Kesan Demam Denggi Pada Kesihatan Mental dan Fizikal
Tahukah anda, kesan demam denggi tidak hanya dirasai semasa jangkitan berlaku, tetapi boleh berpanjangan walaupun pesakit telah disahkan sembuh sepenuhnya.
Setiap tahun, terutama ketika musim hujan, kita perlu lebih berwaspada terhadap penularan demam denggi.
Ini kerana populasi nyamuk, iaitu pembawa virus denggi, meningkat dengan mendadak dalam cuaca lembap, sekaligus menyebabkan jangkitan merebak secara meluas dalam tempoh yang singkat.
Denggi bukan sekadar demam biasa, ia boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan betul dan pantas. Oleh itu, kesedaran tentang penyakit ini, langkah pencegahan, serta kepentingan vaksinasi yang berkesan amat penting bagi mengurangkan risiko dan tahap keterukan jangkitan.
Namun, apa yang sering diabaikan adalah kesan deman denggi jangka panjang.Ramai yang menyangka tubuh akan pulih sepenuhnya selepas suhu badan kembali normal, tetapi hakikatnya, sistem dalaman mungkin masih belum stabil sepenuhnya.
Dalam artikel ini, kita akan meneliti apakah kesan demam denggi serta apa langkah yang perlu anda ambil untuk menyokong pemulihan tubuh secara menyeluruh.
Apa itu Demam Denggi?
Demam denggi ialah sejenis jangkitan virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk betina daripada genus Aedes, terutamanya Aedes aegypti dan Aedes albopictus.
Menurut National Center for Biotechnology Information, jangkitan ini berpunca daripada virus denggi yang terdiri daripada empat jenis strain utama, iaitu DENV-1, DENV-2, DENV-3, dan DENV-4.
Penyebaran berlaku apabila nyamuk Aedes menggigit seseorang yang sedang dijangkiti dan mengalami demam biasanya dalam tempoh 8 hingga 12 hari selepas individu itu dijangkiti virus denggi.
Nyamuk tersebut kemudiannya akan menjadi pembawa (carrier) dan apabila ia menggigit individu lain yang sihat, virus denggi akan masuk ke dalam aliran darah orang itu, lalu menjadikannya sakit.
Simptom-simptom demam denggi biasanya akan muncul dalam tempoh 3 hingga 15 hari selepas individu tersebut dijangkiti.
Demam denggi boleh menyebabkan pelbagai komplikasi serius termasuk demam berdarah, renjatan denggi (dengue shock syndrome), dan dalam kes tertentu, boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan segera.
Fasa-fasa Demam Denggi
Menurut National Center for Biotechnology Information, demam denggi biasanya melalui tiga fasa utama yang masing-masing menunjukkan tahap perkembangan penyakit dan risiko komplikasi.
Memahami setiap fasa ini penting bagi memastikan rawatan dan pemantauan dilakukan dengan lebih teliti
1. Fasa Demam (2 – 7 hari)
Pada peringkat awal ini, pesakit akan mengalami demam panas yang berterusan disertai simptom seperti sakit kepala yang kuat, sakit di belakang mata, serta sakit otot dan tulang (juga dikenali sebagai breakbone fever).
Tidak seperti selesema biasa, fasa ini tidak melibatkan batuk atau hidung berair. Namun, tompok merah (petekie) atau ruam yang disertai dengan bintik darah boleh muncul pada bahagian tangan, kaki dan ketiak.
Selain itu, pesakit juga mungkin mengalami hilang selera makan, loya, muntah dan sakit perut. Dalam kes tertentu, najis berwarna kehitaman atau bercampur darah mungkin muncul, menandakan pendarahan dalaman yang perlu diberi perhatian segera.
2. Fasa Kritikal (24 – 48 jam)
Fasa ini bermula apabila demam mula menurun, yang sering disalah anggap sebagai tanda pemulihan.
Namun begitu, ini sebenarnya fasa yang paling berbahaya. Jika tiada komplikasi, keadaan pesakit akan stabil dan mula pulih. Tetapi sekiranya berlaku komplikasi, pesakit mungkin mengalami tangan dan kaki yang sejuk, denyutan nadi menjadi lemah, tekanan darah menurun, dan mudah mengalami pendarahan termasuk muntah darag atau najis berdarah.
Jika tidak ditangani dengan segera, pesakit berisiko mengalami renjatan denggi yang boleh membawa maut. Oleh itu, jika demam berlarutan lebih dari dua hari dan keadaan pesakit bertambah teruk, mereka perlu segera dibawa ke hospital.
3. Fasa Pemulihan (24 – 48 jam selepas fasa kritikal)
Jika pesakit berjaya melepasi fasa kritikal, mereka akan memasuki fasa pemulihan. Dalam tempoh ini, tekanan darah dan denyutan nadi kembali normal, selera makan pulih, dan tenaga tubuh kembali secara beransur-ansur.
Walaupun begitu, ruam gatal dan tompok merah mungkin masih kelihatan pada bahagian badan terutama di bahagian tengah (torso), tetapi ia biasanya akan hilang dengan sendiri tanpa rawatan khas.
Setiap fasa ini memerlukan perhatian khusus, dan pemantauan rapi sangat penting terutama pada fasa kritikal bagi mengelakkan komplikasi yang serius.
Simptom Berterusan Sindrom Pasca Denggi

Berdasarkan kajian oleh Transactions of the Royal Society of Tropical Medicine and Hygiene, selepas seseorang pulih daripada jangkitan demam denggi, ada kemungkinan mereka mengalami Sindrom Pasca Denggi (Post-Dengue Syndrome), iaitu keadaan di mana simptom tertentu berterusan walaupun virus telah hilang dari tubuh.
Sindrom Pasca Denggi ini boleh berlaku selama beberapa minggu atau bahkan bulan, bergantung kepada tahap keterukan jangkitan yang dialami. Antara simptom yang sering dilaporkan adalah seperti:
1. Keletihan Melampau (Chronic Fatigue)
Selepas sembuh daripada demam denggi, ramai pesakit melaporkan mengalami keletihan yang berpanjangan, walaupun sudah cukup tidur dan rehat.
Rasa lesu ini boleh menjejaskan rutin harian dan mengambil masa berminggu-minggu untuk pulih sepenuhnya.
Keletihan ini berpunca daripada kesan sistem imun yang masih dalam proses pemulihan selepas melawan virus.
2. Sakit Sendi dan Otot (Joint and Muscle Pain)
Salah satu simptom pasca-denggi yang biasa berlaku ialah sakit-sakit badan, terutamanya pada sendi dan otot.
Kesakitan ini mungkin datang dan pergi, dan boleh menjadi sangat mengganggu, terutama bagi individu yang terpaksa kembali bekerja atau melakukan aktiviti fizikal.
3. Sakit Kepala dan Masalah Tidur
Sebilangan pesakit mengalami sakit kepala berulang, walaupun suhu badan telah kembali normal.
Ini sering disertai dengan kesukaran tidur atau insomnia ringan, menyebabkan tubuh tidak mendapat rehat berkualiti dan memperlahankan proses pemulihan.
4. Gangguan Emosi dan Mental (Mood Changes)
Sindrom pasca denggi juga boleh menyebabkan perubahan emosi, termasuk rasa mudah marah, keresahan, dan dalam sesetengah kes kemurungan ringan.
Ini mungkin berlaku akibat tekanan fizikal dan mental semasa melalui fasa kritikal jangkitan, terutama jika pesakit perlu menjalani rawatan intensif di hospital.
5. Masalah Kognitif Ringan (Brain Fog)
Sebahagian kecil pesakit melaporkan masalah fokus, keupayaan berfikir yang perlahan, dan gangguan memori jangka pendek, keadaan yang dikenali sebagai brain fog.
Ini sering dikaitkan dengan keletihan kronik dan kekurangan tenaga yang dialami selepas sembuh daripada demam denggi.
Kesan Sindrom Pasca Denggi terhadap Kualiti Hidup

Sindrom Pasca Denggi boleh memberi kesan besar terhadap kualiti hidup seseorang, terutamanya disebabkan oleh simptom yang berterusan walaupun selepas jangkitan denggi telah sembuh sepenuhnya.
Walaupun tidak mengancam nyawa secara langsung, ia boleh menjejaskan kehidupan fizikal, emosi, sosial dan pekerjaan seseorang.
1. Had Fizikal dan Penurunan Keupayaan Fungsi
Kesan demam denggi menyebabkan keletihan melampau, kelemahan otot, dan sakit sendi, yang mengganggu keupayaan individu untuk melakukan tugasan harian.
Pergerakan menjadi terbatas dan aktiviti biasa seperti bersenam, mengurus rumah, atu bekerja menjadi sukar untuk dilakukan.
Akibatnya, keterbatasan individu meningkat. Dalam keadaan ini, program pemulihan, fisioterapi, atau penggunaan alat bantuan fizikal boleh membantu meningkatkan semula keupayaan fungsi tubuh.
2. Kesan Psikologi dan Emosi Akibat Simptom Berpanjangan
Apabila simpom seperti keletihan dan ketidakupayaan berterusan terlalu lama, ia boleh menjejaskan kesihatan mental.
Pesakit mungkin berasa kecewa, murung, atau hilang semangat kerana tidak dapat pulih seperti biasa.
Masalah kognitif ringan seperti kesukaran menumpukan perhatian dan masalah ingatan juga boleh mengurangkan keyakinan diri dan menyebabkan kebimbangan.
Perubahan emosi seperti mudah marah atau kemurungan boleh muncul akibat tekanan yang dialami. Dalam situasi begini, penting untuk mendapatkan sokongan daripada pakar psikologi, mengamalkan teknik pengurangan stres, dan menyertai kumpulan sokongan bagi menguruskan kesan psikologi ini dengan lebih baik.
3. Cabaran Sosial dan Pekerjaan yang Dihadapi
Kesan demam denggi turut memberi kesan kepada interaksi sosial dan kehidupan pekerjaan.
Apabila individu terpaksa mengelakkan aktiviti sosial atau hobi kegemaran kerana keletihan dan batasan fizikal, mereka mudah berasa terasing dan hubungan dengan orang sekeliling boleh terjejas.
Dalam aspek pekerjaan pula, prestasi kerja mungkin menurun akibat kekerapan cuti sakit, ketidakupayaan memenuhi tugasan, dan kesukaran fokus di tempat kerja.
Oleh itu, komunikasi terbuka dengan majikan dan rakan sekerja adalah penting, termasuk mempertimbangkan penyesuaian kerja dan menyusun semula beban tugas mengikut kemampuan.
Mewujudkan rangkaian sokongan yang kukuh dan mendidik orang sekeliling tentang sindrom ini juga membantu individu menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam masyarakat dan tempat kerja.
Contoh Makanan Sesuai dan Perlu Dielak Semasa Pemulihan Denggi
Berikut adalah contoh makanan yang sesuai untuk dimakan dan makanan yang perlu dielakkan ketika sedang dalam fasa pemulihan denggi:
Makanan yang Sesuai Diambil
1. Air Kelapa

Berdasarkan kajian oleh International Journal of Pharmaceutical Sciences Review and Research, air kelapa kaya dengan mineral dan elektrolit penting.
Ia membantu mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan, mencegah dehidrasi akibat demam yang berpanjangan, serta mengurangkan keletihan.
Anda digalakkan minum dua gelas air kelapa setiap hari semasa dalam proses pemulihan.
Namun begitu, jika anda mempunyai tekanan darah rendah, diabetes, masalah buah pinggang atau ketidakseimbangan elektrolit, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
2. Jus Buah Segar

Buah-buahan sitrus seperti oren sangat baik kerana mengandungi vitamin C untuk kuatkan sistem imun dan serat yang bantu penghadaman.
Buah kiwi juga bagus kerana kaya dengan pelbagai nutrien untuk menyokong proses pemulihan.
3. Teh Herba
Teh yang dicampur dengan bahan seperti buah pelaga, pudina, halia, atau kayu manis boleh memberikan rasa tenang dan membantu tidur lebih lena. Rehat yang cukup sangat penting untuk tubuh kembali sihat.
4. Sup Ringan dan Bubur

Semasa badan sedang pulih, ia perlukan lebih tenaga, tetapi makanan berat mungkin sukar untuk ditelan.
Sup, stok ayam, dan bubur nasi seperti congee adalah pilihan terbaik kerana mudah dihadam dan membekalkan nutrien penting.
Anda boleh tambahkan daging tanpa lemak (seperti ayam atau daging khinzir tanpa lemak), sayur lenyek, tauhu, atau sedikit bijirin seperti oat.
Oatmeal, sebagai contoh, kaya dengan serat dan mudah dihadam, membantu menstabilkan sistem penghadaman semasa tubuh melawan virus denggi.
Makanan yang Perlu Dielakkan
Untuk memastikan anda pulih sepenuhnya dan lebih cepat, elakkan makanan dan minuman tertentu yang boleh mengganggu proses pemulihan:
- Makanan Bergoreng & Jajan: Makanan seperti ini tinggi lemak tidak sihat dan tidak membantu proses penyembuhan badan.
- Makanan Pedas: Makanan yang terlalu pedas boleh merengsakan perut dan melambatkan proses pemulihan, terutamanya jika anda masih lemah atau mengalami masalah penghadaman.
- Kopi & Minuman Berkafein: Kafein boleh mengganggu pembaikan sel otot dan melambatkan pemulihan tenaga tubuh.
- Alkohol: Alkohol menyebabkan dehidrasi dan memberi tekanan tambahan kepada organ dalaman, menjadikan badan lebih sukar untuk kembali sihat dan bertenaga seperti biasa.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kesan demam denggi tidak berakhir sebaik sahaja suhu badan kembali normal. Ramai pesakit masih mengalami keletihan melampau, kurang selera makan, masalah kulit seperti ruam gatal, serta kesukaran untuk kembali ke rutin harian seperti biasa.
Dalam sesetengah kes, fungsi hati atau organ lain turut terjejas dan memerlukan pemantauan lanjutan.
Oleh itu, selepas sembuh, pemulihan yang menyeluruh adalah penting. Ini termasuk pengambilan makanan berkhasiat, rehat mencukupi, minum air secukupnya, dan mengelakkan aktiviti berat buat sementara waktu.
Pemeriksaan susulan dengan doktor juga disarankan bagi memantau kesihatan dalaman, terutama jika pernah mengalami komplikasi sewaktu fasa kritikal.
Lebih penting, pencegahan tetap menjadi langkah terbaik. Amalkan kebersihan persekitaran, hapuskan tempat pembiakan nyamuk, dan tingkatkan kesedaran tentang tanda-tanda awal denggi.
Dengan langkah-langkah ini, kita bukan sahaja dapat mengurangkan risiko dijangkiti semula, tetapi juga membantu melindungi orang lain daripada bahaya penyakit yang boleh membawa maut ini.
Anda boleh baca berkenaan dengan masalah denggi yang lain di sini: