Denggi Berdarah : Gejala, Punca & Cara untuk Merawat

Denggi berdarah ialah satu bentuk jangkitan virus denggi yang lebih teruk dan berbahaya, berbanding demam denggi biasa.

Ia boleh menyebabkan kebocoran salur darah, pendarahan dalaman, dan dalam kes yang serius, membawa kepada renjatan atau kegagalan organ.

Penyakit ini sering menyerang kanak-kanak dan individu yang pernah mengalami jangkitan denggi sebelumnya, terutama di kawasan tropika yang mempunyai kadar penularan nyamuk Aedes yang tinggi.

Oleh itu, memahami gejala awal, punca sebenar dan langkah rawatan adalah penting untuk mengelakkan komplikasi dan menyelamatkan nyawa.

Apa itu Denggi Berdarah?

Menurut National Center for Biotechnology Information, denggi berdarah, atau nama perubatannya Dengue Hemorrhagic Fever (DHF), merupakan bentuk jangkitan denggi yang lebih serius dan berpotensi mengancam nyawa.

Penyakit ini lazimnya berlaku dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 10 tahun yang tinggal di kawasan endemik denggi seperti di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Denggi Berdarah juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti Philippine hemorrhagic fever, Thai hemorrhagic fever, atau Southeast Asian hemorrhagic fever, menggambarkan taburannya yang tinggi di rantau ini.

Berbeza dengan demam denggi biasa, demam denggi berdarah sering berlaku kepada individu yang pernah dijangkiti virus denggi sebelum ini.

Ini kerana penyakit ini merupakan satu penyakit imunopatologi, di mana kompleks imun antara virus denggi dan antibodi daripada jangkitan sebelumnya mencetuskan reaksi berlebihan dalam sistem imun.

Apabila sistem imun dikerahkan semula terhadap virus denggi, makrofaj dalam badan melepaskan bahan kimia perantara yang meningkatkan kebolehtelapan salur darah.

Akibatnya, berlaku:

  • Kebocoran plasma keluar daripada saluran darah,
  • Pendarahan dalaman seperti dari gusi, hidung, atau pembentukan lebam secara tiba-tiba,
  • Hemokonsentrasi, iaitu peningkatan kepekatan sel darah kerana kehilangan cecair,
  • Dan pengumpulan cecair dalam ruang badan seperti di paru-paru dan abdomen.

Punca Denggi Berdarah

denggi berdarah punca

1. Jangkitan Denggi Sebelumnya (Jangkitan Sekunder)

Punca utama demam denggi berdarah adalah jangkitan virus denggi yang berulang, terutamanya apabila seseorang pernah dijangkiti dengan satu serotip virus denggi dan kemudian dijangkiti dengan serotip yang berbeza.

Tindak balas sistem imun terhadap virus baharu ini tidak berkesan, malah boleh memperburuk keadaan.

Dalam kes seperti ini, antibodi yang dihasilkan semasa jangkitan pertama bertindak balas secara silap dan mencetuskan reaksi imun yang berlebihan, menyebabkan kerosakan salur darah dan kebocoran plasma.

2. Tindak Balas Imun Berlebihan (Immunopathogenesis)

Menurut National Center for Biotechnology Information, demam denggi berdarah merupakan satu penyakit imunopatologi, iaitu penyakit yang berpunca daripada tindak balas sistem imun yang tidak normal terhadap virus denggi.

Apabila antibodi dalam badan membentuk kompleks dengan virus denggi, makrofaj (sel imun) akan diaktifkan secara berlebihan dan mengeluarkan mediator vasoaktif seperti sitokin dan kimia radang.

Bahan-bahan ini akan meningkatkan kebolehtelapan salur darah, mengakibatkan kebocoran plasma, pembentukan lebam, pengumpulan cecair di paru-paru dan perut, serta risiko renjatan atau kegagalan organ.

3. Usia dan Faktor Demografi

Statistik oleh National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, kanak-kanak bawah umur 10 tahun lebih berisiko mengalami demam denggi berdarah, terutama mereka yang tinggal di kawasan endemik denggi seperti Asia Tenggara.

Dalam kalangan kanak-kanak, sistem imun mereka yang masih berkembang serta sejarah jangkitan denggi sebelum ini menjadikan mereka lebih mudah mengalami komplikasi serius.

4. Jenis Serotip Virus Denggi

Terdapat empat serotip virus denggi utama (DEN-1, DEN-2, DEN-3, DEN-4). Jangkitan silang antara serotip, contohnya, dijangkiti DEN-1 kali pertama dan kemudian DEN-2, boleh meningkatkan risiko demam denggi berdarah.

Sesetengah serotip, seperti DEN-2 dan DEN-3, dikaitkan dengan kecenderungan lebih tinggi terhadap bentuk denggi yang teruk.

5. Faktor Genetik dan Kecenderungan Individu

Kajian oleh National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, faktor genetik seseorang juga boleh mempengaruhi kerentanan terhadap demam denggi berdarah.

Contohnya, terdapat variasi genetik tertentu dalam sistem imun yang boleh menjadikan seseorang lebih cenderung mengalami kebocoran salur darah dan tindak balas imun yang melampau apabila dijangkiti virus denggi.

6. Kelewatan Mendapat Rawatan Perubatan

Salah satu faktor penyumbang kepada kes demam denggi berdarah yang serius ialah kelewatan pesakit mendapatkan rawatan sewajarnya.

Tanpa pemantauan rapi, pesakit mungkin tidak menyedari tanda-tanda amaran seperti muntah darah, bengkak abdomen, atau renjatan, sehingga keadaan menjadi kritikal.

7. Keadaan Persekitaran dan Endemik Denggi

Kehidupan di kawasan yang sering berlaku penularan denggi seperti kawasan padat penduduk, perumahan tidak bersih, dan cuaca tropika yang sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes.

Risiko demam denggi berdarah meningkat apabila seseorang sering terdedah kepada nyamuk pembawa virus dengan serotip yang berbeza.

Simptom & Gejala

Demam denggi berdarah sering bermula dengan demam tinggi secera mengejut, disertai sakit kepala yang teruk, sakit di belakang mata, serta sakit otot dan sendi.

Pada peringkat awal, ia sukar dibesakan daripada demam denggi biasa kerana gejalanya hampir serupa.

Namun begitu, tanda-tanda amaran mula muncul dalam beberapa hari yang menandakan kemungkinan jangkitan bertukar menjadi denggi teruk dan berbahaya.

Antara tanda amaran utama yang perlu diperhatikan termasuk:

  • Sakit perut yang teruk dan tekanan di bahagian abdomen
  • Muntah berterusan yang sukar dihentikan
  • Muntah darah (hematemesis)
  • Pendarahan dari hidung (epistaksis) atau gusi berdarah
  • Najis berwarna hitam seperti tar (melena)
  • Bengkak pada bahagian badan (edema)
  • Kelesuan melampau, kebingungan, atau kegelisahan luar biasa
  • Tanda pengumpulan cecair seperti pembesaran hati (hepatomegali), pleural effusion (cecair di paru-paru), atau ascites (cecair dalam abdomen)
  • Perubahan suhu secara mendadak – dari demam tinggi kepada suhu badan menurun (hipotermia)

Gejala-gejala ini menandakan kemungkinan kebocoran plasma dan permulaan kepada renjatan denggi (Dengue Shock Syndrome), keadaan di mana peredaran darah mula gagal dan boleh menyebabkan kegagalan pelbagai organ.

Tanda-tanda pendarahan juga boleh muncul dengan jelas, seperti:

  • Purpura – tompok merah keunguan pada kulit
  • Petechiae – bintik merah kecil akibat pendarahan bawah kulit
  • Ecchymoses – lebam besar, terutama di tempat suntikan
  • Pendarahan dalaman seperti muntah darah, najis berdarah atau pendarahan hidung
  • Dalam kes jarang – pendarahan dalam otak (subarachnoid hemorrhage)

Komplikasi serius lain termasuk bronkopneumonia, yang boleh berlaku dengan atau tanpa pengumpulan cecair di paru-paru, serta keradangan otot jantung (myocarditis) yang menjejaskan fungsi jantung.

Sekiranya pesakit tidak mendapat rawatan tepat pada masanya, renjatan dan kegagalan organ boleh berlaku seawal hari ke-2 hingga ke-6 selepas demam bermula.

Di hospital berpengalaman, kadar kematian akibat denggi berdarah biasanya di bawah 1%. Namun tanpa rawatan yang betul, ia boleh meningkat sehingga 30%.

Beza Demam Denggi Biasa vs Demam Denggi Berdarah

Berikut ialah perbandingan antara demam denggi biasa dan demam denggi berdarah :

PerbezaanDemam Denggi BiasaDemam Denggi Berdarah
PuncaVirus denggi melalui gigitan nyamuk AedesVirus denggi, tetapi melibatkan tindak balas imun yang lebih teruk
Tahap KeparahanRingan hingga sederhanaLebih serius dan boleh membawa maut jika tidak dirawat
DemamTinggi secara tiba-tibaSangat tinggi, biasanya lebih 40°C
Kebocoran PlasmaTidak berlakuBerlaku. Menyebabkan pembengkakan, sesak nafas, dan kejutan
Kiraan Platelet (Darah)Mungkin menurun sedikitTurun mendadak (boleh <100,000/mm³)
RawatanRehat, hidrasi dan pemantauanRawatan di hospital dengan pemantauan rapi dan infus cecair

Cara Merawat Denggi Berdarah

denggi berdarah jumpa doktor

1. Rawatan di Hospital Secara Segera

Pesakit yang disyaki menghidap demam denggi berdarah perlu segera dimasukkan ke hospital. Ini kerana keadaan mereka boleh menjadi lebih serius dalam masa singkat.

Di hospital, pesakit akan dipantau dengan teliti, terutamanya dari segi suhu badan, tekanan darah, kiraan platelet dan tanda-tanda renjatan denggi. Rawatan awal sangat penting untuk mengelakkan komplikasi seperti kegagalan organ atau kematian.

2. Beri Cecair Melalui Intravena (Drip)

Demam denggi berdarah menyebabkan kebocoran plasma dari salur darah. Akibatnya, pesakit boleh mengalami dehidrasi dan tekanan darah menjadi tidak stabil.

Oleh itu, pesakit perlu diberikan cecair melalui saluran intravena (IV drip) bagi menggantikan cecair yang hilang dan menstabilkan peredaran darah.

Doktor akan mengawal jumlah cecair yang diberikan agar tidak berlebihan dan tidak menjejaskan organ penting.

3. Pemantauan Rapi Tanda-Tanda Vital

Semasa rawatan, doktor dan jururawat akan memantau tanda-tanda penting pesakit seperti denyutan jantung, tekanan darah, kadar pernafasan, suhu badan dan tahap kesedaran secara kerap.

Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti tekanan darah menurun atau pesakit menjadi keliru dan lemah, tindakan segera akan diambil untuk mengelakkan renjatan denggi.

4. Pemindahan Darah Jika Perlu

Jika pesakit mengalami pendarahan yang banyak atau kiraan platelet turun ke paras terlalu rendah, mereka mungkin memerlukan pemindahan darah.

Ini termasuk pemindahan platelet atau plasma darah segar untuk membantu menghentikan pendarahan dan menyokong sistem peredaran darah.

5. Penggunaan Ubat yang Sesuai

Pesakit hanya dibenarkan mengambil ubat seperti paracetamol untuk meredakan demam dan sakit kepala.

Penggunaan ubat seperti aspirin, ibuprofen atau ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) adalah dilarang kerana boleh menyebabkan pendarahan bertambah teruk. Ubat-ubatan tambahan mungkin digunakan untuk merawat simptom atau komplikasi tertentu.

6. Rehat Sepenuhnya

Pesakit dinasihatkan untuk berehat sepenuhnya di katil. Aktiviti fizikal boleh memburukkan keadaan dan meningkatkan risiko pendarahan dalaman.

Dalam fasa pemulihan, rehat yang mencukupi akan membantu badan melawan jangkitan dan pulih lebih cepat.

7. Pemakanan dan Pengambilan Cecair Secara Oral (jika dibenarkan)

Jika pesakit dalam keadaan stabil dan tidak mengalami muntah yang berlebihan, pengambilan cecair oral seperti air kosong, air kelapa, sup atau jus buah tanpa gula sangat digalakkan.

Pemakanan ringan dan mudah dihadam seperti bubur atau nasi lembik juga boleh membantu mengekalkan tenaga.

Namun, jika pesakit tidak mampu makan atau minum, cecair akan diteruskan melalui intravena.

8. Rawatan Komplikasi Organ Jika Berlaku

Dalam sesetengah kes, pesakit mungkin mengalami komplikasi seperti masalah paru-paru (bronkopneumonia), keradangan jantung (myocarditis) atau kegagalan buah pinggang.

Jika ini berlaku, rawatan khusus akan diberikan oleh pakar mengikut organ yang terjejas termasuk penggunaan antibiotik, bantuan pernafasan atau rawatan dialisis.

9. Rawatan Renjatan Denggi (Dengue Shock Syndrome)

Sekiranya pesakit menunjukkan tanda-tanda renjatan seperti tekanan darah rendah, denyutan lemah atau kulit menjadi sejuk dan lembap, rawatan kecemasan akan diberikan segera.

Ini termasuk pemberian cecair dengan cepat, ubat menaikkan tekanan darah (vasopressor), dan pemantauan intensif di unit rawatan rapi (ICU).

10. Fasa Pemulihan dan Pemeriksaan Susulan

Setelah melepasi fasa kritikal, pesakit akan memasuki fasa pemulihan. Pada tahap ini, kiraan platelet akan mula meningkat, suhu badan stabil dan gejala pendarahan berkurang.

Walaupun pesakit mungkin sudah berasa sihat, pemeriksaan susulan oleh doktor masih penting untuk memastikan tiada kesan sampingan jangka panjang.

Bila Perlu Jumpa Doktor

Berikut ialah senarai sebab-sebab bila anda perlu segera berjumpa doktor jika disyaki menghidap demam denggi atau demam denggi berdarah:

  1. Demam tinggi yang tidak reda selepas 2–3 hari walaupun sudah mengambil ubat demam seperti paracetamol.
  2. Sakit perut yang teruk atau rasa tidak selesa di bahagian abdomen yang berterusan.
  3. Muntah berulang kali atau muntah berdarah (hematemesis).
  4. Pendarahan yang luar biasa, seperti:
    • Hidung berdarah (epistaksis)
    • Gusi berdarah
    • Najis hitam atau berdarah (melena)
    • Tompok lebam pada kulit tanpa sebab jelas
  5. Rasa lemah melampau, mengantuk luar biasa, atau tidak sedar.
  6. Keliru, gelisah, atau tidak responsif – tanda gangguan pada sistem saraf atau renjatan.
  7. Tanda dehidrasi atau renjatan, seperti:
    • Bibir dan lidah kering
    • Kurang buang air kecil
    • Kulit sejuk dan lembap
    • Denyutan nadi lemah dan laju
    • Tekanan darah rendah
  8. Suhu badan tiba-tiba menurun selepas demam – boleh menjadi tanda permulaan renjatan denggi.
  9. Pembesaran hati atau bengkak perut
  10. Kesukaran bernafas atau rasa sesak nafas

Kesimpulan

Kesimpulannya, denggi berdarah bukan sekadar demam biasa. Ia merupakan ancaman kesihatan yang serius dan memerlukan pemantauan serta rawatan segera di fasiliti perubatan.

Kenali tanda-tanda amaran seperti pendarahan, sakit perut teruk, muntah berterusan, dan perubahan mendadak suhu badan.

Dengan kesedaran awal, rawatan yang betul dan pemerhatian rapi, komplikasi seperti renjatan atau kegagalan organ boleh dicegah. Jangan ambil mudah gejala denggi kerana tindakan cepat boleh menyelamatkan nyawa.

Anda boleh baca berkenaan dengan masalah denggi yang lain di sini:

Similar Posts

Leave a Reply