Gout Kaki: Panduan Lengkap dari Punca hingga Cara Pencegahan
Gout kaki ialah sejenis penyakit sendi yang berpunca daripada pengumpulan asid urik berlebihan dalam badan, terutamanya pada bahagian kaki seperti ibu jari, pergelangan kaki atau lutut.
Ia boleh menyebabkan sakit yang teramat, bengkak, kemerahan dan pergerakan menjadi terhad, sehingga menjejaskan aktiviti harian.
Walaupun begitu, gout bukanlah penyakit yang tidak boleh dikawal.
Dengan pemahaman tentang punca, simptom, faktor risiko, rawatan dan langkah pencegahan, anda boleh mengurangkan risiko serangan serta mengekalkan kesihatan sendi untuk jangka panjang.
Apa itu Gout Kaki

Menurut kajian dari Arthritis Research & Therapy, gout adalah radang sendi yang disebabkan oleh pemendapan asid urik dalam badan, terutamanya pada sendi dan buah pinggang.
Ia tergolong dalam kumpulan penyakit artritis (radang sendi) dan terkenal kerana boleh menyebabkan kesakitan yang sangat kuat serta mengehadkan pergerakan.
Walaupun begitu, gout merupakan penyakit yang boleh dirawat dengan berkesan dalam hampir semua pesakit jika dikenal pasti dan dikawal dengan betul.
Penyakit ini lazimnya menyerang ibu jari kaki, yang dianggap lokasi paling klasik dan kerap bagi gout. Namun begitu, serangan juga boleh berlaku pada bahagian pertengahan kaki (midfoot), pergelangan kaki, serta lutut.
Sama seperti jenis artritis lain, gout cenderung menyerang sendi-sendi tertentu dan kaki merupakan kawasan yang paling terdedah.
Dalam banyak kes, gout sangat “menggemari” untuk menyerang sendi bunion iaitu sendi metatarsophalangeal pertama yang terletak di pangkal ibu jari kaki.
Selain itu, gout juga boleh menjejaskan bursa di bahagian siku, menyebabkan kesakitan dan bengkak yang mengganggu aktiviti harian.
Apabila kristal asid urik terkumpul di dalam sendi, ia mencetuskan tindak balas keradangan yang menyebabkan sakit yang tiba-tiba, bengkak, kemerahan, dan rasa panas pada sendi yang terlibat
Tahap Gout
Gout bukanlah penyakit yang muncul secara tiba-tiba keran ia boleh berkembang secara berperingkat dan melalui beberapa tahap sebelum menjadi kronik.
Memahami setiap tahap ini amat penting supaya langkah pencegahan dan rawatan yang betul dapat diambil lebih awal.
Menurut Arthritis Foundation, gout dibahagikan kepada empat peringkat utama seperti berikut:
Tahap 1: Asid Urik Tinggi (Hyperuricemia)
Pada peringkat awal ini, paras asid urik dalam darah meningkat melebihi paras normal, namun belum ada simptom yang kelihatan seperti sakit sendi atau bengkak.
Individu mungkin tidak menyedari bahawa mereka sudah berada dalam risiko gout kerana tiada tanda-tanda jelas.
- Apa yang berlaku: Kristal asid urik mula terbentuk secara perlahan di dalam sendi atau tisu lembut, tetapi masih belum mencetuskan keradangan.
- Risiko: Walaupun tiada gejala, keadaan ini meningkatkan risiko berlakunya serangan gout atau pembentukan batu karang di buah pinggang pada masa hadapan.
- Rawatan: Biasanya tidak memerlukan rawatan khusus kecuali jika paras asid urik terlalu tinggi atau terdapat faktor risiko lain.
Tahap 2: Serangan Akut Gout (Acute Flares)
Tahap ini adalah apabila serangan gout mula berlaku secara tiba-tiba.
Biasanya pada waktu malam dan menyebabkan kesakitan yang teruk, bengkak, kemerahan, serta panas pada satu atau lebih sendi.
- Sendi yang sering terjejas: Ibu jari kaki, pergelangan kaki, lutut atau buku lali.
- Tempoh serangan: Biasanya berlangsung selama 3 hingga 10 hari sebelum pulih.
- Punca serangan: Boleh dicetuskan oleh pengambilan makanan tinggi purin, alkohol, dehidrasi atau tekanan fizikal.
- Rawatan: Ubat anti-radang, ubat pengurang asid urik dan perubahan gaya hidup biasanya disyorkan oleh doktor.
Tahap 3: Tempoh Interkritikal (Intercritical Periods)
Selepas serangan akut reda, pesakit akan melalui tempoh bebas simptom yang dikenali sebagai tempoh interkritikal.
Dalam fasa ini, pesakit mungkin merasakan dirinya sudah sembuh sepenuhnya, tetapi sebenarnya kristal asid urik masih wujud dalam sendi.
- Ciri-ciri: Tiada kesakitan atau tanda radang, tetapi risiko untuk serangan gout seterusnya tetap tinggi.
- Peringatan: Tanpa rawatan dan pengawalan paras asid urik, serangan gout boleh menjadi lebih kerap, lebih teruk dan lebih sukar dirawat dari semasa ke semasa.
Tahap 4: Gout Kronik / Gout Tofaseus (Advanced or Tophaceous Gout)
Ini merupakan peringkat paling serius dan kronik. Ia berlaku selepas bertahun-tahun serangan gout berulang tanpa rawatan yang berkesan.
- Ciri utama: Terbentuknya benjolan keras yang dipanggil “tophus” di bawah kulit — biasanya di sekitar sendi, telinga atau jari. Tophi ialah gumpalan kristal asid urik yang terkumpul.
- Simptom tambahan: Pesakit mengalami kesakitan berterusan walaupun di luar tempoh serangan, sendi menjadi rosak, dan pergerakan menjadi terhad.
- Komplikasi:
- Tophi boleh pecah dan mengeluarkan kristal putih ke permukaan kulit, meningkatkan risiko jangkitan bakteria.
- Pesakit juga berisiko tinggi membentuk batu karang akibat pengeluaran asid urik berlebihan.
- Rawatan: Biasanya memerlukan rawatan ubat jangka panjang, kadang-kala pembedahan untuk membuang tophi, serta pengubahsuaian menyeluruh gaya hidup.
Gejala dan Tanda Awal Gout
Berikut adalah antara simptom awal gout yang perlu anda tahu:
- Sendi yang terjejas terasa panas dan sangat sensitif, sehingga tidak mampu menahan berat selimut sekalipun.
- Kesakitan yang teruk biasanya memuncak dalam tempoh 4 hingga 12 jam selepas serangan bermula.
- Pergerakan sendi menjadi terhad apabila serangan gout semakin teruk akibat kesakitan dan keradangan.
- Kulit di sekitar sendi kelihatan merah dan berkilat, serta terdapat bengkak pada tisu lembut di kawasan yang terjejas.
- Rasa sakit yang berlarutan boleh kekal selama beberapa hari hingga 1–2 minggu walaupun selepas kesakitan paling teruk reda.
- Serangan gout seterusnya berpotensi menjadi lebih teruk dan mungkin melibatkan lebih banyak sendi.

