Tanda Demam Denggi: Kenali 12 Tanda Awal dan Teruk

Tanda demam denggi sering kali tidak disedari pada peringkat awal, namun jika diabaikan, ia boleh membawa kepada komplikasi yang serius atau bahkan mengancam nyawa.

Demam denggi merupakan penyakit yang berpunca daripada jangkitan virus denggi yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes, khususnya Aedes aegypti. Di negera beriklim tropika seperti Malaysia, penyakit ini kekal sebagai ancaman kesihatan awam yang semakin meruncing.

Statistik terkini memenunjukkan peningkatan jumlah kes, di mana sebanyak 1,407 kes telah direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-51 (ME51) bagi tempoh 15 hingga 21 Disember lalu, meningkat berbanding 1,384 kes pada minggu sebelumnya.

Lebih membimbangkan, sebanyak 116 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan setakat ini. Justeru, amat penting untuk mengenali tanda-tanda awal serta gejala yang menunjukkan jangkitan sedang memasuki fasa bahaya.

Artikel ini menghuraikan 12 tanda demam denggi bermula daripada simptom ringan yang lazim hingga kepada tanda kecemasan yang memerlukan rawatan segera.

1. Demam Tinggi Secara Tiba-tiba

tanda demam denggi tinggi

Simptom utama bagi kebanyakkan penghidap denggi ialah demam tinggi yang mendadak, mencecah suhu sehingga 40°C (104°F). Menurut World Health Organization, demam ini biasanya muncul 4 hingga 10 hari selepas digigit nyamuk aedes.

Apabila nyamuk pembawa virus mengigit manusia, virus akan memasuki salur darah dan mula membiak. Virus ini bersama tindak balas badan terhadapnya akan menyebabkan rasa tidak sihat dan demam yang tinggi.

Lebih membimbangkan, virus denggi boleh merosakkan bahagian darah yang berfungsi membentuk bekuan dan mengekalkan struktur salur darah lalu mengakibatkan pendarahan dalaman.

Proses inilah yang menjadi punca utama kepada simptom-simptom denggi teruk yang boleh mengancam nyawa.

2. Sakit Kepala yang Teruk

Sakit kepala yang menyeluruh, terutamanya di bahagian dahu, merupakan antara tanda demam denggi. Ia juga boleh terasa amat kuat dan berpanjangan, menjadikan penghidap rasa sangat tidak selesa.

Menurut National Center for Biotechnology Information, sakit kepala yang teruk di sekitar dan belakang mata adalah ciri khas denggi, dan boleh sangat menyakitkan serta berlarutan.

Simptom ini kadangkala mengganggu tumpuan, menyebabkan keletihan mental, dan boleh menjadi tanda awal jangkitan denggi yang serius.

3. Sakit di Belakang Mata

tanda demam denggi sakit mata

Ramai penghidap turut mengalami sakit atau tekanan di belakang bola mata, yang menjadikan sensitif terhadap cahaya.

Gejala ini adalah salah satu tanda umum yang membezakan denggi daripada jangkitan virus lain. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Oftalmología Clínica y Experimental, punca utama sakit di belakang mata berkait rapat dengan keradangan pada salur darah dan tisu sekeliling mata yang disebabkan oleh tindak balas sistem imun terhadap virus denggi.

Apabila virus masuk ke dalam badan dan membiak, sistem pertahanan tubuh akan menghasilkan pelbagai bahan kimia seperti sitokin, yang berfungsi untuk melawan jangkitan.

Namun begitu, bahan kimia ini juga menyebabkan keradangan (inflammation) pada tisu-tisu badan, termasuk di bahagian mata. Bukan itu sahaja, malah demam denggi boleh menyebabkan pembengkakan tisu di sekitar bebola mata, termasuk saraf dan otot mata.

Ini menyebabkan tekanan dan ketegangan di kawasan belakang mata, yang menimbulkan rasa sakit, terutama apabila mata digerakkan atau apabila terdedah kepada cahaya terang (fotofobia).

Dalam sesetengah kes, penghidap denggi juga boleh mengalami gangguan pada salur darah kecil (kapilari) di sekitar mata akibat kebocoran plasma, yang merupakan satu lagi ciri khas penyakit ini. Kebocoran ini menambah tekanan dalam rongga mata, sekaligus menyumbang kepada ketidakselesaan dan kesakitan.

4. Sakit Otot dan Sendi

Denggi sering digelar breakbone fever kerana rasa sakit yang menyengat pada otot dan sendi, seolah-olah tulang hendak patah.

Kesakitan ini menyebabkan ketidakselesaan yang ketara dan boleh menjejaskan aktiviti harian. Ia menjadikan pesakit rasa sakit, lenguh, dan kekejangan yang melibatkan bahagian-bahagian seperti tangan, belakang badan dan juga sendiri besar seperti lutut dan siku.

Dalam sesetengah kes, otot boleh menjadi lemah dan kaku, menyebabkan pergerakan menjadi sukar. Keletihan badan yang melampau akibat demam tinggi dan kehilangan cecair juga memburukkan lagi ketegangan otot dan rasa tidak selesa.

5. Loya dan Muntah

tanda demam denggi loya dan mual

Gejala seperti loya dan muntah adalah perkara biasa dalam kalangan penghidap denggi. Virus denggi boleh menjejaskan fungsi hati, menyebabkan enzim hati meningkat dan gangguan metabolik yang menimbulkan rasa loya.

Kerosakan atau keradangan hati ini boleh merangsang pusat muntah di otak melalui isyarat kimia tertentu, seterusnya menyebabkan muntah.

Muntah berulang dalam demam denggi merupakan simptom yang perlu diberi perhatian serius, terutamanya jika berlaku lebih daripada dua kali sehari.

Ia bukan hanya kesan sampingan daripada demam biasa, tetapi boleh menandakan peralihan kepada denggi teruk.

6. Kelenjar Bengkak

Kelenjar bengkak, khususnya di kawasan leher, ketiak, atau celah peha, merupakan antara tanda demam denggi. Walaupun ia berlaku kepada semua pesakit denggi, simtom ini sebenarnya memberi petunjuk bahawa sistem imum badan sedang aktif melawan jangkitan.

Punca utama kelenjar bengkak dalam demam denggi ialah keradangan dan pengaktifan kelenjar limpa (nodus limfa).

Apabila virus denggi masuk ke dalam tubuh, sistem imun akan segera bertindak untuk mengenal pasti dan memusnahkan virus tersebut. Keadaan ini menyebabkan ia menjadi bengkak, lembut atau sedikit sakit apabila sembuh.

7. Ruam Kulit

Ruam atau bintik-bintik merah akan muncul di permukaan kulit, biasanya selepas demam mula berkurang.

Ia mungkin muncul di dada, lengan, kaki atau seluruh badan, dan kadangkala disertai dengan rasa gatal. Menurut Bioscientia Medicina: Journal of Biomedicine & Translational Research, ruam ini berlaku akibat kerosakan salur darah kecil yang menyebabkan kebocoran darah di bawah kulit.

Kebocoran ini membenarkan sejumlah kecil darah atau plasma meresap keluar ke tisu di bawah permukaan kulit, menyebabkan bintik-bintik merah yang dipanggil petekia.

Petekia berlaku tanpa kecederaan luaran dan tidak akan pudar apabila ditekan, satu ciri penting yang membezakannya daripada ruam biasa.

8. Sakit Perut yang Teruk dan Berterusan

tanda demam denggi sakit perut

Selepas demam reda, penghidap denggi berisiko untuk mengalami sakit perut yang amat kuat, terutama di bahagian bawah abdomen.

Ini boleh menjadi petanda komplikasi serius seperti kebocoran plasma darah. Berdasarkan kajian oleh National Center for Biotechnology Information, virus denggi bukan sahaja menyerang sistem imun, tetapi juga menyebabkan kerosakan pada lapisan dalam salur darah, terutamanya kapilari halus.

Kerosakan ini menyebabkan plasma iaitu komponen cecair dalam darah bocor lalu keluar dalam ruang antara tisu dan organ, termasuk ke dalam ronggan abdomen (perut).

Selain itu, pembesaran hati (hepatomegali) juga boleh berlaku dalam jangkitan denggi, terutamanya dalam kes yang teruk.

Hati yang bengkak akan menekan organ sekeliling, menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan. Dalam sesetengah kes, virus denggi juga boleh menyebabkan keradangan pada lapisan perut (gastritis), menambahkan lagi rasa loya, pedih dan sakit perut.

9. Pernafasan Cepat atau Pendek Nafas

Tanda demam denggi yang seterusnya adalah pernafasan cepat atau pendek nafas. Penghidap denggi mungkin mengalami kesukaran bernafas atau pernafasan yang lebih laju daripada biasa menandakan masalah dalam sistem peredaran darah atau pengumpulan cecair dalam paru-paru.

Gejala ini disebabkan kerana kebocoran plasma darah dari salur darah ke ruang sekeliling organ, termasuk rongga dada.

Apabila plasma berkumpul di sekeliling paru-paru (keadaan yang dikenali sebagai efusi pleura), ia menyebabkan paru-paru tidak dapat mengembang sepenuhnya semasa bernafas.

Ini mengurangkan kapasiti paru-paru dan mengakibatkan penghidap bernafas dengan lebih cepat atau mengalami sesak nafas

10. Pendarahan Abnormal

tanda demam denggi pendarahan abnormal

Pendarahan abnormal berlaku apabila jangkitan virus mula menjejaskan sistem pembekuan darah dan struktur salur darah.

Salah satu mekanisme utama ialah penurunan jumlah platelet dalam darah (trombositopenia), iaitu sel darah yang bertanggungjawab dalam proses pembekuan.

Antara kesan bilangan platelet menjadi terlalu rendah, darah tidak dapat membeku dengan normal, lalu meningkatkan risiko pendarahan seperti:

  • Hidung berdarah
  • Gusi berdarah
  • Bintik-bintik merah (petekia) pada kulit
  • Muntah darah
  • Najis berwarna hitam akibat pendarahan dalam saluran penghadaman

Virus denggi juga boleh melemahkan lapisan dinding kapilari darah, menyebabkan ia menjadi rapuh dan mudah bocor.

Gabungan antara kerosakan kapilari, keradangan dalaman dan kekurangan platelet inilah yang menjadi punca utama berlakunya pendarahan abnormal dalam kes denggi, terutamanya apabila penyakit ini mula memasuki fasa kritikal.

11. Keletihan Melampau dan Gelisah

tanda demam denggi keletihan

Punca utama keletiham ini adalah gabungan beberapa faktor yang berlaku serentak dalam tubuh pesakit.

Pertama, demam tinggi yang berpanjangan, kehilangan selera makan, dan muntah berulang boleh menyebabkan kehilangan tenaga dan dehidrasi, menjadikan badan cepat lemah dan letih.

Kedua, apabila berlaku kebocoran plasma, jumlah cecair dalam salur darah berkurang dengan ketara, lalu mengurangkan bekalan oksigen ke tisu dan organ penting. Keadaan ini memaksa jantung dan sistem pernafasan bekerja lebih keras, menyebabkan pesakit cepat penat.

Dalam situasi ini, bekalan oksigen ke otak turut terjejas, menyebabkan rasa gelisah, resah, dan dalam kes yang lebih teruk, kekeliruan atau kelakuan yang tidak terkawal.

12. Sindrom Renjatan Denggi

Menurut Journal of Emergencies, Trauma and Shock, Sindrom Renjatan Denggi (Dengue Shock Syndrome) merupakan komplikasi dalam jangkitan denggi dan boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.

Renjatan berlaku apabila terdapat penurunan tekanan darah secara mendadak. Apabila tekanan darah menurun, bekalan oksigen ke organ-organ penting seperti otak, buah pinggang, dan jantung turut terganggu, menyebabkan simptom seperti:

  • Kulit menjadi sejuk dan lembap
  • Nadi menjadi lemah dan laju
  • Pesakit kelihatan sangat lemah
  • Resah dan keliru
  • Hilang kesedaran

Selain itu, tubuh akan cuba mengimbangi kehilangan cecair ini dengan meningkatkan kadar denyutan jantung dan pernafasan, namun usaha ini hanya bertahan sementara.

Jika tidak diberikan rawatan segera dengan cecair intravena dan pemantauan rapi, Sindrom Renjatan Denggi boleh menyebabkan kegagalan organ dan kematian.

Kesimpulan

Kesimpulannya, mengenal pasti tanda demam denggi pada peringkat awal mampu menyelamatkan nyawa.

Justeru, kepekaan terhadap perubahan tubuh dan tindakan segera untuk mendapatkan rawatan perubatan adalah kunci utama dalam mencegah komplikasi.

Dalam masa yang sama, langkah pencegahan seperti menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, menggunakan penghalau serangga, dan menjaga kebersihan persekitaran perlu diberi keutamaan juga.

Dengan kesedaran dan tindakan proaktif, kita dapat mengurangkan beban penyakit denggi dalam komuniti.

Berikut adalah antara tanda demam denggi yang perlu anda tahu:

  1. Demam Tinggi Secara Tiba-tiba
  2. Sakit Kepala yang Teruk
  3. Sakit di Belakang Mata
  4. Sakit Otot dan Sendi
  5. Loya dan Muntah
  6. Kelenjar Bengkak
  7. Ruam Kulit
  8. Sakit Perut yang Teruk dan Berterusan
  9. Pernafasan Cepat atau Pendek Nafas
  10. Pendarahan Abnormal
  11. Keletihan Melampau dan Gelisah
  12. Sindrom Renjatan Denggi

Anda boleh baca berkenaan dengan masalah denggi yang lain di sini:

Similar Posts

Leave a Reply