Krim Buasir: Cara Guna, Fungsi dan Risiko yang Perlu Anda Tahu

Krim buasir merupakan salah satu rawatan topikal yang popular dan mudah digunakan bagi mereka yang mengalami masalah buasir, terutama pada peringkat awal.

Ia sering menjadi pilihan kerana boleh digunakan sendiri di rumah tanpa perlu menjalani rawatan hospital atau prosedur pembedahan.

Namun, tidak ramai yang benar-benar memahami cara penggunaan yang betul, fungsi sebenar krim ini, serta risiko sampingan yang mungkin berlaku jika digunakan secara berlebihan atau tidak mengikut arahan.

Artikel ini akan menghuraikan secara lengkap bagaimana krim buasir berfungsi, langkah penggunaan yang betul dan kesan samping yang perlu diambil kira sebelum anda memilih rawatan ini.

Apa itu Krim Buasir

Krim buasir ialah sejenis ubat topikal yang diformulasikan dalam bentuk krim atau gel bagi merawat simptom buasir yang berlaku di kawasan dubur.

Menurut World Journal of Gastroenterology, buasir merupakan penyakit yang melibatkan sistem vaskular, termasuk arteriol, arteri, vena, tisu penghubung serta otot licin yang dilapisi epitelium normal saluran dubur.

Secara ringkasnya, ia berlaku apabila plexus vena dalam mukosa dubur yang disokong oleh tisu elastik mula meregang akibat tekanan tinggi ketika meneran semasa membuang air besar, duduk terlalu lama atau aliran darah yang tersekat secara berterusan.

Dalam jangka masa panjang, keadaan ini menyebabkan buasir terkeluar atau terjulur ke dalam saluran dubur dan akhirnya ke luar dubur, terutamanya apabila tisu penghubung menjadi semakin lemah dengan pertambahan usia.

Krim buasir bertindak membantu melegakan kesakitan, mengurangkan keradangan, menghalang pembekuan darah, serta meredakan rasa tidak selesa seperti pedih dan terbakar.

Kegunaannya amat sesuai bagi pesakit yang ingin merawat buasir dari rumah tanpa perlu menjalani rawatan hopsitalisasi.

Penggunaan krim ini lazimnya hanya memerlukan beberapa minggu mengikut dos dan arahan doktor.

Fungsi Krim Buasir

Menurut World Journal of Gastroenterology, krim buasir berfungsi sebagai rawatan sokongan bagi mengelakan simptom buasir ringan, terutamanya buasir luaran.

Ia disyorkan untuk kes buasir tahap awal kerana krim ini berkesan mengurangkan ketidakselesaan yang dialami pesakit tanpa perlu menjalani prosedur invasif.

Walau bagaimanapun, bagi kes buasir dalaman, buasir luaran atau buasir campuran yang berada pada tahap 3 atau lebih, penggunaan krim buasir hanya membantu meredakan simptom seperti sakit dan bengkak, tetapi tidak mampu menyembuhkan sepenuhnya.

Antara fungsi utama krim buasir adalah seperti berikut:

  • Merangsang sistem peredaran darah – Meningkatkan aliran darah ke kawasan dubur, membantu dinding dubur kekal sihat dan mempercepatkan penyembuhan.
  • Mengurangkan kesakitan – Melegakan rasa sakit, terutama ketika duduk atau membuang air besar.
  • Mengetatkan kawasan bengkak (edema) – Mengurangkan bengkak pada buasir yang menonjol.
  • Menghentikan pendarahan – Membantu menghentikan pendarahan akibat buasir secara efektif.
  • Melincirkan saluran dubur – Memudahkan proses buang air besar, mengurangkan geseran dan kecederaan.
  • Mengurangkan simptom keradangan – Mengurangkan rasa gatal, merah, bengkak dan pedih di kawasan dubur.
  • Mengecutkan buasir – Membantu buasir mengecut secara perlahan.
  • Mencegah jangkitan – Mengandungi antiseptik yang membantu membunuh kuman dan mengelakkan jangkitan lanjut.

Cara Penggunaan yang Betul

Penggunaan krim buasir adalah mudah dan praktikal, namun kesalahan dalam penggunaannya boleh menyebabkan penyakit tidak berkurang, malah menjadi lebih teruk.

Oleh itu, penting untuk mengikuti langkah-langkah yang betul agar rawatan lebih berkesan dan selamat. Menurut Vinmec International Hospital, berikut ialah panduan cara menggunakan krim buasir dengan betul:

Langkah 1: Membersihkan Kawasan Dubur dan Tangan

Sebelum menggunakan krim buasir, pesakit perlu memastikan kawasan dubur dan tangan dalam keadaan bersih.

Sebaiknya, pergi ke tandas terlebih dahulu kerana ubat memerlukan masa untuk menyerap sepenuhnya ke dalam kulit.

Elakkan membuang air besar dalam tempoh 2 hingga 3 jam selepas sapuan, kecuali dalam keadaan kecemasan. Untuk kebersihan dan keselesaan, rendam kawasan dubur dalam air suam atau bersihkan dengan sabun dan bilas menggunakan air suam.

Selepas itu, keringkan kawasan tersebut dengan tuala lembut. Tangan juga perlu dibasuh dengan sabun, dan pastikan kuku dipotong pendek bagi mengelakkan risiko mencederakan buasir ketika menyapu ubat.

Adalah digalakkan memakai sarung tangan perubatan untuk mengekalkan tahap kebersihan dan keselamatan semasa aplikasi.

Langkah 2: Menyapu Krim pada Buasir Luaran

Ubat buasir yang terletak di luar dubur, ambil sedikit krim buasir dengan jari atau sapukan pada kasa steril.

Sapu krim tersebut dengan perlahan dan lembut pada kawasan buasir tanpa menekan terlalu kuat.

Selepas sapuan, pesakit dinasihatkan untuk tidak membuang air besar dalam masa 1 hingga 3 jam supaya ubat dapat bertindak sepenuhnya.

Sekiranya terpaksa membuang air, ulang semula langkah pembersihan dan sapuan.

Pesakit juga dinasihatkan agar tidak mengelap dubur terlalu kuat selepas kencing kerana ini boleh menyebabkan ubat tertanggal dan mengurangkan keberkesanannya. Selepas selesai, basuh tangan dengan bersih.

Langkah 3: Menyapu Krim pada Buasir Dalaman

Bagi kes buasir dalaman, bersihkan kawasan dubur menggunakan larutan air garam suam atau saline.

Tangan perlu dibasuh dan sarung tangan perubatan hendaklah dipakai. Ambil sedikit krim pada hujung jari yang bersarung tangan, kemudian dalam posisi duduk atau berbaring, masukkan jari sedalam kira-kira 1–2 cm ke dalam dubur untuk menyapu krim ke bahagian dalaman.

Biarkan ubat meresap selama 5 hingga 20 minit sebelum bergerak. Selepas selesai, buang sarung tangan yang telah digunakan ke dalam tong sampah dan pastikan tiub krim ditutup dengan ketat untuk kegunaan seterusnya.

Kekerapan Penggunaan Krim Buasir

Untuk kesan terbaik, krim buasir sebaiknya digunakan dua kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan malam.

Pemakaian yang konsisten mengikut arahan akan membantu mengurangkan simptom seperti sakit, bengkak dan gatal, serta mempercepatkan proses penyembuhan buasir.

Jenama Krim Buasir di Pasaran

Berikut adalah antara jenama krim buasir yang ada di jual di farmasi-farmasi seluruh Malaysia:

1. Jemeesen Hemorrhoid Cream

krim buasir jemeesen

Krim buasir Jemeesen bertindak dengan mengecutkan salur darah yang mengembang di kawasan rektum, sekaligus memberi kelegaan pada bahagian dubur yang sensitif.

Ia menyokong kesihatan salur vena dan kapilari serta membantu pengeluaran najis menjadi lebih lancar.

Diformulasikan dengan herba tradisional seperti Sophora flavescens, Panax notoginseng, dan Dandelion, krim ini bersifat antibakteria serta membantu merawat simptom seperti gatal, sakit, pedih dan bengkak.

Ia juga sesuai untuk mengecutkan buasir, mengurangkan keradangan, dan menyembuhkan tisu yang rosak.

2. Anusol Cream

krim buasir anusol

Anusol Cream menawarkan kelegaan pantas untuk dalaman dan luaran dengan formulasi tindakan tiga serangai iaitu mengecutkan buasir, mengurangkan ketidakselesaan, dan melegakan kegatalan.

Ia mengandungi bahan antiseptik, pelindung dan astringen seperti Bismuth oxide, Zinc oxide dan Balsam Peru, menjadikannya berkesan dalam merawat dan mencegah jangkitan.

Krim ini mudah digunakan serta mempunyai kesan anti-radang untuk kelegaan segera.

3.  Hydrocortisone Cream

krim buasir hydrocortisone

Krim Hydrocortisone merupakan krim anti-radang topikal ringan yang digunakan untuk melegakan kegatalan, ruam alahan, dermatitis dan gigitan serangga.

Walaupun ia bukan khusus untuk buasir, ia kadangkala digunakan dalam rawatan simptomatik seperti bengkak dan keradangan rektum di bawah pengawasan perubatan.

Ia tidak sesuai untuk penggunaan jangka panjang kerana berisiko menyebabkan penipisan kulit.

4. HemoClin Gel

krim buasir hemoclin gel

HemoClin Gel ialah gel berasaskan air yang sesuai untuk merawat buasir, rekahan dubur dan ketidakselesaan anal lain.

Ia bertindak dalam tiga cara: menghalang jangkitan bakteria, melincirkan laluan najis, dan memberikan kesan penyejukan segera untuk melegakan kesakitan dan kegatalan.

Gel ini menyokong penyembuhan semula jadi, mudah digunakan, tidak meninggalkan kesan, dan boleh digunakan semasa hamil atau menyusukan anak. Ia juga hadir bersama aplikator yang bersih dan mesra pengguna.

5.  HIMALAYA Pilex Ointment 

krim buasir himalaya pilex ointment

Pilex Ointment daripada Himalaya menawarkan kelegaan kepada simptom buasir seperti pendarahan rektum, kegatalan dan sakit.

Ia juga membantu mengurangkan pembengkakan dan mencegah jangkitan dengan bahan semula jadi seperti Mimosa pudica dan Calendula officinalis.

Krim ini juga berkesan untuk membetulkan sembelit kronik yang berkaitan dengan buasir.

Sesuai digunakan oleh vegetarian dan ibu hamil, ia boleh digabungkan dengan Himalaya Bowel Wellness untuk rawatan menyeluruh.

6. Hemosol Ointment

krim buasir hemosol ointment

Hemosol Ointment digunakan untuk melegakan gejala buasir seperti sakit, gatal, pedih, dan iritasi ringan pada rektum.

Ia mengandungi zinc oxide dan balsam peru yang berfungsi sebagai antiseptik dan pelindung kulit, serta benzyl benzoate untuk membantu penyembuhan.

Krim ini boleh disapu dua kali sehari, termasuk selepas membuang air besar. Produk juga tersedia dalam bentuk supositori untuk rawatan dalaman.

7. Hemopropin Ointment 

krim buasir hemopropin ointment

Krim Hemopropin membentuk lapisan pelindung pada mukosa rektum yang rosak, sekali gus mengurangkan iritasi dan memudahkan pergerakan usus tanpa rasa sakit.

Ia sangat sesuai untuk mereka yang mengalami buasir tahap ringan hingga sederhana kerana ia membantu mempercepatkan pemulihan dengan mengelakkan sentuhan najis pada kawasan yang luka.

Dengan penggunaan konsisten, krim ini menyokong penyembuhan semula jadi tisu rektum.

8. Neocare Ointment

krim buasir neocara ointment

Neocare Ointment adalah pilihan semula jadi dan bebas sakit untuk merawat buasir. Ia diformulasikan untuk mengurangkan rasa sakit dan iritasi dubur serta pendarahan selepas membuang air besar.

Sesuai untuk buasir yang disebabkan oleh tekanan semasa membuang air besar, kehamilan, penuaan, atau obesiti.

Dengan pendekatan saintifik dan bahan semula jadi, krim ini memberi kelegaan lembut tanpa kesan sampingan yang diketahui.

9. Hurix’s Haemo Cream With Aloe Vera Extract Plus 

krim buasir hurix

Krim Haemo keluaran Hurix’s menggabungkan ekstrak Aloe Vera dengan herba tradisional untuk meredakan simptom buasir seperti sakit, kegatalan, bengkak dan pendarahan ringan.

Ia sesuai digunakan oleh mereka yang mengalami buasir akibat sembelit, cirit-birit, duduk terlalu lama atau diet rendah serat.

Krim ini menawarkan kelegaan secara semula jadi dan sesuai untuk kegunaan harian.

10. ANUCARE Ointment

krim buasir anucare ointment

Krim ANUCARE berfungsi untuk meredakan kegatalan, pedih, dan keradangan ringan akibat buasir serta iritasi rektum.

Ia mengandungi zinc oxide, benzyl benzoate, dan balsam peru, yang mempunyai sifat antiseptik dan penyembuhan ringan.

Krim ini mudah digunakan dengan aplikator khas yang boleh dicuci selepas digunakan. Disyorkan untuk digunakan dua kali sehari dan setiap kali selepas membuang air besar.

Kesan Sampingan

Walaupun krim buasir mampu memberikan kelegaan segera terhadap simptom seperti sakit, bengkak, dan rasa gatal, penggunaannya tetap mempunyai risiko tertentu.

Kesan sampingan ini bergantung kepada jenis bahan aktif yang digunakan dalam formulasi krim.

Dua bahan yang sering ditemui dalam krim buasir ialah henylephrine dan hydrocortisone. Jika digunakan secara tidak betul atau terlalu kerap, ia boleh membawa kesan negatif kepada kulit dan kesihatan secara keseluruhan.

Antara kesan sampingan yang mungkin berlaku termasuk:

  1. Phenylephrine
    • Memberi kesan sementara seperti kulit tampak lebih ketat, terutama jika disapu di kawasan muka.
    • Jika digunakan terlalu lama, boleh menyebabkan:
      • Kulit menjadi nipis dan lebih rapuh
      • Berlaku kemerahan dan bengkak pada kulit
  2. Hydrocortisone
    • Sejenis steroid ringan yang digunakan untuk mengurangkan keradangan
    • Boleh menyebabkan:
      • Penipisan kulit dan mudah lebam
      • Memburukkan masalah kulit sedia ada seperti impetigo, rosacea, dan jerawat
      • Menjejaskan struktur semula jadi kulit dan menekan sistem imun pada lapisan kulit
  3. Kesan sistemik (keseluruhan badan)
    • Dalam kes yang jarang berlaku, hydrocortisone boleh diserap ke dalam aliran darah jika digunakan dalam kuantiti besar atau untuk jangka masa panjang.
    • Ini boleh mengganggu fungsi kelenjar adrenal, iaitu organ penting yang mengawal tindak balas badan terhadap tekanan. Kerosakan fungsi ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon dan masalah kesihatan lain yang lebih serius.

Oleh itu, penggunaan krim buasir hendaklah dilakukan mengikut dos dan tempoh yang telah disarankan oleh doktor.

Sekiranya anda mengalami kesan seperti iritasi kulit yang teruk, ruam, atau perubahan ketara pada kulit, adalah penting untuk penggunaan serta-merta dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan.

Bila Perlu Jumpa Doktor

Jika simptom buasir semakin teruk atau tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan selepas 7 hari rawatan di rumah, ini mungkin petanda bahawa rawatan topikal seperti krim buasir tidak lagi mencukupi.

Selain itu, sekiranya anda mengalami buasir berulang kali, ini menunjukkan masalah asas yang lebih serius dan memerlukan rawatan perubatan jangka panjang.

Anda juga harus berjumpa doktor jika terdapat perubahan luar biasa di kawasan dubur seperti benjolan, luka, pendarahan luar biasa atau rasa tidak selesa yang berterusan dan tidak pernah anda alami sebelum ini.

Perubahan ini mungkin bukan sekadar buasir biasa, tetapi boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan lain yang lebih serius seperti jangkitan, abses atau bahkan keadaan yang lebih kronik.

Kesimpulan

Kesimpulannya, krim buasir sememangnya menawarkan kelegaan cepat kepada gejala seperti sakit, gatal, dan bengkak di kawasan dubur, terutamanya bagi kes buasir ringan.

Namu, keberkesanannya bergantung kepada cara penggunaan yang betul dan kesesuaian bahan aktif terhadap individu.

Penggunaan berlebihan atau tidak mengikut panduan boleh mengundang kesan sampingan yang tidak diingini, termasuk penipisan kulit atau masalah hormon.

Oleh itu, penting untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum memulakan rawatan dan memantau sebarang perubahan pada kulit semasa penggunaan. Rawatan awal yang betul dapat mengelakkan komplikasi dan mempercepatkan proses pemulihan.

Anda boleh baca tentang artikel buasir yang lain di sini:

Similar Posts

Leave a Reply