Punca Gout Kaki
Menurut American Family Physician, gout kaki berpunca daripada paras asid urik yang berlebihan dalam darah.
Asid urik ialah bahan sisa yang terbentuk apabila badan memecahkan purin, iaitu sejenis sebatian kimia yang biasa terdapat dalam makanan dan minuman seperti daging merah, makanan laut, alkohol, dan organ dalaman haiwan.
- Diet tinggi purin seperti pengambilan banyak daging merah, organ dalaman, makanan laut, bir dan fruktosa (gula daripada buah).
- Obesiti, yang menyebabkan badan menghasilkan lebih banyak asid urik dan menyukarkan buah pinggang untuk menyingkirkannya.
- Keadaan kesihatan tertentu seperti kegagalan jantung, tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit metabolik dan penyakit buah pinggang.
- Penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti aspirin dan diuretik thiazide (biasanya diberi untuk merawat tekanan darah tinggi) yang boleh meningkatkan paras asid urik.
- Sejarah keluarga — jika ada ahli keluarga yang menghidap gout, risiko anda untuk mendapat penyakit ini juga lebih tinggi.
- Jantina, di mana lelaki lebih berisiko mendapat gout pada usia 30 hingga 50 tahun, manakala wanita selepas menopaus juga mempunyai risiko yang lebih tinggi.
Cara Elak Masalah Gout Kaki
Masalah gout kaki boleh dicegah dengan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pemakanan seimbang, gaya hidup sihat, aktiviti fizikal, serta penggunaan ubat-ubatan yang sesuai.
Antara cara untuk elak masalah gout kaki adalah seperti berikut:
1. Kawal Pemakanan dan Kurangkan Makanan Tinggi Purin

Pemakanan memainkan peranan besar dalam mencegah serangan gout. Ini kerana makanan tertentu boleh merangsang pembentukan asid urik yang tinggi, lalu mencetuskan serangan.
Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, individu yang mempunyai paras asid urik yang sedikit tinggi (sekitar 7.0 mg/dL) boleh mengawal keadaan melalui diet.
Namun, bagi mereka yang mempunyai paras lebih tinggi (contohnya 10.0 mg/dL), diet sahaja mungkin tidak mencukupi.
Beberapa garis panduan penting termasuk:
- Hadkan pengambilan daging merah dan kuah daging, yang tinggi purin.
- Kurangkan makanan laut seperti udang, kerang, dan kupang, kerana ia boleh meningkatkan tahap asid urik.
- Elakkan alkohol terutamanya bir, kerana ia meningkatkan penyerapan semula asid urik oleh buah pinggang dan juga mengandungi purin yang tinggi.
- Pilih protein daripada sumber sayuran dan tenusu rendah lemak, kerana ia tidak meningkatkan risiko gout secara signifikan.
- Ambil karbohidrat sederhana seperti oat, wheat germ dan bran dalam jumlah sederhana.
2. Amalkan Gaya Hidup Sihat dan Kekalkan Berat Badan Ideal
Kegemukan atau berat badan berlebihan adalah faktor risiko utama gout. Oleh itu, penurunan berat badan melalui diet sihat dan aktiviti fizikal boleh membantu mengurangkan risiko serangan.
- Senaman berkala: Amalkan senaman berimpak rendah seperti berjalan, berenang atau berbasikal untuk mengurangkan tekanan pada sendi kaki.
- Rehat jika simptom muncul: Jika terdapat tanda-tanda awal seperti bengkak, panas atau sakit pada sendi, elakkan berdiri terlalu lama kerana tekanan boleh memburukkan keadaan.
- Perhatikan amaran awal: Demam, menggigil, atau rasa panas setempat boleh menjadi tanda awal serangan gout ambil langkah pencegahan segera.
3. Gunakan Ubat Pencegah Gout Jika Diperlukan
Bagi kebanyakan pesakit gout, diet dan senaman tidak mencukupi untuk mencegah serangan sepenuhnya.
Dalam kes sebegini, penggunaan ubat-ubatan yang sesuai adalah sangat penting untuk menurunkan paras asid urik dan mengurangkan risiko serangan.
Beberapa ubat utama termasuk:
- Colchicine: Mengurangkan tindak balas keradangan terhadap kristal asid urik. Ia tidak menurunkan tahap asid urik tetapi membantu mencegah serangan berulang.
- Allopurinol dan Febuxostat: Mengurangkan penghasilan asid urik dalam badan dengan menghalang enzim xanthine oxidase. Ia sesuai untuk pesakit yang menghasilkan terlalu banyak asid urik atau yang sukar menyingkirkannya melalui buah pinggang.
- Probenecid: Meningkatkan perkumuhan asid urik melalui buah pinggang.
- Pegloticase: Memecahkan asid urik dalam badan untuk mengelakkan pengumpulan.
Biasanya, Colchicine digunakan pada peringkat awal rawatan bersama Allopurinol bagi mengelakkan serangan yang mungkin berlaku sebaik rawatan dimulakan.
4. Pantau Paras Asid Urik Secara Berkala

Pemeriksaan berkala darah untuk memantau paras asid urik sangat penting dalam strategi pencegahan.
Dengan memantau bacaan ini, doktor boleh menilai keberkesanan diet, gaya hidup, dan ubat-ubatan yang digunakan.
Sasaran utama ialah memastikan paras asid urik sentiasa di bawah 6.0 mg/dL bagi mengelakkan pembentukan kristal dalam sendi.
Komplikasi Masalah Gout Kaki
Jika tidak dirawat, gout boleh menyebabkan beberapa komplikasi seperti:
- Kerosakan sendi yang boleh menyebabkan kecacatan dan pergerakan menjadi terhad.
- Pengumpulan kristal asid urik di bawah kulit, yang membentuk benjolan keras (tophus).
- Pengumpulan kristal asid urik dalam saluran kencing, yang boleh menyebabkan batu karang.
- Serangan gout berulang, yang mungkin menjadi lebih kerap jika paras asid urik tidak dikurangkan.
- Fungsi buah pinggang menurun atau kegagalan buah pinggang.
- Tekanan darah tinggi.
Bila Perlu Jumpa Doktor

Anda perlu berjumpa doktor dengan segera jika mengalami sakit sendi yang kuat dan datang secara tiba-tiba, terutamanya jika ia berlaku pada bahagian kaki seperti ibu jari atau pergelangan kaki.
Keadaan ini mungkin menandakan serangan gout yang memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan kesakitan yang berterusan dan kerosakan sendi jangka panjang.
Kesimpulan
Kesimpulannya, gout kaki boleh dicegah dan dikawal dengan pengurusan gaya hidup yang betul, pemakanan seimbang, aktiviti fizikal yang konsisten serta rawatan perubatan yang sesuai.
Mengenal pasti tanda awal dan mendapatkan rawatan segera amat penting untuk mengelakkan kerosakan sendi kekal dan komplikasi serius
Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah gout di sini:

