10 Punca Demam Denggi yang Ramai Pandang Remeh

Punca demam denggi seringkali dipandang ringan walaupun penyakit ini semakin membimbangkan di Malaysia, terutama ketika musim hujan dan peralihan monsun.

Ia bukan sahaja mengancam kesihatan individu, malah berpotensi membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.

Ramai yang tidak menyedari bahawa sikap sambil lewa terhadap persekitaran, amalan harian yang tidak selamat, serta kelemahan sistem kawalan menyumbang secara langsung kepada penularan penyakit ini.

Artikel ini menghuraikan 10 punca demam denggi yang sering diabaikan, tetapi sebenarnya memainkan peranan besar dalam peningkatan kes setiap tahun.

1. Jangkitan Virus Denggi

Demam denggi berpunca daripada jangkitan virus denggi yang dibawa oleh gigitan nyamuk Aedes yang telah dijangkiti.

Menurut Journal of Infection and Public Health, terdapat empat jenis virus denggi yang berbeza, dan seseorang hanya boleh dijangkiti melalui gigitan nyamuk, bukan daripada sentuhan atau berada berhampiran dengan individu yang dijangkiti.

Kajian dari Tropical Medicine and Infectious Disease juga mendapati bahawa, nyamuk Aedes, khususnya spesies Aedes aegypti dan Aedes albopictus, merupakan pembawa utama virus ini dan banyak ditemui di kawasan perumahan manusia.

Apabila nyamuk menggigit seseorang yang telah dijangkiti virus denggi, virus tersebut akan masuk ke dalam tubuh nyamuk. Virus ini kemudian boleh dipindahkan kepada orang lain apabila nyamuk yang sama menggigit individu tersebut, lalu menyebabkan jangkitan melalui aliran darah.

Selepas seseorang pulih daripada demam denggi, imuniti jangka panjang hanya terbentuk terhadap jenis virus yang dijangkiti sebelum ini.

Namun begitu, masih terdapat risiko dijangkiti semula dengan jenis virus denggi yang lain. Malah, menurut Centers for Disease Control and Prevention, risiko untuk mengalami demam denggi yang lebih teruk akan meningkat jika dijangkiti buat kali kedua, ketiga atau keempat oleh jenis virus yang berlainan.

2. Urbanisasi

Urbanisasi yang pesat dan tidak dirancang dengan baik menjadi punca demam denggi.

Pertumbuhan bandar yang tidak terancang sering mengakibatkan kepadatan penduduk yang tinggi serta kekurangan infrastruktur asas seperti sistem perparitan dan pengurusan sampah yang berkesan.

Dalam keadaan ini, persekitaran menjadi lebih mudah untuk nyamuk Aedes membiak. Amalan penyimpan air yang tidak selamat, seperti membiarkan bekas air terbuka atau kawasan air tidak bertutup, menjadi tempat pembiakan ideal bagi nyamuk Aedes.

Kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, kawasan perumahan padat tanpa kemudahan yang mencukupi juga meningkatkan interaksi manusia dengan nyamuk pembawa virus.

Akibatnya, risiko penyebaran virus denggi dalam komuniti menjadi lebih tinggi. Oleh itu, isu urbanisasi yang tidak terkawal menyumbang secara langsung kepada peningkatan kadar jangkitan demam denggi.

3. Sistem Kesihatan yang Lemah

Punca demam denggi yang seterusnya adalah kerana sistem kesihatan yang lemah terutamanya di kawasan berpendapatan rendah atau negara membangun.

Kekurangan sumber seperti tenaga kerja terlatih, peralatan pemantauan, dan ubat-ubatan menyukarkan pelaksanaan langkah pencegahan dan kawasan secara berkesan.

Ini termasuk kelewatan dalam pengesanan awal kes, kelemahan dalam tindak balas terhadap wabak, serta kekurangan program kesedaran masyarakat.

Tanpa sistem pemantauan yang efisien, kes-kes demam denggi sukar dikesan pada peringkat awal, sekaligus membenarkan penyebaran virus dalam komuniti tanpa kawalan.

Di samping itu, kekurangan infrastruktur asas seperti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan bekalan air yang bersih turut memburukkan keadaan kerana ia menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes.

4. Peningkatan Hujan

Hujan yang kerap dan berpanjangan menyebabkan lebih banyak kawasan menjadi tempat pembiakan ideal bagi nyamuk Aedes.

Menurut The National Environment Agency, air hujan yang bertakung di dalam bekas buatan manusia seperti tin kosong, tayar buruk. saluran air di bumbung rumah, dan pasu bunga yang tidak dikosongkan sering menjadi tempat nyamuk bertelur.

Keadaan ini lebih merisaukan apabila bekas-bekas tersebut terletak di kawasan yang terlindung atau ditumbuhi oleh semak dan tumbuhan.

Berdasarkan kajian oleh National Center for Biotechnoligy Information, nyamuk Aedes diketahui lebih suka membiak dalam air hujan berbanding air paip, kerana air hujan mengandungi nutrien semula jadi yang sesuai untuk perkembangan larva.

Di kawasan bersemak, air bertakung juga cenderung mengambil masa lebih lama untuk kering, menjadikannya tempat pembiakan yang berpanjangan.

5. Perjalanan dan Mobiliti Global

Dalam era globalisasi hari ini, individu kerap bergerak merentasi negeri dan negara untuk tujuan kerja, pelancongan atau penghijrahan.

Berdasarkan kajian oleh National Center for Biotechnology Information, apabila seseorang yang dijangkiti virus denggi melancong atau berpindah ke kawasan baharu yang mempunyai populasi nyamuk Aedes, mereka berisiko tinggi menyebarkan virus tersebut.

Satu kajian yang diterbitkan dalam National Center of Biotechnology Information juga, kes denggi berkait rapat dengan pertumbuhan populasi, urbanisasi dan globalisasi, termasuk pergerakan manusia rentas sempadan.

Kajian tersebut turut menganggarkan lebih 390 juta jangkitan denggi berlaku setiap tahun di seluruh dunia, di mana sebahagian besarnya berpunca daripada perubahan corak pergerakan manusia secara besar-besaran.

Nyamuk Aedes boleh menggigit individu yang dijangkiti dan kemudiannya menyebarkan virus kepada orang lain dalam komuniti tersebut. Hal ini membolehkan virus denggi menular ke lokasi yang sebelum ini mungkin bebas daripada jangkitan.

Penyebaran ini lebih mudah berlaku di kawasan tropika yang menyediakan iklim dan persekitaran sesuai untuk pembiakan nyamuk.

6. Suhu yang Tinggi

Perubahan suhu secara langsung mempengaruhi biologi nyamuk Aedes, termasuk kadar pembiakan, jangka hayat, serta kebolehannya untuk menyebarkan virus.

Hubungan antara perubahan iklim dan jangkitan bawaan vektor denggi adalah kompleks dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor sosial dan ekologi.

Pada suhu optimum, nyamuk Aedes menjadi lebih aktif dan berupaya menyebarkan virus dengan lebih berkesan.

Berdasarkan kajian oleh Journal of Medical Entomology, suhu yang meningkat mempercepatkan kitaran gonotrofik iaitu tempoh antara nyamuk betina menghisap darah dan bertelur yang membawa kepada peningkatan kekerapan gigitan nyamuk terhadap manusia. Ini sekaligus meningkatkan risiko penularan virus.

Menurut National Center for Biotechnology Information, suhu yang lebih tinggi juga boleh memendekkan Tempoh Inkubasi Ekstrinsik (EIP), iaitu masa yang diambil oleh virus denggi untuk berkembang dalam tubuh nyamuk sebelum ia boleh menjangkiti manusia lain.

Apabila suhu berada pada paras yang sesuai, nyamuk yang dijangkiti boleh menjadi pembawa virus yang berkesan dalam masa lebih singkat dan mampu bertahan lebih lama.

Ini menjadikan persekitaran bersuhu tinggi lebih berisiko untuk penyebaran jangkitan denggi, terutamanya apabila digabungkan dengan faktor seperti kelembapan dan hujan yang tinggi.

7. Sistem Imun Lemah

Berdasarkan kajian oleh National Center for Biotechnology Information, sistem imun yang belum matang pada kanak-kanak dan yang semakin lemah akibat penuaan pada warga emas menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada komplikasi serius seperti demam denggi berdarah atau Sindrom Renjatan Denggi.

Bagi individu dengan sistem imun yang terganggu seperti pesakit kronik, penghidap HIV/AIDS, atau mereka yang sedang menjalani rawatan kemoterapi iaitu kemampuan tubuh mereka untuk melawan jangkitan adalah terhad.

Apabila dijangkiti virus denggi, badan mereka mungkin tidak mampu memberikan tindak balas imun yang mencukupi, menyebabkan gejala menjadi lebih cepat memburuk dan sukar dikawal.

Tambahan pula, golongan ini sering mengalami kelewatan dalam mendapatkan rawatan kerana gejala awal yang tidak spesifik atau disalah anggap sebagai penyakit lain.

8. Dijangkiti Demam Denggi Berulang

Punca demam denggi yang berikutnya adalah disebabkan oleh jangkitan yang berulang.

Seseorang yang pernah dijangkiti demam denggi mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami jangkitan yang lebih teruk sekiranya dijangkiti semula.

Ini kerana terdapat empat jenis virus denggi yang berbeza, dan imuniti yang terbentuk selepas jangkitan pertama hanya melindungi tubuh daripada jenis virus yang sama.

Jika individu tersebut dijangkiti dengan jenis virus yang berlainan, tubuh tidak dapat memberikan perlindungan sepenuhnya.

Keadaan ini boleh menyebabkan tindak balas imun yang berlebihan dan meningkatkan risiko komplikasi serius seperti demam denggi berdarah atau Sindrom Renjatan Denggi.

9. Kelemahan Penguatkuasaan

Kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan kawalan pembiakan nyamuk turut menjadi salah satu punca demam denggi.

Walaupun peraturan telah ditetapkan untuk mencegah tempat pembiakan nyamuk, seperti mengenakan kompaun kepada pemilik premis yang membiarkan air bertakung, penguatkuasaannya sering kali tidak konsisten atau kurang berkesan.

Sebagai contoh, individu atau pemilik premis yang didapati membiarkan tempat pembiakan nyamuk Aedes boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500 bagi kesalahan kali pertama. Jika kesalahan yang sama berulang, kompaun boleh meningkat sehingga RM10,000.

Namun, jika penguatkuasaan tidak dijalankan secara tegas dan menyeluruh, ramai yang tidak mengambil serius terhadap peraturan ini, sekali gus membiarkan persekitaran terus menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Tanpa tindakan pengawasan dan hukuman yang tegas, usaha membendung demam denggi akan terbantut.

Maka, penguatkuasaan yang berkesan dan konsisten amat penting bagi memastikan masyarakat mematuhi peraturan serta memainkan peranan dalam mencegah penularan denggi.

10. Kurang Kesedaran Tentang Denggi

punca demam denggi kesedaran

Kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang demam denggi menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan kes setiap tahun.

Kajian yang dijalankan oleh National Center for Biotechnology Information, sikap dan amalan (KAP) masyarakat terhadap denggi memainkan peranan penting dalam kejayaan sesuatu program kawalan.

Di sesetengah kawasan, terutama di luar bandar atau komuniti berpendapatan rendah, ramai individu mungkin tidak mengetahui tanda-tanda awal jangkitan denggi seperti demam panas yang tiba-tiba, sakit belakang mata, sakit otot dan sendi, serta ruam.

Kekeliruan ini boleh menyebabkan mereka menganggap simptom tersebut sebagai demam biasa dan tidak mendapatkan rawatan segera.

Kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengakibatkan kes bertambah teruk, terutamanya jika ia melibatkan komplikasi seperti denggi berdarah atau sindrom kejutan denggi.

Selain itu, kurangnya kesedaran tentang cara pencegahan, seperti pentingnya menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dan menggunakan penghalau serangga, turut menyumbang kepada peningkatan kes.

Kesimpulan

Kesimpulannya, walaupun demam denggi sering dianggap sebagai penyakit bermusim, hakikatnya punca demam denggi boleh terdiri daripada pelbagai faktor yang boleh dicegah jika diberi perhatian sewajarnya.

Daripada aspek kebersihan persekitaran, kesedaran masyarakat, sehinggalah kepada kelemahan penguatkuasaan, setiap elemen memainkan peranan dalam mengawal atau memburukkan lagi situasi.

Dengan memahami dan mengambil tindakan terhadap punca-punca yang dibincangkan, kita semua mampu membantu memutuskan rantaian jangkitan demam denggi.

Anda boleh baca berkenaan dengan masalah denggi yang lain di sini:

Similar Posts

Leave a Reply