14 Punca Gastrik Wajib Semak Jika Perut Selalu Rasa Pedih
Arikel ini bincang tentang punca gastrik. Lazimnya setiap orang pernah mengalami sakit perut. Namun paling tidak selesa apabila melarat sehingga menyebabkan pedih ulu hati, kembung perut dan rasa panas di dada (heartburn).
Walaupun sudah mengambil pelbagai jenis ubat batuk termasuk antibiotik, tapi ketidakselesaan gagal untuk dihilangkan sepenuhnya. Tanpa disedari, semua ini merupakan gejala gastrik yang dialami hingga membuatkan para pesakit menderita.
Oleh sebab itu, artikel kali ini mendedahkan punca-punca gastrik yang mungkin selalu kita terlepas pandang. Ia merangkumi aspek pemakanan, gaya hidup, serta isu-isu kesihatan yang boleh mengundang penyakit ini jadi lebih teruk dan berbahaya!
15 Punca Gastrik
1. Gaya pemakanan yang kurang sihat
Secara globalnya, lelaki lebih cenderung menghidap masalah gastrik dua kali ganda berbanding wanita kerana sudah terbiasa dengan pengambilan makanan atau diet yang tidak seimbang.
Kajian menunjukkan bahawa, pengambilan makanan pedas, tinggi kandungan gula atau gluten, serta buah sitrus secara berlebihan boleh mencetuskan kerengsaan terhadap perut. Ini sekaligus meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap gastrik.
Maka sebagai langkah pencegahan, anda disarankan untuk mengambil jenis makanan tersebut dalam kuantiti yang terkawal atau bertukar kepada diet yang lebih sihat.
2. Pengambilan kafein yang berlebihan
Kafein yang terdapat dalam hidangan kopi anda mungkin membantu segarkan mata, namun kandungan asid yang terdapat padanya agak tinggi juga.
Jika diambil terlalu kerap serta kuantiti tidak terkawal, asid berlebihan daripada kafein boleh menyebabkan lapisan perut meradang. Selain itu, ia juga berpotensi menjejaskan sistem saraf dalam jangka masa panjang.
Malah terdapat beberapa kajian mendapati, minuman berkafein mempamerkan potensi untuk menyebabkan rembesan asid gastrik. Sekiranya bahan ini berlebihan dalam tubuh, komplikasi seperti gastrik, pedih ulu hati dan refluks (GERD) boleh tercetus.
3. Ketagihan terhadap minuman berkarbonat dan beralkohol
Selain itu, ketagihan melampau terhadap minuman ringan serta yang berasaskan alkohol juga mampu mendatangkan kerengsaan. Jika diambil secara berlebihan, lapisan mukus yang melindungi perut terhakis, sekali gus menyebabkan ia mudah terdedah kepada asid.
Menurut sebuah kajian pada 2011, minuman berkarbonat didapati boleh meningkatkan refluks gastrik. Oleh itu, ia juga boleh dikaitkan dengan risiko komplikasi terhadap saluran esofagus.
Manakala ketagihan minuman beralkohol pula bukan sahaja menjejaskan fungsi otot yang mengawal bukaan antara perut dan esofagus, hingga berlakunya heartburn. Malah ia juga terbukti meningkatkan risiko untuk menghidap kanser esofagus.
4. Tekanan atau stres yang melampau
Mungkin ramai tidak tahu, tekanan juga boleh menyebabkan gastrik. Bahkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, kebanyakan yang datang ke fasiliti kesihatan adalah pesakit gastrik dan penyakit refluks gastroesofagus.
Gastrik yang disebabkan oleh tekanan dan kebimbangan ‘melampau’ ini boleh dicetuskan oleh pelbagai faktor. Antaranya seperti kesukaran bekerja, perubahan gaya hidup, atau masalah emosi, keluarga dan kesihatan.
Ini kerana tekanan mencetuskan hormon yang boleh meningkatkan rembesan jus gastrik, sekaligus mengundang risiko keradangan pada lapisan perut. Lazimnya ia bukanlah kondisi yang serius, tetapi sangat tidak selesa dan boleh memberi impak negatif terhadap kualiti hidup pesakit.
5. Tabiat merokok
Seperti diketahui umum, merokok menjadi penyumbang utama risiko kematian akibat penyakit pernafasan dan kardiovaskular di seluruh dunia. Bukan setakat itu saja, kehadiran sejumlah besar komponen toksik dalam asap rokok juga menjadi penyebab keradangan dan kanser di bahagian perut.
Satu kajian di Korea Selatan yang melibatkan seramai 97,700 responden lelaki mendapati, kumpulan perokok tegar (heavy smoker) terdedah dengan peningkatan risiko kanser gastrik yang sangat ketara.
Apa yang lebih mengejutkan, bekas perokok yang mempunyai sejarah merokok tegar juga didapati berdepan risiko sama. Justeru, keputusan ini jelas menunjukkan bahawa berhenti merokok adalah jalan yang terbaik dalam mengurangkan risiko keradangan serta kanser gastrik.
6. Penggunaan jangka masa panjang ubat tahan sakit NSAIDs
Kebiasaannya, pesakit arthritis mengambil ubat tahan sakit untuk mengurangkan rasa sakit pada sendi dan otot masing-masing.
Malah kini ubat anti-radang bukan steroid atau nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) seperti aspirin, ibuprofen, naproxen dan diclofenac mudah diperolehi di kedai farmasi, tanpa memerlukan preskripsi doktor.
Namun jika pengambilannya secara kerap dalam jangka masa panjang, dikhuatiri ubat NSAIDs ini mengundang masalah berkaitan gastrik pula.
Menurut kajian, ubat tahan sakit ini mengandungi bahan yang boleh merencatkan penghasilan lapisan mukosa yang berfungsi untuk melindungi dinding perut. Apabila ia semakin rapuh dan lebih terdedah kepada hakisan asid, ini meningkatkan risiko ulser dan gastrik perut.
Jika mengalami gejala sakit yang ringan, anda disaran untuk mengambil ubat jenis paracetamol kerana ia tidak termasuk dalam kumpulan NSAIDs selain kurang kesan sampingan yang berbahaya.
7. Penyalahgunaan bahan terlarang
Kerosakan sistem penghadaman yang disebabkan oleh pengambilan bahan terlarang adalah masalah yang semakin meningkat dalam kalangan penagih dadah.
Kajian menunjukkan bahawa tabiat ini mengakibatkan semua organ yang terlibat dalam sistem pencernaan boleh diserang kanser. Ubat sintetik seperti ekstasi juga boleh membawa kepada kerosakan penghadaman dan hepatik, selain keradangan di perut.
Selain itu, mereka yang terlibat dalam masalah sosial ini biasanya mengamalkan tabiat pemakanan yang tidak teratur. Sebahagian besar wang mungkin dibelanjakan untuk memuaskan ketagihan, bukannya pada makanan.
Bahan perangsang yang kuat dalam dadah juga berupaya menjejaskan selera makan seseorang. Kekurangan nutrien yang kronik akibat penyalahgunaan ini menyebabkan ramai penagih bergelut dengan pelbagai masalah kesihatan, termasuklah gastrik.
8. Jangkitan bakteria dari sumber tercemar
Sejenis bakteria iaitu Helicobacter pylori atau H.pylori turut menjadi ‘suspek’ utama masalah ini. Ia boleh merebak melalui sentuhan daripada tangan yang tidak dicuci dengan bersih selepas membuang air besar, selain daripada sumber air dan makanan yang tercemar.
Kajian mendapati apabila sudah menjangkiti tubuh, ia akan membiak dalam lapisan mukus pada bahagian perut dan duodenum. Bakteria ini kemudiannya melemahkan sel-sel di tisu perut, sekaligus mengakibatkan ulser gastrik.
Walau bagaimanapun, kes berikut jarang berlaku kerana hanya sebilangan kecil pesakit yang dijangkiti bakteria ini menunjukkan kesan gastrik seperti inflamasi di lapisan dinding perut mereka.
Pakar turut mempercayai bahawa ini mungkin disebabkan ketahanan sistem imun badan mereka yang lemah dan tidak dapat melawan jangkitan bakteria tersebut.
9. Faktor peningkatan usia
Seperti bahagian tubuh yang lain, lapisan perut juga akan jadi semakin menipis seiring dengan usia anda yang meningkat. Disebabkan itu, warga emas lebih mudah terdedah dengan risiko gastrik berbanding golongan yang lebih muda.
Penyelidikan turut menunjukkan bahawa, faktor umur turut memainkan peranan utama terhadap kesan jangkitan bakteria H.pylori terhadap manusia.
Golongan kanak-kanak dan warga emas lebih mudah untuk dijangkiti, kerana sistem imuniti mereka lebih lemah berbanding orang dewasa. Justeru pencegahan klinikal untuk mengurangkan ancaman H. pylori, seperti vaksin amat digalakkan.
10. Sistem pencernaan kurang darah
Antara fungsi penting darah merah adalah membekalkan nutrien dari sistem pencernaan ke seluruh sel dalam tubuh kita. Jika berlakunya pengurangan yang sangat ketara, ini boleh mengakibatkan gastrik akut ataupun gastrik yang berlaku secara tiba-tiba.
Contohnya, apabila sebahagian tubuh melecur terbakar atau hidap penyakit kritikal. Tekanan fisiologi yang teruk menyebabkan tubuh anda ‘menarik semula’ bekalan darah dari sistem pencernaan untuk pemulihan tisu atau organ yang lebih terjejas.
Situasi ini berupaya melemahkan sistem pencernaan dan lapisan dinding perut anda, sekaligus lebih senang dihakis asid hidroklorik atau diserang bakteria jahat.
11. Penyakit autoimun
Penyakit autoimun terjadi apabila sistem imun tubuh seseorang tersilap menyerang sel atau tisunya sendiri dengan keradangan. Ia berlaku kerana sistem imun badan gagal membezakan sel atau tisu badan dan menganggapnya sebagai ‘sel asing’.
Sekiranya berlarutan, anda dibimbangi boleh menghidap penyakit gastrik autoimun kronik atau AIG. Menurut kajian, setakat ini tiada terapi berkesan untuk merawat masalah kesihatan ini.
Bahkan pesakit AIG perlu dipantau dengan teliti sepanjang hayat untuk mengelakkan kekurangan khasiat zat besi dan vitamin B12 dalam tubuh.
Selain itu, penyakit sedia ada seperti tiroiditis autoimun dan diabetes tahap satu juga boleh menyumbang kepada perkembangan penyakit AIG.
12. Gangguan pencernaan seperti penyakit Crohn
Penyakit Crohn merujuk pada keradangan yang berlaku pada saluran pemakanan. Walaupun boleh berlaku di sebarang bahagian sistem pencernaan, tapi biasanya penyakit ini kerap ditemui pada usus besar.
Puncanya adalah apabila sistem imun badan menyerang sistem penghadaman pesakit itu sendiri. Cirit-birit kronik yang melebihi tempoh 4 minggu adalah simptom yang paling kerap berlaku dalam kalangan pesakit Crohn.
Kajian klinikal melaporkan bahawa, masalah gastrik sering menjadi kesan sampingan penyakit ini. Bahkan, patologi yang paling biasa ditemui dalam tubuh pesakit Crohn adalah bakteria H.pylori.
Setakat ini, tiada ubat dapat menyembuhkan masalah keradangan usus bawaan penyakit Crohn. Ubatan hanya diberi berdasarkan tahap keseriusan penyakit.
Namun jika pesakit berada dalam tahap kritikal seperti saluran usus tersumbat, pembedahan kecemasan perlu segera dilakukan bagi menyelamatkan nyawa.
13. Komplikasi rawatan kemoterapi
Proses kemoterapi merupakan sejenis rawatan yang menggunakan ubat-ubatan tertentu untuk memperlahankan pertumbuhan dan membunuh sel kanser.
Namun pada masa yang sama, pesakit yang menjalani proses kemoterapi akan mengalami beberapa kesan sampingan yang tidak diingini. Selain keguguran rambut, mereka turut terdedah dengan risiko ketoksikan gastrousus.
Berdasarkan penyelidikan klinikal, kesannya termasuklah cirit-birit dan mucositis (sensasi sakit pada mulut). Keadaan ini sering menjadi cabaran utama terhadap pesakit, sehingga menyebabkan ramai yang berhenti dan tidak sanggup meneruskan rawatan kanser.
14. Refluks hempedu
Antara penyebab gastrik yang jarang berlaku adalah refluks hempedu. Keadaan ini berlaku apabila jus hempedu, iaitu cecair pencernaan yang dihasilkan organ hati anda tidak bergerak melalui usus kecil.
Sebaliknya, ia ternaik (refluks) ke tiub esofagus dan mengalir kembali ke dalam perut. Kadangkala apabila anda muntah dan cecair yang keluar berwarna kuning kehijauan, berkemungkinan besar ia merupakan jus hempedu.
Menurut kajian, pergerakan abnormal jus hempedu ketika refluks ini boleh merosakkan lapisan dinding yang melindungi perut. Keadaan tersebut boleh menyebabkan risiko menghidap masalah gastrik semakin meningkat.
Berbeza dengan GERD, refluks hempedu tidak dapat dikawal sepenuhnya dengan mengubah gaya hidup dan cara pemakanan. Rawatan masalah ini melibatkan ubat-ubatan, atau memerlukan pembedahan bagi kes yang sangat teruk.
Bagaimanapun, refluks jus hempedu jarang menimpa individu yang sihat. Lazimnya, ia berlaku pada individu yang pernah menjalani pembedahan gastrik atau pembedahan untuk mengeluarkan pundi hempedu yang sudah terjejas.
Kesimpulan
Kesimpulannya, berikut adalah punca gastrik utama yang wajib kita ketahui sebelum mengatasi masalah gastrik:
- Gaya pemakanan yang kurang sihat
- Pengambilan kafein yang berlebihan
- Ketagihan terhadap minuman berkarbonat dan beralkohol
- Tekanan atau stres yang melampau
- Tabiat merokok
- Penggunaan jangka masa panjang ubat tahan sakit NSAIDs
- Penyalahgunaan bahan terlarang
- Jangkitan bakteria dari sumber tercemar
- Faktor peningkatan usia
- Sistem pencernaan kurang darah
- Penyakit autoimun
- Gangguan pencernaan seperti penyakit Crohn
- Komplikasi rawatan kemoterapi
- Refluks hempedu
Anda boleh baca segala informasi gastrik sini: