14 Tanda Darah Tinggi yang Ramai Tak Sedar – Jangan Abaikan!
Apakah tanda darah tinggi yang banyak berlaku dalam masyarakat kita tetapi sering diabaikan?
Darah tinggi atau hipertensi adalah masalah kesihatan yang sering dipandang remeh, tetapi sebenarnya ia boleh membawa komplikasi serius seperti serangan jantung, strok, dan kegagalan buah pinggang jika tidak dikawal. Ramai individu mungkin menghidap darah tinggi tanpa menyedarinya kerana simptomnya sering kali bersifat senyap atau kelihatan seperti masalah kesihatan biasa.
Oleh itu, penting untuk mengenali tanda-tanda awal hipertensi agar tindakan pencegahan dapat diambil lebih awal. Dalam artikel ini, kita akan membincangkan 14 tanda darah tinggi yang perlu anda ketahui supaya anda dapat mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjaga kesihatan jantung dan tekanan darah anda.
1. Sakit Kepala yang Tiba-Tiba dan Teruk
Tanda darah tinggi yang umum berlaku adalah sakit kepala. Keadaan ini sering dikaitkan dengan krisis hipertensi, iaitu keadaan di mana tekanan darah melonjak secara mendadak ke tahap yang boleh membahayakan nyawa.
Apabila tekanan darah naik secara mendadak, saluran darah dalam otak boleh tegang dan membesar, menyebabkan tekanan yang lebih tinggi dalam tengkorak.
Keadaan ini boleh merangsang saraf yang sensitif terhadap kesakitan di dalam kepala, sekali gus mencetuskan sakit kepala yang kuat. Dalam beberapa kes, sakit kepala akibat hipertensi juga dikaitkan dengan pendarahan otak atau aneurisme, di mana pembuluh darah di otak boleh pecah akibat tekanan yang terlalu tinggi.
Menurut Iranian Journal of Neurology, sakit kepala yang berpunca daripada tekanan darah tinggi cenderung untuk menjadi lebih kuat dan berdenyut, sering kali disertai dengan simptom lain seperti penglihatan kabur, pening, mual, atau sesak nafas.
Biasanya, tekanan darah yang melebihi 180/120 mmHg dianggap sebagai kecemasan perubatan dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti strok, serangan jantung, atau kegagalan organ.
2. Kesukaran Bernafas
Kesukaran bernafas atau dispnea boleh menjadi salah satu tanda darah tinggi, terutamanya apabila ia berlaku tiba-tiba tanpa sebab yang jelas. Masalah sukar untuk bernafas sering dikaitkan dengan kerosakan pada jantung dan saluran darah, yang boleh mengganggu keupayaan tubuh untuk mengepam dan mengedarkan darah dengan berkesan.
Berdasarkan kajian oleh National Center for Biotechnology Information, apabila tekanan darah meningkat ke tahap berbahaya, jantung perlu bekerja lebih keras untuk mengepam darah ke seluruh tubuh. Jika keadaan ini berlarutan, otot jantung boleh menjadi tebal dan kaku, menyebabkan jantung gagal mengepam darah dengan efisien, sekali gus membawa kepada kegagalan jantung kongesti (congstibe heart failure, CHF).
Dalam keadaan ini, cecair boleh terkumpul di dalam paru-paru menyebabkan seseorang mengalami sesak nafas yang ketara.
3. Kesakitan Tiba-Tiba dan Teruk di Perut, Dada, atau Belakang
Tanda darah tinggi yang berikutnya adalah kesakitan yang berlaku secara tiba-tiba dan teruk di perut, dada, atau belakang.
Salah satu punca utama kesakitan ini dalam konteks tekanan darah tinggi ialah pembedahan aorta (aortic dissection), iaitu keadaan di mana lapisan dalam arteri utama yang membawa darah keluar dari jantung mengalami koyakan akibat tekanan darah yang terlalu tinggi.
Keadaan ini boleh menyebabkan darah mengalir ke celahan dinding arteri, mengakibatkan tekanan yang lebih besar dan berisiko menyebabkan pecahnya saluran darah utama. Kesakitan akibat pembedahan aorta ini biasanya terasa sangat kuat, tajam, dan menusuk, sering kali bermula di dada dan merebak ke belakang atau perut.
Selain pembedahan aorta, krisis hipertensi juga boleh menyebabkan serangan jantung (myocardial infarction), yang sering ditandai dengan kesakitan dada yang teruk dan menekan, yang mungkin merebak ke bahu, lengan, leher, atau rahang.
Apabila tekanan darah tinggi tidak terkawal, ia boleh merosakkan dinding arteri koronari, menyebabkan plak kolesterol dalam saluran darah mudah pecah dan membentuk gumpalan darah. Gumpalan ini boleh menyekat aliran darah ke jantung, menyebabkan bahagian otot jantung tidak mendapat oksigen yang mencukupi dan akhirnya mati.
Menurut National Center fot Biotechnology Information, tekanan darah tinggi juga boleh menyebabkan aneurisme aorta abdomen, iaitu pembengkakan abnormal pada bahagian aorta yang melalui perut.
Jika aneurisme ini pecah akibat tekanan darah yang tinggi, ia boleh menyebabkan pendarahan dalaman yang teruk, dengan gejala seperti kesakitan yang tiba-tiba dan sangat teruk di perut atau belakang, rasa berdenyut di perut, tekanan darah menurun secara mendadak, dan pengsan.
4. Kebas atau Lemah
Kebas terutamanya jika ia berlaku di wajah, lengan, atau kaki, dan hanya melibatkan satu bahagian badan cenderung dikaitkan dengan strok, iaitu salah satu komplikasi paling serius akibat tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
Salah satu bentuk strok yang sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi adalah strok iskemik, yang berlaku apabila bekuan darah menyekat aliran darah ke otak. Dalam keadaan ini, seseorang mungkin mengalami kebas atau kelemahan secara mendadak, kesukaran bercakap atau memahami percakapan, penglihatan kabur, serta hilang keseimbangan atau koordinasi.
Selain itu, tekanan darah tinggi juga boleh menyebabkan strok hemoragik, yang berlaku apabila saluran darah di otak pecah dan menyebabkan pendarahan otak. Kajian oleh National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, tekanan darah yang terlalu tinggi boleh melemahkan dinding arteri di otak, membentuk aneurisme yang berisiko pecah.
Menurut Pacific Neuroscience Institute, berbanding strok iskemik, strok hemoragik lebih berbahaya kerana ia boleh menyebabkan kerosakan otak yang lebih meluas dalam masa yang singkat.
Lebih membimbangkan, hipertensi juga boleh menyebabkan serangan iskemik sementara (TIA – Transient Ischemic Attack), yang dikenali sebagai “mini-stroke”. TIA berlaku apabila terdapat gangguan sementara dalam bekalan darah ke otak, menyebabkan simptom seperti kebas atau lemah yang hanya bertahan selama beberapa minit atau jam sebelum hilang sepenuhnya.
Walaupun simptom ini mungkin nampak tidak berbahaya, TIA adalah tanda amaran penting bahawa seseorang berisiko mengalami strok yang lebih besar dalam masa terdekat.
5. Perubahan Mendadak dalam Penglihatan
Perubahan mendadak dalam penglihatan, seperti penglihatan kabur, penglihatan berganda, kehilangan penglihatan secara tiba-tiba, atau munculnya bintik-bintik gelap dalam pandangan, boleh menjadi tanda darah tinggi yang mencapai tahap berbahaya.
Hipertensi yang tidak terkawal boleh memberi kesan langsung kepada saluran darah di mata dan otak, yang berpotensi menyebabkan komplikasi serius seperti retinopati hipertensi, strok, atau pendarahan otak.
Menurut National Center for Biotechnology Information, tekanan darah tinggi menyebabkan iskemia optik, iaitu gangguan bekalan darah ke saraf optik yang boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan secara tiba-tiba, terutamanya selepas bangun tidur atau episod hipertensi melampau.
Selain itu, ia juga meningkatkan risiko strok, yang boleh menyekat aliran darah ke bahagian otak yang mengawal penglihatan, menyebabkan kehilangan medan penglihatan separa atau penuh serta masalah pergerakan mata.
Lebih membimbangkan, tekanan darah tinggi boleh mencetuskan oklusi vena retina, menyebabkan retina membengkak dan penglihatan hilang secara tiba-tiba. Dalam kes lebih teruk, ia boleh mengakibatkan glaukoma akut, yang berpotensi menyebabkan buta jika tidak dirawat segera.
6. Masalah Bertutur
Tanda tekanan darah tinggi berikutnya adalah masalah bertutur. Masalah bertutur yang dikaitkan adalah seperti kesukaran membuat perkataan dengan jelas, percakapan menjadi tidak lancar, atau ketidakmampuan untuk memahami dan membalas percakapan.
Keadaan ini sering dikaitkan dengan strok, yang merupakan salah satu komplikasi utama hipertensi yang tidak terkawal.
Hipertensi yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan pada saluran darah di otak, sama ada melalui penyempitan, penyumbatan, atau pecahnya saluran darah, yang boleh mengakibatkan gangguan serius pada bahagian otak yang mengawal pertuturan.
7. Hidung Berdarah (Epistaksis)
Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan saluran darah di dalam hidung menjadi tegang dan rapuh. Kajian oleh Journal of the Saudi Heart Association mendapati bahawa, apabila tekanan darah meningkat, saluran darah kecil dalam hidung boleh pecah, menyebabkan darah keluar tanpa amaran. Ini kerana mukosa dalam hidung kaya dengan kapilari darah halus, yang sangat sensitif terhadap perubahan tekanan dalam badan.
Jika tekanan darah terlalu tinggi dan berterusan, saluran darah ini menjadi mudah pecah walaupun tanpa rangsangan fizikal, menyebabkan hidung berdarah tiba-tiba tanpa sebab yang jelas.
8. Darah dalam Air Kencing
Pernah nampak air kencing berwarna merah, coklat gelap, atau ada kesan darah, walaupun tidak rasa sakit ketika membuang air kecil? Kalau ya, jangan anggap ini perkara biasa! Darah dalam air kencing (hematuria) boleh menjadi tanda bahawa tekanan darah anda berada pada tahap berbahaya, terutamanya jika ia disertai dengan rasa lemah, kebas, atau pening.
Tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah kecil dalam ginjal, yang berfungsi sebagai penapis utama dalam badan. Bila tekanan darah terlalu tinggi, dinding saluran darah dalam ginjal menjadi tegang dan rapuh, menyebabkan kebocoran darah ke dalam air kencing. Keadaan ini dikenali sebagai nefropati hipertensi, di mana ginjal mula mengalami kerosakan akibat tekanan darah yang tidak terkawal.
Jika tidak dirawat, nefropati hipertensi boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang, yang menyebabkan tubuh kehilangan keupayaan untuk menyingkirkan toksin dan lebihan cecair.
9. Kesukaran untuk Fokus dan Kurang Tumpuan
Kesukaran untuk fokus dan kurang tumpuan boleh menjadi tanda bahawa tekanan darah anda berada pada tahap yang membahayakan kesihatan otak.
Tekanan darah tinggi memberi kesan langsung kepada peredaran darah ke otak. Bila tekanan darah terlalu tinggi, saluran darah dalam otak menjadi sempit atau kaku, mengurangkan aliran oksigen dan nutrien ke sel-sel otak yang penting untuk fungsi kognitif.
Akibatnya, seseorang mungkin mengalami brain fog, iaitu keadaan di mana otak terasa “berat”, memproses maklumat dengan perlahan, dan mudah hilang fokus.
10. Dehidrasi atau Dahaga yang Luar Biasa
Di samping itu, tekanan darah tinggi boleh menyebabkan ketidakseimbangan cecair dalam badan, yang akhirnya membawa kepada rasa dahaga berlebihan atau dehidrasi. Salah satu sebab utama ialah ginjal yang bekerja lebih keras untuk menstabilkan tekanan darah, menyebabkan badan kehilangan lebih banyak cecair melalui air kencing.
Menurut kajian oleh National Center for Biotechnology information, apabila ini berlaku, tubuh mula menghantar isyarat “haus” untuk menggantikan cecair yang hilang, walaupun hakikatnya, masalah sebenar bukan sekadar kekurangan air, tetapi sistem badan yang sedang terjejas akibat tekanan darah tinggi.
Selain itu, tekanan darah tinggi yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan pada saluran darah di ginjal, menjadikannya kurang efisien dalam menapis darah dan mengawal keseimbangan elektrolit.
Bila ini berlaku, tubuh mungkin kehilangan sodium dan air secara berlebihan, menyebabkan dehidrasi semakin ketara. Akibatnya, seseorang akan merasa dahaga sepanjang masa, keletihan melampau, pening, atau mengalami kekeringan pada kulit dan bibir.
11. Bengkak akibat Edema
Edema berpunca dari masalah cecair yang mula terkumpul dalam tisu badan. Tekanan darah tinggi yang berpanjangan boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan keras, menjadikannya kurang efisien dalam mengedarkan darah seluruh tubuh.
Biasanya, edema akibat tekanan darah tinggi lebih ketara pada bahagian kaki, pergelangan kaki, tangan, dan kadang-kadang muka, kerana bahagian ini lebih mudah mengalami pengekalan cecair apabila sistem peredaran darah terganggu.
Jika edema berlaku bersama rasa kebas, lemah, atau kesukaran bergerak, ini boleh menjadi tanda bahawa tekanan darah telah menyebabkan kerosakan saraf atau gangguan pada sistem peredaran darah.
12. Mengantuk Berlebihan atau Insomnia
Jika seseorang sering mengalami mengantuk berlebihan yang sukar dijelaskan, disertai dengan pening, kebas, atau keletihan yang melampau, ini boleh menjadi tanda bahawa tekanan darah tinggi sedang menjejaskan fungsi otak dan sistem saraf.
Ini berlaku kerana saluran darah yang menyempit akibat tekanan darah tinggi mengurangkan bekalan oksigen ke otak, menyebabkan keletihan otak dan kesukaran untuk kekal bertenaga.
Selain itu, tekanan darah tinggi yang berkaitan dengan masalah tidur seperti apnea tidur obstruktif (OSA) boleh menyebabkan seseorang mengalami gangguan pernafasan semasa tidur, menyebabkan mereka kerap terjaga dan sukar mendapatkan tidur yang berkualiti.
Apnea tidur berlaku apabila saluran pernafasan tersekat semasa tidur, menyebabkan bekalan oksigen ke otak berkurang, sekali gus meningkatkan tekanan darah dan menyebabkan jantung bekerja lebih keras. Ini bukan sahaja menyebabkan insomnia pada waktu malam, tetapi juga mengantuk yang melampau pada siang hari, membuatkan seseorang mudah lesu dan kurang bertenaga.
13. Tinnitus (Bunyi Dering dalam Telinga)
Kajian oleh National Center for Biotechnology Information mendapati yinnitus atau bunyi deringan dalam telinga boleh menjadi tanda darah tinggi apabila aliran darah dalam saluran telinga terganggu akibat tekanan darah yang meningkat.
Hipertensi menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan meningkatkan tekanan pada koklea serta saraf pendengaran, yang boleh mencetuskan bunyi berdesir atau berdenyut dalam telinga. Keadaan ini dikenali sebagai pulsatile tinnitus, di mana bunyi dalam telinga selari dengan degupan jantung.
14. Peluh Berlebihan
Peluh berlebihan tanpa sebab yang jelas, terutama kalau datang bersama pening, kebas, lemah, atau jantung berdegup laju, boleh jadi tanda darah tinggi sedang melonjak ke tahap bahaya.
Berdasarkan kajian oleh Journal of The Royal Society of Medicine, simptom ini dikaitkan dengan krisis hipertensi, keadaan di mana tekanan darah meningkat secara mendadak melebihi 180/120 mmHg, dan boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat segera.
Kesimpulan
Kesimpulannya, hipertensi adalah penyakit yang boleh membawa risiko tinggi kepada kesihatan sekiranya tidak dikawal dengan baik. Walaupun ia sering kali tidak menunjukkan simptom yang jelas, mengenali tanda-tanda awal darah tinggi boleh membantu dalam pengesanan awal dan rawatan yang lebih berkesan.
Jika anda mengalami mana-mana tanda yang disenaraikan, segera dapatkan pemeriksaan doktor untuk memastikan tahap tekanan darah anda berada dalam keadaan selamat.
Mengamalkan gaya hidup sihat, seperti pemakanan seimbang, bersenam secara berkala, dan menguruskan stres, juga merupakan langkah penting untuk mencegah dan mengawal darah tinggi.
Berikut adalah simptom darah tinggi yang perlu anda tahu:
- Sakit Kepala yang Tiba-Tiba dan Teruk
- Kesukaran Bernafas
- Kesakitan Tiba-Tiba dan Teruk di Perut, Dada, atau Belakang
- Kebas atau Lemah
- Perubahan Mendadak dalam Penglihatan
- Masalah Bertutur
- Hidung Berdarah (Epistaksis)
- Darah dalam Air Kencing
- Kesukaran untuk Fokus dan Kurang Tumpuan
- Dehidrasi atau Dahaga yang Luar Biasa
- Bengkak akibat Edema
- Mengantuk Berlebihan atau Insomnia
- Tinnitus (Bunyi Dering dalam Telinga)
- Peluh Berlebihan
Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah darah tinggi di sini: