. Pengambilan Gula Berlebihan
  7. Kanser
  8. Hipotiroid
  9. Pembentukan Batu Karang
  10. Golongan Lelaki Pertengahan Umur atau Wanita Menopaus

Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah asid urik di sini:

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *