15 Pantang Larang Buasir yang Perlu Anda Jauhkan

Pantang larang buasir adalah perkara penting yang sering diabaikan oleh pesakit walhal ia memainkan peranan besar dalam mengawal simptom dan mempercepatkan pemulihan.

Buasir boleh menyebabkan ketidakselesaan yang ketara, termasuk sakit, gatal, dan pendarahan ketika membuang air besar.

Tabiat harian yang kelihatan biasa seperti duduk lama di tandas atau mengambil makanan pedas sebenarnya boleh memburukkan keadaan.

Oleh itu, artikel ini akan berkongsi kepada anda tentang 15 pantang larang buasir yang perlu dielakkan untuk mengelakkan komplikasi dan mempercepatkan proses penyembuhan secara semula jadi.

1. Elakkan Duduk Lama di Dalam Tandas

pantang larang buasir duduk lama

Pantang larang buasir yang mungkin masih anda lakukan sehingga sekarang dan menjadi tabiat harian adalah duduk terlalu lama di dalam tandas.

Tidak dinafikan, ramai yang menjadikan waktu membuang air besar sebagai masa untuk berehat seketika dengan membaca, bermain telefon, atau berfikir tanpa menyedari bahawa tabiat ini memberi kesan langsung kepada kesihatan rektum.

Menurut National Center for Biotechnology Information, dalam posisi duduk, graviti menarik rektum ke bawah, sekaligus menambah tekanan pada vena-vena sekitarnya. Salur darah ini perlu mengepam darah ke atas melawan graviti, dan duduk dalam memperlahankan proses ini.

Tekanan yang berpanjangan ini boleh menyebabkan salur darah membengkak dan akhirnya membentuk buasir.

Selain itu, duduk terlalu lama sering dikaitkan dengan tabiat meneran, sama ada disedari atau tidak.

Kajian oleh National Center for Biotechnology Information juga mendapati bahawa, kebiasaan ini memperburuk lagi tekanan dalam rektum dan menyumbang kepada gejala buasir yang lebih serius.

2. Jangan Meneran Terlalu Kuat

pantang larang buasir meneran

Menurut World Journal of Gastroenterology, meneran ketika membuang air besar adalah punca utama pembentukan buasir.

Ketika anda meneran, tekanan yang tinggi dikenakan kepada dinding rektum, yang menyebabkan pembuluh darah di kawasan tersebut membengkak dan menonjol keluar.

Ini menyebabkan buasir dalaman atau luaran yang boleh menyebabkan sakit, gatal, serta pendarahan.

Dalam kes yang lebih parah, tekanan tinggi ini boleh menyebabkan rekahan kecil pada tisu dubur (anal fissure), atau bahkan menyebabkan sebahagian daripada rektum terkeluar dari lubang dubur (rectal prolapse).

Dalam keadaan luar biasa, ia juga boleh mengakibatkan anda pengsan akibat tekanan darah yang menurun secara mendadak (defecation syncope).

3. Hindari Makanan Pedas

Makanan pedas seperti cili, kari pekat, atau sambal boleh menyebabkan iritasi pada saluran pencernaan, terutama bagi individu yang sudah mengalami buasir.

Kajian oleh The Journal of Nuclear Medicine mendapati bahawa, kandungan capsaicin dalam makanan pedas boleh merangsang rektum dan dubur, menyebabkan rasa pedih dan terbakar ketika membuang air besar. Ini menambah kesakitan dan merangsang lagi keradangan tisu dubur.

Bagi mereka yang mempunyai sembelit, World Journal of Gastroenterology juga mendapati bahawa makanan pedas boleh mengganggu pergerakan usus dan memburukkan keadaan dengan menyebabkan ketidakstabilan dalam sistem pencernaan.

4. Kurangkan Makanan Berlemak dan Bergoreng

Pantang larang buasir yang seterusnya adalah jangan makan makanan berlemak dan bergoreng.

Makanan tinggi lemak seperti daging berlemak, makanan bergoreng dan makanan segera memerlukan masa lebih lama untuk dihadam.

Menurut Canadian Journal of Gastroenterology and Hepatology, penghadaman yang perlahan ini menyumbang kepada najis keras yang menyebabkan sembelit.

Najis yang keras pula memerlukan peneranan lebih kuat semasa membuang air besar, sekaligus meningkatkan tekanan pada kawasan rektum. Ini menjadikan buasir lebih mudah terbentuk atau menjadi lebih teruk.

5. Jangan Abaikan Sembelit

pantang larang buasir sembelit

Sembelit kronik sering kali menjadi punca utama buasir. Apabila seseorang tidak membuang air besar secara teratur, najis menjadi lebih keras akibat kehilangan air, lalu memerlukan peneranan yang kuat untuk dikeluarkan.

Peneranan berulang ini memberi tekanan yang berpanjangan kepada salur darah dubur, menyebabkan ia membengkak dan menimbulkan buasir.

Jika tidak dirawat, sembelit juga boleh menyebabkan luka pada dubur, kesakitan semasa membuang air besar, dan risiko jangkitan sekunder.

6. Kurangkan Pengambilan Alkohol

Menurut National Center for Biotechnology Information, alkohol memberi kesan langsung kepada keseimbangan cecair dalam badan dengan menyebabkan dehidrasi.

Kekurangan cecair dalam badan menyebabkan najis menjadi kering dan keras, yang membawa kepada masalah sembelit dan sukar meneran.

Di samping itu, alkohol boleh menyebabkan pelebaran salur darah, termasuk vena di kawasan dubur, lalu memperbesar risiko buasir menjadi bengkak dan menyakitkan.

Bahkan menurut Alcohol Research juga, pengambilan alkohol yang kerap memberi tekanan kepada fungsi hati, yang boleh memberi kesan negatif kepada peredaran darah ke bahagian bawah badan.

7. Elakkan Minuman Berkafein Berlebihan

Pantang larang buasir yang seterusnya adalah jangan minum minuman berkafein secara berlebihan.

Menurut National Center for Biotechnology Information, kafein, seperti yang terdapat dalam kopi, teh, minuman tenaga dan coklat, boleh menyumbang kepada dehidrasi.

Apabila badan kehilangan cecair, najis menjadi lebih keras dan pergerakan usus menjadi sukar.

Bukan itu sahaja, menurut National Center for Biotechnology Information lagi, kafein juga merangsang sistem saraf, yang boleh menyebabkan cirit-birit kepada sesetengah orang.

Kesannya, ia akan menyebabkan geseran berulang pada dubur. Sama ada sembelit atau cirit-birit, kedua-duanya boleh memburukkan lagi keadaan buasir anda.

8. Jangan Angkat Beban Berat Secara Mendadak

pantang larang buasir angkat berat

Bagi anda yang gemar untuk melakukan latihan berintensiti tinggi, dengan adanya buasir ini, ia mungkin menjadi tanda amaran untuk anda lebih berhati-hati atau berhenti seketika dari aktiviti tersebut.

Menurut National Center for Biotechnology Information, aktiviti mengangkat beban berat meningkatkan tekanan dalam rongga abdomen. Ini memberi tekanan tambahan kepada vena di kawasan pelvis dan rektum.

Jika dilakukan tanpa teknik pernafasan yang betul, tekanan itu boleh menyebabkan salur darah membengkak dan membentuk buasir.

Justeru itu, pesakit buasir harus mengelakkan latihan seperti squats berat dan deadlift, dan sebaliknya melakukan aktiviti senaman ringan seperti berjalan atau berenang.

9. Elakkan Menahan Buang Air Besar

Menahan keinginan untuk membuang air besar menyebabkan najis kekal lebih lama dalam kolon juga antara pantang larang buasir yang perlu anda elakkan.

Menurut National Center for Biotechnology Information, tabiat suka menahan diri dari membuang air besar akan menyebabkan penyerapan air yang berlebihan dari najis dan menjadikannya keras serta sukar dikeluarkan.

Proses ini memerlukan anda meneran dengan kuat dan menyebabkan tekanan yang besar pada rektum. Jika dilakukan berulang kali, ia boleh menyebabkan kerosakan pada salur darah dan mendorong pembentukan buasir.

10. Elakkan Pakaian Dalam Terlalu Ketat

Pakaian yang terlalu ketat di sekitar pinggul dan punggung boleh mengganggu peredaran darah yang lancar di kawasan dubur.

Ia juga menyebabkan peluh terkumpul, menjadikan kawasan tersebut lembap dan mudah merengsa.

Geseran berterusan antara pakaian ketat dan kulit sensitif sekitar dubur boleh menyebabkan keradangan dan gatal-gatal, yang akan memperburuk keadaan buasir yang sedia ada.

11. Jangan Abaikan Tanda Pendarahan

Pendarahan dari dubur semasa membuang air besar adalah antara gejala awal buasir yang tidak harus dipandang ringan.

Walaupun darah merah cerah pada tisu tandas biasanya menunjukkan buasir, ia juga boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan lain seperti fissure atau barah kolorektal.

Pemeriksaan doktor adalah penting untuk mengenal pasti punca sebenar dan merancang rawatan yang sesuai sebelum keadaan menjadi lebih serius.

12. Jangan Kurang Minum Air

pantang larang buasir minum air

Pantang larang buasir yang selanjutkanya adalah jangan kurang minum air setiap hari.

Air memainkan peranan penting dalam memastikan sistem penghadaman berjalan lancar. Tanpa air yang mencukupi, najis akan kehilangan kelembapan dan menjadi keras.

Ini menjadikan proses membuang air besar lebih menyakitkan dan memerlukan peneranan kuat.

Minum sekurang-kurangnya 8-10 gelas air setiap hari membantu memastikan najis kekal lembut dan mudah dikeluarkan.

Selain itu, pengambilan buah-buahan dan sayuran yang kaya dengan air turut menyumbang kepada penghidratan keseluruhan tubuh.

13. Jangan Biarkan Berat Badan Berlebihan

pantang larang buasir penambahan berat badan

Berat badan berlebihan, terutama di kawasan abdomen, menambah tekanan ke atas salur darah di kawasan pelvis dan rektum.

Ini memudahkan pembentukan buasir kerana tekanan yang berpanjangan mendorong vena menjadi lemah dan membengkak.

Obesiti juga sering dikaitkan dengan kurang aktiviti fizikal, pemakanan tidak sihat, dan sembelit semuanya faktor utama yang menyumbang kepada buasir.

Menurut UNIO Speciality Care, pengawalan berat badan melalui pemakanan seimbang dan senaman tetap dapat mengurangkan risiko ini.

14. Jangan Garu Kawasan Dubur

pantang larang buasir garu

Menggaru kawasan dubur anda juga adalah pantang larang buasir yang perlu dielakkan.

Walaupun rasa gatal pada kawasan dubur akibat buasir sangat tidak selesa, menggaru kawasan tersebut boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan.

Kulit di sekitar dubur sangat nipis dan sensitif, dan menggarunya dengan kuku boleh mencetuskan luka kecil, jangkitan bakteria, dan pendarahan.

Adalah lebih baik untuk menggunakan krim anti-gatal atau duduk dalam air suam bagi melegakan rasa tidak selesa tersebut.

15. Jangan Kerap Menggunakan Ubat Pencuci Perut (Laksatif)

Laksatif atau julap boleh membantu dalam jangka masa pendek untuk mengatasi sembelit, tetapi penggunaannya yang kerap boleh menyebabkan usus menjadi lemah dan malas untuk berfungsi secara semula jadi.

Selain itu, laksatif juga boleh menyebabkan cirit-birit kronik, yang meningkatkan geseran pada kawasan dubur dan seterusnya memburukkan buasir.

Pilihan terbaik adalah mengambil makanan tinggi serat seperti buah, sayur, dan bijirin penuh serta minum air secukupnya untuk memastikan pergerakan usus kekal sihat secara semula jadi.

Kesimpulan

Kesimpulannya, buasir boleh dikawal dan disembuhkan jika anda benar-benar memahami punca dan mengubah tabiat harian yang berisiko.

Dengan mengelakkan 15 pantang larang buasir yang dibincangkan dalam artikel ini, anda bukan sahaja dapat melegakan simptom buasir, tetapi juga mengurangkan risiko komplikasi seperti pendarahan, keradangan dan ketidakselesaan kronik.

Ingatlah, perubahan kecil dalam rutin seharian boleh membawa kesan besar terhadap kesihatan. Mulakan dengan satu langkah hari ini demi keselesaan jangka panjang.

Berikut adalah pantang larang buasir yang perlu anda elakkan:

  1. Elakkan Duduk Lama di Dalam Tandas
  2. Jangan Meneran Terlalu Kuat
  3. Hindari Makanan Pedas
  4. Kurangkan Makanan Berlemak dan Bergoreng
  5. Jangan Abaikan Sembelit
  6. Kurangkan Pengambilan Alkohol
  7. Elakkan Minuman Berkafein Berlebihan
  8. Jangan Angkat Beban Berat Secara Mendadak
  9. Elakkan Menahan Buang Air Besar
  10. Elakkan Pakaian Dalam Terlalu Ketat
  11. Jangan Abaikan Tanda Pendarahan
  12. Jangan Kurang Minum Air
  13. Jangan Biarkan Berat Badan Berlebihan
  14. Jangan Garu Kawasan Dubur
  15. Jangan Kerap Menggunakan Ubat Pencuci Perut (Laksatif)

Anda boleh baca tentang artikel buasir yang lain di sini:

Similar Posts

Leave a Reply