15 Simptom Gastrik Yang Ramai Orang Tak Tahu
Apakah simptom gastrik yang biasa berlaku dan jarang-jarang berlaku tetapi perlu anda ambil perhatian segera?
Gastrik, atau lebih dikenali sebagai masalah keradangan pada lapisan perut, merupakan salah satu gangguan kesihatan yang sering diabaikan walaupun ianya boleh memberi kesan besar terhadap kualiti hidup seseorang.
Menurut kajian global, dianggarkan lebih 4.6 juta kes gastrik direkodkan setiap tahun, dengan sebahagian besar pesakit tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya menghidap gastrik sehingga keadaan menjadi lebih serius.
Di Malaysia, angka ini juga membimbangkan apabila kajian menunjukkan bahawa hampir 30% daripada populasi dewasa mengalami gejala gastrik, sama ada dalam bentuk akut atau kronik.
Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah ramai yang tidak tahu bahawa gastrik boleh hadir dengan simptom-simptom yang tidak biasa dan mudah disalah anggap sebagai masalah kesihatan lain.
Dalam artikel ini, kami akan berkongsi 15 simptom gastrik yang jarang diketahui tetapi penting untuk anda kenal pasti agar rawatan boleh dilakukan lebih awal dan komplikasi dapat dielakkan.
Jangan abaikan tanda-tanda ini kerana ia mungkin memberi amaran kepada masalah perut yang lebih serius, termasuk ulser atau pendarahan dalaman. Jom kita mula dengan simptom gastrik yang pertama.
1. Darah Dalam Muntah
Menurut The Indian Journal of Pediatrics, muntah yang mengandungi darah atau disebut sebagai hematemesis adalah simptom gastrik yang membimbangkan, menunjukkan kemungkinan pendarahan dalam saluran pencernaan atas, seperti perut atau esofagus.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh National Center for Biotechnology Information, mereka mendapati bahawa darah yang keluar ketika muntah tersebut juga boleh kelihatan seperti merah terang atau serbuk kopi. Ini bergantung kepada tempoh darah berada dalam perut dan tahap pencernaan oleh asid perut.
Keadaan ini boleh disebabkan oleh ulser peptik yang berdarah, pecahnya pembuluh darah pada esofagus (varises esofagus), atau gastritis yang teruk. Simptom ini memerlukan perhatian perubatan segera, kerana pendarahan dalaman boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat.
Doktor biasanya akan melakukan pemeriksaan fizikal, ujian darah, dan mungkin prosedur endoskopi untuk mengenal pasti sumber pendarahan dan menentukan rawatan yang sesuai.
2. Najis Hitam Kerana Pendarahan
Najis yang berwarna hitam, pekat, dan melekit (sering digambarkan seperti tar) dikenali sebagai melena, merupakan simptom gastrik yang menjadi tanda pendarahan dalam saluran pernafasan atas.
Menurut National Center for Biotechnology Information, warna hitam najis disebabkan oleh darah bercampur dengan enzim pencernaan dan asid perut (asid hidroklorik). Proses ini menghasilkan hematin, sebatian kimia berwarna hitam yang menyebabkan warna gelap pada najis.
Melena menandakan bahawa pendarahan mungkin sedang berlaku atau telah berlaku dalam jumlah yang besar, yang memerlukan perhatian perubatan segera, terutamanya jika disertai dengan gejala lain.
3. Rasa Terbakar di Bahagian Atas Abdomen
Sensasi terbakar di bahagian atas abdomen adalah simptom gastrtik yang biasa berlaku atau refluks asid, di mana asid perut mengiritasi lapisan perut atau esofagus. Sensasi ini dikenali sebagai heartburn dan biasanya lebih teruk selepas makan atau apabila berbaring.
Rasa terbakar ini berlaku apabila asid perut melampui tahap normal dan menjejaskan dinding perut, yang menyebabkan keradangan dan ketidakselesaan. Rawatan merangkumi pengurusan asid perut dengan antasid atau perencat pam proton.
4. Sakit Di Bahagian Atas Abdomen
Sakit yang dirasakan di bahagian atas abdomen boleh berbentuk nyeri atau tajam dan kerap berlaku selepas makan.
Kesakitan ini adalah akibat keradangan atau ulser pada lapisan perut, yang dikenali sebagai dyspepsia. Menurut kajian dari National Center for Biotechnology Information, ia juga boleh dicetuskan oleh tekanan emosi, makanan yang pedas, atau ubat-ubatan tertentu seperti aspirin dan NSAID.
Kesakitan ini mungkin datang dan pergi, tetapi jika berterusan, ia memerlukan penilaian perubatan untuk mengelakkan komplikasi seperti ulser berlubang.
5. Loya dan Senak
Berdasarkan kajian dari Current Treatment Options in Gastroenterology, ia melaporkan bahawa loya dan ketidakselesaan perut adalah simptom gastrik yang biasa dilaporkan oleh pesakit.
Loya menyebabkan anda berkeinginan untuk muntah, manakala senak menimbulkan rasa tidak selesa di bahagian atas abdomen, seolah-olah makanan tidak dicerna dengan baik.
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh gabungan faktor fisiologi dan mekanisme patologi yang berkaitan dengan keradangan atau kerosakan pada lapisan perut.
Faktor-faktor seperti makanan berlebihan, makanan berlemak, dan tekanan boleh memburukkan simptom ini. Rawatan biasanya melibatkan pengurangan asid perut (contohnya, dengan antasid atau inhibitor pam proton) dan pengurusan faktor pencetus seperti diet, ubat-ubatan, atau tekanan emosi.
6. Penurunan Berat Badan
Menurut National Center for Biotechnology Information, penurunan berat badan yang tidak disengajakan berlaku apabila seseorang dengan gastrik mengalami loya, muntah, dan hilang selera makan, mengakibatkan pengurangan pengambilan makanan.
Ulser peptik atau gastritis kronik boleh menyebabkan rasa sakit setiap kali makan, yang menjadikan pesakit mengelak untuk makan. Selain itu, pencernaan yang terjejas juga boleh menyumbang kepada penurunan berat badan kerana nutrien tidak diserap dengan berkesan.
Bahkan dalam kes yang lebih serius, seperti ulser perut atau helicobacter pylori infection, keradangan boleh menjadi lebih teruk dan mempengaruhi sistem pencernaan, yang membawa kepada malnutrisi dan penurunan berat badan.
7. Muntah
Berdasarkan kajian dari National Center for Biotechnology Information, gastrik, atau keradangan pada lapisan perut, boleh menyebabkan muntah melalui beberapa mekanisme yang melibatkan sistem saraf dan tindak balas tubuh terhadap rangsangan tertentu.
Keradangan pada lapisan perut akibat gastrik boleh merangsang reseptor tertentu dalam saluran gastrointestinal. Ransangan ini dihantar melalui saraf vagus ke pusat muntah di otak, yang seterusnya mencetuskan refleks muntah.
Muntah berterusan boleh mengakibatkan dehidrasi dan ketidakseimbanan elektrolit, serta memperburuk keadaan kesihatan secara keseluruhan. Jika muntah mengandungi darah atau berterusan selama beberapa hari, rawatan perubatan segera adalah penting.
8. Hilang Selera Makan
Hilang selera makan adalah salah satu simptom gastrik yang berlaku apabila perut meradang menyebabkan rasa kenyang atau ketidakselesaan walaupun selepas makan dalam jumlah kecil.
Ini disebabkan oleh ulser atau keradangan yang mengakibatkan perasaan tidak selesa berterusan, menghalang pesakit daripada menikmati makanan seperti biasa. Dalam jangka panjang, hilang selera boleh menyumbang kepada kekurangan zat makanan dan penurunan berat badan.
9. Kerap Sendawa
Simptom gastrik yang seterusnya adalah kerap sendawa. Gastrik boleh mengganggu pergerakan normal makanan melalui sistem pencernaan. Pengosongan perut yang perlahan ini menyebabkan makanan kekal lebih lama dalam perut, menghasilkan lebih banyak gas.
Bahkan kajian dari National Center for Biotechnology Information juga mendapati bahawa, sendawa boleh menjadi refleks semula jadi tubuh untuk melepaskan tekanan dalam perut, yang sering dipacu oleh keradangan atau disfungsi saluran gastrointestinal.
Sendawa mungkin sementara, tetapi jika ia berlaku berulang kali, ia boleh menjadi simptom gastrik yang lebih serius dan memerlukan penilaian lanjut.
10. Gangguan Tidur
Gangguan tidur boleh disebabkan oleh rasa sakit atau terbakar di perut yang menjadi lebih teruk apabila seseorang berbaring.
Refluks asid yang berlaku pada waktu malam sering mengganggu tidur, menjadikan pesakit terjaga dengan rasa tidak selera. Kitaran tidur yang terganggu boleh menyebabkan keletihan yang berpanjangan, yang seterusnya memburukkan gejala gastrik yang lain.
11. Perut Kembung
Perut kembung atau rasa penuh yang melampau adalah akibat daripada lebihan gas yang terperangkap di perut, sering dikaitkan dengan simptom gastrik.
Lapisan perut yang meradang boleh merangsang pengeluaran gas yang berlebihan, menyebabkan rasa tidak selesa dan kembung. Ini sering berlaku selepas makan makanan berminyak, pedas, atau berkarbonat.
12. Sesak Nafas
Sesak nafas adalah simptom gastrik yang mungkin berkaitan, terutamanya dalam keadaan tertentu seperti refluks asid atau gastritis kronik. Hubungan ini melibatkan beberapa mekanisme fisiologi yang mempengaruhi perut, sistem pernafasan, dan saraf.
Sesak nafas adalah simptom yang jarang berlaku tetapi boleh terjadi jika asid perut yang direfluksir ke dalam esofagus mencapai saluran pernafasan, menyebabkan iritasi.
Sesak nafas juga boleh menjadi akibat tekanan dada yang disebabkan oleh keradangan atau keasidan yang melampau. Walaupun tidak selalu berkaitan dengan gastrik, gejala ini memerlukan perhatian segera untuk mengecualikan masalah lain seperti serangan jantung.
13. Keletihan
Keletihan yang berterusan adalah akibat kehilangan zat makanan dan dehidrasi yang berkaitan dengan gastrik.
Jika seseorang mengalami loya, muntah, atau hilang selera makan, tubuh tidak mendapat nutrien yang mencukupi atau menghasilkan tenaga.
Pendarahan dalaman dari ulser juga boleh menyebabkan anemia, yang seterusnya membawa kepada keletihan yang melampau.
Dalam Journal of Clinical Gastroenterology melaporkan bahawa pesakit gastritis kronik sering mengalami sindrom keletihan akibat gangguan penyerapan dan kesan sistemik keradangan.
14. Pening Kepala
Pening kepala boleh berlaku apabila dehidrasi atau kehilangan darah yang berkaitan dengan gastrik teruk.
Apabila tubuh tidak cukup terhidrasi, tekanan darah boleh jatuh, menyebabkan rasa pening. Menurut National Center for Biotechnology Information, jika pendarahan dari ulser peptik berterusan, ia boleh menyebabkan kehilangan darah yang ketara, membawa kepada anemia dan rasa pening yang kerap.
Oleh itu, penting untuk melakukan penilaian menyeluruh apabila pesakit mengadu pening kepala tanpa sebab yang jelas, kerana ia mungkin berkaitan dengan keadaan gastrik yang teruk.
15. Rasa Masam atau Pahit Dalam Mulut
Rasa masam atau pahit di mulut sering berlaku apabila asid perut direfluks ke dalam esofagus dan mencapai bahagian belakang tekak. Refluks ini menyebabkan rasa pahit, terutamanya selepas makakn atau ketika berbaring.
Asid perut yang naik ke kerongkong boleh menyebabkan kerengsaan dan memberikan rasa tidak menyenangkan yang sukar untuk hilang tanpa rawatan yang betul.
Kesimpulan
Kesimpulannya, terdapat pelbagai simptom gastrik yang perlu anda tahu. Mengenali simptom-simptom ini penting untuk mendapatkan rawatan awal dan mencegah komplikasi serius seperti ulser perut atau kanser perut.
Jika anda mengalami mana-mana gejala di atas, disarankan untuk berjumpa dengan profesional kesihatan untuk penilaian lanjut.
Berikut adalah simptom gastrik yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan mungkin anda tidak perasan :
- Darah Dalam Muntah
- Najis Hitam Kerana Pendarahan
- Rasa Terbakar di Bahagian Atas Abdomen
- Sakit Di Bahagian Atas Abdomen
- Loya dan Senak
- Penurunan Berat Badan
- Muntah
- Hilang Selera Makan
- Kerap Sendawa
- Gangguan Tidur
- Perut Kembung
- Sesak Nafas
- Keletihan
- Pening Kepala
- Rasa Masam atau Pahit Dalam Mulut
Anda juga boleh baca informasi tentang gastrik yang lain di sini: