10 Cara Tradisional Menurunkan Asid Urik Dengan Selamat Tanpa Ubat
Apakah cara tradisional menurunkan asid urik tanpa ubat yang boleh anda amalkan?
Asid urik yang tinggi dalam badan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, terutamanya gout yang disertai kesakitan dan bengkak pada sendi. Keadaan ini lazimnya berlaku akibat pemakanan tinggi purin, gaya hidup tidak aktif serta fungsi buah pinggang yang kurang optimum.
Selain rawatan perubatan, ramai memilih pendekatan semula jadi sebagai langkah sokongan.
Artikel 10 cara tradisional menurunkan asid urik dengan selamat tanpa ubat menghimpunkan amalan tradisional yang telah lama diamalkan, mudah dilakukan dan berpotensi membantu mengawal paras asid urik secara berperingkat tanpa bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan.
1. Air Halia

Cara tradisional menurunkan asid urik yang pertama adalah dengan menggunakan halia.
Halia kaya dengan sebatian bioaktif yang bersifat anti-radang, menjadikannya sangat berkesan untuk mengurangkan keradangan dan kesakitan akibat pengumpulan asid urik serta serangan gout.
Beberapa kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati halia membantu mengurangkan kesakitan keradangan berkaitan gout. Malah satu kajian oleh International Conference on Health Informatics and Medical Application Technology menunjukkan pengambilan halia secara berkala dapat menurunkan paras asid urik dalam darah bagi individu yang mengalami hiperurisemia.
Aroma halia yang kuat dan sifatnya yang “menghangatkan” juga membantu melancarkan peredaran darah, seterusnya memudahkan proses penyingkiran toksin dari badan.
Berikut ialah cara guna air halia untuk menurunkan asid urik:
1. Air halia rebus
Rebus beberapa hirisan halia dalam segelas air sehingga mendidih. Biarkan suam dan minum 1 hingga 2 kali sehari. Air halia ini membantu mengurangkan keradangan sendi akibat gout serta melancarkan peredaran darah untuk menyingkirkan toksin dalam badan.
2. Air halia madu atau gula batu
Ambil 1 inci halia, ketuk sehingga hancur. Campurkan dengan satu ketul gula batu atau satu sudu madu asli ke dalam segelas air panas. Kacau hingga sebati dan minum setiap pagi dan malam bagi membantu melegakan sakit sendi dan mengurangkan keradangan asid urik.
3. Minum halia, halba, kunyi dan madu
Ketuk 1 inci halia, campurkan dengan 1 sudu halba, 1 sudu serbuk kunyit dan sedikit madu. Bancuh semua bahan dengan air panas, kacau hingga sebati dan minum dua kali sehari, pagi dan malam. Amalan ini dipercayai berkesan untuk membantu mengawal gout secara semula jadi.
4. Teh halia
Bancuh teh seperti biasa dan masukkan halia yang telah diketuk. Amalkan minum teh halia setiap hari bagi membantu meneutralkan keradangan akibat pengumpulan asid urik dalam badan dan mengurangkan kekerapan serangan gout.
5. Pes halia untuk sapuan luaran
Tumbuk halia sehingga hancur dan campurkan sedikit air sehingga menjadi pes yang tidak terlalu cair. Tampalkan pada sendi yang sakit, biarkan selama kira-kira satu jam, kemudian cuci bersih. Lakukan setiap kali sendi terasa sakit untuk membantu mengurangkan kesakitan dan bengkak.
2. Air Perahan Lemon

Kajian dari Scientia Horticulturae mendapati bahawa, lemon dan jus lemon berupaya membantu mencegah gout dalam kalangan individu yang mempunyai paras asid urik tinggi dalam darah. Lemon bersifat alkali, dan apabila diminum, ia membantu meningkatkan pH darah serta menjadikan air kencing lebih beralkali.
Proses ini berlaku apabila tubuh melepaskan lebih banyak kalsium karbonat, di mana kalsium akan mengikat asid urik dan membantu memecahkannya kepada air serta sebatian lain. Kesannya, keasidan darah berkurang dan paras asid urik dapat diturunkan secara semula jadi.
Untuk amalan harian, cara yang paling mudah untuk membuat air perahan lemon adalah seperti berikut:
1. Sediakan buah lemon segar
Pilih lemon yang segar dan berair. Gulung lemon di atas meja selama beberapa minit sebelum diperah bagi membantu mengeluarkan lebih banyak jus.
2. Perah lemon
Perah ½ hingga 1 biji lemon menggunakan pemerah lemon sehingga jusnya keluar sepenuhnya.
3. Campurkan dengan air
Masukkan jus lemon ke dalam segelas air suam. Anda juga boleh mencairkannya dengan air sejuk atau air panas mengikut keselesaan.
4. Kacau hingga sebati
Kacau campuran air dan jus lemon sehingga sebati sepenuhnya.
5. Minum pada waktu sesuai
Minum air perahan lemon setiap pagi sebelum sarapan. Bagi sesetengah individu, pengambilan 1 hingga 2 biji lemon sehari (dicairkan) juga boleh diamalkan.
6. Elakkan gula
Jangan tambah gula. Jika perlu, gunakan pemanis tanpa kalori seperti stevia atau tambahkan daun pudina untuk rasa yang lebih segar.
7. Amalkan secara konsisten
Minum air perahan lemon setiap hari secara konsisten sebagai sebahagian daripada diet pencegahan untuk membantu mengawal paras asid urik dalam badan.
3. Daun Salam / Daun Sireh

Daun salam daun bay leaf ialah daun aromatik yang biasa digunakan dalam masakan, sama ada dalam bentuk segar atau kering.
Aromanya yang lembut menyerupai kulit kayu manis bukan sahaja menyedapkan masakan, malah dipercayai mempunyai khasiat kesihatan.
Dalam rawatan gout, daun salam digunakan dengan cara mengeringkan kira-kira 10 helai daun, kemudian direbus bersama 10 gelas air sehingga air berkurang menjadi sekitar 7 gelas. Air rebusan ini diminum setelah sejuk dan diamalkan secara teratur setiap hari bagi membantu mengurangkan paras asid urik dan melegakan simptom gout secara berperingkat.
Selain daun salam, daun sirih Cina atau Peperomia pellucida juga terkenal sebagai herba tradisional untuk merawat gout. Menurut kajian dari Journal of Microbiology and Biotechnology, tumbuhan herba ini sering digunakan kerana dipercayai mampu menurunkan paras asid urik, selain mempunyai ciri anti-bakteria, anti-bengkak dan penahan sakit.
Cara penyediaannya agak mudah, iaitu dengan membersihkan daun sirih Cina terlebih dahulu, kemudian merebusnya bersama air sehingga jumlah air tinggal kira-kira satu cawan. Air rebusan yang telah disejukkan dan ditapis boleh diminum sekali atau dua kali sehari, sebaiknya pada waktu pagi dan malam.
4. Cuka Epal

Cuka epal ialah cecair masam yang dihasilkan daripada proses penapaian produk epal.
Buat masa ini, tiada bukti kukuh yang mengesahkan pengambilan atau penggunaan cuka epal secara langsung mampu mencegah atau merawat gout. Namun begitu, beberapa komponen dalam cuka epal, khususnya asid asetik, didapati berpotensi membantu mengurangkan risiko masalah kesihatan yang berkait rapat dengan gout seperti obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi.
Satu ulasan kajian dari Universiti Putra Malaysia mendapati, pengambilan kira-kira 15 ml cuka sehari yang mengandungi sekitar 750 mg asid asetik berupaya memperbaiki keadaan seperti obesiti dan tekanan darah tinggi, yang secara tidak lansung boleh mengurangkan risiko peningkatan paras asid urik dalam badan.
Penggunaan cuka epal perlu dilakukan dengan berhati-hati dan sentiasa dicairkan kerana sifatnya yang sangat berasid.
5. Air Rebusan Barli

Air rebusan barli merupakan salah satu cara tradisional menurunkan asid urik dengan selamat tanpa ubat yang telah lama diamalkan sebagai penawar semula jadi.
Minimum ini kaya dengan serat larut, antioksidan serta pelbagai vitamin dan mineral penting yang menyokong kesejahteraan tubuh secara menyeluruh. Selain membantu hidrasi, kandungan mineral seperti kalium, zat besi dan magnesium membantu mengawal tekanan darah, menyokong kesihatan jantung serta melancarkan sistem pencernaan.
Air barli juga membekalkan vitamin B6 dan B12 yang penting untuk metabolisme tenaga dan mengekalkan kesihatan kulit.
Dengan pengambilan secara konsisten, air rebusan barli dapat membantu mengurangkan pengumpulan asid urik dalam darah serta mencegah serangan gout.
Penyediaan air rebusan barli adalah mudah dan tidak memerlukan masa yang lama. Berikut ialah cara penyediaan air rebusan barli:
1. Sediakan bahan
Ambil ¼ cawan barli mutiara dan 1.5 hingga 2 liter air. Jika mahu, sediakan juga lemon atau madu untuk perisa.
2. Basuh barli
Bilas barli dengan air bersih beberapa kali sehingga tiada kotoran atau sisa habuk.
3. Rebus barli
Masukkan barli ke dalam periuk bersama air dan didihkan dengan api sederhana.
4. Renehkan
Setelah air mendidih, kecilkan api dan biarkan ia mereneh selama 30 hingga 45 minit sehingga air bertukar menjadi keruh.
5. Tapis air barli
Tapis biji barli. Biji barli boleh dibuang atau digunakan semula dalam sup atau salad.
6. Tambah perisa (pilihan)
Masukkan sedikit perahan lemon atau madu mengikut cita rasa dan kacau hingga sebati.
7. Sedia untuk diminum
Air rebusan barli boleh diminum ketika suam atau disejukkan dan disimpan dalam peti sejuk sehingga 2–3 hari.
6. Timun dan Saderi
Timun dan saderi merupakan kombinasi minuman semula jadi yang sering diamalkan sebagai cara tradisional menurunkan asid urik dengan selamat tanpa ubat.
Saderi kaya dengan antioksidan dan sifat anti-radang yang membantu proses detoksifikasi badan serta menyokong fungsi buah pinggang. Apabila fungsi buah pinggang menjadi lebih baik, penyingkiran asid urik melalui air kencing turut menjadi lebih berkesan.
Timun pula mempunyai kandungan air yang tinggi dan purin yang rendah, menjadikannya sangat sesuai untuk membantu “flush” lebihan asid urik dari badan. Jus timun bertindak sebagai diuretik semula jadi, merangsang buah pinggang untuk mengeluarkan lebih banyak asid urik.
Cara pembuatan jus timun dan saderi adalah seperti berikut:
- Gunakan 1 biji timun, 2 batang saderi (celery) dan 3 hirisan lemon (buang biji supaya tidak pahit).
- Masukkan semua bahan ke dalam slow juice maker untuk menghasilkan jus tanpa perlu menambah air. Hasilnya biasanya mendapat dua gelas jus.
- Jika menggunakan pengisar atau blender, tambah 1 gelas air, kisar semua bahan sehingga halus dan tapis untuk membuang hampas.
- Minum 1 gelas pada waktu pagi selepas bangun tidur dan 1 gelas lagi pada waktu malam sebelum tidur.
- Jika ingin lebih praktikal, gandakan sukatan bahan dan sediakan jus untuk dua hari. Simpan dalam botol bersih di dalam peti sejuk.
- Gunakan sukatan gelas yang sama setiap kali minum supaya kuantiti jus kekal seimbang.
- Minum jus ini secara konsisten sebagai sebahagian daripada usaha semula jadi untuk membantu mengawal paras asid urik dalam badan.
7. Daun Pegaga

Ulam pegaga kaya dengan fitokimia (phytochemical) yang membantu proses menyahtoksik dalam badan, sekali gus menyokong fungsi organ dalaman untuk menyingkirkan bahan buangan termasuk asid urik.
Kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati, ekstrak etanol dan metanol daripada daun pegaga mempunyai keupayaan membantu menurunkan paras gula dalam darah dengan merangsang perembesan insulin, malah tindakannya didapati menyerupai ubatan moden dalam mengekalkan paras gula yang stabil.
Selain itu, daun pegaga juga dikatakan berpotensi membantu mengurangkan paras kolesterol, asid urik dan urea dalam badan.
Kesan ini menjadikan pegaga sebagai pilihan semula jadi yang sesuai untuk individu yang ingin mengawal asid urik secara berperingkat tanpa bergantung kepada ubat-ubatan.
Daun pegaga boleh diamalkan dengan pelbagai cara, sama ada dimakan mentah sebagai ulam, dijadikan jus, atau diambil dalam bentuk kapsul yang kini banyak terdapat di pasaran.
Walau bagaimanapun, pengambilan pegaga perlu dilakukan secara berpada-pada.
8. Terapi Bekam
Terapi bekam ialah rawatan tradisional yang dipercayai membantu mengurangkan asid urik dengan melancarkan peredaran darah serta menyingkirkan toksin dan penanda keradangan dalam badan.
Ia sering diamalkan sebagai rawatan sokongan untuk masalah gout dan sakit sendi.
Jenis-jenis terapi bekam:
1. Bekam Angin
- Menggunakan cawan khas yang diletakkan pada kulit tanpa mengeluarkan darah.
- Tekanan negatif dihasilkan melalui pembakaran ringan atau mesin sedutan.
- Membantu melancarkan peredaran darah dan melegakan ketegangan otot serta sakit sendi.
- Sesuai untuk rawatan umum dan pencegahan.
2. Bekam Darah
- Melibatkan pengeluaran sedikit darah menggunakan jarum atau pisau kecil.
- Dipercayai membantu membuang lebihan toksin dan penanda keradangan seperti asid urik.
- Lebih berkesan untuk masalah kronik seperti gout dan artritis, terutama apabila dilakukan di kawasan sendi yang sakit.
- Perlu dilakukan oleh pengamal terlatih bagi memastikan keselamatan.
Terapi bekam boleh dijadikan rawatan pelengkap, namun ia tidak menggantikan rawatan perubatan dan disarankan dilakukan dengan nasihat pakar.
9. Akupuntur

Akupuntur adalah kaedah perubatan tradisional Cina yang melibatkan penggunaan jarum halus yang dicucuk pada titik-titik tertentu di badan bagi merangsang aliran tenaga atau Qi serta memulihkan keseimbangan dalaman tubuh.
Bagi pesakit gout, akupuntur membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan dengan meningkatkan peredaran darah, melancarkan fungsi organ dalaman dan menggalakkan proses penyembuhan semula jadi bahan.
Apabila peredaran darah menjadi lebih baik, pengumpulan asid urik di sendi dapat dikurangkan secara berperingkat, sekali gus membantu melegakan simptom gout.
Beberapa titik akupuntur utama sering digunakan untuk mengawal asid urik dan gout.
- Spleen 9 (Yinlingquan)
- Berfungsi menyingkirkan kelembapan berlebihan dalam badan serta membantu mengurangkan keradangan akibat pengumpulan asid urik.
- Liver 3 (Taichong)
- Membantu menenangkan fungsi hati, melancarkan aliran Qi dan melegakan kesakitan pada sendi yang sering dialami oleh pesakit gout.
- Kidney 3 (Taixi)
- Digunakan untuk menguatkan fungsi buah pinggang yang berperanan penting dalam proses penyingkiran asid urik dari badan.
- Stomach 36 (Zusanli)
- Membantu menguatkan limpa dan perut serta meningkatkan tahap kesihatan keseluruhan badan.
- Spleen 6 (Sanyinjiao)
- Berfungsi melancarkan peredaran darah, menyingkirkan kelembapan dan menyokong keseimbangan sistem dalaman tubuh.
10. Buah Ceri Hitam

Buah ceri hitam kaya dengan anthocyanin, iaitu sejenis antioksidan berwarna ungu kemerahan yang turut terdapat dalam buah beri dan sayuran tertentu.
Antioksidan ini berperanan mengurangkan keradangan serta membantu menurunkan paras asid urik dalam darah.
Kajian oleh American Society for Nutrition mendapati pengambilan jus ceri setiap hari selama empat minggu mampu menurunkan kepekatan asid urik serum sehingga 19.2%, iaitu satu penurunan yang signifikan memandangkan pengumpulan asid urik merupakan punca utama gout.
Beberapa kajian turut menunjukkan hasil yang memberangsangkan, di mana 70% peserta yang mengambil jus ceri mencatatkan penurunan paras asid urik dalam badan.
Pengambilan kurang daripada dua hidangan tidak menunjukkan kesan, manakala lebih daripada tiga hidangan pula tidak memberi manfaat tambahan. Setakat ini, tiada bukti jelas mengenai waktu terbaik untuk mengambil jus ceri atau sama ada ia perlu diminum bersama makanan.
Namun begitu, bagi mendapatkan manfaat optimum, ceri hitam sebaiknya diambil dalam bentuk semula jadi dan tidak diproses, sambil mengamalkan pengambilan air yang mencukupi dan mengelakkan alkohol.
Kesimpulan
Kesimpulannya, pengurusan asid urik tidak semestinya bergantung kepada ubat semata-mata.
Amalan tradisional seperti pemilihan makanan tertentu, minuman herba dan terapi sokongan boleh membantu mengurangkan keradangan serta menyokong fungsi buah pinggang dalam menyingkirkan lebihan asid urik.
Walau bagaimanapun, setiap individu perlu mengamalkan kaedah ini secara sederhana, konsisten dan disertai gaya hidup sihat. Bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau simptom yang teruk, pastikan anda dapatkan nasihat dan pemantauan dari doktor.
Berikut adalah cara tradisional menurunkan asid urik yang boleh anda amalkan untuk mengurangkan masalah asid urik yang tinggi dalam badan:
- Air Halia
- Air Perahan Lemon
- Daun Salam / Daun Sireh
- Cuka Epal
- Air Rebusan Barli
- Timun dan Saderi
- Daun Pegaga
- Terapi Bekam
- Akupuntur
- Buah Ceri Hitam
Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah gout di sini:

