15 Punca Darah Tinggi Yang Ramai Tidak Tahu
Punca darah tinggi adalah hasil gabungan gaya hidup tidak sihat, faktor genetik, serta keadaan kesihatan tertentu. Ramai individu mungkin tidak menyedari bahawa pemakanan tidak seimbang, kurang bersenam, stres yang berpanjangan, dan tabiat seperti merokok boleh meningkatkan risiko hipertensi.
Selain itu, faktor-faktor seperti umur, berat badan berlebihan, dan penyakit kronik turut memainkan peranan penting.
Oleh itu, memahami punca darah tinggi adalah langkah utama yang penting untuk mencegah penyakit ini dan melindungi kesihatan jangka panjang.
Dalam artikel ini, kami akan berkongsi kepada anda 15 punca darah tinggi terhadap kesihatan diri dan kehidupan, dari aspek fizikal hingga psikologi.
Pastikan anda berbincang dengan pakar kesihatan untuk merawat masalah darah tinggi anda. Jom kita mula dengan punca darah tinggi yang pertama.
1. Diet Tinggi Garam
Salah satu peraturan utama dalam pemakanan sihat adalah untuk mengelakkan garam berlebihan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan garam yang disarankan bagi individu dewasa adalah kurang daripada 5 gram sehari atau kurang daripada 2000 miligram natrium sehari.
Jumlah ini dianggarkan bersamaan dengan satu sudu teh garam sehari, termasuk garam tersembunyi dalam makanan. Garam tersembunyi ini sering disenaraikan pada label pembungkusan makanan sebagai natrium nitrat, natrium bikarbonat, dan monosodium glutamat.
Pengambilan garam yang berlebihan merupakan punca utama tekanan darah tinggi kerana garam mengandungi natrium yang boleh menyebabkan pengekalan cecair dalam badan.
Apabila terlalu banyak cecair disimpan, jumlah darah yang mengalir dalam salur darah meningkat, menyebabkan tekanan pada dinding salur darah menjadi lebih tinggi. Selain itu, garam juga mengganggu keseimbangan ion dalam badan, yang boleh menyebabkan pengecutan salur darah (vasokonstriksi).
Diet tinggi garam sering dikaitkan dengan makanan diproses seperti kerepek, makanan segera, dan makanan beku, yang semuanya menyumbang kepada punca darah tinggi jika diambil secara berlebihan.
2. Obesiti
Menurut National Center for Biotechnology Information, obesiti menyumbang 65-78% daripada kes hipertensi primer.
Obesiti meningkatkan tekanan darah kerana berat badan yang berlebihan memberi beban tambahan kepada jantung untuk mengepam darah ke seluruh badan. Sel-sel lemak tambahan juga menghasilkan bahan kimia dan hormon yang boleh mengganggu mekanisme pengawalan tekanan darah.
Selain itu, obesiti sering dikaitkan dengan rintangan insulin, satu keadaan yang menyumbang kepada hipertensi. Orang yang obes juga cenderung mempunyai tahap kolesterol yang tinggi dan salur darah yang sempit, menjadikan mereka lebih berisiko untuk mengalami tekanan darah tinggi.
3. Kurang Aktiviti Fizikal
Gaya hidup sedentari atau kurang aktif menyebabkan otot jantung menjadi lemah dan kurang efisien dalam mengepam darah. Apabila jantung tidak berfungsi dengan baik, tekanan darah meningkat untuk memastikan aliran darah ke seluruh badan mencukupi.
Berdasarkan kajian oleh National Center for Biotechnology Information lagi, kurang bersenam membawa kepada kenaikan berat badan dan pengumpulan lemak, yang meningkatkan risiko hipertensi.
Aktiviti fizikal membantu meningkatkan peredaran darah, mengurangkan tekanan pada dinding salur darah, dan meningkatkan fleksibliti salur darah, menjadikan senaman penting untuk mencegah darah tinggi.
4. Pengambilan Alkohol Berlebihan
Pengambilan alkohol yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi kerana alkohol mempengaruhi fungsi jantung dan salur darah. Ia boleh meningkatkan tahap hormon seperti renin, yang menyebabkan salur darah mengecut dan tekanan darah meningkat.
Alkohol juga tinggi kalori, yang boleh menyebabkan kenaikan berat badan, seterusnya meningkatkan risiko hipertensi tertutamanya jika umur anda sudah mencecah 35 tahun ke atas.
Di samping itu, alkohol berlebihan boleh merosakkan dinding salur darah dan menjejaskan fungsi organ penting seperti buah pinggang dan hati, yang berkaitan rapat dengan pengawalan tekanan darah.
5. Merokok
Menurut National Center for Biotechnology Information, merokok menyebabkan darah tinggi kerana bahan kimia dalam rokok, seperti nikotin, merangsang pembebasan epinefrin dan norepinefrin, sehingga menyebabkan salur darah mengecut sekaligus meningkatkan tekanan darah.
Selain itu, merokok merosakkan dinding salur darah, menyebabkan keradangan dan pengumpulan plak kolesterol, yang menyempitkan salur darah.
Ini meningkatkan rintangan terhadap aliran darah, memaksa jantung bekerja lebih keras. Asap rokok juga mengandungi karbon monoksida, yang mengurangkan jumlah oksigen dalam darah dan menyebabkan jantung perlu mengepam lebih cepat untuk memenuhi keperluan oksigen badan.
6. Stres Berlebihan
Stres yang kronik atau berpanjangan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi melalui beberapa mekanisme.
Apabila stres, tubuh menghasilkan hormon seperti adrenalin dan kortisol, yang menyebabkan salur darah mengecut dan meningkatkan kadar denyutan jantung. Stres juga boleh mendorong tingkah laku tidak sihat seperti makan berlebihan, merokok, atau pengambilan alkohol, yang semuanya menyumbang kepada punca darah tinggi.
Selain itu, stres menganggu keseimbangan sistem saraf autonomi, yang memainkan peranan penting dalam pengawalan tekanan darah.
7. Umur yang Semakin Meningkat
Seiring bertambahnya usia, salur darah secara semula jadi menjadi kurang elastik, yang menyebabkan tekanan darah meningkat. Menurut National Center for Biotechnology Information, perubahan ini dikenali sebagai pengerasan arteri (arteriosclerosis), di mana salur darah kehilangan fleksibiliti untuk menampung aliran darah yang tinggi.
Selain itu, fungsi organ seperti buah pinggang dan jantung juga menurun dengan usia, sehingga mengakibatkan pengawalan tekanan darah yang kurang efisien.
Ini menjadikan orang tua lebih berisiko mengalami hipertensi, walaupun mereka tidak mempunyai faktor risiko lain.
8. Keturunan (Genetik)
Punca darah tinggi yang selanjutnya adalah faktor keturunan. Faktor genetik atau keturunan yang menghidap masalah tekanan darah tinggi meningkatkan risiko seseorang untuk mengalaminya. Ini kerana genetik mempengaruhi cara tubuh mengawal garam, hormon, dan tekanan pada salur darah.
Sesetengah individu mungkiin mewarisi kecenderungan untuk menyimpan lebih banyak natrium atau mempunyai dinding salur darah yang lebih kaku.
Walaupun faktor genetik tidak dapat diubah, risiko boleh dikurangkan dengan mengekalkan gaya hidup sihat.
9. Diet Tinggi Lemak dan Kolesterol
Makanan tinggi lemak dan kolesterol boleh menyebabkan penumpukan plak di dinding salur darah, satu keadaan yang dikenali sebagai aterosklerosis. Ini menyempitkan salur darah dan meningkatkan tekanan darah kerana jantung perlu bekerja lebih keras untuk mengepam darah melalui salur yang sempit.
Selain itu, kolesterol tinggi sering berkait rapat dengan obesiti dan diabetes, yang merupakan faktor risiko utama untuk hipertensi. Mengurangkan pengambilan lemak tepu dan lemak trans adalah langkah penting untuk mencegah darah tinggi.
10. Pengambilan Kafein Berlebihan
Kafein adalah punca darah tinggi kerana ia boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah sementara dengan merangsang sistem saraf, yang menyebabkan salur darah mengecut.
Kajian dari National Center for Biotechnology Information lagi, pengambilan kafein secara berlebihan juga boleh mengganggu keseimbangan hormon dan elektrolit dalam badan, yang menyumbang kepada hipertensi jangka panjang.
Sesetengah individu dalam sensitif terhadap kafein mungkin mengalami kesan yang lebih ketara, termasuk peningkatan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.
11. Penyakit Ginjal Kronik
Buah pinggang yang rosak tidak dapat mengawal keseimbangan garam dan cecair dalam badan dengan baik, menyebabkan tekanan darah meningkat.
Penyakit ginjal kronik juga menganggu pengeluaran hormon yang mengawal tekanan darah. Apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan baik, lebih banyak natrium dan cecair terkumpul dalam badan, yang memberi tekanan tambahan pada sistem kardiovaskular.
12. Sleep Apnea (Gangguan Tidur)
Sleep apnea menyebabkan punca darah tinggi kerana berlakunya masalah gangguan pernafasan semasa tidur meningkatkan tekanan pada sistem kardiovaskular.
Ketika pernafasan terhenti, tahap oksigen dalam darah menurun, menyebabkan jantung perlu mengepam lebih keras.
Kajian dari Journal of Thoracic Disease turut menyokong bahawa, sleep apnea juga merangsang sistem saraf untuk melepaskan hormon stres, yang meningkatkan tekanan darah. Rawatan gangguan tidur ini dapat membantu mengurangkan risiko hipertensi.
13. Ketidakseimbangan Hormon
Kajian dari American Heart Association Journals mendapati bahawa, hipotiroidisme atau sindrom cushing boleh menyebabkan hipertensi kerana ketidakseimbangan hormon yang mempengaruhi salur darah dan fungsi jantung.
Hormon tertentu, seperti aldosteron, apabila berlebihan, boleh menyebabkan pengekalan garam dan air, yang meningkatkan tekanan darah.
Ketidakseimbangan hormon juga boleh menyebabkan vasokonstriksi, menjadikan darah lebih sukar untuk mengalir dengan lancar.
14. Penggunaan Ubat Tertentu
Sesetengah ubat, seperti ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs), pil perancang, dan dekongestan, boleh menjadi punca darah tinggi kepada sesetengah individu.
Ubat-ubatan ini mempengaruhi fungsi buah pinggang, menyebabkan pengekalan cecair dan natrium, atau mereka boleh merangsang sistem saraf, yang meningkatkan tekanan darah. Adalah penting untuk berbincang dengan doktor tentang kesan sampingan ubat untuk mengelakkan hipertensi.
15. Diabetes atau Sindrom Metabolik
Diabetes dan sindrom metabolik merupakan punca utama kepada masalah darah tinggi kerana kedua-duanya berkait rapat dengan gangguan metabolisme tubuh, fungsi hormon, dan kesihatan saluran darah.
Menurut American Diabetes Association, diabetes dan sindrom metabolik meningkatkan risiko hipertensi kerana mereka merosakkan dinding salur darah, mengurangkan keupayaan salur darah untuk mengembang dan mengecut.
Selain itu, rintangan insulin dalam diabetes sering menyebabkan peningkatkan tahap natrium dan cecair dalam badan, yang menyumbang kepada tekanan darah tinggi. Mengawal kadar gula dalam darah adalah penting untuk mengurangkan risiko hipertensi dalam pesakit diabetes.
Kesimpulan
Kesimpulannya, terdapat banyak punca darah tinggi yang bermula daripada gaya hidup tidak sihat, faktor genetik, dan masalah kesihatan tertentu.
Justeru itu, mengenal pasti punca awal darah tinggi berlaku adalah sangat penting bagi memastikan pengurusan dan pencegahan awal penyakit ini dapat dilaksanakan `dengan berkesan.
Tekanan darah tinggi sering digelar sebagai “pembunuh senyap” kerana ia jarang menunjukkan simptom pada peringkat awal tetapi boleh membawa komplikasi serius jika tidak dikawal.
Pencegahan dan kawalan darah tinggi memerlukan perubahan gaya hidup secara menyeluruh. Antaranya, pemakanan sihat seperti mengurangkan garam, bersenam secara berkala, mengawal berat badan, serta menguruskan tekanan dengan baik.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala juga penting untuk mengesan dan menguruskan tekanan darah tinggi pada peringkat awal, sekaligus mengelakkan komplikasi serius seperti serangan jantung, strok, dan kegagalan buah pinggang.
Berikut  adalah punca darah tinggi:
- Diet Tinggi Garam
- Obesiti
- Kurang Aktiviti Fizikal
- Pengambilan Alkohol Berlebihan
- Merokok
- Stres Berlebihan
- Umur yang Semakin Meningkat
- Keturunan (Genetik)
- Diet Tinggi Lemak dan Kolesterol
- Pengambilan Kafein Berlebihan
- Penyakit Ginjal Kronik
- Sleep Apnea (Gangguan Tidur)
- Ketidakseimbangan Hormon
- Penggunaan Ubat Tertentu
- Diabetes atau Sindrom Metabolik
Anda juga boleh mendapatkan informasi lain berkaitan masalah darah tinggi di sini: