16 Cara Hilangkan Gastrik Dengan Berkesan

Artikel kali ini merungkaikan tentang cara hilangkan gastrik dengan berkesan. Masalah kesihatan ini berlaku disebabkan keradangan pada lapisan dalam perut yang dikenali sebagai mukosa.

Antara gejala gastrik termasuklah rasa sakit atau ketidakselesaan pada bahagian atas abdomen, pedih ulu hati, perut kembung, muntah serta kehilangan selera makan.

Walaupun banyak kes dapat dirawat dengan baik, namun jika tidak ditangani masalah gastrik ini boleh mengakibatkan komplikasi yang lebih kritikal seperti ulser perut dan kanser perut. Oleh sebab itu, mari ketahui cara merawat gastrik dengan berkesan!

16 Cara Hilangkan Gastrik

Cara Hilangkan Gastrik featured image

1. Elakkan diet pencetus radang

Cara Hilangkan Gastrik elak pencetus radang

    Memandangkan simptom utama gastrik adalah keradangan pada lapisan perut, maka pengambilan makanan yang tepat berupaya mengurangkan kerengsaan dalam jangka masa yang panjang.

    Kajian mendapati bahawa, diet atau amalan pemakanan yang kaya dengan sifat pro-radang boleh menyebabkan risiko tinggi seseorang itu menghidap masalah gastrik.

    Antara yang biasa mencetuskan kerengsaan pada perut adalah seperti makanan berasid, pedas, tinggi kandungan gula atau gluten, serta yang berasaskan alkohol.

    Jika telah mengenal pasti makanan yang boleh mencetuskan gejala ini, anda boleh kurangkan pengambilannya atau terus tukar kepada diet yang lebih sihat dan seimbang.

    2. Makan ubat antibiotik

      Jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H.pylori) adalah penyakit yang umum di peringkat global. Ia boleh menjangkiti manusia melalui sentuhan dengan makanan atau minuman yang tercemar. 

      H.pylori membiak dalam saluran pencernaan dan mengeluarkan bahan kimia yang boleh menghakis mukus iaitu lapisan perlindungan dalam perut. Ini membuatkan sel perut mudah rapuh terhadap asid, lalu mengakibatkan rasa pedih yang merupakan antara tanda utama gastrik.

      Menurut laporan klinikal terkini, H. pylori biasanya dirawat dengan sekurang-kurangnya dua antibiotik berbeza sekaligus. Terapi ini bertujuan untuk menghalang bakteria kebal daripada kesan antibiotik tertentu.

      Lazimnya rawatan dengan antibiotik diberikan dalam tempoh 10 hingga 14 hari. Namun tempoh yang dideskripsi oleh doktor mungkin berbeza-beza, dan bergantung pada keadaan setiap penghidap gastrik tersebut.

      3. Ambil antasid untuk kurangkan sakit perut

        Antara cara hilangkan gastrik yang berkesan untuk mengurangkan asid berlebihan daripada terus menyebabkan iritasi lapisan mukosa dalam perut adalah melalui pengambilan antasid. 

        Ubat ini terdiri daripada garam kalsium karbonat, aluminium dan magnesium dalam pelbagai bentuk sebatian. Ia berfungsi dengan cara meneutralkan asid dalam perut, seterusnya meredakan rasa sakit dan keradangan.

        Selain gastrik, hasil penyelidikan mendapati antasid turut menggalakkan penyembuhan bagi masalah cirit-birit, GERD, refluks hempedu, sembelit dan bermacam lagi penyakit melibatkan masalah pencernaan.

        Disebabkan cukup berkesan untuk merawat simptom gastritis yang ringan hingga sederhana, ubat antasid juga mudah didapati di farmasi atau kedai runcit.

        4. Halang asid dengan ubat H2 Blockers

          Asid perut merupakan antara komponen terpenting dalam sistem pencernaan kerana berperanan untuk memecahkan molekul makanan. Namun terlalu banyak asid perut boleh menyebabkan simptom gastrik seperti sakit perut dan pedih ulu hati.

          Ubat ini bertindak dengan menghalang reseptor histamin (H2) dalam sel perut yang merangsang pengeluaran asid. Selain simptom gastrik, ia juga merupakan rawatan jangka pendek bagi ulser perut dan refluks asid (GERD).

          Antara contoh penghalang H2 adalah seperti Ranitidine dan Famotidine. Namun pesakit gastrik perlulah mendapatkan preskripsi ubat ini daripada doktor terlebih dahulu.

          5. Rawat dengan ubat penghalang pam proton (PPI)

            Namun jika ubat-ubat lain tidak berkesan merawat simptom gastrik, anda mungkin perlu dapatkan deskripsi ubat penghalang pam proton (PPI) pula. Antara contoh ubat ini termasuklah omeprazole dan lansoprazole.

            PPI berfungsi dengan cara menghalang ‘pam’ enzim dalam sel perut yang bertanggungjawab untuk menghasilkan asid. Selain meredakan keradangan pada lapisan mukosa, proses penyembuhan juga dapat dipercepatkan.

            PPI juga terbukti berkesan menyembuhkan ulser atau simptom gastrik akibat penggunaan ubat tahan sakit NSAIDs. Ini kerana, ia memberikan perencatan kuat dan mampu tahan lebih lama terhadap rembesan asid gastrik.

            6. Amalkan makanan berasas probiotik

            Cara Hilangkan Gastrik probiotik

              Selain itu, pengambilan makanan atau suplemen yang berasaskan probiotik juga dapat melancarkan proses pencernaan dan mendorong pergerakan usus dengan lebih baik.

              Ujian klinikal membuktikan apabila lebih banyak bakteria baik dibawa oleh suplemen probiotik, kadar bakteria H.pylori untuk berhenti tersebar dalam saluran pencernaan juga lebih tinggi.

              Oleh itu, makanan yang tinggi kandungan probiotik seperti kimchi, yogurt dan tempe amat sesuai untuk diambil secara harian untuk kurangkan gejala gastrik dengan berkesan.

              7. Elak makan terlalu banyak ubat tahan sakit NSAIDs

                Jika anda kerap mengambil ubat tahan sakit tanpa tahu kesan sampingannya setiap kali tidak sihat, sila berhati-hati kerana tabiat ini mungkin boleh menyebabkan ulser di bahagian perut dan duodenum.

                Ubat yang dimaksudkan adalah ubat anti-radang bukan steroid atau nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs). Contohnya adalah seperti aspirin, ibuprofen, naproxen dan diclofenac. 

                Ubat-ubatan ini bukan sahaja efektif melawan sakit, malah boleh diperolehi di farmasi tanpa memerlukan preskripsi doktor. Tapi jika pengambilannya terlalu kerap, NSAIDs mengurangkan hormon prostaglandin yang berfungsi menghasilkan mukosa.

                Menurut kajian, keadaan ini mengakibatkan lapisan dinding perut lebih terdedah kepada hakisan asid seterusnya meningkatkan risiko ulser dan gastrik perut.

                Oleh itu jika mengalami sakit ringan, anda disaran untuk ambil ubatan jenis paracetamol kerana ia tidak termasuk dalam kumpulan NSAIDs dan kurang kesan sampingan.

                8. Hindari makanan jenis ‘berangin’

                  Perut senak atau kembung membuatkan seseorang tidak selesa serta lesu, terutamanya apabila perlu berurusan dengan ramai orang di tempat kerja. Apatah lagi jika gejala ini terlalu lama berlarutan, ia menjadi tanda awal anda menghidap gastrik.

                  Kandungan gas yang dihasilkan daripada makanan berbeza antara individu. Bagi sesetengah orang, keledek, nangka, cendawan, minuman berkarbonat, berkafein dan teh boleh menyebabkan angin dalam perut.

                  Tidak dinafikan ada beberapa rawatan klinikal untuk menyelesaikan masalah ini. Tetapi yang lebih utama, adalah kesediaan kita untuk menghindarkan makanan dan minuman jenis ‘berangin’ pada setiap hari.

                  9. Lebihkan menjamah bawang putih

                  Cara Hilangkan Gastrik bawang putih

                    Ramai beranggapan bahawa bawang putih selalunya digunakan dalam masakan. Tapi tahukah anda, ia juga telah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional khususnya untuk melancarkan proses pencernaan dan membuang angin dalam badan.

                    Beberapa kajian menunjukkan, ekstrak bawang putih bukan saja berupaya mengurangkan gejala gastrik. Malah ia turut menurunkan risiko menghidapi kanser kolorektal ataupun kanser usus besar.

                    Ini kerana, komponen aktif yang terkandung dalam bawang putih seperti allicin, diallyl disulfide (DADS), diallyl trisulfide (DATS), dan S-allylmercaptocysteine mampu membunuh bakteria serta merendahkan tahap kolesterol.

                    Jika anda tidak suka bawang putih mentah, anda boleh mencincangnya dan makan bersama sesudu mentega kacang atau buah kurma. Ini kerana kemanisan mentega kacang atau kurma dapat ‘aroma’ bawang putih yang agak kuat.

                    10. Amalkan aromaterapi minyak pati (essential oil)

                    Cara Hilangkan Gastrik minyak pati

                      Selain itu, minyak pati daripada tumbuh-tumbuhan juga terbukti khasiat perubatannya. Penyelidikan makmal mendapati, ekstrak semula jadi daripada 30 jenis tumbuhan telah dikenalpasti mampu menghalang penyebaran bakteria H.pylori.

                      Terutama sekali yang berasaskan daun serai, oregano dan kayu cedar. Malah, ekstrak minyak pati pudina, halia dan bunga cengkih juga dapat memberikan kesan positif terhadap sistem pencernaan manusia.

                      Akan tetapi, minyak pati bukanlah untuk dimakan. Sebaliknya boleh disapu pada kulit sebagai minyak urutan. Ia juga boleh digunakan dalam peresap (diffuser), tapi dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu untuk cara penggunaan yang selamat.

                      11. Saiz hidangan lebih kecil tapi kerap

                        Ramai daripada kita menyangka, makan lebih banyak adalah bagus untuk mengatasi gastrik akibat perut kosong. Walhal, tanggapan ini salah sama sekali dan boleh memburukkan lagi gejala gastrik. 

                        Kurangkan saiz hidangan dalam masa yang sama, meningkatkan ketumpatan makanan bukan sahaja kaedah yang disarankan untuk kurangkan berat badan, ianya juga berkesan untuk membantu mereka yang mengalami pedih ulu hati.

                        Jumlah makanan yang besar menyebabkan perut anda tidak mempunyai ruang yang cukup untuk ditampung. Akibatnya proses pencernaan tidak berjalan lancar, lalu menyebabkan simptom perut kembung dan pedih ulu hati.

                        Oleh itu, anda disaran untuk mengawal diet harian dengan mengambil saiz hidangan kecil tetapi kerap agar dapat mengurangkan rasa ketidakselesaan akibat gastrik.

                        12. Cuba terapi urutan perut

                          Di samping perubatan moden, kaedah urutan perut atau abdomen juga telah sekian lama dipraktikkan untuk merawat masalah yang berkaitan dengan organ perut. Ini termasuklah isu penghadaman, sembelit, kembung, GERD, dan gastrik.

                          Bukan sahaja memberi kesan yang menenangkan, terapi urutan juga diterima umum sebagai rawatan yang bukan invasif serta bebas kesan sampingan.

                          Malah kajian terhadap 60 pesakit mendapati, kesan urutan perut berupaya melegakan rasa sakit akibat gastrik. Justeru, ia turut disyorkan sebagai kaedah alternatif untuk meningkatkan mood pesakit terutamanya yang lama di wad hospital.

                          13. Berjalan sejurus habis makan

                            Perut kembung adalah reaksi kesan lebihan gas di dalam usus. Walaupun biasa terjadi kepada semua peringkat umur, tetapi ia juga boleh menandakan gejala ketidakhadaman makanan seperti gastrik dan gastroenteritis (cirit-birit).

                            Selalunya individu yang sakit perut akan berehat atau berbaring sepanjang hari. Tetapi ini hanya membuatkan ia lambat baik. Sebagai perubahan, cuba lakukan senaman ringan dengan cara berjalan kaki.

                            Kajian menunjukkan bahawa, aktiviti ini amat berkesan dalam melegakan gejala perut kembung. Berbeza dengan kaedah perubatan lain, ia tidak memerlukan sebarang peralatan dan boleh dilakukan dengan mudah oleh mana-mana individu.

                            Bahkan, berjalan sejurus selepas makan terbukti lebih berkesan untuk menurunkan berat badan. Ia merangsang sistem pencernaan badan untuk berfungsi lebih baik serta menggalakkan usus untuk menyingkirkan gas berlebihan daripada tubuh.

                            14. Lebihkan serat dalam diet harian

                            Cara Hilangkan Gastrik serat

                              Antara faktor ramai mengalami masalah berkaitan penghadaman adalah disebabkan kurangnya pengambilan serat, seperti tabiat tidak gemar makan sayur dan buah-buahan. 

                              Kajian mendapati, pengambilan serat dalam kalangan rakyat Malaysia masih di tahap agak rendah iaitu hanya 13 hingga 16 gram (g) sahaja sehari. 

                              Ia agak jauh jika dibandingkan dengan saranan pengambilan serat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sekitar 30 hingga 40 g sehari. Bahkan diet harian yang kurang daripada 20 g serat sehari boleh mengundang pelbagai risiko penyakit.

                              Oleh itu, kita disaran untuk lebihkan pengambilan serat kerana ia terbukti mampu mencegah gastrik dengan melambatkan pengosongan perut, meningkatkan rasa kenyang dan mengawal selera makan.

                              15. Elak makan ketika stres atau tertekan

                                Kesibukan kerja ataupun masalah keluarga sering membuatkan seseorang berasa tertekan. Situasi ini membuatkan minda terganggu, malah mengakibatkan kita makan dalam keadaan marah.

                                Walaupun ia dianggap sebagai penyelesaian untuk melegakan emosi, namun makan ketika stres bukanlah amalan yang baik terhadap kesihatan. 

                                Ini kerana kita mudah untuk makan sewaktu perut tidak lapar atau cenderung memilih makanan kurang berkhasiat, seperti snek yang tinggi lemak, garam dan gula.

                                Selain itu, ada juga sanggup melangkau sarapan pagi hingga menyebabkan perut berasa sangat lapar. Ini mendorong seseorang untuk makan dalam kuantiti yang banyak pada tengah hari, sekaligus boleh mengundang punca masalah gastrik.

                                16. Hentikan tabiat merokok

                                Cara Hilangkan Gastrik jangan merokok

                                  Jika anda merupakan seorang perokok, tabiat itu perlu dihentikan dengan segera. Kesan tembakau terbukti boleh merosakkan lapisan organ, seterusnya menjadi punca utama kanser esofagus, gastrik, pankreas, hempedu dan kolorektal.

                                  Kajian turut mendapati bahawa, risiko kanser gastrik boleh meningkat dengan mendadak jika perokok tersebut sudah pun dijangkiti bakteria H.pylori dalam tubuhnya.

                                  Oleh demikian, langkah berhenti merokok bukan saja mujarab mengurangkan kerengsaan terhadap lapisan perut. Malah ia turut menggalakkan proses penyembuhan untuk jangka masa yang lebih lama.

                                  Kesimpulan

                                  Sebelum mengambil sebarang rawatan gastrik, adalah penting untuk berbincang mengenai keadaan kesihatan anda dengan doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu.

                                  Walaupun ubat-ubatan moden boleh membantu, namun perubahan gaya hidup dan diet yang lebih sihat juga terbukti mampu mencegah masalah ini dengan lebih berkesan.

                                  Kesimpulannya, berikut adalah cara hilangkan gastrik:

                                  1. Elakkan diet pencetus radang
                                  2. Makan ubat antibiotik
                                  3. Ambil antasid untuk kurangkan sakit perut
                                  4. Halang asid dengan ubat H2 Blockers
                                  5. Rawat dengan ubat penghalang pam proton (PPI)
                                  6. Amalkan makanan berasas probiotik
                                  7. Elak makan terlalu banyak ubat tahan sakit NSAIDs
                                  8. Hindari makanan jenis ‘berangin’
                                  9. Lebihkan menjamah bawang putih
                                  10. Amalkan aromaterapi minyak pati (essential oil)
                                  11. Saiz hidangan lebih kecil tapi kerap
                                  12. Cuba terapi urutan perut
                                  13. Berjalan sejurus habis makan
                                  14. Lebihkan serat dalam diet harian
                                  15. Elak makan ketika stres atau tertekan
                                  16. Hentikan tabiat merokok

                                  Anda boleh baca segala informasi gastrik sini:

                                  Similar Posts

                                  Leave a Reply